Monday, January 16, 2012

Meneladani keluarga Rasulullah


Rasulullah SAW banyak memberi panduan cara membentuk keluarga bahagia yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam

TIADA siapa di dunia ini yang tidak mendambakan kewujudan sebuah keluarga bahagia bersama isteri dan anak-anak termasuk ahli keluarga yang lain walau apa pun pegangan akidah mereka.

Kita sebagai umat Islam yang merupakan umat Nabi dan Rasul terakhir Junjungan Besar Nabi Muhammad SAWmemiliki pelbagai keistimewaan berbanding penganut agama lain dalam meneladani kehidupan berkeluarga secara harmoni dan damai.

Ia disebabkan penghulu segala nabi dan rasul ini adalah memiliki 'pakej lengkap' sebagai seorang hamba Allah SWT dalam pelbagai aspek kehidupan yang mendasari urusan duniawi dan ukhrawi.

Lipatan sejarah suci kehidupan seorang hamba Allah yang diangkat menjadi kekasih Allah ini bukan sahaja diiktiraf oleh umat Islam sebagai nabi dan rasul-Nya. Malah baginda juga turut mendapat perhatian seorang Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi Amerika Syarikat iaitu Michael H.Hart yang menerbitkan sebuah buku pada tahun 1978 bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang terjual hampir 500,000 naskhah pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan sebagai Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh yang lain.

Justeru, tidak hairanlah sebagai umat Islam kita terlalu bertuah dengan pengutusan baginda yang menjadi penunjuk kepada jalan yang lurus dan benar. Kehebatan dan ketokohan baginda bukan sahaja dalam aspek penyebaran nur Islam semata-mata seperti Rasulullah iaitu pesuruh Allah.

Malah meliputi semua aspek, bagindalah seorang nabi dan rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan atau sahabat dan pelbagai lagi.

Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud : Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Seseorang individu muslim yang mengimpikan sebuah keluarga bahagia, maka Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW adalah rujukan dan contoh ikutan terbaik buat semua keluarga muslim.

Memetik kisah perjalanan hidup baginda yang penuh dengan rasa mahabbah bersama keluarganya. Antaranya sebagai ketua keluarga atau suami, baginda SAW sangat menghargai isteri-isteri baginda dengan mempamerkan akhlak yang tinggi disulami kasih sayang, bantu membantu, mengambil berat dan bertimbang rasa.

Malah apa yang paling penting baginda tidak pernah walau sekalipun melakukan kekasaran kepada isteri-isteri baginda.

Apa yang dipamerkan adalah tahap kesabaran yang tinggi walaupun tidak dinafikan sebagai manusia biasa memiliki sifat amarah namun baginda menghadapinya dengan kesabaran kerana isteri dan anak-anak adalah bukannya harta 'kebetulan' malah ia adalah anugerah Allah SWT.

Keindahan dan keharmonian dalam berumahtangga akan terserlah dengan wujudnya sifat saling faham memahami dan hormati menghormati antara satu sama lain. Contohnya, Nabi Muhammad SAW tidak keberatan membantu isteri baginda menyiapkan kerja-kerja rumah yang lazimnya dijuarai hanya oleh kaum ibu sahaja.

Ini berdasarkan kepada Ibn Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: "Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka." (riwayat Ahmad Ibnu Hibban).

Sikap membantu isteri sebegini bukanlah menjadi kehinaan dan menjadikan seseorang suami itu rendah martabat dan darjatnya serta timbul pula istilah moden yang mengatakan 'takut isteri atau takut bini.'

Malah jika semua merenung kembali bagaimana sesebuah rumah tangga itu terbina atas rasa persefahaman dan kemesraan. Sikap mulia yang dibawa oleh Rasulullah SAW terhadap para isteri yang diakui oleh Saidatina 'Aisyah r.a yang meriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya. (riwayat Bukhari).

Pernah juga diceritakan bahawa Saidatina 'Aisyah amat terharu atas pengorbanan suaminya yang berdarjat tinggi bertaraf habibullah (kekasih Allah) iaitu sewaktu hendak memulakan suatu perjalanan, baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa.

Anas pernah mengatakan baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta. Jelasnya apa yang dipraktikkan oleh baginda SAW ini adalah teladan berharga dalam mendukungi keharmonian berumahtangga.

Sebenarnya dengan melakukan perkara sedemikian, ia bukan sahaja menjadi pengikat tanda kasih sayang malah mampu mengajar kita untuk 'bermanja' di tempat yang sewajarnya atas panduan agama.

Baginda Nabi SAW biar pun dalam latar sejarah kehidupannya tidak 'berkesempatan' menikmati suasana belaian kasih mesra ibu bapa kerana ayahanda serta bonda baginda terlebih dahulu dijemput menemui Allah SWT terlebih dahulu menjadikan kehidupan baginda seorang anak yatim piatu tidak sedikit pun mengurangi kasih sayang nabi SAW untuk menyantuni ahli keluarganya dengan rasa hormat dan kasih sayang.

Inilah yang tersirat dalam sabda Baginda SAW ini: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku". (riwayat At-Tirmizi).

Secara mudahnya , tonggak kehidupan dalam rumah tangga walau tidak diselimuti harta benda dan kemewahan ia masih ada ruang untuk umat Islam mengecapi bahagia dan harmoni asalkan landasannya berpaksikan perintah keagamaan menerusi the best practices (amalan-amalan terbaik) yang dipaparkan oleh baginda SAW terhadap ahli keluarga baginda.

Sebagai suami atau isteri, usahlah kita lupa memohon agar Allah SWT sentiasa menyirami rumahtangga kita dengan Rahmat serta Rahim-Nya dalam setiap penghujung solat seperti doa yang yang dipetik dalam surah al-Furqaan: 74, Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa

Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Berjanggutlah Wahai Lelaki Kerana Ia Sunnah Nabi


"Saya ada mendengar beberapa saranan dan galakan oleh beberapa kenalan yang mengajak agar lelaki berjanggut, kerana berjanggut itu dapat mendatangkan banyak manfaat. Antara manfaat yang selalu diwar-warkan ialah:
  1. Nampak kelelakian
  2. Lebih ‘macho’
  3. Lebih hensem dan berkarisma
  4. Nampak soleh dan beragama
  5. Untuk membezakan lelaki sejati dengan lelaki yang tidak berapa sejati
  6. Akan lebih diminati wanita
  7. Mempunyai manfaat kesihatan
  8. Ia ciri fizikal tokoh-tokoh pemimpin dahulu
Abaikanlah semua tujuan berjanggut yang disebutkan di atas. Kerana semuanya tidak penting. Sungguh, ia tidak penting!

(Walaupun begitu, berjanggut tetap lebih baik dari tidak berjanggut…)

Luruskanlah niat kalian agar berjanggut kerana mahu ikut sunnah Nabi yang mulia, sallAllahu `alaihi wasallam. Ia sebaik-baik tujuan. Dan besar ganjarannya di sisi ALLAH. Jika kalian berjanggut kerana mahukan manfaat-manfaat di atas, ya kalian akan memperolehinya barangkali. Tetapi sayang sekali jika itu sahaja yang kalian dapat.

Berjanggutlah kerana mahu mengikuti suruhan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Bukan sebab lain.

Antara kata-kata Nabi sallAllahu `alaihi wasallam untuk kita pegang dalam hal yang berkaitan dengan berjanggut ialah:

“Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.”

(HR al-Bukhari)

“Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai (kumis) mereka.”

(HR Muslim)


Di dalam hadith di atas, bukan sahaja Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyuruh kita agar berjanggut, malahan Baginda melarang kita dari menyerupai orang kafir iaitu mereka memelihara misai, tetapi mencukur janggut mereka.

Buat kalian yang berjanggut dengan niat lurus kerana mahu ikut Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, bukan kerana lain, maka ketahuilah kejayaan dan kebaikan bakal menyusul menemui kalian, insyaALLAH.

Buat sahabat-sahabat yang dagunya sukar ditumbuhi bulu janggut tetapi sangat rindu mahu amalkan sunnah berjanggut, bersabarlah. Jika ia tumbuh cuma sehelai pun, biarlah. Walaupun ia nampak tidak cantik dan tidak elok, namun di sisi ALLAH, moga ia dikira hasanah kerana kesungguhan kalian melaksanakan sunnah lantaran cintanya kalian terhadap Baginda sallAllahu `alaihi wasallam. InsyaALLAH, mudah-mudahan lama-kelamaan ia bisa melebat berkat dari kesungguhan kalian yang mahu ikut sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Berjanggutlah.

Dan ingat, kita berjanggut kerana mengikuti sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam. Bukan kerana selain itu!

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala ali Muhammad. *

Oleh: al-bahanj
Sumber: http://muzir.wordpress.com

Friday, January 6, 2012

Lesu lelaki

Amalan usia muda, pemakanan salah kekang tua secara aktif

BENARKAH lelaki hanya berjumpa doktor sedangkan wanita sebaliknya lebih beruntung kerana kehamilan membawa mereka mendapatkan khidmat doktor seawal mungkin?

Andai itu benar, bagaimanakah kita mahu memanfaatkan usia selama mungkin, termasuk melakukan pelbagai aktiviti biarpun sudah mencecah usia atau bergelar warga emas? Ini penting kerana jika dulu, tugasan menjaga orang tua lazimnya di bahu keluarga atau anak-anak tetapi sekarang, berdasarkan perkembangan semasa, peranan itu turut diambil alih pihak kebajikan atau rumah orang tua berbayar bagi yang berkemampuan.

Malah, kebanyakan yang meniti usia tua terutama yang mempunyai status ekonomi yang kukuh, lebih memilih hidup berdikari, kekal efektif dan mahu menikmati hidup secara aktif hingga ke akhir hayat - senario yang digelar Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai tua secara aktif.

Malangnya, tidak ramai, khususnya lelaki yang mampu menepati konsep itu yang menurut Ketua Jabatan Urologi, Kesihatan Lelaki & Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Sahabudin Raja Mohamed, sebagai keupayaan individu itu terus produktif.

“Mereka ini boleh diharap dan boleh terus menyumbang secara efektif kepada masyarakat keseluruhannya. Bagaimanapun, berdasarkan senario semasa, ramai masyarakat dunia pada masa ini lebih dihimpit permasalahan kesihatan yang meruncing.

“Disebabkan perubahan gaya hidup, masyarakat bukan saja cenderung untuk terlalu menikmati tetapi juga banyak makan hingga malas. Ramai tidak aktif kerana banyak menghabiskan masa duduk di depan komputer, kedai kopi, kelab, di depan TV dan terlalu sedikitnya aktiviti senaman yang membakar lemak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Sahabudin menyifatkan statistik perbandingan ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak begitu sihat bukan saja dewasa tetapi juga generasi muda. Malah anak-anak yang duduk lama di depan komputer juga cenderung untuk kuat makan seperti makanan segera, kerana bosan atau juga tekanan.
Perkembangan itu, katanya, membawa kepada kemunculan golongan lelaki yang bukan saja tidak sihat, tetapi juga tidak subur dan terjejas kelelakiannya.

“Aktiviti yang ditekankan sesetengah ibu bapa - keluar membeli-belah, menonton wayang, mengamalkan makanan segera misalnya turut menyumbang kepada peningkatan ketidaksuburan dan masalah mati pucuk.

“Satu kajian di Malaysia juga menunjukkan 70 peratus lelaki berusia 50 tahun ke atas tidak aktif secara seksual. Mungkin ramai yang menganggap ‘pil ajaib’ adalah jawapannya namun, kita perlukan pendekatan menyeluruh termasuk faktor isteri, jenis diet, mengapa tidak bersenam dan perubahan gaya hidup yang perlu dibuat,” katanya.

Semakin meningkat usia seorang lelaki, mereka juga secara seksual semakin lemah, dan keadaan ini dipanggil andropause tetapi sebenarnya ia adalah perubahan akibat tahap hormon yang rendah. Hormon testosteron mengurangkan otot saiz, lebih lemak dan kurang otot, tulang menjadi lemah dan cenderung untuk mudah gemuk pada bahagian perut.

Mereka juga kebal insulin yang mana hati tidak dapat memanfaatkan insulin. Tahap kolesterol juga meningkat dan terus ke saluran darah menyebabkan tekanan darah tinggi. Disebabkan obesiti, tahap hormon cortisol meningkat dan merendahkan testosterone pada lelaki berusia 40 hingga 70 tahun. Malah, lebih 20 peratus lelaki di Malaysia mempunyai tahap testosterone rendah yang boleh menyebabkan diabetes, hipertensi, penyakit jantung, tulang retak selain mengurangkan keghairahan terhadap seks.

“Golongan lelaki ini juga mudah berasa letih, lesu dan penat yang melampau sehinggakan tiada tenaga untuk melakukan aktiviti. Waktu tengah hari sudah mengantuk, prestasi seks juga terganggu, mental tertekan hanya kerana testosterone rendah,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, kata Dr Sahabudin, penyelidikan lalu turut menunjukkan 70 peratus lelaki berusia lebih 50 tahun mengalami masalah mati pucuk atau Erectile Dysfuction (ED). Masalah ED adalah tanda-tanda awal terhadap masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan hipertensi.

“Tatkala usia semakin meningkat, anda perlu faham berapa banyak tekanan yang boleh diterima oleh tubuh. Jadi pilihan untuk menikmati usia tua dalam keadaan cergas dan efektif terletak dalam tangan anda dan semuanya harus bermula dari amalan gaya hidup yang baik. Malah semua masalah kesihatan yang dinyatakan punya cara untuk mengubatinya hanya jika ia dikesan dan dirawat awal," katanya.

Oleh Suzan Ahmad

Sumber: http://www.bharian.com.my/