Wednesday, March 9, 2011

Kaitan Sakit Ginjal, Jantung



Rawatan dialisis tidak mencukupi dedahkan komplikasi organ lain

KHAMIS ini atau 10 Mac, adalah Hari Ginjal Sedunia. Malangnya, tidak ramai yang menyedari tarikh yang menjadi sebahagian kempen kesedaran peri pentingnya organ utama itu kecuali individu itu adalah penghidap atau mempunyai rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal atau buah pinggang berkenaan.

Namun berbanding penyakit kronik lain, hakikatnya masih ada harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.

Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.

Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah jantung.

Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’

Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari menaiki tangga.

Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh kekurangan dialisis.
Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung.

“Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang tinggi sukar didapati di negara membangun.

Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional, ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water) berkualiti tinggi.

Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas jantung.

Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah jantung.

“Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan.

“Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar. Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya.

Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di hospital.

“Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya.

Masih tunggu derma buah pinggang

REMAJA comel, Chin Xian Tong, 14, terpaksa akur dengan nasib yang tersurat baginya sejak disahkan mengidap masalah kegagalan ginjal dan jantung beberapa tahun lalu.

Bukan saja tidak dapat menjalani kehidupan normal yang aktif seperti remaja lain, hampir setiap malam dia terpaksa menjadi penginap setia Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Kia Peng, di ibu negara, bagi menjalani rawatan dialisis nokturnal untuk memastikan kelangsungan hidupnya.

Alah bisa tegal biasa, sejak lima bulan lalu, pelajar Sekolah Menengah Puteri Ampang ini akan dihantar bapa, nenek atau kadangkala datang sendiri untuk menjalani rawatan dialisis nokturnal yang bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi keesokan harinya.

“Biasanya sebelum ke hospital saya akan pastikan semua kerja rumah dan tugasan yang perlu disiapkan lebih awal di rumah. Hanya itu saja masa yang ada untuk bermain dengan adik lelaki, bersembang dan meluahkan perasaan dengan anggota keluarga,” katanya yang sebelum ini mendapatkan rawatan di beberapa hospital lain.

Selepas lima bulan mendapat rawatan di situ, anak sulung dua beradik ini mengakui keadaan kesihatannya secara keseluruhan bertambah baik. Malah aktiviti persekolahan juga menjadi lebih teratur berbanding sebelumnya.

“Dulu saya tidak dapat menumpukan perhatian dan sering ketinggalan dalam sukatan pembelajaran kerana sesi rawatan dialisis yang dijalankan tidak menentu dan sering bertembung dengan waktu persekolahan.

“Kini bukan saja waktu persekolahan terurus, malah saya merasa lebih sihat, segar dan berat badan juga semakin bertambah,” jelasnya yang hanya boleh minum 1.5 liter air dan mengelak makan durian, anggur, belimbing dan kentang.

Chin juga berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan guru-guru di sekolah yang sangat memahami keadaan dirinya selain sering mendorongnya agar tidak mudah patah semangat.

“Apa yang perlu saya buat ialah menjaga semua aspek kesihatan, dengan mendisiplinkan diri dan berharap apabila tiba masanya nanti, ada organ yang sesuai supaya saya tidak perlu bergantung kepada mesin dialisis lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi chef profesional satu hari nanti.

Di sebalik harapannya, Chin juga amat optimis apabila enggan menjadikan penyakitnya sebagai halangan meneruskan kehidupan.

“Tidak adil untuk merungut dan menyesali keadaan diri ini. Mungkin ada sebabnya di atas apa yang berlaku. Apa yang penting, sebagai peringatan kepada semua, hargailah kesihatan diri dan organ utama kita,” katanya.

Info: Rawatan haemodialisis waktu malam
  • pesakit perlu menginap di hospital dari jam 10 malam hingga 6 pagi
  • pesakit juga boleh terus membuka sambungan mesin jika mahu ke tandas dan menyambung semula sebaik selesai.
  • pesakit yang punya masalah tidur sebelum ini mengakui tidur lebih nyenyak dan berkualiti selepas menggunakannya.

Oleh: Suzan Ahmad
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment