Sunday, March 27, 2011
Allah Tidak Boleh Digambarkan
ANTARANYA, beliau sanggup duduk seorang diri dalam sebuah bilik yang gelap semata-mata memikirkan mengenai hubung kait seni tersebut dan penerimaannya terhadap pelbagai agama.
Terutama dalam aspek Islam, apabila Dr. Ingrid mendapati ada sesuatu yang menarik mengenai penerimaan Islam yang cukup berbeza terhadap karya-karya seni berbanding fahaman agama yang lain.
Beliau dilahirkan di Kitchener, Ontario, Kanada. Kemudiannya melanjutkan pengajian dalam falsafah dan seni lukis di Universiti of Waterloo, Ontario, dan dibesarkan sebagai Kristian Katholik.
Namun pada hari ini, beliau sangat berpengaruh terutama selepas memeluk Islam. Ia berikutan ketokohan beliau yang aktif dalam pelbagai kerja amal dan menggerakkan penduduk Islam di Kanada supaya mengambil bahagian secara aktif dalam apa juga aktiviti dalam masyarakat Kanada yang berbilang bangsa dan kaum itu.
"Sejak di sekolah menengah lagi, saya sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap tuhan walaupun dahulunya saya pernah merasai akan satu hubungan rohani ketika berada dalam gereja yang suasananya sejuk dan gelap itu," katanya.
Semasa di kolej pula, falsafah mengenai Plato sehinggalah Descartes menjadi anutan beliau. Namun Dr. Ingrid sedar seni ada kesan secara langsung terhadap soal kepercayaan terhadap tuhan.
"Ia terbentuk apabila kita terasa mempunyai hubungan dengan cara kita begitu menghargai pelbagai perbezaan perspektif kemanusiaan yang lain, yang terhasil dari mesej karya-karya seni.
"Tetapi semua itu tidak meninggalkan asas untuk kita bertindak melakukan sesuatu," jelasnya.
Kemudian Dr. Ingrid terjumpa dengan golongan yang dalam hidup mereka tidak mengukir patung, tidak melukis wajah tuhan mereka, pemimpin hebat mereka dan wanita-wanita yang cantik di kalangan mereka.
Tetapi yang menghairankan walaupun tanpa mengukir dan melukis semua itu, golongan ini adalah yang paling mengenali tuhan mereka, sangat menghormati para pemimpin mereka dan sangat menghargai sumbangan yang ditunjukkan oleh kaum wanita mereka.
"Golongan yang saya maksudkan di sini adalah umat Islam dan perspektif mereka terhadap seni benar-benar membuatkan saya tertarik untuk mengkaji lebih mendalam," kata Dr. Ingrid.
Ini kerana lazimnya manusia hanya akan mempercayai sesuatu melalui apa yang dilihat oleh mata, sekalipun membabitkan soal rupa paras dan sebarang visual mengenai tuhan.
Lebih banyak sesuatu objek 'tuhan' digambarkan atau dilukiskan bermakna betapa pentingnya 'objek' itu terhadap sasaran medianya.
Lama kelamaan Dr. Ingrid akhirnya memahami bahawa ketamadunan Islam memilih untuk tidak merakamkan dalam apa juga bentuk medium visual sebagai mewakili makna yang signifikan untuk mengingati dan memuja tuhan dan manusia.
"Ini kerana Allah itu adalah tersembunyi, The Hidden! Yang terhijab dalam cahaya yang sangat gemilang daripada pandangan mata manusia .
"Tetapi mereka yang mempunyai pandangan yang jelas dapat mengenali Allah melalui rahsia di sebalik kejadian yang sangat dicipta oleh-Nya," jelas beliau.
Ini seperti yang terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Mulk: 19)
Menurut Dr. Ingrid, jika Allah mampu mencipta segala kehidupan dan kejadian maka manusia tidak akan mampu untuk menggambarkan rupa paras Allah.
Malah telah menjadi peraturan dalam Islam bahawa menggambarkan Allah itu mengundang satu fitnah yang besar.
Lantaran itu, menurutnya, Allah masih boleh dikenali apabila Allah sendiri menceritakannya dalam turunnya wahyu-wahyu yang pada hari ini kita kenali sebagai 99 nama Allah, yang begitu dilagukan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.
"Tidak cukup itu, nama-nama Allah itu ditulis atau diukir dalam satu bentuk seni yang paling halus dan indah sama pada lampu-lampu, tembok, dinding, batu-batu dan lain-lain medium visual yang mampu membangkitkan tindakan balas atau respons secara intelektual dan spiritual kepada mereka yang menghayatinya," katanya.
Tidak sahaja falsafah seni dalam Islam ini yang telah menarik hati Dr. Ingrid untuk mengenali dan seterusnya memeluk Islam. Saat berada di Perancis di awal pengajiannya di universiti turut memberikan satu pengalaman yang unik kepadanya tentang Islam.
Ia apabila beliau tinggal berjiran dengan sekumpulan pelajar Islam dari Senegal, Afrika Barat.
"Mereka benar-benar mengamalkan kehidupan mengikut sunnah Rasulullah walaupun ketika itu saya masih tidak tahu menahu lagi mengenai Islam. Tetapi mereka terdiri daripada golongan yang paling saling menolong antara satu sama lain, tidak tamak, sanggup berkongsi sepinggan nasi dan kacang setiap hari.
"Sedangkan di dunia lain, manusia lebih suka bersikap pentingkan diri sendiri, tamak, tidak mahu berkongsi apa yang dimiliki berbeza dengan umat Islam yang sedikit atau banyak mesti dikongsi bersama.
"Sebagaimana Rasulullah pernah berpesan bahawa makanan untuk dua orang tetapi cukup untuk tiga orang dan begitu juga makanan untuk tiga orang sebenarnya cukup untuk empat orang," katanya.
Pengalaman seperti inilah yang mendorong Dr. Ingrid semakin tertarik seterusnya membawa beliau memeluk Islam. Pada tahun 1987 beliau berlepas ke Pakistan untuk bertugas sebagai sukarelawan untuk para pelarian Afghanistan.
Semasa bertugas di sempadan Pakistan itu, pengalaman paling manisnya apabila Dr. Ingrid dinikahkan dengan seorang petugas sukarelawan, Aamer Atek, jurutera dari Mesir.
Sejurus mereka bernikah dan pulang semula ke kem pelarian, mereka dikerumuni oleh wanita-wanita Afghanistan.
Mereka begitu teruja untuk melihat segala pemberian pakaian baru yang indah-indah, barang kemas terutama rantai dan gelang emas dan lain-lain barang hantaran yang lazimnya dihadiahkan oleh pengantin lelaki kepada perempuan.
Malangnya, pasangan Dr. Ingrid dan suaminya tidak mempunyai banyak wang ketika itu, hanya sebentuk cincin emas menjadi pemberian suaminya.
"Saya terpaksa pinjam baju nikah daripada orang lain dan saya boleh lihat mereka kelihatan sedih dan simpati apabila saya memberitahu keadaan sebenarnya," ujarnya.
Tetapi minggu hadapannya, alangkah terkejutnya Dr. Ingrid dan suaminya apabila mendapat kunjungan yang tidak disangka-sangka.
Ditambah dengan mereka dihadiahkan pelbagai hadiah perkahwinan oleh wanita-wanita Afghanistan.
Mereka terpaksa meninggalkan rumah dan negara mereka, yang kehilangan suami dan anak yang mati dalam pertempuran, yang terpaksa menjual apa sahaja harta yang ada semata-mata untuk membeli makanan untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan.
Tetapi mereka inilah yang bersusah payah menghadiahkan Dr. Ingrid terutamanya sepasang pakaian yang sangat indah.
Ia baju baldu merah yang berwarna-warni dipadankan dengan sepasang seluar panjang satin biru yang berhias manik dan jemeki dan sehelai selendang biru yang turut berkilauan dengan taburan manik di sana sini.
"Itulah hadiah yang paling hebat, yang paling saya hargai, yang paling memberikan makna besar kepada saya dan saya benar-benar terharu atas kebaikan yang mereka tunjukkan kepada saya.
"Mereka buktikan bahawa mereka benar-benar simpati dan saya merasakan keikhlasan yang suci dari pemberian itu berasaskan sebuah ajaran agama yang paling suci" katanya.
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/
Labels:
Kisah Tauladan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment