Thursday, February 24, 2011

Jaminan Ke Syurga

RASULULLAH SAW bersabda, "Jaminlah untukku enam perkara daripadamu, aku jaminkan syurga untukmu.

"Enam perkara itu ialah benar dalam berbicara, tepat janji kepada Allah dan manusia, tunaikan amanah, tutup aurat dan jaga kemaluanmu, tahan matamu daripada yang haram dan memelihara tangan".

Baginda memberikan jaminan itu kepada umatnya jika mereka mampu melaksanakan enam perkara tersebut dalam kehidupan harian.

Perkara pertama, bercakap benar dalam apa juga perkara. Setiap kata yang keluar selalu berorientasi hikmah dan tidak ada yang sia-sia. Seseorang yang benar dalam bertutur kata biasanya memiliki kejernihan hati.

Kedua, menepati janji, baik kepada Allah ataupun manusia. Kepada Allah, sama sekali tidak boleh terdetik untuk mengkhianti-Nya. Apabila kita melafazkan dua kalimah syahadah maka sesungguhnya terikat dengan janji kepada Allah waktu di alam roh.

Perkara ketiga yang ditegaskan oleh baginda adalah menunaikan amanah. Orang yang amanah adalah orang yang diberi rasa aman, iaitu sebagai hasil daripada keimanannya kepada Allah. Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 58 bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil...

Keempat, tutup aurat dan jaga kemaluan. Orang yang menjaga aurat akan terjaga dan meningkat kehormatannya.

Kelima, tahan mata dari perkara yang haram. Pada diri setiap mata ada hak. Dan di antara hak mata adalah menghindarkannya daripada tontonan yang diharamkan.

Al-Quran dalam surah an-Nuur di atas sudah cukup untuk mengingatkan kita supaya menjaga pandangan mata.

Sesungguhnya akan dijaminkan syurga jika seseorang mampu menahan matanya daripada perkara-perkara yang diharamkan.

Keenam, memelihara tangan. Menjaga tangan bererti menempatkan tangan sesuai fungsinya. Dan fungsi tangan di antaranya menolong siapa pun yang memerlukan bantuan.

Oleh itu adalah wajar untuk kita menghayati pesanan Rasulullah SAW ini dalam kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Semua ini tidak sukar dilakukan jika kita mempunyai keimanan yang kukuh serta sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang bertakwa.

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment