Wednesday, May 18, 2011
Kencing Manis Jejas Keupayaan
KENCING manis adalah penyakit digeruni, apatah lagi ia satu rantaian penyakit kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Bagi lelaki pula, mereka berdepan risiko masalah ereksi dan kemandulan jika mengalaminya.
Sesiapa saja berisiko menghidap sakit ini tanpa mengira peringkat umur. Jika ia berlaku ketika peringkat kanak-kanak, individu itu dikatakan penghidap penyakit kencing manis juvenil.
Mereka akan diberi suntikan hormon insulin sepanjang hayat kerana sel yang memproses insulin dalam organ pankreas tidak berfungsi lagi.
Namun bagi individu menghidap kencing manis selepas baligh (dewasa), ia berlaku akibat badan tidak dapat menggunakan insulin atau hormon insulin berkurangan serta tidak dapat menampung metabolisme karbohidrat.
Dengan tahap glukosa tinggi dan tidak stabil itu, keseluruhan fungsi sistem tubuh badan seperti perjalanan darah, fungsi dan tindak balas urat saraf tergendala.
Kedua-dua fungsi ini penting dan jika ia terganggu, fungsi tubuh badan turut terganggu seperti kegagalan lelaki mengekalkan atau mencapai ereksi ketika terangsang. Individu itu juga mungkin gagal mencapai atau mengawal ejakulasi dan cepat klimaks.
Sebilangan besar pesakit kencing manis yang mematuhi nasihat doktor dan makan ubat untuk mengawal tahap glukosa dapat mengekalkan kemampuan melakukan persetubuhan.
Oleh kerana penyakit kencing manis hanya boleh dikawal dan tiada penawarnya, lelaki yang tidak peka dengan nasihat dan rawatan doktor akan mengalami masalah kemampuan seksualnya.
Individu itu akan sukar mencapai ereksi mencukupi untuk melakukan persetubuhan atau ereksinya tidak kekal serta tidak sempat melakukan penembusan faraj atau mati separuh jalan.
Kesudahannya, individu itu mengalami mati pucuk tetap. Ada juga penghidap kencing manis tidak dapat mencapai ejakulasi walaupun dia rasa sudah mencapai orgasma.
Selain itu, ada individu boleh mencapai ejakulasi tapi terasa macam air maninya masuk ke pundi kencing (kencing selepas klimaks dan mendapati air kencingnya keruh atau mengandungi keladak putih).
Jangan mudah percaya cakap yang kononnya makan ubat kencing manis menyebabkan mati pucuk. Ia tidak benar. Semua pesakit kencing manis lambat-laun akan mengalami mati pucuk atau kegagalan ejakulasi.
Walaupun ada ubat boleh melancarkan aliran darah di zakar dan dilihat dapat mengatasi masalah itu, ia tetap bermasalah jika tidak mengawal penyakit itu.
Yang penting, ikut nasihat dan rawatan doktor. Jika anda mula mengalami masalah itu, segera berjumpa doktor pakar.
Jangan pula mendiamkan diri atau dapat ubat mengarut tanpa nasihat doktor, termasuk mendapatkan rawatan daripada tabib atau tukang urut. Nanti padah
Oleh: Dr. Ismail Thamby
Sumber: http://www.hmetro.com.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment