Thursday, March 24, 2011

Nilai Inovasi, Kreativiti Perlu Dalam Keusahawanan



Pengusaha Muslim perlu kebolehan untuk aplikasi idea kreatif demi faedah masyarakat

INOVASI dan kreativiti adalah nilai kemahiran yang perlu ada dalam diri usahawan berjaya. Kemahiran kreatif yang ada pada usahawan adalah faktor utama yang membezakan mereka dengan individu lain.

Usahawan tidak hanya menjalankan aktiviti perniagaan semata-mata tetapi mereka juga memanipulasikan segala sumber yang ada secara optimum untuk memaksimumkan produktiviti secara efektif. Nilai itu secara tidak langsung dapat membantu usahawan mengembangkan idea baru untuk mencari kaedah terbaik dalam melihat masalah dan peluang.

Nilai inovasi pula ialah daya keupayaan dan kebolehan yang ada pada usahawan untuk mengaplikasikan idea kreatif terhadap masalah dan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi.

Sarjana Barat seperti Drucker dalam karyanya Classic Drucker memberi takrifan nilai inovasi sebagai fungsi khusus yang ada pada usahawan. Ia bertindak sebagai alat kepada usahawan untuk mencipta sumber baru bagi menghasilkan kekayaan atau memberi nilai tambah kepada potensi sumber sedia ada dengan tujuan mencipta kekayaan.

Usahawan yang memiliki nilai itu mempunyai kecenderungan untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi secara kritis dan meneroka peluang yang wujud bagi memakmurkan kehidupan manusia secara harmoni.

Ajaran Islam menyeru umatnya terutama golongan usahawan supaya memberi keutamaan terhadap nilai inovasi dan kreativiti dalam memenuhi keperluan aktiviti keusahawanan. Pada hakikatnya, Allah SWT menganugerahkan pelbagai sumber untuk kelangsungan kehidupan manusia. Namun begitu, pada skala yang lebih umum ia tidak dapat menampung keperluan manusia secara sempurna sekiranya hasil mahsul berkenaan tidak dimanipulasikan secara lestari.

Oleh yang demikian, ia menjadi peranan dan tugas golongan usahawan untuk mengaplikasikan nilai kreatif dan inovasi yang ada pada diri mereka bagi membantu menyelesaikan sebahagian keperluan yang diperlukan oleh masyarakat. Atas kepentingan itulah, keusahawanan Islam memberi galakan kepada pengusaha supaya berfikiran kritis sebagai nilai berkualiti yang perlu ada pada individu usahawan.

Tuntutan ini digarap melalui firman Allah dalam al-Quran iaitu maksudnya: "Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula." (al-Mulk:15)

Dalam pengertian ayat berkenaan, Ibn Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-`Azim mengulas bahawa Allah SWT menyeru kepada umat manusia supaya berusaha memanfaatkan rezeki yang dianugerahkan-Nya di seluruh pelusuk bumi. Rezeki yang diberikan itu lebih luas pengertiannya sebagaimana difahami manusia.

Rezeki bukan hanya bersifat harta yang dimiliki seseorang untuk memenuhi keperluan dan kesenangannya, namun ia merangkumi sesuatu yang diamanahkan Allah SWT di muka bumi iaitu jalan dan kandungan rezeki. Dalam pada itu, sebagai usahawan golongan ini perlu peka dan sentiasa melihat sumber dianugerahkan oleh Allah daripada perspektif yang inovatif supaya dapat ditambah nilai kepada sesuatu perkara berfaedah menurut kehendak syarak dan memenuhi kepentingan umum.

Oleh itu, melihat kepada kepentingan dan faedah berkenaan, keusahawanan Islam begitu menggalakkan kepada pengusaha Muslim supaya mengaplikasikan nilai kreativiti dan inovasi dalam aktiviti perusahaan yang dijalankan.

Berteraskan kepada nilai ini, ia dapat merangsang pengusaha supaya berfikiran di luar kotak dan berpandangan jauh mencipta sesuatu yang baru dan memberi kemudahan kepada umat manusia. Di samping itu, pengusaha juga perlu menggiatkan aktiviti penyelidikan untuk mendapatkan penemuan bersifat semasa yang dapat menampung keperluan umat Islam.

Tambahan lagi, dalam keusahawan moden kini, ia menuntut usahawan Muslim untuk meraih peluang yang wujud dalam pelbagai bidang keperluan masyarakat Islam seperti bidang makanan, pertanian, perubatan, pembinaan, perindustrian, reka bentuk dan sebagainya untuk menjadi peneraju kepada bidang berkenaan.

Malah sejarah peradaban umat Islam silam merekodkan bahawa pencapaian umat Islam dalam era keemasan dulu dipacu nilai inovasi dan kreativiti yang dintegrasikan dengan nilai rohaniah tinggi.

Keunggulan umat Islam terdahulu dalam pelbagai bidang termasuklah keusahawanan disebabkan sikap proaktif dan dinamik dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Mereka sentiasa meletakkan matlamat melaksanakan sesuatu perkara untuk memberi faedah kepada orang lain di samping mencari keberkatan daripada Ilahi. Bergerak dengan semangat itu, maka lahirlah usahawan Muslim yang hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Sayyidatina Khadijah, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa nilai inovasi dan kreativiti sinonim dengan usahawan Muslim berjaya. Nilai inilah ciri yang ada pada usahawan berjaya. Tanpa nilai itu, usahawan terbabit sukar mengorak langkah dengan lebih jauh. Pemikirannya dijumudkan dan mematikan motivasi dirinya untuk melangsungkan daya saingnya dalam dunia keusahawan.

Dunia keusahawanan menuntut kepada pengusaha untuk berfikiran melangkaui batas pemikiran yang ada pada manusia biasa. Inilah kelebihan pada seseorang usahawan dan membezakannya dengan yang lain. Mereka begitu peka dan sensitif dengan persekitaran dan sebarang bentuk keperluan untuk menyesuaikan dengan strategi dan perancangan yang konkrit bagi memaju serta mengembangkan sebarang bentuk empayar perdagangan yang diusahakan.

Keusahawanan Islam menekankan kepada usahawan supaya mempraktikkan nilai yang dapat memberi pulangan positif terhadap aktiviti yang diusahakan.

Penulis ialah pensyarah Universiti Malaysia Perlis
Oleh Shuhairimi Abdullah

Sumber: http://www.mukmin.com.my/

No comments:

Post a Comment