Thursday, May 13, 2010

Konsep Kebolehpercayaan

Kebolehpercayaan merujuk kepada ciri skor dari segi ketepatan dan ketekalan skor itu bagi menggambarkan prestasi calon dalam perkara yang ditaksir.

Kebolehpercayaan berkait rapat dengan alat pengujian yang digunakan. Adakah alat itu betul-betul dapat memberi skor yang konsisten kepada seorang pelajar jika diambil berulangkali, dengan andaian tiada penambahan pengalaman antara jangka masa ujian diambil. Skor yang tidak konsisten disebabkan pembolehubah seperti kerelevanan kandungan, kesesuaian alat, kohort dan sebagainya. Kebolehpercayaan berkait rapat konsep boleh diharapkan, stabil, konsisten, boleh ramal dan tepat. Seseorang yang boleh dipercayai seharusnya memiliki kesemua sifat itu. Begitu juga dengan alat pentaksiran seharusnya mempunyai kesemua sifat-sifat itu untuk membolehkan skor yang dihasilkan boleh dipercayai dan bermakna.

Kebolehpercayaan ujian tersebut sebagai darjah ketekalan antara dua pengukuran terhadap suatu benda.
Sebagai contoh, guru biasanya mengharapkan untuk memperolehi pengukuran yang sama ke atas sesuatu benda yang ditimbang apabila menggunakan penimbang yang berbeza, atau dengan menggunakan penimbang yang sama dalam masa yang berbeza. Dalam pengukuran pencapaian pelajar pula, guru mengharapkan keputusan ujian akan tekal bagi dua ujian yang sama bentuk yang ditadbirkan kepada kumpulan yang sama pada dua masa yang berbeza.

Konsep asas teori pengujian menyatakan bahawa skor dicerap iaitu skor yang didapati oleh salah seorang pelajar di dalam satu ujian mempunyai dua komponen:
  1. Skor sebenar – ukuran sebenar kebolehan pelajar.
  2. Skor ralat – disebabkan oleh alat dan kaedah pengukuran.
Oleh itu kita membuat anggapan bahawa tiada skor yang menjadi ukuran sebenar bagi kebolehan seseorang;
  
Skor dicerap = Skor sebenar + Skor ralat

Pekali kebolehpercayaan selalunya diwakili oleh nombor yang bernilai antara 0 hingga 1 yang menunjukkan kestabilan sesuatu ujian.

Ada tiga cara sesuatu ujian boleh dikira pekali kebolehpercayaan (Anatasi, 1961; Thorndike, 1969; Dick & Hegerty, 1971; Martuza, 1977; Karmel & Karmel, 1978 dan Hookins & Stanley, 1981):
  1. Kaedah Test-Retest
  2. Kaedah Bentuk Selari
  3. Kaedah Belah Dua

No comments:

Post a Comment