Monday, March 14, 2011

Tip Membina Empayar Perniagaan


Apabila menyebut tentang empayar, kita membayangkan satu pembentukan kuasa yang besar merangkumi jajahan dan taklukan. Ia juga adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam perniagaan malah telah banyak syarikat membentuk empayar perniagaan yang menakluki jajahan tertentu dalam ertikata penjajahan pasaran.

Tapi ini bukan kisah cerita-ceritut atau sembang artikel yang semudah kata. Ia melibatkan perancangan, strategi, usaha, politik dan keberanian. Angan dan sembang akan membuatkan topik ini menjadi hanya sebuah lagi cerita kartun untuk menyedapkan telinga yang mendengar dan mata yang membaca. Jadi apakah sebenarnya kaedah membina empayar perniagaan yang berkesan?

Kelemahan kita orang Asia khususnya adalah memandang barat sebagai sumber maklumat dan rujukan ultra tanpa melihat potensi yang sedia ada dalam diri dan bangsa. Hari ini orang Amerika kata saya ada formula itu dan ini dan kita begitu mudah terpengaruh dan melabur tanpa usul periksa. Kerana itu juga kita percaya dengan sejarah bahawa orang putih datang
ke Tanah Melayu untuk perdagangan rempah. Rempah apalah yang orang putih makan sangat berbanding kita? Kerana itu minda kita senang dijajah.

Itulah sebenarnya kunci membina empayar iaitu menakluk dan menjajah minda. Saya mengkaji orang putih tentang apa yang dilakukan dan bukan apa yang dicakapkan. Ini adalah kerana bangsa yang berjiwa ‘tauke’ ini akan sentiasa mengajar kita menjadi bagaimana untuk menjadi pelanggan mereka dan bukannya menjadi usahawan.

Dahulu apabila kita melihat baju ‘Made in Usa’ atau ‘made in’ mana-mana negara Eropah, terpelancut didalam benak kita tentang produk yang berkualiti. Berbeza dengan ‘Made in Malaysia’ yang dipandang 2nd class. Maka jadilah orang kita mengikut cakap seniman Aziz Satar dalam fielm seniman Bujang Lapuk,”2nd class separuh bayaran”. Tanpa disedari, minda kita telah dijajah untuk membayar lebih kepada mereka yang sebenarnya kilang barangan mereka itu adalah di Malaysia juga. Kita pula berlaku tidak adil kepada barangan orang kita tanpa banyak mengkaji ada yang berkualiti malah lebih baik daripada mereka.

Baiklah. Sekarang kita tahu, bangsa kita selama ini adalah bangsa yang dijajah pemikiran dan anda mungkin telah memahami apa yang cuba saya sampaikan. Sekarang anda fikir, bolehkah anda menjajah minda orang putih ini kembali sepertimana mereka menjajah minda kita dalam segala segi sejak berkurun lamanya?

Jawapannya tidak semudah itu. Peperangan membina empayar perniagaan dunia harus berubah mengikut masa dan zaman. Dahulu orang kita kurang pendidikan, maka menjajah minda adalah teknik yang praktikal dan mudah dilakukan untuk membina empayar perniagaan. Berbeza dengan sekarang yang mana ramai sudah pergi ke sekolah dan pandai. Kini ia masih lagi berkisar tentang penjajahan minda tetapi dengan pendekatan dan teknik
yang berbeza.

China adalah contoh terbaik sebuah negara yang begitu pantas menjajah ekonomi dunia dengan menundukkan gergasi ekonomi barat dalam tempoh tidak sampai 10 tahun. Penjajahan China terhadap ekonomi dunia bukanlah satu perkara mudah yang boleh dibalas kembali oleh barat. Mereka memperbaiki teknologi mengejar kualiti barat dalam tempoh setiap saat dan sentiasa memberikan harga yang terendah di dunia.

Bagi orang islam, anda pasti ada mendengar bahawa di akhir zaman maka akan wujud banyak pasar yang besar dan itu kita boleh lihat dengan kewujudan hypermart yang memonopoli perdagangan runcit. Adakah mereka ini menjual barangan berkualiti dan tahan lama? Jawapannya tidak kerana mereka hanya menjual barangan yang MURAH dan murah itulah yang menjadi kaedah dalam menjajah psikologi pelanggan.

Kegagalan ramai peniaga berkembang ialah mereka tidak cuba mempastikan sentiasa ada transaksi dan cuba menawarkan harga yang sentiasa membuat pelanggan berfikir berkali-kali dan akhirnya tidak membeli. Kita perlu ingat, jika kita tidak membeli idea dan kelentong orang putih, mereka tidak akan dapat menguasai Tanah Melayu. Mereka berjaya menjual teori dan idea mereka. Sekiranya kita tidak menyukarkan idea dan barangan kita dibeli, bagaimana pelanggan boleh mengenali kita, dan bagaimana dapat kita menjajah pasaran?

Perniagaan adalah satu perkara yang melibatkan masa untuk terbina. Barangsiapa yang mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dalam perniagaan tanpa mengambilkira soal pokok perniagaan itu sendiri, maka sudah pasti mereka akan kecundang. Usahlah lagi membuang masa untuk memikirkan tentang membentuk empayar.

Cuma kalau ditanya kepada saya adakah kita masih perlu bertungkus-lumus untuk membina ekonomi jikalau sudah dilihat bahawa dunia kini berada di akhir zaman? Bukankah elok kita fokus kepada memperbetulkan tauhid dan aqidah umat islam yang main bermasalah? Bukankah kita diingatkan supaya bekerja seolah akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadat seolah mati esok hari? Perjuangan kehidupan dan agama itu tiada noktahnya sehingga bergulung dunia ini dihari kiamat.

Mengapakah orang Islam kini sering dijajah minda dan amat sukar dilihat menguasai ekonomi? Ini adalah kerana orang Islam ini sangat pandai berkata-kata tetapi amat kurang yang mahu berfikir dan berusaha. Mulut mudah berkata bahawa Islam itu ‘syumul’ dan segala perkara dalam kehidupan itu ada di dalam Islam tetapi adakah orang Islam benar-benar mengamalkan kehidupan dan cara Islam itu sendiri?

Konsep ‘ta’awun’ yang ada didalam Islam diamalkan meluas oleh kaum cina diseluruh dunia tapi bagaimana dengan orang Islam lain? Orang cina membina rangkaian perniagaan dan membina keakraban melalui hubungan sosial dan jaringan (network) tetapi adakah itu amalan orang Melayu yang mengaku dominan dan sinonim dengan Islam di Tanah Melayu ini? Itulah lemah kita dan akan sentiasa lemah kerana kita lebih teruja pada nama dan bukan pada hakikat. Malah ada kumpulan yang bingkas bangun bila Melayu ditegur dan dikutuk sifat buruknya lalu dilabel orang itu ‘pengutuk bangsa sendiri’. Kerana itulah kita mudah dijajah. Kita sukar mengizinkan minda kita diperbaiki dan diperbetulkan.

Namun ia tidak bermaksud orang Islam khususnya Melayu Islam tidak boleh maju ke depan. Kita tidak perlu menunggu bangsa ini menjadi betul 100% baru kita boleh membuat perubahan. Perlu diingat juga Islam itu bukan Melayu sahaja. Orang Islam terdiri daripada pelbagai etnik di dunia. Saya lebih suka mencadangkan orang Islam membina empayar perniagaan dengan mensasarkan pasaran barangan muslim. Halal Hub adalah satu contoh yang baik sebagai satu idea penaklukan ekonomi. Anda juga boleh melahirkan idea dan konsep untuk menakluk kembali ekonomi orang Islam yang kini dijajah orang orang lain.

Sumber: http://www.iluvislam.com/

No comments:

Post a Comment