Konsep kesahan sesuatu ujian bahasa sebagai alat untuk mengukur dan mengkuantitikan sesuatu kemahiran atau aspek bahasa tidak berbeza dengan konsep kesahan alat pengukur yang lain. Dalam bidang pengujian bahasa, sesuatu ujian merupakan alat untuk mengukur sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Tinggi atau rendah kesahan sesuatu ujian bergantung pada ketepatannya mengukur sesuatu kemahiran atau aspek bahasa yang perlu diukur berdasarkan tujuan atau fungsi pengujian. Contohnya, ujian ejaan dianggap sah sekiranya benar-benar dapat mengukur kebolehan pelajar mengeja.
Dalam ujian bahasa timbul persoalan sama ada kesahan sesuatu ujian dianggap tinggi atau rendah menurut ketepatan mengukur sesuatu kemahiran atau aspek bahasa yang hendak diukur. Setiap kali guru membina ujian bahasa, sama ada menguji kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis atau aspek bahasa lain seperti tatabahasa, kosa kata dan sebagainya amatlah penting bagi guru mempersoalkan kesahan ujian yang dibina.
Adakah ujian yang dibina benar-benar dapat menguji dan mengukur kemahiran murid mendengar?. Adakah ujian bertutur benar-benar dapat menguji dan mengukur kemahiran murid bertutur?. Adakah ujian kosa kata yang dibina guru benar-benar menguji perbendaharaan kata pelajar atau hakikatnya menguji tatabahasa? Atau berlaku sebaliknya, ujian tatabahasa yang dibina guru tidak menguji pengetahuan tatabahasa sebaliknya menguji kosa kata. Contoh-contoh ini perlu ditanyakan kepada diri sendiri apabila membina sesuatu alat ujian bahasa untuk menjaga darjah kesahan atau kesahihannya. Jika guru tidak diawasi, kadang kala alat ujian yang dibina tidak menepati tujuan ujian. Perkara lain yang hendak diukur tidak terukur dan perkara lain pula yang terukur. Kadang kala sesuatu ujian mungkin tidak tepat mengukur perkara yang hendak diukur tetapi hanya mengukur sedikit sahaja atau sipi-sipi. Seterusnya kita melihat jenis kesahan yang terdapat dalam ujian yang baik.
Kesahan Muka
Menurut Savignon (1983), ujian mesti kelihatan mengukur apa yang sepatutnya hendak diukur. Bagi Hearon (1979), kesahan muka saja tidak mencukupi, sebab kadang kala ujian bercorak ‘superficial’ sahaja. Contohnya, guru telah membina satu ujian untuk menguji kefahaman bacaan pelajar dengan menggunakan soalan berbentuk aneka pilihan. Sekali pandang ujian ini mungkin mempunyai kesahan muka yang benar-benar menguji kefahaman bacaan. Selepas diteliti, didapati terdapat beberapa item soalannya menguji kefahaman murid mengenai sinonim, antonim dan dan penggunaan imbuhan. Item yang dimaksudkan bukanlah menguji kefahaman bacaan murid dalam erti kata sebenarnya.
Selepas guru membina ujian yang bertujuan menguji sesuatu kemahiran atau aspek bahasa, perlulah disemak semula setiap item atau soalan supaya tidak terkeluar daripada batasan atau tujuan ujian dibina. Sebaiknya sebelum ujian dicetak atau ditadbir, dapatkan pandangan guru lain mengenai kesesuaian item dengan kemahiran atau aspek yang hendak diuji.
Kesahan Isi
Kesahan ini mempersoalkan sama ada sesuatu ujian mengandungi satu sampel yang seimbang tentang perkara yang telah diajar seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran atau program pengajaran. Hal ini penting bagi ujian yang berbentuk sumatif atau formatif. Contohnya, ujian bulan Februari guru hendaklah menguji beberapa aspek tatabahasa yang telah diajarnya dalam bulan tersebut. Kesahan ujian isi tinggi sekiranya item ujian yang dibina mewakili semua aspek tatabahasa yang telah diajar dalam bulan itu.
Perkara penting dalam kesahan ini guru perlu merujuk semula rekod pengajaran seperti buku rekod mengajar dan sukatan pelajaran. Ujian bahasa yang bersifat sumatif seperti ujian akhir penggal, pertengahan tahun dan ujian tahunan biasanya memerlukan guru membuat persampelan yang lebih luas tentang kemahiran dan aspek bahasa yang perlu diuji. Ujian bahasa yang dibina bagi menilai kemajuan murid pada tahap tersebut mungkin mengandungi ujian tentang kemahiran lisan, membaca, menulis karangan, meringkaskan karangan, tatabahasa, peribahasa, kosa kata dan sebagainya. Bagaimanapun, skop ujian hendaklah mewakili pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku dalam tempoh tersebut.
Kesahan Konstrak
Konstrak ialah satu konsep atau gagasan tentang sesuatu perkara atau benda sama ada yang abstrak atau maujud. Contohnya, apakah konstrak (konsep) sebuah kereta? Sebuah kereta terdiri daripada enjin, cermin, roda, gear, roda dan sebagainya.
Dalam bidang pendidikan bahasa, setiap kemahiran bahasa seperti kemahiran mendengar, bertutur dan membaca adalah konstrak atau konsep yang agak abstrak. Bahagian yang mengisi konstrak mengenai sesuatu kemahiran bahasa sebenarnya adalah subkemahiran yang membina sesuatu kemahiran bahasa. Contohnya, apakah subkemahiran yang membina kemahiran bertutur?
Apabila kita hendak menilai sama ada ujian mengenai sesuatu kemahiran bahasa itu mengandungi kesahan konstrak atau tidak, kita persoalkan sama ada ujian tersebut benar-benar menguji konstrak kita mengenai kemahiran tersebut, dan sama ada ujian itu menguji subkemahiran yang dianggap penting dalam sesuatu kemahiran bahasa yang hendak diuji. Subkemahiran yang terlibat dalam sesuatu kemahiran asas bahasa sebenarnya pengisi konstrak tersebut. Tanpa mengenali konstrak mengenai sesuatu kemahiran atau aspek bahasa, tidak mungkin kita boleh membina ujian yang sah dan menepati konstrak tersebut. Sebelum guru boleh menguji kemahiran muridnya dalam kemahiran membaca, guru seharusnya faham dengan konstrak kemahiran membaca. Sebelum guru boleh menguji dan menilai kemahiran muridnya menulis karangan, dia seharusnya faham dengan konstrak kemahiran mengarang dalam bahagian penting yang terdapat dalam sesuatu karangan yang baik. Contohnya, dalam menguji kemahiran murid menulis karangan, guru ingin melihat subkemahiran penting seperti memilih isi, menyusun isi, tatabahasa, kosa kata dan aspek mekanis dalam penulisan. Dalam menguji sesuatu kemahiran bahasa, kesahan konstrak mengenai sesuatu kemahiran yang hendak diuji sangat penting. Sekiranya konstrak kita mengenai sesuatu kemahiran itu salah, kita akan mengukur dan menilai subkemahiran yang tidak berkaitan. Oleh yang demikian, kesahan ujian itu dari segi konstraknya boleh dipertikaikan.
Kesahan Serentak
Sesuatu ujian mempunyai kesahan serentak sekiranya pencapaian murid dalam ujian itu dapat menggambarkan pencapaiannya dalam satu ujian lain yang serupa, iaitu dijalankan pada masa yang sama. Contohnya, dalam pendidikan bahasa terdapat ujian bahasa. Kita katakan sesuatu ujian itu mempunyai kesahan serentak sekiranya markah seseorang murid dalam ujian itu dapat menggambarkan kebolehannya mengeja dalam ujian mengarang. Cara untuk menguji sama ada kesahan serentak ujian ejaan tersebut tinggi atau rendah adalah dengan membandingkan markah setiap murid dalam ujian tersebut dengan markah bahagian ejaan dalam keputusan karangannya. Sekiranya pertalian antara kedua-dua markah itu tinggi bagi kebanyakan murid, kita katakan ejaan tersebut mempunyai kesahan serentak yang tinggi.
Dalam ujian bahasa yang lain juga mungkin mempunyai kesahan serentak seperti itu. Contohnya, ujian perbendaharaan kata dengan kebolehan murid menggunakan perbendaharaan kata dalam mengarang, ujian tatabahasa dengan kebolehan murid dalam aspek tatabahasa dalam sesuatu situasi yang lain, seperti mengarang atau bertutur.
Sebenarnya dalam pengujian bahasa, banyak lagi contoh yang boleh disebutkan. Misalnya, kita mempersoalkan kesahan serentak sesuatu ujian kefahaman mendengar sekiranya kita mempersoalkan sama ada ujian itu boleh menggambarkan kefahaman murid mendengar sesuatu syarahan. Ataupun kita mungkin mempersoalkan kesahan serentak sesuatu ujian kefahaman membaca, sekiranya kita mempersoalkan sama ada ujian tersebut dapat menggambarkan kefahaman murid apabila membaca akhbar atau majalah.
Kesahan Ramalan
Sesuatu ujian mempunyai kesahan ramalan sekiranya pencapaian pelajar dalam ujian tersebut dapat meramalkan pencapaiannya dalam satu ujian lain yang serupa pada masa akan datang. Misalnya, kita boleh mempersoalkan kesahan ramalan sesuatu ujian bahasa dalam peperiksaan percubaan peringkat SPM, sekiranya kita ingin tahu sama ada keputusan pelajar dalam ujian tersebut akan dapat menggambarkan keputusan pelajar dalam kertas Bahasa Melayu peperiksaan SPM yang sebenarnya.
Cara sebenar kita menguji dan membuktikan sama ada kesahan ramalan sesuatu ujian bahasa pada peringkat percubaan SPM itu tinggi atau rendah ialah dengan membandingkan keputusan setiap pelajar dalam ujian tersebut dengan keputusannya dalam ujian bahasa pada peringkat SPM yang sebenarnya. Sekiranya pelajar yang memperoleh markah tinggi atau rendah dalam ujian percubaan dan peperiksaan SPM yang sebenarnya adalah golongan pelajar yang sama. Sehubungan itu, dapatlah dikatakan ujian bahasa pada peringkat percubaan mempunyai kesahan ramalan yang tinggi.
No comments:
Post a Comment