Wednesday, May 25, 2011

Kanser Payudara


Apa itu kanser Payudara?

Kanser payudara marupakan kanser yang paling tinggi kejadiannya dan penyebab utama kematian di kalangan wanita Malaysia. Kanser payudara berpunca dari sel- sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal. Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru- paru dan hati.

Apa Menyebabkan Kanser Payudara?

Penyebab sebenar kanser payudara tidak di ketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun ke atas adalah berisiko menghadapi kanser payudara. Faktor- faktor berikut mungkin menambahkan risiko wanita menghidap kanser payudara:
  • Usia yang meningkat.
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.
  • Telah mendapat kanser pada satu payudara.
  • Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur melebihi 50 tahun.
  • Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.
  • Mengambil jenis makanan yang mengandungi banyak lemak haiwan.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Mencegah Kanser Payudara?

Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah satu kanser yang paling mudah dikesan.

Pegesanan boleh dilakukan dengan Pemeriksaan Sendiri Payudara. Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan sepanjang hayat mereka. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun mereka perlu juga mendapat Pemeriksaan Payudara oleh seorang doktor atau kakitangan perubatan yang lain setiap tahun.

Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seorang wanita mengesan payudara pada peringkat yang awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.

Bila Mesti Melakukan PSP?

Anda mesti melakukannya setiap bulan. Jika anda masih datang haid, PSP mestilah dilakukan di antara hari ke 7 hingga ke 10 selepas bermulanya haid anda. Sekiranya jangka masa haid anda tidak teratur atau anda sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Pilih hari yang mudah diingati, seperti hari pertama atau terakhir pada bulan tersebut.

Bagaimana Melakukan PSP?

Ia boleh dilakukan dengan 2 cara iaitu, melihat perubahan di hadapan cermin dan mengesan perubahan dengan cara berbaring.

1. Melihat Perubahan Di Hadapan Cermin: Lihat pada saiz, bentuk dan keseimbangan bentuk payudara (symmetry) serta paras kedua- dua puting payudara.

Kedudukan 1:
Tanggalkan pakaian anda pada paras pinggang, dan lihat diri anda di hadapan cermin.

Kedudukan 2: Angkat kedua- dua tangan ke atas kepala anda. Periksa payudara anda dari berbagai sudut.

Kedudukan 3: Berdiri tegak di hadapan cermin dengan tangan anda di sisi. Pusing ke kiri dan ke kanan untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara

Kedudukan 4: Tegangkan otot- otot bahagian dada anda dengan mencekak pinggang dan menolak ke bawah.

Tanda- Tanda Amaran Yang Perlu Diperhatikan Semasa Pemeriksaan.
  • Benjolan di payudara atau ketiak
  • Perubahan bentuk dan saiz payudara yang luar biasa.
  • Kerutan atau lekuk yang luar biasa pada payudara.
  • Puting payudara tertarik ke dalam.
  • Perdarahan atau lelehan luar biasa dari puting payudara
2. Mengesan Perubahan Dengan Cara Berbaring

Langkah 1: Persediaan - Mulakan dengan PAYUDARA KANAN. Baring mengiring ke kiri dengan membengkokkan kedua- dua lutut anda. Letakkan bantal atau tuala mandi yang telah dilipat di bawah bahu sebelah kanan untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa.

Kemudian letakkan tangan kanan anda di bawah kepala.Gunakan tangan kiri anda untuk memeriksa payudara kanan anda.Gunakan tapak jari- jari anda untuk memeriksa sebarang BENJOLAN atau PENEBALAN. Periksa payudara anda dengan menggunakan kaedah- urutan menegak (Vertical Strip) dan Kaedah pusingan (Circular).

Langkah 2: Pemeriksaan Payudara Kaedah Urutan Menegak - Periksa seluruh kawasan payudara dalam corak urutan menegak, dari tulang selangka di bahagian atas ke garis- kutang (bra- line) di bahagian bawah; dan dari garis- tengah di bahagian bawah ketiak anda. Menggunakan tangan kiri, mulakan urutan pertama di ketiak anda. Buat pusingan ringan dan tekan kuat di tempat ini untuk merasakan sebarang benjolan atau penebalan.gerakkan tangan anda perlahan- lahan ke bawah ke arah garis- kutang menggunakan pusingan ringan dan tekan kuat di setiap tempat. Di bahagian bawah garis- kutang, bergerak lebih kurang dua sentimeter ke kiri dan terus ke arah atas menuju ke tulang selangka anda dengan melakukan pusingan dan tekanan. Bergeraklah ke atas dan ke bawah mengikut urutan dan liputi seluruh kawasan yang ditunjukkan.

Langkah 3: Pemeriksaan Payudara Kaedah Pusingan - Bermula di bahagian atas payudara anda, buat pusingan yang besar. Bergeraklah sekeliling payudara anda dengan memerhatikan sebarang benjolan atau penebalan yang luar biasa. Buat sekurang- kurangnya tiga pusingan kecil sehingga anda sampai ke puting payudara. Lakukan ini sebanyak dua kali, sekali dengan tekanan ringan dan sekali dengan tekanan kuat. Jangan lupa periksa bahagian bawah areola (kawasan hitam).

Langkah 4: Pemeriksaan Lelehan Di Puting Payudara - Menggunakan kedua- dua belah tangan, tekan payudara anda untuk melihat samaada terdapat sebarang lelehan luar biasa dari puting payudara.

Langkah 5: Memeriksa Ketiak Anda - Jatuhkan tangan kanan anda di sisi dan rasa ketiak anda dengan teliti untuk mengesan sebarang benjolan.

PEMERIKSAAN PAYUDARA KIRI

Mula sekali lagi dengan langkah 1 hingga ke langkah 5 untuk PAYUDARA KIRI dengan cara yang sama menggunakan tangan kanan.

Adakah Semua Benjolan Dalam Payudara Menandakan Kanser?

9 daripada 10 benjolan yang terdapat di dalam payudara bukanlah kanser. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua benjolan dalam payudara, dan perlu berjumpa dengan doktor anda dengan segera.

RAYUAN KEPADA SEMUA WANITA
  • Cegah Kanser Payudara dengan melakukan PSP setiap bulan
  • Jadikan PSP sebahagian dari cara hidup anda.
  • Jika anda merasa sebarang benjolan atau perubahan luar biasa di payudara anda, sila jumpa Doktor anda segera.
INGAT! Kanser payudara boleh disembuhkan jika dikesan awal dan dirawat secepat mungkin.

Sumber: www.moh.gov.my

No comments:

Post a Comment