Monday, February 14, 2011

Perawi Wanita Yang Cerdas


WAJAHNYA cantik dan menawan. Semua orang yang pernah melihat wajahnya, pasti memuji kecantikannya. Dia juga memiliki akal yang cerdas. Dia melaporkan beberapa hadis dari ibunda Aisyah dan hadis-hadis yang dilapornya dapat diterima oleh pakar hadis bagi dijadikan bukti.

Itulah Aisyah binti Talhah, puteri kepada sahabat nabi yang bernama Talhah bin Ubaidillah. Talhah bin Ubaidillah merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah.

Suatu hari, Aisyah bermimpi bertemu dengan ayahnya. Ayahnya berkata kepadanya: “Wahai puteriku, keluarkanlah aku dari air yang menyakitiku ini. Rembesan air ini benar-benar menyeksaku”.

Apabila tersedar dari tidur, kata-kata ayahnya itu kembali terngiang-ngiang di telinganya.

“Ayah sudah meninggal dunia lebih tiga puluh tahun lamanya. Apakah yang terjadi kepada ayah sebenarnya,” Aisyah tertanya-tanya sendiri.

“Aku mesti menyelidik apakah yang menimpa ayah,” Aisyah menanam tekad di hatinya.

Aisyah segera mengumpulkan saudara-saudaranya, lalu mereka bersama-sama pergi ke kuburan ayah mereka. Mereka menggali kubur itu dan terkejut melihat keadaan jasad ayah mereka yang sudah bertukar warna menjadi hijau seperti sayur.

Perkara itu berlaku kerana ada air yang mengalir di dalam kubur itu, sehingga menyebabkan jasad itu sentiasa basah.

Jasad sahabat nabi yang mulia itu segera dikeluarkan. Jasad itu kemudian dibalut dengan kain, lalu dipindahkan ke atas sebidang tanah di Basrah.

Aisyah binti Talhah dibesarkan dalam lingkungan keluarga Rasulullah, khususnya dalam bimbingan Ummul Mukminin Ibunda Aisyah. Ibunya, Ummu Kalsum binti Abu Bakar merupakan adik-beradik ibunda Aisyah yang berlainan ibu.

Oleh kerana itulah, Aisyah begitu rapat dengan ibunda Aisyah yang mendidiknya sejak kecil dengan didikan iman dan adab.

Dengan didikan itu, Aisyah membesar menjadi wanita yang tinggi ilmunya, kehormatannya dan kejujurannya. Hadis-hadis yang dilaporkannya diterima oleh pakar hadis dan dijadikan sandaran hukum.

Aisyah banyak berzikir kepada Allah sehingga jiwanya menjadi bersih dan tenang. Tidak hairanlah sekiranya beliau yang dipilih bagi melaksanakan tugas bagi memindahkan kuburan ayahandanya ke tempat yang lebih selamat.

Aisyah begitu cantik dan pintar menyebabkan ramai lelaki ingin hidup bersamanya. Selepas kematian suaminya, Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar, Aisyah dipinang oleh pemimpin Iraq yang bernama Mus’ab bin Zubair.

Mus’ab adalah perwira yang gagah berani dan memiliki wajah yang tampan. Mus’ab begitu memanjakan Aisyah dan memberinya kemewahan hidup.

Perkara itu menyebabkan Aisyah kadangkala manja dan tidak mempedulikan Mus’ab. Mus’ab tidak selesa dengan sikap Aisyah itu. Dia segera berbincang dengan pembantunya bagi menyedarkan Aisyah tentang sikapnya itu.

“Bolehkah engkau membantuku bagi menyedarkan Aisyah dari sikap manjanya,” ujar Mus’ab kepada pembantu peribadinya yang bernama Abdullah.

Abdullah berfikir sebentar, kemudian bersuara. “Bolehkah saya mengusulkan satu cara”.

“Lakukanlah apa sahaja asal dia tidak mengecewakanku lagi. Dia adalah perhiasan dunia yang paling berharga bagiku,” jawab Mus’ab.

“Baiklah, saya akan lakukannya,” kata Abdullah.

Abdullah segera membuat perancangan. Apabila malam tiba, dia pergi ke rumah Aisyah lalu meminta izin masuk. Aisyah hairan lalu bertanya, “Apakah yang engkau inginkan malam-malam begini?”

Aisyah berasa takut apabila melihat Abdullah datang bersama dua orang lelaki bertubuh besar dan berkulit hitam.

Pembantu Aisyah bertanya: “Apa keperluanmu?”

Abdullah menjawab: “Malang bagi tuanmu, Aisyah”.

“Ada apa dengannya,” soal pembantu itu lagi.

“Si penjahat yang gemar memukul orang itu menyuruhku membuat lubang, lalu menguburkan Aisyah di dalamnya hidup-hidup. Aku sudah pun berusaha tidak melakukannya, tetapi dia mengancam akan membunuhku,” kata Abdullah.

Pembantu itu faham bahawa si penjahat yang dimaksudkan oleh Abdullah itu ialah Mus’ab. Dia pun berkata: “Lepaskan aku. Aku akan pergi menemuinya bagi bertanyakan akan hal ini,” kata pembantu itu.

Abdullah menjawab dengan tegas dan nada suara yang tinggi. “Tidak mungkin! Engkau tidak ada kesempatan lagi”. Kemudian dia berkata kepada kedua orang hitam itu dengan nada yang sangat tegas, “Galilah lubang sekarang!”

Mendengar arahan Abdullah yang tegas itu, Aisyah menangis kerana takut. “Abdullah, benarkah engkau hendak membunuhku?”

“Tidak ada pilihan lain lagi. Meskipun aku yakin Allah akan membalasnya sesudah kamu mati, tetapi, dia begitu marah kepadamu,” jawab Abdullah.

“Apakah yang menyebabkan dia marah kepadaku?” soal Aisyah.

Abdullah menjawab: “Engkau sering tidak mengendahkannya, hingga dia menyangka engkau benci padanya”.

Aisyah berkata: “Baiklah. Saya berjanji kepada Allah tidak akan mengulanginya lagi”.

Abdullah berhenti berbicara. Dia seakan-akan berfikir. “Tetapi, aku khuatir dia akan membunuhku”.

Mendengar jawapan Abdullah itu, Aisyah dan pembantu-pembantunya menangis semahu-mahu mereka. Abdullah kemudian berkata: “Aku bersimpati dengan keadaanmu. Beritahulah kepadaku apa yang harus aku katakan kepada Mus’ab”.

Aisyah segera menjawab: “Saya memberi jaminan, saya tidak akan mengulangi perbuatan itu bagi selama-lamanya”.

“Baiklah,” kata Abdullah. Dia mengarahkan dua lelaki hitam itu pergi dari situ.

Abdullah segera berjumpa dengan Mus’ab dan menceritakan perkara yang berlaku. “Aku kurang yakin dengan kata-katanya. Suruhlah dia bersumpah,” kata Mus’ab.

Abdullah bergegas menemui Aisyah, “Mus’ab sudah terpujuk. Jadi bersumpahlah agar engkau tidak akan mengulanginya”.

Aisyah segera bersumpah akan melayan Mus’ab dan berbuat baik kepada Mus’ab sepanjang hayat mereka.

Aisyah akhirnya terkenal dalam sejarah sebagai wanita baik yang indah rupa parasnya, tinggi ilmunya, dihormati, cerdas dan berani menyatakan kebenaran.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment