Thursday, February 17, 2011
Dilema Abu Ubaidah bunuh bapa sendiri
DALAM perang Badar banyak peristiwa yang menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua. Antaranya ia menyaksikan majikan dibunuh oleh hambanya sendiri, seperti yang berlaku terhadap Bilal yang membunuh bekas majikannya, Umayyah bin Khalaf.
Selain itu, terdapat beberapa peristiwa yang melibatkan pembunuhan antara anak beranak (anak membunuh bapa), adik beradik dan saudara mara,
Walaupun mereka mempunyai hubungan darah dan persaudaraan tetapi disebabkan mahu menegakkan Islam, masing-masing terpaksa menghadapi situasi yang tidak ubahnya seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa.
Cinta terhadap Islam mengatasi segala-galanya hatta terpaksa membunuh bapa sendiri.
Antara peristiwa yang membabitkan pembunuhan bapa sendiri ialah bagaimana seorang sahabat baginda, Abu Ubaidah Al Jarrah yang terpaksa membunuh bapanya sendiri, Abdullah Al Jarrah.
Tetapi, ia bukan sesuatu yang disengajakan. Si anak tidak mempunyai pilihan setelah bapanya tetap menolak Islam walaupun puas dipujuk.
Dalam kes Abu Ubaidah, bapanya sendiri yang mencarinya sewaktu perang tersebut kerana Abdullah mahu membunuh anaknya itu.
Ia ekoran Abu Ubaidah dikatakan sanggup membuang keluarga semata-mata untuk memeluk Islam termasuk meninggalkan Mekah dan menjadi pengikut Nabi Muhammad.
Abu Ubaidah adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya yang merupakan seorang saudagar.
Segala harta kekayaan Abdullah diturunkan kepada Abu Ubaidah termasuk memberi modal untuk berniaga.
Tetapi Abdullah sangat kecewa dan memutuskan hubungan dengan Abu Ubaidah apabila anaknya itu memeluk Islam. Malah, Abu Ubaidah turut di seksa selain kekayaannya dirampas.
Dalam keadaan sehelai sepinggan Abu Ubaidah mengadu nasib kepada Rasulullah SAW.
Abdullah bertambah sakit hati apabila anaknya itu turut berhijrah ke Madinah. Sejak itu, Abdullah sentiasa berazam untuk membunuh Abu Ubaidah.
Kemarahan Abdullah terhadap anaknya makin bertambah apabila Abu Jahal sentiasa mengapi-apikannya supaya meneruskan niatnya untuk membunuh Abu Ubaidah.
Jika Abdullah sanggup membunuh anaknya sendiri, maka sebagai ganjaran dia akan dilantik menjadi salah seorang pembesar yang paling terhormat seluruh Tanah Arab.
Abu Ubaidah sendiri menyedari niat bapanya itu. Semasa Perang Badar beliau sentiasa mengelak daripada terserempak atau bertembung dengan bapanya.
Namun atas maklumat tentera Quraisy yang ternampak kelibat Abu Ubaidah, mereka segera memberitahu kedudukan si anak itu kepada Abdullah.
Sebaik mengetahui kedudukan Abu Ubaidah, Abdullah pun segera meluru dan memburu anaknya.
Menyedari tindakan bapanya itu, Abu Ubaidah melarikan diri supaya seboleh-bolehnya beliau tidak mahu berdepan dengan bapanya sendiri.
Tetapi akhirnya Abu Ubaidah tidak boleh melarikan diri lagi. Beliau berjaya dipintas oleh bapanya dan mereka akhirnya berdepan antara satu sama lain.
Lalu dia merayu kepada bapa supaya antara mereka tidak saling berbunuh-bunuhan dan mengakui kebenaran mengenai Islam supaya masing-masing selamat.
Namun Abdullah dengan pedang yang terhunus tidak menghiraukan kata-kata anaknya itu.
"Aku tidak akan tunduk kepada tuhan Muhammad. Aku rela mati daripada menyembah tuhan kamu itu," balas Abdullah.
Abdullah yang hilang pertimbangan terus menghunus pedang untuk memenggal kepala anaknya. Abu Ubaidah tidak membalas dan hanya bertahan daripada serangan dari bapanya itu.
Tetapi tindakan tidak melawan itu membuakkan lagi kemarahan si bapa dan terus menyerang Abu Ubaidah bertubi-tubi.
Akhirnya perkara yang menyayat hati berlaku apabila Abu Ubaidah tanpa ada sebarang pilihan terpaksa membunuh bapa yang beliau sangat hormati dan sayangi.
Abdullah cedera parah apabila terkena libasan pedang anaknya. Sebaik bapanya cedera Abu Ubaidah terus membuang pedang lalu memangku dan mendakap ayahnya. Beliau menangis tersedu-sedu sambil meminta maaf kerana terpaksa membunuh. Si ayah akhirnya mati di pangkuan anaknya sendiri dan Abu Ubaidah mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat kematian yang sebegini.
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment