Thursday, December 30, 2010

Kesabaran Rasulullah SAW Dalam Berdakwah

Hadith :

Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan:”Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW :”Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai.” (Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika baginda pergi ke Taif untuk berdakwah.

Di sana baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah baginda dan melindungi baginda daripada keganasan puak Quraisy.

Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya.

Namun sebagai seorang Nabi baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Sumber: http://www.mstar.com.my/

Mutaah Jatuh Martabat Wanita

NIKAH Mut'ah secara umumnya adalah nikah kontrak yang menetapkan tempoh perkahwinan pada masa-masa yang tertentu seperti sebulan, setahun dan sebagainya.

Apabila tamat tempoh itu, perkahwinan terbatal dengan sendiri dan sekiranya ada anak yang lahir daripada perkahwinan itu, ia tidak dinasabkan kepada bapa atau suami perempuan berkenaan.

Pernikahan sebegini hanya diamalkan dalam mazhab Syiah berdasarkan hujah tertentu yang tidak tepat dan wajar. Seluruh mazhab Sunni termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali mengharamkan perkahwinan Mut'ah kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan dalam Islam yang tidak mengehadkan waktu perkahwinan dalam tempoh tertentu.

Akad sedemikian dikira batil dalam Islam. Selain itu, ia juga dilihat sebagai menjatuhkan martabat wanita dan maslahat umum pembentukan sebuah keluarga.

Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan pernikahan Mut'ah. Sekiranya ia dipraktikkan oleh mana-mana individu, pihak berkuasa agama boleh mendakwa pasangan terbabit di Mahkamah Syariah.

Umat Islam diingatkan supaya tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan aliran fikah yang tidak selari dengan pendapat majoriti umat Islam.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

Dakwah Bukan Tugas Ustaz Sahaja

Apabila disebut perkataan dakwah, yang terlintas di kotak pemikiran kita bagi perkataan ini adalah seorang yang mempunyai ilmu agama atau dipanggil ustaz memberikan ucapan atau memperkatakan serta mengajarkan kepada khalayaknya berkenaan dengan Islam.

Bentuk gambaran yang tipikal ini serta sempitnya dimensi dakwah seperti yang digambarkan, membuatkan kerja dakwah seolah-olah hanya dimiliki oleh golongan yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Golongan ini atau panggilan rasminya golongan agama atau ustaz adalah golongan yang selalu dibebankan dengan permasalahan dakwah dan penyebaran risalah dakwah ini.

Hakikatnya, pemikiran dan tanggapan yang sebegini amat jauh dan langsung tidak menepati roh dan semangat dakwah itu sendiri. Bebanan dan gerak kerja dakwah yang mulia ini sebenarnya merupakan tugas yang sepatutnya bukan sahaja dipikul oleh golongan ustaz bahkan terpikul di atas bahu kesemua umat Islam yang mensyahadahkan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah.

Tanggungjawab mempersembahkan ajaran Islam dalam apa jua bentuk dan memperkenalkan Islam dengan wajahnya yang tulen kepada manusia sejagat adalah tugas hakiki yang harus dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh seluruh umat Islam.

Jika kita membuka dan menyorot isi kandungan al-Quran, terdapat banyak sekali nas yang menyentuh persoalan dakwah serta tanggungjawab umat Islam dalam menjayakannya.

Antaranya firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali-Imran: 104)

Daripada ayat ini, amat jelas kepada kita satu perintah Allah supaya umat Islam membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari berlakunya kemungkaran.

Inilah tiga unsur dan elemen penting terkandung dalam gerak kerja dakwah yang dijana dan dipaksikan kepada kekuatan keimanan kepada Allah s.w.t.

Tanpa paksi dan janaan iman, penghayatan terhadap dakwah akan menjadi rapuh dan luluh seperti rapuhnya iman dan luluhnya takwa kepada Allah s.w.t.

Satu persoalan penting yang patut ditanggap dengan teliti oleh umat Islam bahawa penghayatan terhadap dakwah Islamiah sebenarnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan manifestasi kepada keunggulan Iman kepada Allah dan ketinggian kedudukannya di sisi Allah.

Dakwah yang dirintis oleh seorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada khalayak bahkan merupakan satu terjemahan yang jelas terhadap ketinggian keimanan seseorang itu kepada Allah.

Persoalan inilah yang pernah dititipkan oleh Rasul pembawa risalah dalam sebuah hadisnya yang sahih lagi masyhur. Sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya, Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya (kuasa yang ada pada seseorang) jika dia tidak mampu maka ubahlah ia dengan lidahmu, jika dia tidak mampu maka gunakanlah hatinya (dalam membenci dan tidak meredai berlakunya kemungkaran itu) dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis secara literalnya mengungkapkan persoalan tentang langkah-langkah yang patut diambil seorang muslim itu dalam usahanya mencegah kemungkaran. Tetapi di sebalik mafhumnya yang mendasar diungkapkan persoalan Iman yang mempunyai konotasi yang rapat dengan dakwah.

Kemampuan seseorang itu dalam mencegah kemungkaran - salah satu dari unsur penting dalam dakwah - diukur bersama dengan tahap keimanannya kepada Allah s.w.t.

Di tengah-tengah realiti masyarakat hari ini yang diselubungi dengan segala macam kefasadan dan kerosakan yang ditandai dengan terhakisnya penghayatan umat terhadap ajaran Islam. Lalu menumbuhkan dan menerbitkan barah keruntuhan moral dan akhlak walaupun di sebalik itu terlihat kilauan kemajuan dan ketamadunan yang mempesonakan.

Namun semua kemajuan ini adalah kosong semata-mata, tidak ada nilai yang boleh dibanggakan jika di celahannya tersusun seribu satu keruntuhan moral akhlak dan terhakisnya nilai kemanusiaan.

Hari demi hari, keadaan umat dilihat tidak menampakkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya yang mengundang kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang sentiasa mengambil berat nasib umat ini.

Gejala-gejala yang entah dari mana datangnya menjadi amalan harian para remaja kita. Budaya hedonisme yang melampau seolah-olah umat ini tidak memikirkan kematian selepas kehidupannya.

Gaya hidup manusia yang mendaulatkan materialistik dan bertuhankan hawa nafsu semata-mata telah mencampak jauh prinsip ketauhidan kepada Tuhan yang satu. Apa yang paling membimbangkan rosaknya akidah umat yang membawa kepada kemurtadan yang merupakan jenayah yang paling besar terhadap agama.

Melihat kepada senarai yang panjang ini, membuatkan kita berfikir sendirian, apakah yang telah terjadi kepada umat ini? Di manakah pegangan agama mereka sehingga mereka terjerumus ke dalam kerosakan yang maha hebat ini dan banyak lagi persoalan-persoalan yang menuntut kita berfikir dan bermuhasabah kembali nasib yang menimpa umat di akhir zaman ini.

Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan semua lapisan umat untuk menghayati ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah.

Kegagalan institusi agama dalam melaksanakan tugasnya serta menyampaikan ajaran Islam yang tulen, kegagalan institusi keluarga dalam mendidik anak-anak dengan acuan Islam.

Kegagalan institusi masyarakat dalam membimbing masyarakat berpandukan ajaran Islam serta kecuaian pihak-pihak yang berwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Maka kegagalan dan kecuaian yang berpunca dari kelesuan dalam menghayati dakwah inilah yang membawa kepada kesan negatif kepada umat keseluruhannya.

Oleh yang demikian setiap entiti masyarakat perlu bangkit dari kelesuan ini. Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas dakwah berpaksikan kepada kekuatan, kapasiti dan dimensi kemampuan masing-masing.

Apa yang penting, setiap muslim walau apa kedudukan dan gelarannya menjadikan dakwah sebagai agenda hidupnya yang paling penting.

Semangat dan roh dakwah seperti inilah yang telah menyerap dalam urat nadi dan hembusan menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia di atas keimanan yang teguh berserta ketinggian penghayatan mereka terhadap dakwah dan risalah nabawi.

Akhirnya marilah kita merenungi firman Allah yang bermaksud, Telah dilaknat orang-orang kafir dari bani Israil di atas lidah Daud dan Isa bin Maryam yang disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat. (Al-Maidah: 78-79)

Cukuplah ayat Allah ini menjadi satu ancaman kepada lantas mengingatkan kita akan peri pentingnya menjalankan usaha dakwah dan tidak mencuaikannya agar kita sentiasa berada di bawah rahmat Allah yang amat luas dan kita terhindar dari laknat Allah yang amat berat seksanya.

Dipetik daripada:Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Hijrah Bukti Keimanan Faktor Utama Lahir Generasi Cemerlang

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Surah al-Anfal, ayat 74)

Peristiwa hijrah antara peristiwa yang besar kesannya dalam lipatan sejarah Islam. Pada peristiwa itu, umat Islam mustadh’afin di Makkah bersama Rasulullah SAW diperintahkan Allah berhijrah ke Madinah.

Walaupun berat hati dan kecintaan menebal terhadap kota Makkah, Baginda SAW berserta umat Islam yang setia dengannya tetap menjunjung titah perintah Ilahi tanpa berbelah bagi untuk membuka lembaran baru diari kehidupan umat Islam.

Menurut Imam al-Raghib Al-Asfahani, hijrah itu ialah keluar dari negeri kafir ke negeri iman, seperti sahabat yang berhijrah dari Makkah ke Madinah. Manakala Syeikh Muhammad Rasyid Ridha pula menyatakan, orang yang berhijrah dari sesuatu negeri ke negeri lain untuk mendapatkan keredaan Allah, menegakkan agama-Nya adalah kewajipan baginya.

Hijrah membuktikan keimanan faktor utama membentuk generasi manusia cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan pertahanan. Ini bererti Islam tidak menghalang umatnya membina kemajuan, tetapi perlulah bertunjangkan keimanan sebenarnya.

Atas dasar keimanan inilah, lahir dua kelompok manusia seiring mendapat penghargaan dan tempat istimewa di sisi Allah atas ketulusan pengorbanan serta pengabdian mereka. Dua kelompok itu diabadikan dengan istilah indah dalam al-Quran, iaitu Muhajirin dan Ansar.

Muhajirin orang yang dengan suka rela meninggalkan semua dimiliki demi menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, sementara Ansar bersiap sedia menerima, membela, memberi perlindungan dan bantuan kepada orang berhijrah tanpa mengharapkan balasan selain pahala daripada Allah SWT.

Demikian gambaran hijrah Rasul bersama sahabatnya dalam konteks sejarah ayat yang ternyata sarat dengan nilai perjuangan, pengorbanan, keprihatinan terhadap sesama Muslim. Kesabaran dan ukhuwah mengatasi batas kekeluargaan kerana diikat ikatan akidah.

Nilai luhur bersifat sejagat ini sejajar sabda Rasulullah SAW mengenai hijrah bermaksud: “Tidak ada hijrah setelah pembebasan kota Makkah, tetapi jihad dan niat.” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun dalam kebanyakan ayat al-Quran berbicara mengenai hijrah dari segi maknanya, tetapi apabila diteliti ada ayat menegaskan keperluan jihad membawa maksud berubah dari satu keadaan menuju keadaan lebih baik.

Firman Allah bermaksud: “Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhan-Ku, sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Justeru, semangat dan semarak hijrah tidak terhenti setakat itu saja, bahkan berterusan dalam diari kehidupan ummah selagi nyawa dikandung badan dan selagi bumi tidak mendekati titik noktah. Nilai dan pengajaran hijrah masih tetap relevan, kesediaan berkorban dan berjuang pada jalan Allah.

Nilai dan pengajaran hijrah yang turut membangun ikatan persaudaraan mengubah kedudukan Islam yang terus berkembang, memperlihatkan kemajuan dicapai hasil kesediaan meninggalkan perkara disayangi demi mencari kejayaan lebih baik.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Oleh: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Probiotik Bantu Cegah Penyakit

Kajian terhadap kanak-kanak di India yang meminum susu kultur Yakult mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit

PERANAN usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem ketahanan badan.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya.

Menurut Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Mikrobilogi Yakult, Dr. Takuya Takahashi, probiotik merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan serta mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

''Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat penyakit,'' ujarnya.

Terang beliau lagi, penyelidikan mendapati probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imunisasi badan untuk melawan alahan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia berperanan memperbaiki masalah usus seperti kembung, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus.
Ia penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ia terbukti melalui kajian pada Ogos lalu dengan kerjasama Institut Taun dan Penyakit Enterik India, membabitkan 3,585 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun.

Daripada kajian itu, kanak-kanak yang meminum susu kultur Yakult yang mengandungi Lactobacillus casei strain Shirota mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit.

Malah terang Dr. Takahashi lagi, ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik kerana ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

''Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif anak-anak,'' terangnya.

Probiotik juga membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus.

''Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.

Oleh ZUHAYATI YAZID
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, December 29, 2010

Al-Quran, Sunnah Tunjang Pembangunan Akhlak

DARIPADA 'Amru bin al-'Ash, Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: "Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya?" (Hadis riwayat Muslim)

Pembaharuan dimaksudkan bukan saja terbatas dalam bidang agama tetapi mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai umat Muslimin membangun dan memajukan ummah.

Dalam zaman kini, umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur wajib mengembalikan diri kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan. Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri.

Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan usaha dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan al-sunnah yang didatangkan untuk meninggikan pencapaian akhlak.

Malangnya masih wujud sebilangan besar masyarakat mengambil unsur negatif daripada kehidupan zaman jahiliah yang bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas menjalani kehidupan diinginkan.

Inilah antara penyakit sedang menjalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam. Oleh itu, pembaharuan sikap dan pemikiran perlu bagi membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan membina kehidupan lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah SWT.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
              http://www.bharian.com.my/

Perang Badar Tidak Pernah Dirancang

PERANG Badar adalah perang pertama dilalui oleh umat Islam maka ia menjadi satu catatan sejarah besar yang paling penting untuk diketahui oleh umat manusia.

Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil apabila kita menyelusuri setiap detik-detik peperangan ini dan suasana umat Islam ketika meletusnya peperangan ini.

Perang Badar berlaku selepas 16 hari umat Islam buat pertama kalinya berpuasa di bulan Ramadan, iaitu pada tahun ke 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masihi.

Inilah ujian umat Islam ketika itu. Tidak sahaja mereka perlu menjalani ibadat puasa tetapi dalam keadaan menahan lapar dan dahaga itu jugalah mereka dikehendaki berlawan dengan musuh dengan segala kekuatan tenaga dan jiwa.

Perang Badar al Kubra tidak sekadar susulan daripada perlaksanaan perintah Allah SWT agar kaum Muslimin mengangkat senjata sebagai pertahanan diri, tetapi merupakan Perang Al Furqan (pembeza), bagi memisahkan antara yang hak dan yang batil. Juga antara yang beriman dan yang kafir di samping merupakan satu pekhabaran besar kepada dunia akan kewujudan dunia Islam dalam suasana yang ketika itu dipenuhi dengan perkara-perkara fasad dan mungkar.

Sebenarnya untuk kita bercerita mengenai Perang Badar ini, maka ia sebenarnya bukan satu kisah yang boleh dihabiskan dalam tempoh satu hari satu malam bercerita!

Tidak bermaksud Perang Badar itu umpama kisah satu odyssey (kisah sejarah pengembaraan yang panjang dan penuh pancaroba) tetapi ramai yang tidak tahu hakikat sebenar setiap rentetan yang berlaku kecuali yang asas-asasnya sahaja.

Tahukah anda bahawa Perang Badar ini sebenarnya bukan sebuah perang yang dirancang oleh umat Islam untuk berlaku? Mengapa bilangan umat Islam yang turun berperang hanyalah 313 sahaja berbanding 1,300 anggota tentera di kalangan pihak musuh?

Dan terfikirkah kita andainya umat Islam kalah dalam perang ini, tidak mustahil rasanya tiada lagi manusia yang akan menyembah Allah di muka bumi.

Begitu sekali signifikannya perang ini kepada umat Islam kerana itu mengetahui sejarahnya sangat penting kerana dengan peperangan sahaja kadang kala agama Allah akan tertegak di muka bumi ini.

Ingatlah, syariat Allah supaya Islam berperang dalam hakikat peperangan beradu kekuatan senjata dan serangan terhadap mereka yang memusuhi Islam tidak pernah ditarik.

Ini sebagaimana tegas diperintahkan oleh Allah surah al-Anfal ayat 15 hingga 16.

Sebenarnya peperangan itu bukan dirancang dari awal atau yang dirancang dengan begitu baik dan sempat mengatur pelbagai strategi untuk mencapai kemenangan.

Ini kerana gerombolan tentera di pihak Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah sendiri itu tidak lebih seperti Operasi-operasi Ghazwah sebelum ini, iaitu tidak lebih untuk menyekat perjalanan perdagangan oleh kafilah-kafilah dagang milik kaum Quraisy.

Sebelum itu ada sesetengah orientalis Barat dan mereka yang prejudis terhadap Islam menganggap gerakan operasi ini tidak ubahnya seperti lanun-lanun yang merompak, tinggal lagi ia dilakukan di atas darat bukannya di laut.

Tetapi bagaimana dengan kalangan kafir yang merampas harta milik Islam sebelum ini, tindakan yang seperti itu, hendak disifatkan sebagai apa? Tidak juga gerakan ini sebagai tindakan membalas dendam terhadap segala keburukan yang telah dilakukan oleh pihak Quraisy tetapi Islam tidak lagi boleh tunduk kepada kelemahan, Islam kini mesti menunjukkan kekuatan, hatta kekuatan fizikal dan persenjataan.

Ini kerana Islam perlu diberi hak dan ruang untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia. Disebarkan bukan bererti memaksa, jadi tidak timbul soal memaksa orang lain untuk memeluk Islam segala-galanya terpulang kepada kerelaan dan keikhlasan, jadi mengapa perlu diperangi? Islam sama sekali tidak pernah menghunuskan pedang pada leher semata-mata untuk memaksa seseorang itu untuk memeluk Islam.

Jadi apabila hak yang sedemikian rupa disekat maka terpaksalah sekatan itu diputuskan melalui kemenangan dalam peperangan!

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, December 28, 2010

Doa Ibu Bapa Sumber Kekuatan Batin, Bentuk Keperibadian Anak

ALLAH SWT memerintahkan setiap hamba-Nya taat dan memuliakan ibu bapa. Bergaul dan memenuhi hak kedua-dua ibu bapa menjadi keutamaan yang mesti dilaksanakan anak, khususnya apabila ibu bapa lanjut usia. Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa bermakna seseorang itu menderhakai Allah. Begitulah besar dan mulianya darjat ibu bapa.

Banyak ayat al-Quran yang memerintahkan supaya mentaati ibu bapa. Antaranya Allah berfirman, “Janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada ibu dan bapamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Seseorang anak hanya dapat kedudukan anak salih jika sentiasa mentaati dan memuliakan ibu bapa. Sifat menyayangi dan mengasihi orang lain adalah fitrah semula jadi manusia, malah haiwan juga dikurniakan naluri ini.

Justeru, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dianggap melencong daripada fitrah insan. Apabila kita dewasa dan mendapat pelbagai kesenangan hidup, kita tidak boleh sama sekali melupakan pengorbanan ibu bapa, sebaliknya kita sewajarnya berbakti untuk membalas jasa mereka mendidik sehingga menjadi insan berguna.

Anak yang salih akan berusaha menyenangkan hati kedua-dua ibu bapanya kerana mengharapkan keredaan hidup daripada Allah. Mereka mengetahui setinggi manapun kedudukan, pangkat atau pemilikan harta kekayaan semua tidak sama nilainya dengan kasih sayang terhadap ibu bapa.

Selain itu, doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang salih akan mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiga jenis doa mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Malah Nabi SAW menegaskan, “Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya,” (Hadis riwayat ad-Dailimi).

Oleh itu, sewajarnya kita merebut peluang semasa ibu bapa kita masih hidup untuk berbakti disamping mengharap keberkatan doa mereka dalam menjalani kehidupan seharian kerana doa ibu bapa adalah sumber kekuatan batin anak. Hal itu akan membentuk keperibadian dan kewibawaan anak dalam menjalani kehidupan.

Petunjuk kedua ibu bapa terhadap anaknya sama seperti petunjuk Nabi kepada umatnya. Oleh itu, anak yang sentiasa memuliakan ibu bapanya tentu akan didoakan oleh ibu bapanya, sebaliknya anak yang derhaka itu sentiasa akan mendatangkan kemudaratan dalam hidup.

Sumber: http://feryco.com/

Ummu Kulsum Berhijrah Ke Madinah

NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum binti Uqbah bin Abi Muith al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang musuh Islam yang kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan srikandi yang memberi sumbangan kepada Islam.

Ummu Kulsum mempunyai saudara tiri yang bernama Usman bin Affan. Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak enam orang iaitu al-Walid, Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.

Ummu Kulsum seorang wanita yang berani, cekal dan tabah. Hal ini terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh orang kafir Quraisy. Mereka menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah ke Madinah.

Semasa di Mekah, orang kafir Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan yang diterima oleh Ummu Kulsum tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke Madinah.

Pada suatu hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin berhijrah ke Madinah sendirian.

"Saya rasa dengan cara ini mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Ummu Kulsum mendapat idea, lalu dia pun pergi ke luar rumahnya menjuju ke kampung yang terletak di padang pasir. Perkampungan itu agak terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya yang tinggal di kampung itu.

"Sudah agak lama awak tidak datang ke sini," kata saudaranya.

"Saya sibuk di rumah. Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.

Mereka berbual panjang. Kemudian Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di sini?"

Saudaranya pun menjawab, "Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini lebih lama pun tidak mengapa. Kita ini bersaudara. Elok kita jalinkan tali silaturrahim. Banyak pahala dan berkatnya."

"Terima kasih. Saya bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi. Kemudian saya perlu pulang ke rumah semula," jelas Ummu Kulsum.

"Baiklah," jawab saudaranya.

Ummu Kulsum bermalam di rumah saudaranya. Dia berharap rancangannya berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai masanya, Ummu Kulsum pulang semula ke rumahnya. Saudaranya juga tidak menghalangnya pulang ke rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap seperti hendak ke rumah saudaranya lagi.

"Saya harap rancangan saya untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Semasa dia bersiap untuk ke luar rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak lagikah?"

Sebelum ini keluarga Ummu kulsum sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil itu.

"Saya perlu bawa sedikit bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.

"Ambil makanan ini," kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.

"Berhati-hati semasa dalam perjalanan ke sana," pesan keluarganya.

Ummu Kulsum terlepas daripada ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.

Kemudian datang seorang lelaki bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"

"Ini bukan urusan awak. Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.

Lelaki itu dengan beraninya berkata, "Awak tidak perlu takut dengan saya. Saya berasal dari Khazaah. Sekiranya awak tidak keberatan, saya sedia membantu awak."

"Lega rasanya bila dapat tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Khazaah adalah satu wilayah pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu telah terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad.

"Saya adalah wanita Quraisy. Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya tidak tahu jalan hendak ke sana," jelas Ummu Kulsum.

Lantas lelaki itu berkata, "Saya tahu selok-belok jalan ke kota Madinah. Jika awak tidak keberatan saya boleh teman awak ke sana."

"Baik, saya setuju," jawab Ummu Kulsum.

Tanpa berlengah masa, lelaki itu pergi mengambil seekor unta. Unta itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk dinaiki. Mereka meneruskan perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.

"Seronoknya saya. Dapat juga saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.

"Terima kasih kerana sudi membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.

"Sama-sama. Semoga awak berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.

Akhirnya Ummu Kulsum berjaya berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Oleh: Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Si Manja Mula Belajar

Kanak-kanak akan mula menjelajah dunia pada peringkat awal dalam hidup mereka. Secara intuitif, mereka akan tahu untuk mengambil objek yang paling kecil atau membuat pemerhatian dan menukarnya kepada suatu pengalaman yang bermakna.

Kanak-kanak kecil akan melalui suatu fasa di mana mereka akan banyak bertanya. Mereka ingin mengetahui ‘siapa, apa, mana, bila, bagaimana dan mengapa’. Contohnya, bagaimana ayam berketak atau mengapa langit berwarna biru?

Pertanyaan yang tidak berhenti-henti ini mungkin akan menjengkelkan tetapi mereka melakukannya kerana ingin belajar. Ini adalah sebahagian penting di dalam proses pembelajaran mereka.

Prasekolah yang biasanya bermula apabila kanak-kanak berusia 4 tahun berperanan membantu untuk terus memperkukuh dan menghalusi perkembangan awal dan pengalaman pembelajaran mereka. Sebagai contoh, dengan mewarna dan melukis, kanak-kanak akan belajar menguasai otot otot jari dan koordinasi tangan-mata mereka. Menerusi bermain bersama kanak-kanak lain dan mematuhi peraturan-peraturan bilik darjah pula, mereka belajar tentang kemahiran sosial. Dan sudah tentunya terdapat pelbagai pengajaran lain untuk perkembangan pemikiran, komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah.

Semua ini akan dicapai dengan keseronokan tetapi di dalam persekitaran prasekolah yang berstruktur. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang bagi ibu bapa untuk mengoptimum kemajuan anak-anak mereka dengan terus mengajar, mementor dan melatih mereka di rumah dengan cara yang bebas tekanan, menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia mereka.

Dimensi Pembelajaran Awal

Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah adalah penting untuk menyediakan asas yang baik, bukan sahaja untuk persekolahan formal malah untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Kemahiran Fizikal

Prasekolah membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus dan motor kasar. Kemahiran motor halus membabitkan pergerakan kecil seperti mencapai sesuatu dengan ibu jari dan jari telunjuk. Aktiviti yang mengasah kemahiran motor halus membabitkan aktiviti memotong, menampal dan melukis. Kemahiran motor kasar pula diasah dengan aktiviti yang membabitkan pergerakan lebih besar seperti berlari, melontar, memanjat dan menari.

Kemahiran Intelektual

Terdapat banyak peluang untuk si manja membina kemahiran seperti mengira, mengukur, menyisih, memadan, memerhati dan membentuk hipotesis. Kemahiran membaca dan menulis berputik apabila si manja melihat buku, membaca dengan kuat dan menulis nota.

Kemahiran Sosio-emosi

Prasekolah membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dalam komuniti dan belajar menghormati diri sendiri dan juga orang lain. Mereka bukan sahaja akan belajar berkongsi mainan, tetapi juga perbualan dan snek. Mereka diajar untuk mengambil giliran, melibatkan orang lain dalam permainan dan belajar ‘tatatertib’ bermain apabila berdepan dengan situasi baru. Di samping itu, mereka juga akan belajar mengawal perasaan dan mengelak daripada emosi yang kurang elok. Prasekolah juga merupakan masa bagi kanak-kanak mempelajari nilai-nilai moral untuk membentuk perwatakan yang baik
 
Pelajaran Dalam Pembelajaran

Cara terbaik untuk si manja belajar ialah dalam persekitaran rumah yang menggalakkan penerokaan, pemikiran kreatif dan kebebasan. Ciri-ciri ini membolehkan kanak-kanak untuk menyiasat dan melakukan tugas yang mencabar daya fikir. Ini merupakan rahsia pencapaian dalam sekolah dan untuk seterusnya.

Proses mempelajari tentang cara sesuatu benda berfungsi adalah perjalanan yang perlu dilalui oleh si manja sendiri. Kehadiran orang dewasa sekadar untuk menggalakkan, mencabar dan membantu perkembangan mereka.

Manfaat Proses Pembelajaran Awal
  • Minat untuk menimba pengetahuan disemai melalui keyakinan dan kebebasan dalam pembelajaran.
  • Sifat ingin tahu dalam diri si manja menggalakkan penerokaan dan penghargaan pengetahuan.
  • Sikap yang betul untuk bertanya soalan, menyelesaikan masalah dan berkongsi idea. Pembelajaran menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Bagaimana Anda Boleh Membantu Sebagai Ibu Bapa

Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran pembelajaran yang baik di rumah membolehkan mereka maju dalam prasekolah. Berikut adalah tip-tip untuk anda.

Berkongsi minat anda sendiri untuk belajar

Anda merupakan guru pertama anak anda. Jika anda mahu dia belajar, anda perlu terlebih dahulu mengambil inisiatif untuk belajar dan dia akan mengikut jejak anda.

Beri sokongan dan penerimaan

Bila anda menggalak dan mengalu-alukan ideanya, si manja akan merasa cukup selesa untuk menyuarakan idea tanpa takut membuat kesilapan. Jika dia membuat kesilapan sekalipun, anda tidak perlu memarahinya atau memberi jawapan yang betul dengan serta-merta. Sebaliknya, gunakan peluang itu untuk mengajarnya mencari jawapan. Ini menggalakkan pembelajaran secara lebih berdikari pada masa hadapan.

Sediakan peluang pembelajaran

Pengalaman pembelajaran boleh didapati daripada buku, alat permainan dan barang lain yang terdapat dalam rumah. Bersiar-siar dan berbual-bual juga akan menambah perspektif dan pemahaman si manja. Berhati-hati agar anda tidak keterlaluan. Pastikan segalanya berada dalam tahap yang sesuai untuk usia mereka
 
Sihat untuk Belajar

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa langkah oleh pihak Kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan negara kita. Daripada hanya menitikberatkan kemahiran ingatan untuk lulus peperiksaan, kita inginkan anak-anak kita berkembang secara lebih sempurna. Kita mahukan mereka mempunyai pemikiran yang baik, kreatif dan berkebolehan untuk menyelesaikan masalah di samping mempunyai tubuh, minda dan jiwa yang sihat.

Sebagai ibu bapa, kita semua boleh membantu dengan menanam serta menggalakkan minat membaca dan belajar anak-anak kita daripada usia yang muda dan sepanjang zaman kanak-kanak mereka

Pada masa yang sama juga, adalah penting bagi kita untuk menjaga mereka dengan sebaik mungkin supaya mereka dapat terus belajar dengan gangguan minimum. Kekurangan nutrien, anemia, jangkitan, kecederaan, masalah psikologi dan kesukaran pembelajaran yang belum ditangani akan menghalang perkembangan mereka. Berita baiknya, kuasa untuk mencegah situasi negatif ini adalah di tangan anda dengan mengetahui lebih lanjut dalam keluaran Positive Parenting kali ini.

Senarai semak apa yang anda boleh lakukan sebagai ibu bapa
  • Tanya soalan yang baik dan jangan bataskan soalannya
  • Tunjukkan bagaimana kita boleh belajar daripada perkara yang mudah dan kesilapan kecil
  • Galakkan si manja berdikari
  • Beri pilihan kepada si manja
  • Beri perhatian kepada persekitaran sekelilingnya
  • Jadikan waktu membaca sebagai rutin tetap
Tahukah anda?

Bermain adalah sebahagian penting proses pembelajaran bagi kanak-kanak. Ini membolehkan mereka menggunakan kemahiran dan belajar tentang konsep baru dengan menyentuh, merasa, mendengar, bercakap dan menghidu. Cara terbaik untuk menggalakkan si manja prasekolah belajar ialah dengan menggabungkan permainan dengan unsur akademik.

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

Tawakal Jalan Terbaik Hadapi Dugaan Hidup

Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)
Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Monday, December 27, 2010

Pengenalan Kepada Keusahawanan

Definisi

Usahawan: individu yang memulakan perniagaan, kreatif dan inovatif dan berusahasa mengembangkan secara berterusan
Peniaga: individu yang menjalankan aktiviti jual beli hanya untuk mendapatkan keuntungan

Sejarah:

Sistem barter: hasilkan barang berlebihan untuk ditukar ganti – dorong pengkhususan
Penggunaan wang: dorong kumpul kekayaan – ramai giatkan keusahawanan

Konsep keusahawanan (4 unsur penting):

1. Inisiatif berterusan
  • Memulakan/ mencipta sesuatu yang barudan terus mengembangkannya
  • Usahawan perlu berwawasan / pemikiran/ idea yang bernas dan logik
  • Melakukan perubahan/ pembaharuan/ inovasi/ kaedah baru dalam pengedaran produk
  • Peka kepada masaelah dan keperluan masyarakat
2. Mengambil risiko
  • Berani menanggung risiko akibat ketidak tentuan permintaan produk dikeluarkan/ perniagaan dijalankan
  • Sentiasa buat keputusan yang telah diambek risikonya berdasarkan ganjaran yang dijangkakan
3. Mendapat pulangan
  • keuntungan yang diperoleh setelah mengambil kira segala belanja operasi dan risiko yang munasabah
  • pulangan yang lumayan jadi pendorong menceburi bidang keusahawanan
  • kegiatan keusahawanan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara
  • meningkatkan taraf hidup rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengatasi masalah sosial
4. Menggembleng sumber
  • mendapatkan bahan/ benda (sumber) dan menggabungkannya
  • untuk menghasilkan produk bernilai
  • bagi memuaskan kehendak pengguna
  • melalui proses merancang, menyusun, mengarah dan mengawal
Sumber keusahawanan
  1. Tanah: Segala kekayaan (anugerah Tuhan) yang terdapat di atas dan di dalam bumi serta didasar lautan.
  2. Modal: Sumber kekayaan untuk menjayakan sesuatu projek termasuk jentera dan kilang.
  3. Sumber manusia: Pekerja yang menyumbang tenaga, pemikiran, bakat, kreativiti dan motivasi.
  4. Bahan mentah: Benda yang perlu diproses untuk menghasilkan barang siap / perkhidmatan untuk ditawarkan kepada pelanggan
  5. Maklumat: Pengetahuan / ilmu yang membantu usahawan merancang, mengelola dan melaksanakan sesuatu aktiviti perniagaan dengan berkesan.
  6. Teknologi: Kaedah operasi / pemprosesan yang membulehkan usahawan menghasilkan barang / perkhidmatan.
Keusahawanan adalah satu proses menggabungkan sumber pengeluaran seperti tanah, modal, sumber manusia,bahan mentah, teknologi dan maklumat oleh usahawan untuk mengeluarkan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

Perbezaan antara usahawan dan peniaga


Peranan usahawan kepada diri sendiri:
  • Meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
  • Membangunkan potensi diri dan ciri-ciri positif - kreaiviti, gigih, mahir, ketrampilan, berdikari, yakin diri, tidak mudah berputus asa, berdaya maju
  • Membangunkan aspek kerohanian – sabar, syukur, dermawan (zakat, sedekah, derma)
Peranan usahawan kepada keluarga:
  • Meningkatkan taraf hidup dan kesejahterraan keluarga (keselesaan, kesihatan, pendidikan)
  • Mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga
  • Meningkatkan status sosial
  • Keluarga yang berjaya dalam keusahawanan dipandang tinggi, dihormati kerana sumbangannya dan dijadikan teladan masyarakat setempat
Peranan keusahawanan kepada masyarakat:
  • Mewujudkan peluang pekerjaan
  • Meningkatkan taraf hidup
  • Upah/ gaji dapat memenuhi keperluan dan kehendak untuk hidup selesa
  • Mewujudkan dan mempelbagaikan pilihan barangan juga menghasilkan teknologi baru dan produk baru melalui kreativiti dan inovasi kehidupan masyarakat lebih selesa dan mudah
  • Melahirkan masyarakat madani
Peranan keusahawanan kepada pembangunan negara
  • Pemangkin kepada pembangunan negara: Kegiatan keusahawanan membulehkan usahawan menggunakan sumber-sumber dengan berkesan dan menambahkan nilai sumber-sumber tersebut. Contohnya kawasan terbiar diusahakan menjadi kawasan rekreasi, seterusnya menjadi pemangkin pertumbuhan perhotelan, kompleks membeli belah dan perbankan.
  • Meningkatkan pendapatan negara: Kegiatan keusahawanan menghasilkan cukai yang menjadi pendapatan penting kepada sesebuah negara. Meliputi cukai jualan, duti eksport, duti import, duti eksais, cuykai pendapatan, cukai syarikat dan lain-lain.
  • Mengurangkan pergantungan kepada negara luar: Kegiatan keus ahawanan boleh membangunkan pelbagai jenis industri yang menghasilkan pelbagai barang dan perkhidmatan. Masyarakat dapat menikmati produk tempatan dan mengurangkan mport produk yang lebih mahal.
  • Meningkatkan pertukaran wang asing: Kegiatan keusahawanan membolehkan banyak jenis produk untuk dieksport. Ini memang menghasilkan pendapatan kepada negara dari segi pertukaran wang asing. Industri pelancongan semistinya meningkatkan pertukaran wang asing.
Peranan keusahawanan kepada pembangunan agama:
  • Usahawan wajib membayar zakat
  • Usahawan juga digalakkan bersedekah dan memberi derma
  • Sumbangan ini dapat digunakan untuk meningkatkan syiar Islam
  • Dapat membangunkan sekolah, masjid, institusi agama, memberi biasiswa dan mengurangkan kadar kemiskinan
  • Dengan cara ini dapat membantu meningkatkan status umat Islam
Kelebihan keusahawanan sebagai kerjaya - Kerjaya ialah membuat sesuatu pekerjaan dan mendapat kepuasan

Usahawan sebagai alternatif makan gaji
  • bekerja sendiri
  • berisiko
  • cabaran memberi kepuasan
  • kerana berjaya mencapai & memperolehi sesuatu yang sesuai dengan cita-citanya
Kelebihan keusahawanan sebagai kerjaya:
  • Mempunyai peluang yang tidak terbatas sama ada dari segi bilangan usahawan yang boleh menceburkan diri dalam bidang ini atau peluang untuk menceburkan diri dalam mana-mana bidang perniagaan dan perusahaan juga tidak terbatas
  • Peluang untuk memiliki organisasi sendiri, bebas dan fleksibel untuk melakukan pekerjaan.
  • Seorangan usahawan lebih bertanggungjawab atas pekerjaan yang dilakukan, dapat menentukan sasaran pencapaian sendiri, dapat memaksimumkan penggunaan sumber dan memanfaatkan sepenuhnya bidang yang diceburi
  • Punca ganjaran/pendapatan: Kedudukan kewangan adalah ukuran kejayaan usahawan, oleh itu seseorang usahawan boleh memaksimumkan keuntungan dengan menggembleng sumber yang dimiliki dengan bekerja bersungguh-sungguh
  • Membaiki status diri dan masyarakat: Apabila kedudukan kewangan usahawan meningkatk reputasi & statusnya di klangan masyarakat. Usahawan yang bersifat inovatif (pembaharuan barang/ prkhidmatan yg ditawarkan) akan mengisi keperluan & kehendak pelanggan. Kegiatannya yang membuka peluang kepada masyarakat menjadi pembekal dan vendor dapat memperbaiki pendapatan taraf hidup & status sosial masyarakat. Contohnya pemaju perumahan memerlukan pembekal bahan, pengusaha perabot dan lain-lain
  • Peluang mewariskan kerjaya: Kerjaya yang buleh diwarisi, perniagaan dapat diteruskan oleh pewaris walaupun usahawan tersebut telah meninggal dunia

Jadual tokoh & bidang keusahawanan



Agensi kerajaan dan swasta yang dapat membantu usahawan ialah: MARA, MEDEC, CGC, MATRADE, FAMA, MARDI, BPIMB, SMIDEC, Guthrie Furniture Sdn. Bhd., Katyaneka, SIRIM, FRIM, PDPN

5 P Dalam Perniagaan


Dalam perniagaan kita perlu menguasai 5 P berikut :

Promotion

Mempromosi produk sangat penting agar orang ramai mengetahui kehadiran syarikat kita bersama produk yang ditawarkan dalam pasaran. Melalui pemasaran yang hebat, syarikat boleh menjana jualan yang tinggi seterusnya menyumbangkan kepada keuntungan.

Place

Lokasi yang strategik membawa kelebihan kepada pemasaran. Bagi sesetengah perniagaan, lokasi premis tidak penting, tetapi perkara yang penting lokasi mana kita perlu memasarkan produk adalah sangat penting.

Product

Produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat membawa pulangan wang kepada syarikat. Sekiranya produk kita benar-benar menjamin kepuasan pelanggan, maka kita berupaya mengekalkan daya saing syarikat.

Price

Harga banyak dipengaruhi oleh bahan mentah, kos pembuatan, permintaan dan kepada siapa produk itu dipasarkan. Bagi sesetengah produk dipasarkan kepada kelompok pelanggan yang tertentu dan menyebabkan ia betul-betul ekslusif. Ia mempengaruhi harga yang ditawarkan.

Presentation

Mempersembahkan produk kepada bakal pelanggan sangat penting bagi menarik pelanggan untuk membeli. Cara mempersembahkan produk perlu dengan cara yang profesional, mudah, ringkas dan mesra pelanggan. Bagi sesetengah perniagaan, mereka melaburkan banyak wang dalam menyediakan persembahan yang terbaik untuk produk mereka.

Rosli Dhoby (4)


Sebelum menjalani hukuman ini juga, Rosli Dhoby sempat menulis surat ini diserahkan kepada seorang warden yang amat dipercayainya dan banyak menyimpan sejarah perjuangannya Sumarja Mohamad atau Pak S. Berikut ialah isi kandungan surat terakhirnya. tersebut;

Dengan secharek kertas ini dan se‑putung pensil untuk renungan sepanjang masa. Saya si‑penulis Rosli Dhobi dalam lindungan Permai. Saudara2 dan saudari2 sa‑perjuangan, saya ta' lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpah darakku yang ku chintai, dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua, dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, saga sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki raayat yang telah di‑ budaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima apa2 kesalahan di dunia ini saya ta'genter saya ta'takut mati, saya terima hukuman yang telah di jatohkan di‑mahkamah.

Saya berdoa kepada Allah s. w. t. Saudara2 saudari2 di‑akhir kelak balek ke‑pengkuan Ibu‑pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasin dan datang‑nya tetapi saya sudah tidak ada di dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sa‑genap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 Saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur majulah ka hadapan

Amin ya rabbul alamin berkat do a laillahaitlahi Munamada rasululah. Dan saga uchapkan jutaan terima kasih kepada saudara Pa. S. Allah sahajalah yang akan membalas budi jasa‑nya dengan penuh layanan, nasiha yang belom pernah di‑dengar oleh saya dari awal hingga akhir.

Harapan ini surat jangan sekali di‑beri sesiapa pun. Simpan baik‑bai, barangkali di‑lain masa ada guna‑nya.

Ditulis pada 1‑3‑1950

Saya yang akan meninggalkan endah ini,

R.D.

Dipetik dari buku Rosli Dhobi Di Tali Gantung tulisan Rudi Affendi Hj. Khalik,1997

Rosli Dhoby (2)

Rosli Dhoby telah ditahan di Sibu, Sarawak pada 3 Disember 1949 atas tuduhan membunuh Gabenor Sir Duncan Stewart dan seterusnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2 Mac 1950. Beliau ditahan dan menjalani hukuman tersebut bersama-sama Morshidi Sidek.

Kedua-kedua mereka merupakan anggota Kumpulan rukun 13, sebuah pertubuhan sulit yang di asaskan oleh Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS). Rukun 13 diketuai oleh Awang Rambli dan penubuhan kumpulan ini adalah untuk menentang dan menghapuskan sesiapa sahaja yang menyokong penyerahan pentadbiran Sarawak kepada Inggeris.

Peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart dan penangkapan Rosli Dhoby serta penahanan beberapa orang lagi anggota kumpulan 13 telah dianggap sebagai kemuncak perjuangan nasionalisme di Sarawak dalam menentang penjajahan Inggeris.

Sarawak berada dalam gelora gerakan anti penyerahan sejak Vyner Brooke mengisyhtiharkan untuk menjadikan Sarawak sebagai Crown Colony, sekaligus memperakukan bermulanya penjajahan Inggeris di negeri itu.

Ekoran daripada pengumuman yang dibuat pada 8 Februari 1946 ini, lahirlah beberapa pertubuhan anti penyerahan termasuklah PPMS. Pertubuhan ini dikatakan mempunyai 30 ribu orang ahli dan turut bekerjasama dengan pergerakan2 anti penyerahan Sarawak yang lain seperti Barisan Pemuda Sarawak yang berpusat di Kuching dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.

Rukun 13 ditubuhkan di saat2 kegiatan pergerakan anti penyerahan mulai lemah oleh tindakan dan penindasan Inggeris. Kumpulan ini pada mulanya merancang ingin membunuh Sir Arden Clark, Gabenor pertama Inggeris di Sarawak. Rancangan ini gagal kerana Gabenor itu telah ditukarkan ke Nigeria.

Perhatian Rukun 13 kini beralih pula kepada pengganti Arden clark iaitu Duncan Stewart. Rosli Dhoby, seorang pelajar yang baru berusia 19 tahun pada ketika itu, telah ditugaskan untuk menikam Duncan Stewart dengan sebilah pisau. Gabenor yang malang itu mati seminggu kemudian.

Rosli Dhoby (3)

Pengkaji Sejarah Sarawak, Dr Chang Pat Foh, berkata tindakan Rosli Dhoby adalah sebahagian sentimen antipenjajah di kalangan penduduk tempatan yang lahir selepas Perang Dunia Kedua.

"Penduduk tempatan mahu keluarga Brooke (yang memerintah Sarawak dari 1839-1942) menyerahkan Sarawak kepada mereka untuk memerintah sendiri dan bukan menjual Sarawak kepada British dengan harga satu juta pound.

Tindakan Sir Charles Vyner Brooke itu mencetuskan kemarahan penduduk Sarawak yang merasakan negeri mereka menjadi barang dagangan yang boleh dijual beli," katanya pada satu majlis dialog Sejarah Hero Melayu pada Zaman Awal Sarawak, di sini, baru-baru ini.

Tindakan Charles menjual dan menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British pada 1 Julai 1946 mencetus semangat penentangan di kalangan penduduk tempatan terutama golongan cerdik pandai, kakitangan kerajaan dan guru.

Sebelum itu, dua Ahli Parlimen British, D R Rees Williams dan L D Gammans melawat Sarawak pada Mac 1946 untuk mendapatkan pandangan penduduk mengenai isu penyerahan Sarawak sebelum dikemukakan kepada Majlis Negeri untuk kelulusan.

Penduduk tempatan tidak memahami maksud sebenar penyerahan dan isu itu yang kemudian diluluskan selepas berdebat di Majlis Negeri dengan memihak kepada sokongan penyerahan iaitu 19 undi menyokong berbanding 16 undi menentang.

Keputusan itu menyebabkan bermula 1 Julai 1946, British memerintah Sarawak, bagaimanapun, ramai penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Guru dan kakitangan kerajaan dari kalangan orang Melayu paling ramai menentang penyerahan termasuk Rosli serta mereka yang menganggap penyerahan itu tidak sah dari segi undang-undang dan sebaliknya menuntut kemerdekaan Sarawak.

Rasa tidak puas hati berterusan terutama di kalangan orang Melayu yang kemudian menubuhkan GPM untuk menentang penjajah.

Atas rasa cintakan tanah air, Rukun 13 yang dianggotai 13 ahli GPM yang turut disertai Rosli mengadakan perjumpaan di Jalan Queensway, Sibu pada 21 Februari 1949 untuk mengusir Gabenor penjajah dan wakil yang lain.

Puncak penentangan GPM tiba selepas Gabenor British kedua, Duncan Stewart yang mentadbir Sarawak membuat lawatan pertama ke Sibu.

Mereka merancang mengambil peluang itu ketika Stewart melawat Sibu pada 3 Disember 1949, tarikh Rosli dipilih untuk menikam Stewart bagi memberikan gambaran kepada Inggeris yang masanya sudah tiba bagi Sarawak untuk merdeka.

Pada jam 9 pagi, ketika penduduk Sibu berkumpul bagi menyambut Stewart dan beberapa pegawai Inggeris yang tiba dalam satu barisan panjang sambil pelajar mengibarkan bendera Inggeris dan Sarawak, Rosli pula bersedia ditengah-tengah orang ramai dengan rakannya Morsidi Sidek yang menyamar sebagai jurugambar.

Kira-kira 9.30 pagi ketika Gabenor bergerak ke arahnya, Rosli terus mengeluarkan badik (senjata tradisi yang disapu racun) dan meluru serta menikam perut, sambil melaungkan perkataan: "keluar dari Sarawak atau kamu mati", pada masa yang sama Morsidi pula menyerang pegawai Inggeris, yang hanya dikenali sebagai Mr Dilks.

Mereka berdua ditangkap polis di tempat kejadian, manakala Stewart yang dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Lau King Howe Sibu sebelum diterbangkan ke Singapura pada pagi esoknya dan meninggal dunia tujuh hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember 1949, Rosli dan Morsidi Sidek serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Ramli Matsaruddin dan Bujang Suntong dihukum gantung sehingga mati di Penjara Pusat Kuching.

Pada awal pagi, 2 Mac 1950, Rosli dan Morsidi Sidek, digantung di Penjara Pusat Kuching, di Jalan Tabuan, Kuching, namun British tidak membenarkan jenazah mereka dibawa keluar dari kawasan penjara.

Tindakan itu kononnya bagi mengelakkan tunjuk perasaan dan bantahan ahli keluarga serta pihak antipenjajahan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka berdua, sebaliknya dikebumikan di satu sudut pekarangan Penjara Kuching, tanpa sebarang pengenalan pada kubur.

Nasib sama menimpa Awang Rambi dan Bujang Suntong yang dihukum mati pada 23 Mac tahun yang sama turut dikebumikan tanpa nesan.

Pada 1996, Kerajaan Sarawak merasakan adalah tidak wajar untuk wira dan nasionalis berkenaan kekal terpenjara selepas dihukum gantung 46 tahun dulu.

Dengan persetujuan ahli keluarga, kubur Rosli dan tiga rakannya digali semula dan dikebumikan dengan sempurna di tempat kelahiran asal mereka iaitu di Sibu.

Pada 2 Mac 1996, kubur keempat-empat wira itu digali semula dan tinggalan jasad dikeluarkan dan dibaluti dengan bendera Sarawak dengan penuh penghormatan sebagai pahlawan ke Padang Merdeka dan dibawa dengan dua helikopter Nuri ke Sibu yang disambut lebih 2,000 warga Sibu.

Jasad mereka dikebumikan di perkuburan Masjid An Nur pada 2 Mac 1996 iaitu bersamaan tarikh Rosli dijatuhkan hukuman gantung.

Bagi penjajah British, Rosli adalah penjenayah, namun bagi penduduk Malaysia, beliau adalah wira yang berjuang dan menggadai nyawa untuk memerdekakan negeri ini dari cengkaman penjajahan.

Oleh: momochick
http://www.nusantaraku.org/

Rosli Dhobi (1): Inilah Perjuang Bangsa dan Islam

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British mati di tali gantung pada 2 Februari, 1950.

Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua Sarawak Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember, 1949.1 Mac, 1950.

Anak muda Melanau yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, keluarga Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Sarawak dikuasai oleh penjajah swasta British Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke, iaitu Sir James, anak saudaranya Sir Charles, dan anak Sir Charles iaitu Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak di zaman Sir Charles Vyner.

Sebelum keluarga Brooke menguasai Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah pemerintah Sarawak dan wakil Sultan Brunei, pengasas negeri Sarawak.

Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.

Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala agen penjajah itu melawat Sibu pada Disember 3, 1949.

Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dipanggil Badik.

Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”

Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, kedua-duanya ditangkap oleh polis British.

Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Pegawai British itu meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morsidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong, yang juga berketurunan Melanau, telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching.

Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan.

Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor (kawan mereka yang juga berketurunan Melanau).

Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
  1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
  2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.
  3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
  4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
  5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
  6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
  7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
  8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal. 
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby

Sumber: http://hasfazanizam.wordpress.com/