Tuesday, February 15, 2011

Ketaatan Kepada Manusia Ada Had


DARIPADA Ali (bin Abi Talib) katanya: “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Setibanya di suatu tempat, komandan itu menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api berkenaan. Sebahagian anak buahnya sudah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api itu tetapi yang lain berkata: Kita harus lari dari api itu. Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda: Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti. Kemudian Baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut: Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan.”

Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia serta peraturan ada batasnya. Manakala kepatuhan serta ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan seharusnya tidak ada hijab yang menghalangnya.

Faham mengenai batas dosa dan pahala, tahu halal dan haram, mengerti situasi fasad dan mungkar, maklum mengenai wajib dan harus akan memberikan kita gambaran sejauh manakah sesuatu perintah seseorang ketua itu wajib ditaati.

Sekadar pertimbangan akal semata tidak ada jaminan sesuatu perintah itu wajib dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional juga tidak memadai.

Sekadar berpandukan orang ramai yang juga melakukannya juga belum ada jaminan ia selari dengan syarak.

Justeru, hanya sifat manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi akan patuh dan taat kepada perintah Allah. Keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng.

Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilih jalan yang baik dan jalan sebaliknya.

Sumber: e-Hadith Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment