Tuesday, May 31, 2011

Politik Ikut Panduan Al-Quran Bina Perpaduan


PERPADUAN dalam kalangan ummah ialah untuk menjayakan agenda al-Quran iaitu mendukung nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang sesama manusia. Perpaduan ummah bukan saja menguntungkan masyarakat Islam, ia juga memberi kesan positif kepada semua lapisan rakyat.

Al-Quran diutuskan untuk manusia dan pelaksanaan Islam oleh umatnya dalam menyusun kehidupan bermasyarakat sehingga wujud masyarakat berperadaban tinggi akan menjadi penentu kepada kejayaan serta kemuliaan negara.

Dalam suasana semasa, tamadun masyarakat yang mendukung ideologi liberal demokrasi Barat berhadapan pelbagai masalah kemanusiaan. Nilai kemanusiaan seperti kebenaran, keadilan dan kasih sayang sudah terkeluar daripada perbendaharaan kehidupan mereka.

Natijahnya, masyarakat mereka sedang dalam proses kehancuran. Kemajuan ekonomi yang menjadi tonggak kepada tamadun Barat kini meleset. Beban hutang individu dan negara berada pada peringkat membimbangkan.

Kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Amerika Syarikat (AS) turut berada pada jumlah menakutkan. Contohnya pada 2009, ada 43.6 juta (14.3 peratus) penduduk AS berada di bawah paras kemiskinan.

Begitu juga dengan kadar pengangguran di AS (9.4 peratus pada Disember 2010), United Kingdom (7.9 peratus pada November 2010) dan Jerman (6.7 peratus pada September 2010).

Angka itu menunjukkan kedudukan ekonomi di AS dan Eropah berada di tahap tidak baik. Bahkan masa depan ekonomi sangat tidak menentu. Harga bahan api akan meningkat, begitu juga harga makanan.
Jika gelojoh dalam kehidupan terus menerus meningkat akibat fahaman hedonisme, masa depan masyarakat dunia akan bertambah runcing. Dalam suasana sedemikian cabaran kepada masa depan negara pada masa hadapan sangat besar.

Justeru, kita perlu menumpukan perhatian kepada membina kekuatan dalam pelbagai aspek, supaya cabaran ekonomi, sosial, budaya dan pertahanan akan dapat ditempuhi dengan penuh persediaan.

Kita tidak boleh berpandangan sempit. Masyarakat kita, khususnya masyarakat Islam terlalu asyik atau leka dengan isu politik yang memecah-belah.

Berpolitik ialah untuk berlumba-lumba mengemukakan pendekatan terbaik membina kemajuan masyarakat dan negara. Bagi yang diberi kuasa, mereka perlu berusaha membangun masyarakat dan negara.

Kita tidak seharusnya berpecah-belah di atas isu peribadi dan kerakusan untuk berkuasa. Yang lebih penting ialah berusaha mewujudkan suasana sesuai untuk asas membina kekuatan masyarakat dan negara mengikut panduan al-Quran.

Usaha ke arah memantapkan perpaduan ummah hendaklah menjadi agenda utama masyarakat Islam di Malaysia. Perpecahan ummah akan melemahkan usaha pembangunan masyarakat dan negara.

Dengan memiliki jiwa besar dan mulia, sudah tiba masanya semua pemimpin ummah berusaha menghayati nilai anjuran al-Quran untuk menegak nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Kejahilan kepada tujuan al-Quran diturunkan dan perutusan Nabi Muhammad SAW memesongkan kita daripada fahaman Islam sebenar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik tidak menyukainya.” (Surah As-Saff, ayat 9).

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment