Wednesday, May 18, 2011

Bertarung dengan godaan syaitan yang hendak menyesatkan ketika hampir mati


Seseorang yang hampir mati, ia akan menempuh bermacam-macam ujian, maka ujian yang amat kritikal dan sulit sekali ialah ujian berhadapan dengan godaan syaitan yang merupakan dirinya dengan bermacam-macam rupa gurunya, ibunya dan ayahnya.

Ketika seseorang itu sedang menghadapi godaan syaitan sama ada ia berjaya Melawan (menentang) atau tergoda, tidak siapa pun yang dapat mengetahui kecuali Allah dan orang yang sedang menghadapi mati sahaja. Kerana, ketika itu Allah cuma membuka hijab dapat melihat perkara-perkara ghaib.

Allah berfirman maksudnya:

“Kami membuka (menyingkap) takbir yang menutup pemandangan kamu selama ini, lalu kamu dapat melihat dengan jelas pada hari itu (hari ketika hampir mati atau ketika nazak.” (Qaaf: 22)

Sebuah kisah diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani daripada Ibnu Umar r.a. katanya: Abdullah Rawahah telah pengsan. Dalam pengsannya ia melihat ada seorang Perempuan datang kepadanya dan berkata; “Wahai penghibur hati, Wahai gunung payung...”. Ketika Perempuan itu membelai dan memuji. Datang seorang Malaikat sambil membawa sebatang besi dan meletakkan besi itu di atas kedua kakinya seraya bertanya; “Benarkah engkau seperti mana yang ucapkan oleh perempuan itu?” Abdullah menjawab; “Tidak!” Sekiranya ia mengata “Ya”, tentu Malaikat memukulnya dengan besi itu. Perempuan itu adalah syaitan yang datang untuk menggoda Abdullah Rawahah.

Satu Riwayat daripada Abdullah anak kepada Imam Ahmad bin Hambal, katanya: “Ketika ayahku Imam Ahmad hampir mati, ia memegang sekeping kain lalu diikatkan pada dagunya. Kerana ketika itu ia telah merasakan bahawa ia telah hampir mati. Aku melihat wajahnya berpeluh. Setelah ia normal lalu ia mengucapkan: “Tidak! Tidak!, jauhkan dariku.“ Ucapkan diucapkan berulang kali. Aku cuba bertanya kepadanya: “Wahai ayah, apakah maksud ucapan itu.” Ia menjawab: “Aku melihat seekor syaitan datang berdiri di hadapanku dan berkata: “Hai Ahmad, cubalah uji aku, tariklah aku kepadamu. Aku menjawab kepada syaitan itu: “Tidak! Jauhkan daripadaku.”

Maka kita perlulah berhati-hati dengan tipu daya syaitan disaat-saat akhir hayat kita. Janganlah kita tertipu dengan pujuk rayuan syaitan. Jalan mengelakkannya, ialah dengan banyak mempelajari dan mendalami serta menghayati ilmu tauhid. Melalui ilmu tauhid kita dapat membezakan kebenaran dari Allah atau tipu daya syaitan. Diriwayatkan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, ketika digoda syaitan yang bersuara, kononnya sebagai kalam Allah, dengan membawa berita bahawa Syeikh Abdul Qadir telah dinaikkan maqamnya di sisi Allah kerana banyak ibadah. Sebagai kurniaan, ia dibebaskan daripada tuntutan syariat.

Apabila Mendengar suara itu, lalu Syeikh Abdul Qadir berfikir dan menimbangkan dengan menggunakan ilmu tauhidnya. Fikir Syeikh Abdul Qadir, mana mungkin Allah berkata-kata dengan kalam yang bersuara dan huruf, ada dahulu dan ada kemudian? Ini tentu makhluk. Lalu syeikh Abdul Qadi beristighfar. Setelah itu, terdengar suara lagi; “Wahai Syeikh Abdul Qadir, selamatlah engkau dari tipu daya aku. Sesungguhnya aku telah menipu ramai ahli ibadah yang sebanding dengan engkau. Mereka tertipu dan mati kufur dan masuk neraka.”

Oleh itu berwaspadalah dengan tipuan syaitan. Kerana syaitan akan menganjur berbuat kebaikan, tetapi kemudiannya dipesongkan niat daripada iklas kerana Allah. Syaitan sentiasa membuka jalan kejahatan supaya kita menjadi riak untuk menghancurkan segala amalan kebaikan.

No comments:

Post a Comment