Tuesday, May 31, 2011

Isteri Boleh ‘Rompak’ Harta Suami


SUATU malam – pada sesi pengajian antara maghrib dan isyak di sebuah masjid berhampiran rumah penulis - ada jemaah terkejut apabila ustaz yang mengajar memberitahu isteri boleh ‘merompak’ harta suami. Mungkin mereka terfikir macam-macam, bagaimana dan apa yang boleh ‘dirompak’ oleh seorang isteri.

Ustaz yang mensyarahkan bab berkaitan tanggungjawab suami, menjelaskan antara kewajipan suami terhadap isterinya adalah memberi nafkah termasuklah keperluan asasi seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.

“Jika si suami gagal menyediakan keperluan asasi ini, tidak menjadi kesalahan kepada isteri untuk mendapatkan haknya itu walaupun melakukan tindakan secara zahir dilihat tidak bermoral seperti mencuri wang suami,” katanya. Malah katanya, si isteri boleh ‘merompak’ bagi mendapatkan wang sara hidup daripada suami yang kedekut dan tidak mahu belajar apatah lagi mengerti hukum-hakam agama.

Sebenarnya syarahan mengenai bolehnya si isteri ‘mencuri’ harta suami sudah beberapa kali saya dengar. Seorang ustaz dalam kuliahnya yang saya hadiri tidak lama dulu, berkata si isteri boleh menyeluk wang yang disimpan dalam poket si suami yang digantung di rumah jika ternyata si suami tidak memberikan nafkah hidup kepadanya.

Penulis Syahidah daripada voa-islam.com (berpangkalan di Jakarta) merakamkan: “Bayangkan saja ketika seorang isteri harus rela menjadi pencuri di rumahnya sendiri, Mencuri yang seharusnya menjadi miliknya sendiri, daripada orang yang dia abdikan hidupnya dengan ikhlas dan ringan hati, namun nyata tidak memberikan haknya. Masya-Allah... bahkan wang yang dicurinya bukanlah untuk kesenangan isteri melainkan untuk memenuhi perut anak-anaknya yang lapar. Lalu...di manakah letak keteladanan suami sebagai ayah sekali gus pemimpin keluarga?

“Pernahkan anda sejenak membayangkan ketika anda tidak tahu untuk apa dan untuk siapa anda bekerja. Ketika kekayaan dan kelimpahan rezeki anda sudah di tangan, namun setelah habis dibelanjakan, kebahagiaan dan kepuasan anda pun akan selesai sampai di situ. Lahiriah anda akan berkata puas, namun batin anda akan tetap kosong kerana yang anda rasakan adalah tetap...sendiri. Maka, sebenarnyalah kebahagiaan itu adalah daripada isteri dan anak- anak anda. Merekalah harta yang sesungguhnya yang anda miliki dan tidak akan pernah tergantikan dan atau terbeli dengan apapun. Kedermawanan anda terhadap rezeki dan material yang anda miliki itulah yang akhirnya kembali membahagiakan anda.

“Subhanallah, ternyata memberi menumbuhkan keajaiban bagi sang pemberi dan penerimanya.Ketika anda sampai di rumah, isterilah yang menyambut dan menyiapkan keperluan anda. Anak- anak memberikan keceriaan kepada anda sehingga mengalihkan anda sejenak daripada kepenatan dunia kerja dan mengajak berfantasi dalam kelucuan dunia mereka. Dan kesemua itu tentu saja lebih berharga daripada segala material yang anda kejar.

“Apakah anda masih ingat satu hal bahawa harta anda tidak menemani anda saat di kubur nanti. Namun kebahagiaan dan kebanggan anak- anak anda atas ketokohan seorang bapa mereka akan selalu terkenang. Anak- anak anda dengan suka rela dan ikhlas hati mendoakan anda supaya diampuni dan ditempatkan di tempat mulia di sisi Allah, dan... itulah yang akan abadi untuk anda. Ketika seorang suami mengikhlaskan bahagian rezeki yang diperjuangkannya untuk keluarga, maka saksikanlah bahawa kebanggan sebagai seorang idola pahlawan keluarga akan selalu disematkan untuk anda.Walaupun anda masih atau telah tiada di dunia ini.”

Demikianlah betapa hebatnya digambarkan seorang bapa yang sanggup berkorban bagi menyediakan keperluan anak isterinya. Namun pada hari ini apabila hampir semua pasangan suami isteri mempunyai karier masing-masing semakin ramai suami mengabaikan kewajipan menyediakan nafkah asasi ini. Malah ada yang berkongsi belanja bagi memenuhi keperluan asasi seperti makanan dan penyediaan rumah (sama ada sewa atau pembelian)

Menurut ustaz, pokoknya suami wajib menyediakan kemudahan asasi itu, bukan isteri. Namun jika si isteri rela membantu, hal itu tidak menjadi masalah. Namun perlu diingatkan kepada suami-suami, menyediakan nafkah adalah tanggungjawab sepenuhnya oleh suami.

Ustaz juga mengingatkan dalam bab nafkah hidup ini ada lagi satu lagi tanggungjawab yana sering diabaikan oleh hampir semua suami iaitu memberi nafkah khas untuk si isteri (wang belanja untuk diri isteri). Kebanyakan suami berpendapat wang nafkah sara hidup asas sudah memadai, jadi tidak langsung memberi wang untuk kegunaan peribadi isteri lebih-lebih lagi isteri bekerja dan memperolehi pendapatan lumayan malah ada yang lebih daripada gaji suami.

Menurut ustaz walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri, tetap menjadi kewajipan kepada suami untuk melunaskan bayaran nafkah peribadinya. Beliau mengingatkan: “Di dunia kita boleh lepas, kalau di akhirat nanti isteri kita tuntut wang nafkah itu, bagaimana kita mahu membayarnya kerana ketika itu dinar dan dirham tidak laku lagi?”

Oleh: Lanh
Sumber: http://lanh14.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment