Wednesday, February 9, 2011

Allah Sentiasa Bersama Kita


walau apa pun kerja yang kita lakukan yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat dan bersama kita.

Mukadimah
 
Surah al-Dhuha termasuk dalam surah Makiyyah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 11 ayat dan diturunkan selepas surah al-Fajr.

Hubungan surah ini dengan surah al-Lail, dalam surah al-Lail disebutkan tentang (Dan orang yang paling takwa akan dijauhkan daripadanya).

Disebabkan pemimpin daripada orang yang paling bertakwa itu adalah Rasulullah SAW, maka Allah SWT menyempurnakan penjelasan tentang perkara ini dengan menyebut pelbagai kenikmatan-Nya yang telah dianugerahkan kepadanya.

Firman Allah SWT: Demi waktu dhuha.

Ibn Jauzi berkata: Ulama menyebut empat pendapat berkenaan waktu dhuha.
  • Terangnya siang hari seperti pendapat Mujahid.
  • Awal hari seperti kata Qatadah.
  • Awal masa daripada siang hari apabila matahari naik. Inilah pendapat al-Suddi dan Muqatil.
  • Siang hari keseluruhannya. Ini pendapat al-Farra’.
Firman Allah SWT: Dan malam apabila ia sunyi-sepi.

Berkenaan dengan maksud ayat ini ada beberapa pendapat:
  • Apabila gelap.
  • Apabila sudah pergi. Yang kedua-duanya diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a.
  • Apabila datang seperti pendapat Sa’id bin Jubair.
  • Apabila tenang seperti pendapat ‘Ata, Ikrimah dan Ibn Zaid.
Firman Allah SWT: (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Syed Qutub berkata: Allah tidak sekali-kali membiar dan membuangmu sebagaimana dikatakan oleh kaum Musyrikin yang mahu menyakiti hatimu dan merungsingkan fikiranmu.

Sebabnya, Dia adalah Tuhanmu dan engkau adalah hamba-Nya yang dihubungkan kepada-Nya dan disandarkan kepada Rububiah-Nya dan Dialah Penjaga, Pelindung dan Penaungmu.

Limpah kurnia-Nya kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan unutkmu di akhirat adalah lebih baik dari limpah kurnia-Nya yang diberikan kepadamu di dunia.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Al-Maraghi berkata: Keadaanmu pada permulaan masa hidup barumu sekarang lebih baik daripada masa-masa lalu.

Setiap hari engkau akan bertambah mulia. Setiap hari martabatmu akan semakin tinggi jika dibanding dengan sebelumnya.

Setiap saat Aku akan memberimu kehormatan demi kehormatan, ketinggian demi ketinggian.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda berpuas hati.

Ibn Kathir berkata: Yakni, di alam akhirat kelak, Dia akan memberikan kurnia kepada beliau sehingga dia meredainya untuk memberi syafaat kepada umatnya dan menerima apa yang telah disediakan untuk beliau berupa kemuliaan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment