PADA suatu pagi, Ummu Kalsum bermain seorang diri. Abangnya, Hasan dan Husin sudah keluar, tidak diketahuinya ke mana mereka pergi. Ayahnya, Ali bin Abi Talib pula sudah keluar sejak awal pagi lagi bagi mencari nafkah. Ibunya, Fatimah az-Zahra sudah lama meninggal dunia. Tinggallah Ummu Kalsum bersendirian, menunggu kepulangan ayah dan abang-abangnya.
"Wahai Ummu Kalsum, ke mana kedua abangmu?" Ali yang baru pulang bersuara apabila melihat Ummu Kalsum saja di rumah.
"Saya tidak tahu, ayah. Barangkali, abang-abang pergi rumah mak cik Asma' bermain dengan Muhammad, Aun dan Abdullah," jawab Ummu Kalsum dengan fasih.
"Mengapa kamu tidak pergi ke sana bersama mereka? Tentu kamu sunyi tinggal di rumah," kata Ali lagi.
"Tidak mahulah, ayah. Mereka semua lelaki, saya perempuan," jawab Ummu Kalsum.
Ali tersenyum mendengar jawapan puteri kesayangannya itu. Nampaknya, Ummu Kalsum semakin matang sekarang kerana sudah ada sifat malu dalam dirinya pada kaum lelaki.
Ali teringat pada sahabatnya, Umar bin Khattab. Beberapa hari lalu, Umar datang bertemunya. Kata-kata Umar kembali terngiang-ngiang di telinganya.
"Wahai Ali, nikahkanlah daku dengan puterimu Ummu Kalsum".
Ali sedikit terkejut mendengar kata-kata sahabatnya itu. Ummu Kalsum masih kecil dan belum masanya bagi dinikahkan. Lagi pula, Ali bercadang hendak menikahkah Ummu Kalsum dengan anak saudaranya, iaitu anak kepada Jaafar bin Abi Talib.
"Sebenarnya aku hendak menikahkan Ummu Kalsum dengan anak-anak Jaafar," kata Ali berterus terang.
Namun, Umar terus mendesak. "Wahai Ali, nikahkanlah aku dengan Ummu Kalsum. Aku yakin, tidak ada orang lain yang besar harapannya supaya dapat hidup bersama Ummu Kalsum melebihi harapanku," kata Umar.
Ali masuk ke biliknya, lalu mengambil sehelai kain. Kemudian, dia keluar semula mendapatkan Ummu Kalsum.
"Ummu Kalsum, mari ke sini sebentar," Ali memanggil Ummu Kalsum yang masih leka bermain.
Ummu Kalsum meletakkan permainannya lalu menghampiri ayahnya.
"Pergilah berjumpa Amirul Mukminin dan sampaikan salam ayah kepadanya," kata Ali, sambil menyerahkan lembaran kain yang dilipatnya kepada Ummu Kalsum.
"Bagi kain ini, ayah?" Tanya Ummu Kalsum.
"Tunjukkan kain ini kepadanya. Suruhlah dia ambil kain ini jika dia suka, dan jika tidak suka, suruhlah dia kembalikan," terang Ali.
"Baiklah ayah. Saya pergi sekarang," kata Ummu Kalsum, lalu berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Umar.
Umar tersenyum apabila melihat kedatangan Ummu Kalsum. Ummu Kalsum segera menyampaikan salam ayahnya, dan menyerahkan kain itu kepada Umar.
"Aku suka. Semoga Allah memberkatimu dan ayahmu," kata Umar ringkas.
Ummu Kalsum segera pulang ke rumahnya, lalu mendapatkan ayahnya yang sedang menunggu kepulangannya.
"Ayah, Amirul Mukminin tidak melihat pun kain yang kubawa ini, sebaliknya hanya memandangku saja," ujar Ummu Kalsum.
Ali tersenyum mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Ali pun memberitahu puterinya itu bahawa, dia akan dinikahkan dengan Umar tidak lama lagi.
Sesudah berkahwin dengan Umar, Ummu Kalsum dengan cepat dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru sebagai isteri Amirul Mukminin. Namun, ia bukanlah kehidupan mewah di istana yang besar, memakai perhiasan yang mahal, pakaian yang bagus dan dilayan oleh dayang-dayang.
Sebaliknya, dia hidup dalam keadaan yang sederhana dan serba kekurangan. Ini kerana, Umar memilih hidup yang sederhana seperti yang dilalui oleh Rasulullah dan khalifah Abu Bakar bin Siddiq.
Suatu malam, Ummu Kalsum bersiap-siap mahu tidur. Hari sudah lewat malam, namun, Umar masih belum pulang. Belum sempat Ummu Kalsum melelapkan mata, dia mendengar suara Umar di pintu.
"Assalamualaikum!" Umar memberi salam sambil mengetuk pintu. Ummu Kalsum bangun membuka pintu. Umar segera masuk ke dalam rumah.
"Apa yang berlaku, wahai Amirul Mukminin? Aku lihat seperti ada sesuatu yang menyusahkan dirimu," ujar Ummu Kalsum.
"Benar. Sekarang aku ingin bertanya, mahukah kau menerima pahala yang Allah datangkan kepadamu malam ini?" Tanya Umar.
"Sudah tentu! Tetapi apakah perkaranya?"" Tanya Ummu Kalsum.
"Ada perempuan asing di pinggir kota ini hendak melahirkan anak. Tidak ada sesiapa pun yang membantunya".
"Jadi kau mahu aku membantunya? Baiklah, akan aku lakukan," kata Ummu Kalsum.
"Bawalah segala benda yang diperlukan olehnya," kata Umar. Dia sendiri terus menuju ke dapur lalu mengambil periuk, mentega, tepung dan biji-bijian.
Selepas semuanya siap, mereka berdua berangkat ke pinggir kota Madinah. Ummu Kalsum membawa barang-barang keperluan wanita itu dan bayinya, manakala Umar memikul periuk dan bahan-bahan masakan bagi membuat roti.
Selepas beberapa lama berjalan, mereka tiba di sebuah khemah. Dari jauh, Ummu Kalsum dapat mendengar suara wanita yang sedang menahan kesakitan hendak melahirkan. Ummu Kalsum segera masuk ke dalam khemah bagi membantu wanita tersebut.
Umar pula menyalakan api bagi memasak makanan. Dia meminta suami wanita itu menolongnya. Umar sendiri yang mengadun tepung dan memasaknya sehingga menjadi roti.
Tidak lama sesudah itu, bergemalah suara tangisan bayi memecah kesunyian malam. Ummu Kalsum segera keluar dari khemah dan mendapatkan Umar.
"Wahai Amirul Mukminin, berilah khabar gembira kepada temanmu bahawa dia mendapat bayi lelaki," kata Ummu Kalsum kepada Umar.
Lelaki bersama Umar itu terkejut mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Barulah lelaki itu sedar, yang menolongnya sekarang adalah Amirul Mukminin Umar bin Khattab bersama isterinya Ummu Kalsum.
Malam itu, Ummu Kalsum pulang ke rumahnya dengan rasa puas, kerana dapat menolong orang yang memerlukan bantuan. Demikianlah sikap suka menolong yang ada dalam diri Ummu Kalsum.
Ummu Kalsum menjadi janda selepas Umar bin Khattab meninggal dunia kerana dibunuh oleh Abu Lu'lu'ah ketika beliau sedang menjadi imam solat Subuh di masjid. Sesudah itu, Ali menikahkan Ummu Kalsum dengan saudaranya Aun bin Jaafar. Selepas Aun meninggal dunia, Ummu Kalsum berkahwin pula dengan Muhammad bin Jaafar dan akhir sekali dengan Abdullah bin Jaafar.
Ummu Kalsum meninggal dunia ketika menjadi isteri Abdullah. Dia meninggal dunia saat melihat kematian puteranya, Zaid bin Umar.
PETIKAN daripada buku Doa Gadis Baitulmaqdis terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment