Thursday, May 5, 2011

Pintar Dan Bijak Bestari


Anak-anak yang diasuh dengan baik sejak kecil cepat belajar dan memahami apa yang berlaku di sekelilingnya. Mereka boleh menjadi kanak-kanak yang pintar dan bijak bestari.

Jangan terkejut apabila anak anda menyatakan atau bertanyakan sesuatu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran anda. Otak kanakkanak bertindak seperti span yang membantu mereka menyerap segala yang dipelajari. Sebagai ibu bapa, tugas kita ialah untuk merangsang minda anak-anak kita dan memberi peluang kepada mereka untuk membina asas yang kukuh sebagai persediaan untuk menempuh alam persekolahan dan zaman tumbesaran seterusnya.

Tempoh pembangunan mental yang paling intensif dan sensitif dalam zaman kanak-kanak ialah dari peringkat bayi hingga mencapai usia 10 tahun. Pembangunan mental membabitkan dua matlamat utama. Pertama, untuk memahami simbol (seperti warna, gambar, huruf abjad dan nombor) dan kedua, untuk memahami jumlah (seperti banyak, sedikit dan sebagainya). Pengetahuan asas ini akan membolehkan mereka menimba kemahiran yang lebih rumit seperti bertutur, membaca, mengira, melukis dan menghargai muzik.

Segala yang dilihat, didengar dan dilakukan membawa pengajaran kepada kanak-kanak. Ini termasuk juga perkara kecil seperti memasukkan mainan ke dalam mulut atau menyepahkan mainan di merata tempat. Peranan kita dalam proses pembelajaran mereka akan meningkat apabila mereka membesar.

Kemahiran bercakap dan menguasai bahasa dengan baik sangat penting untuk berkomunikasi dengan orang lain. Ia juga merupakan sebahagian daripada kemahiran yang dapat membantu mencegah salah laku apabila mereka dewasa.

Proses membina kemahiran bertutur dan menguasai bahasa seharusnya dimulakan dari usia sembilan bulan hingga anak-anak mencapai usia 7 tahun. Selepas itu, proses pembelajaran bahasa menjadi semakin rumit. Jadi, pastikan anda sentiasa berbual mesra dengan anak-anak anda walaupun mereka mungkin belum dapat memahami sepenuhnya apa yang anda perkatakan. Anda boleh bercerita, menyanyi lagu kanakkanak dan berpantun seloka sambil menyelitkan unsur-unsur pendidikan. Sebagai contoh, senikata lagu popular kanak-kanak ‘Pok Amai-Amai’ — yang berbunyi “Pok amai-amai, belalang kupu-kupu; tepuk ramai-ramai, nanti malam upah susu; susu lemak manis, santan kepala muda; adik jangan nangis, emak banyak kerja” — mengajar anak-anak tentang pantun dua kerat dan nasihat supaya adik jangan nangis sebab ibu perlu menguruskan banyak kerja rumah.

Menyanyi sambil bertepuk tangan melatih anak-anak kecil menghargai rentak muzik dan menguasai bahasa dengan baik. Kita boleh melatih anak-anak yang lebih tua untuk mengulangi cerita, nyanyian atau pantun kerana cara ini dapat membantu membina kemahiran mendengar dan menguatkan daya ingatan mereka.

Dengan menggunakan alat bantuan membaca yang sesuai (seperti buku), kita membantu anakanak kita memahami perkataan bertulis yang juga melambangkan bahasa. Kita boleh mengajar anak-anak kita membaca dengan mengenali huruf abjad dan bunyinya, mengeja nama dan mengenali beberapa nombor dalam bentuk tulisan.

Kegiatan matematik boleh membantu anak-anak kita memahami bahawa nombor melambangkan hitungan objek, dan mengajar mereka mengira dan memahami konsep sedikit, banyak, kurang, lebih atau sama.

Melukis adalah salah satu cara yang paling menyeronokkan untuk meniru objek dan menggambarkan idea. Dengan menconteng kertas menggunakan pensil warna, mereka mula mencuba warna, bentuk dan tekstur. Lama kelamaan, mereka akan menghargai kegiatan seni lukis dan menggunakan pelbagai bahan untuk mewujudkan bentuk-bentuk yang berlainan.

Selain kegiatan seni lukis, muzik juga dapat membantu pembangunan kanak-kanak secara keseluruhan. Dengan menyanyi, bermain dan bergerak mengikut rentak, kita membantu mereka menghargai muzik.

BELAJAR SECARA BERPERINGKAT

Pepatah ‘lain padang, lain belalang; lain orang, lain ragam’ menggambarkan hakikat bahawa kanak-kanak mempunyai keupayaan dan minat yang berlainan. Namun, pertumbuhan mental mereka berlaku secara berperingkat.

Menjelang usia 2 tahun, kita akan mendapati anak-anak kita berlagak seperti ‘pembantu kanan’. Mereka berminat untuk melibatkan diri dalam semua kerja rumah yang kita lakukan, kerana mereka menyangka semua yang kita lakukan adalah permainan. Mereka mahu menolong kita mengemas mainan, menyapu atau mencuci pinggan mangkuk sambil bermain air. Pujian patut diberikan setiap kali mereka melakukan kerja dengan sempurna.

Rumah boleh dijadikan gedung ilmu untuk anakanak pra-sekolah. Peluang pembelajaran terdapat dalam setiap aspek kehidupan di rumah. Sambil melipat kain kita boleh mengajar anak kita mengenali warna, jenis pakaian seperti seluar, baju, kain, stokin, sapu tangan dan sebagainya. Sambil menguruskan kerja-kerja rumah kita boleh menunjukkan pelbagai kegunaan sesuatu peralatan. Sebagai contoh, selain untuk makan, sudu boleh digunakan untuk menyeduk gula, membancuh minuman, mengumpil penutup tin susu dan sebagainya.

Dalam usia 3 tahun, anak-anak bertukar menjadi seperti ‘rama-rama’ yang gemar bercampur-gaul dan cuba membuat kawan dengan orang dewasa dan kanak-kanak sebaya. Mereka sudah boleh membuat ayat menggunakan tiga atau empat patah perkataan, dan lebih petah bercakap mengenai banyak perkara.

Oleh kerana mereka sudah pandai berinteraksi dengan kita, perbualan dengan mereka menjadi lebih bermakna. Masa yang diluangkan bersama mereka boleh kita gunakan untuk membaca buku cerita, menyanyi dan menguji daya ingatan mereka dengan meminta mereka menyebut perkataan-perkataan dalam pantun atau nyanyian yang sengaja tidak disebutkan. Pada masa-masa yang sesuai, kita boleh membawa mereka berjalan-jalan di taman untuk melihat tumbuhtumbuhan, serangga, ranting kayu dan batu-batu yang bertaburan di atas tanah. Sambil berjalanjalan, kita boleh bercerita mengenai segala yang kita lihat dan menjawab pelbagai pertanyaan yang mungkin diajukan oleh anakanak kita.

Menjelang hari jadi tahun keempat, anda sudah boleh melihat semua bakat yang terpendam dalam diri anak-anak anda. Daripada ‘ramarama’, mereka bertukar menjadi ‘penyiasat’. Bersedialah untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang bukan sahaja remeh tetapi ada kalanya meleret-leret. “Papa pergi mana?” Setelah diberitahu papa pergi kerja, mereka menyambung pertanyaan “Kenapa papa pergi kerja?” Kalau dijawab untuk mencari duit, mereka akan sambung “Kenapa nak cari duit?” Pertanyaan yang bertali-arus ini menguji kesabaran kita.

Tetapi di peringkat ini juga kita dapat melihat kemajuan yang membanggakan. Mereka bukan sahaja mengetahui nama penuh mereka, tetapi juga nama semua ahli keluarga, dan ramai saudara mara lain.

Lebih penting lagi, mereka dapat menguasai keadaan. Kita boleh membiarkan mereka membuat pilihan (seperti jenis buku dan rancangan TV yang digemari), serta menentukan segala kegiatan seni dan kraf yang diminati. Kita juga boleh berkongsi perasaan dengan mereka.

Sebaik sahaja memasuki alam pra-sekolah, mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran mainan yang lebih rumit, membaca buku ejaan dan menerima idea-idea yang lebih mencabar daya pemikiran mereka. Kebanyakan kanak-kanak dalam usia prasekolah boleh bercakap dengan jelas, kecuali perkataan-perkataan yang sukar disebut bunyinya. Ada juga yang pandai mengarang cerita dan melawak.

Ragam dan keletahnya pasti mengkagumkan anda. Begitu banyak yang dipelajari dan begitu banyak kemajuan yang dicapai dalam masa yang begitu singkat. Walaupun anak anda sudah menjadi seorang ‘pakar’, dia masih memerlukan bimbingan dan bantuan anda. Dia mahu anda memahami perasaannya dan mendengar ceritanya, dan pada masa yang sama dia mahu bermain dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Oleh kerana dia baru belajar mengenal erti buruk dan baik, anda perlu bersabar menghadapi sifat ‘loyar buruk’ anak anda.

Menjelang kemasukannya ke sekolah rendah, dia sudah boleh berdikari. Fikirannya lebih matang. Dia mahu anda berkongsi idea, perasaan dan pengalamannya, mendengar ceritanya mengenai apa dilakukan dan dipelajari di sekolah, mengenai kawan-kawan baru dan sebagainya.

Setelah menjadikan diri kita sebahagian daripada proses tumbesaran mereka, kini tibalah masanya untuk mereka menjadikan kita sebahagian daripada kehidupan mereka. Inilah ganjaran yang paling membahagiakan kita sebagai ibu bapa yang membesarkan mereka.

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

No comments:

Post a Comment