KECUALI jika bekas majikannya itu bersedia untuk mengucap syahadah, iaitu menerima Islam, Bilal bin Rabah tidak mempunyai alasan untuk membunuh Umaiyyah bin Khallaf, salah seorang pembesar Quraisy yang sangat memusuhi Islam.
Selain daripada itu Bilal tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali beliau tetap akan membunuh Umaiyyah walau apa pun jua yang menjadi halangannya.
Tidak sahaja kerana ingin membalas dendam kerana mengenangkan dirinya pernah hampir-hampir mati akibat teruk diseksa oleh Umaiyyah sebagai majikan yang begitu marah apabila mendapat tahu secara senyap-senyap Bilal memeluk Islam.
Tetapi sebagaimana yang disebutkan Umaiyyah antara salah seorang pembesar Quraisy yang sangat memusuhi Islam, jadi darahnya adalah halal untuk diperangi dalam Perang Badar ini.
Namun tugas Bilal untuk membunuh bekas tuannya adalah tidak mudah bagai disangka kerana Umaiyyah dihalang untuk dibunuh oleh rakan sepasukan Bilal sendiri, Abdul Rahman bin Auf.
Dalam sebuah kisah pada Perang Badar itu, Abdul Rahman bin Auf dikatakan sedang mengumpul baju-baju besi daripada mayat-mayat anggota tentera Quraisy untuk diserahkan kepada Rasulullah selaku Ketua Panglima Perang.
Ketika beliau berbuat demikian, tiba-tiba Abdul Rahman terserempak dengan Umaiyyah dan anaknya Ali bin Umaiyyah.
Lalu Abdul Rahman bersedia untuk bertempur dengan Umaiyyah kerana mengenangkan pembesar yang kaya raya itu seorang yang sangat anti kepada Islam dan para pengikut agama itu.
Namun rupa-rupanya atas faktor usia yang semakin lanjut dan semangat yang semakin luntur mengenangkan kekalahan semakin memihak kepada tentera Quraisy, Umaiyyah lebih memilih untuk menjadi tawanan perang. Tanpa sebarang syarat!
“Abdul Rahman, apakah kamu tidak mengenali aku, bukankah suatu waktu dahulu kita merupakan sahabat baik,” kata Umaiyyah.
Abdul Rahman tidak menafikan kata-kata Umaiyyah itu bahawa mereka dahulunya adalah sahabat baik dan sama-sama menjalankan perniagaan sehingga masing-masing mengaut untung dan laba berlipat kali ganda.
Tetapi kini semua itu tiada lagi kecuali mereka bermusuh akibat memperjuangkan kepercayaan agama masing-masing.
“Tetapi aku dan anak aku ini lebih rela menyerah diri kepada kamu daripada dibunuh. Jadikanlah kami tawanan perang kamu.
“Sebabnya, baju-baju besi yang kamu kumpulkan itu tidak setanding harganya dengan bayaran tebusan yang bakal kamu terima. Lebih lumayan dan tinggi harganya termasuk beratus-ratus ekor unta buat kamu,” kata Umaiyyah.
Mendengarkan itu Abdul Rahman pun mencampakkan baju-baju besi lalu membawa Umaiyyah dan anaknya kepada Rasulullah sebagai tawanan perang yang bakal memberikan pulangan yang sangat besar kepada Islam.
Adalah lebih berbaloi menuntut tebusan bagi pihak Umaiyyah daripada membunuhnya tanpa mendapat apa-apa di kemudian hari.
Enggan berganjak
Namun perjalanan mereka tersekat apabila terserempak dengan Bilal yang kebetulan sedang meluap-luap untuk mencari dan membunuh Umaiyyah.
Tanpa dapat ditahan-tahan lagi Bilal menyerbu untuk menyerang Umaiyyah yang ketika itu dalam kawalan dan tawanan Abdul Rahman bin Auf.
“Selagi kamu masih hidup, aku tidak akan pernah tenteram. Bersedialah Umaiyyah sudah tiba masanya engkau pula diambil nyawa atas sikap mu yang keji selama ini terhadap aku dan agama yang membebaskan aku dari selama-lamanya menjadi seorang hamba sahaya.
“Kini aku seorang yang merdeka, Umaiyyah dan membiarkan kamu terus hidup bererti Islam tidak akan pernah tenteram dan sentiasa diancam oleh kamu,” tegas Bilal terhadap musuh dan lawannya itu.
Namun serangan Bilal itu dapat dihalang oleh Abdul Rahman dengan Umaiyyah dan anaknya terus berlindung di belakang sahabatnya itu.
“Bilal,” jerit Abdul Rahman.
“Umaiyyah dan anaknya ini sudah menjadi tawanan saya. Mereka tidak boleh diapa-apakan apatah lagi dicederakan selagi mereka berada dalam lindungan aku.
“Sehingga kita menyerahkan mereka kepada Rasulullah, selagi itu kita tidak boleh berbuat apa-apa terhadap Umaiyyah dan anaknya ini,” tegas Abdul Rahman lagi.
Walaupun terkejut dengan tindak balas rakan sepasukannya sendiri namun Bilal enggan berganjak kecuali ingin memenggal kepala Umaiyyah.
“Wahai pembela agama Allah, Abdul Rahman! Lepaskan Umaiyyah itu kepada aku untuk aku membunuhnya. Saya dan seluruh umat Islam tidak akan berasa aman selagi dia masih hidup,” kata Bilal sambil memaksa Abdul Rahman supaya menyerahkan tawanan perangnya itu.
Namun Abdul Rahman tetap enggan.
“Mereka sudah menyerah diri dan menjadi tawanan saya kerana itu saya berhak untuk melindunginya,” kata Abdul Rahman.
“Umaiyyah tidak boleh dimaafkan kerana engkau pun tahu dia terlalu banyak menyakiti Rasulullah dan menyeksa saya tanpa sedikit pun rasa belas kasihan,” kata Bilal dengan sangat marah.
“Kita serahkan sahaja kepada Rasulullah untuk menentukan hukuman yang patut dijatuhkan terhadap Umaiyyah,” kata Abdul Rahman yang tetap mempertahankan Umaiyyah.
“Tidak, saya tetap akan membunuhnya darahnya halal untuk ditumpahkan di medan ini,” tegas Bilal.
Melihatkan Bilal bagaikan sedang mabuk darah Abdul Rahman pun menjerit kepada Umaiyyah supaya merebahkan badannya bagi mengelakkan serangan dari Bilal.
Umaiyyah pun segera merebahkan dirinya ke tanah dan Abdul Rahman sendiri menjatuhkan dirinya ke atas Umaiyyah bagi melindungi Umaiyyah dari diserang oleh Bilal.
Saat itu juga Abdul Rahman meminta Umaiyyah mengucap syahadah sebagai tanda menerima dan memeluk Islam sebagai satu-satunya cara bagi Umaiyyah untuk menyelamatkan diri dari amukan Bilal.
“Lidah aku tidak akan mengucapkan sama seperti apa yang diucapkan oleh Bilal, hamba aku yang sangat hina itu,” kata Umayyah yang tetap berdegil.
“Jika begitu Umaiyyah, demi Allah! Aku tidak boleh melindungi kamu lagi wahai Umaiyyah,” kata Abdul Rahman bin Auf penuh kesal.
Lalu Umaiyyah terus menggagahkan dirinya dan bangun sambil merampas pedang milik Abdul Rahman dan bersedia untuk berlawan dengan bekas hambanya itu.
“Umaiyyah inilah sangat yang paling aku tunggu, iaitu untuk membunuh kamu! Membunuh kamu adalah perkara yang paling ingin ku lakukan supaya aku bebas dan menjadi manusia yang merdeka sepenuhnya!
“Kecuali jika kamu mengucapkan dua kalimah syahadah, pasti itu sahaja alasan untuk aku tidak membunuh kamu,” kata Bilal.
Namun kata-kata Bilal itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada Umaiyyah lalu dia pun terus melibaskan pedang yang terhunus.
Namun berjaya dielakkan oleh Bilal yang lebih muda dan tangkas. Akhirnya Umaiyyah yang sudah tua itu tewas dan berjaya dibunuh oleh bekas hambanya sendiri.
Akhirnya mati seorang lagi musuh ketat Islam!
Bilal sangat gembira kerana hajatnya tercapai juga akhirnya namun tidak, kepada Abdul Rahman bin Auf.
Dia masih berasa duka dengan apa yang berlaku lebih-lebih terlepas peluang untuk mendapatkan tebusan yang lumayan bagi membebaskan Umaiyyah yang kaya raya itu.
Dalam hal ini apabila dirujuk kepada Rasulullah, baginda terpaksa membenarkan tindakan Bilal untuk membunuh Umaiyyah kerana tiada peluang dapat diberikan kepada musuh-musuh yang selama ini begitu menyakiti umat Islam.
Apa gunanya memperoleh tebusan yang tinggi dan lumayan sedangkan musuh Islam tidak akan pernah serik untuk terus memusuhi Rasulullah dan para pengikut baginda!
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment