Monday, January 31, 2011

Si Dia Curang?


Tidak setia, cinta beralih arah boleh berlaku kepada siapa saja

SI dia main kayu tiga? Bagai tubuh disambar halilintar dengan deras adrenalin bertubi-tubi sebaik menyedari buah hati yang selama ini dicintai berlaku curang. Umpama menikam dari belakang, begitulah pedihnya hakikat yang terpaksa ditelan.

Tatkala memikirkan ‘lakonan’ si dia sebelum kebenaran terungkai, tentu perasaan dendam, sakit hati serta benci menguasai diri dan membentak-bentak untuk membalas dendam atau menghukum si dia.

Mengapa tidak, insan yang selama ini cukup mengambil berat, menyayangi serta sering melakukan kejutan tiba-tiba berubah hati serta bertindak menduakan pasangan. Patutlah reaksi dan penampilan diri si dia berbeza, rupanya cinta beralih arah.

Adatlah, andai berbicara soal curang, lelaki sering dipersalahkan. Ada yang pantas menyalahkan lelaki yang sering rambang mata selain kononnya didorong faktor ‘kuota’ yang membolehkan lelaki menambah teman hidup.

Disoroti laporan akhbar sejak tahun lalu, ada lelaki menjadi mangsa dan menanggung sengsara kerana teman hidup berlaku curang. Seperti yang berlaku di Kuantan, Pahang, di mana seorang suami bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memerangkap isterinya yang berkelakuan sumbang dengan lelaki lain di dalam bilik sewa.

Apa yang lebih membuatkan hati suami bertambah remuk, beliau melihat sendiri si isteri yang dikahwininya selama lima tahun, bercumbu dengan pasangan dalam serbuan itu. Dalam kejadian lain di Kangar, Perlis, hasrat seorang suami berusia 31 tahun untuk melakukan kejutan hari lahir isterinya dengan membeli kek serta sejambak bunga di rumah, bertukar tragedi hitam apabila mengetahui isterinya berkhalwat dengan lelaki lain di sebuah hotel.

Lebih memilukan hati suaminya, isterinya sanggup berbuat demikian di hari jadinya sendiri termasuk mengabaikan dua anaknya yang berusia dua dan enam tahun.

Contoh dipaparkan ini membuktikan, dalam dunia yang penuh pancaroba ini, bukan lelaki saja yang sanggup berlaku curang sebaliknya wanita juga mampu melakukan perkara sama.

Mengulas isu kecurangan dalam perhubungan, penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Izuddin Ali, berkata ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berlaku curang. Ini termasuk faktor persekitaran, hubungan dingin serta jarak jauh perhubungan.

Dr Izuddin berkata, pada zaman yang penuh mencabar ini, bukan saja lelaki yang menduakan pasangan kerana wanita juga sudah berani untuk melakukan perbuatan sama.

“Adakah sebab mereka sendiri bertindak untuk berlaku curang kerana ada juga faktor dan alasan mengapa seseorang itu curang seperti membalas dendam, dicabar orang lain atau tidak mendapat layanan sepatutnya oleh pasangan sendiri.

“Masyarakat hanya memandang lelaki saja yang sering berlaku curang, tetapi boleh saya katakan di sini, wanita juga tidak terlepas untuk melakukan perkara sama terutama dengan adanya teknologi seperti laman sembang,” katanya.

Ditanya apakah alternatif yang boleh diambil untuk memulihkan hubungan selepas tragedi curang, Dr Izuddin berkata, pertama sekali, renung kembali apakah masalah dan kekurangan sehingga menjadi punca kepada berlakunya kecurangan itu.

Andai tidak ada masalah dalam perhubungan, akurlah pada kelemahan diri dan cuba untuk memperbaiki masalah dengan mengubah sikap, penampilan dan tarikan peribadi.

“Jangan ketepikan untuk memohon kepada Allah SWT dan bersama-sama dengan pasangan untuk melakukan solat hajat dan taubat bagi memulihkan kembali hubungan.

“Pesan saya, dalam pada kita asyik ingin mencari pasangan baru, belum tentu orang baru itu benar-benar membahagikan di kemudian hari. Silap hari bulan, mungkin pasangan baru lebih teruk daripada apa yang kita sangka,” katanya.

Apabila cinta dikhianati


“MEMANG mulanya kita akan berasa marah dan sedih. Tetapi, perlulah berfikir secara realistik dan pastikan apa yang berlaku sebenarnya. Biar ia terjadi di depan mata untuk benar-benar kita saksikan pada mata dan kepala sendiri. Perkara ini saya pernah alami tetapi saya jadikan ia sebagai pengajaran.

“Malah, ia tidak menghalang saya untuk berkenalan dengan orang lain dan tidak ada langsung istilah serik atau melabel semua wanita berperangai sama. Apabila sudah berlaku sedemikian, tidak ada sebab untuk saya menjauhkan diri sebaliknya masih lagi boleh berkawan tetapi tidak mungkin untuk bersatu kembali.
Zain Saidin, Pelakon

“ADALAH lebih baik berbincang dulu untuk mendengar apa yang pasangan ingin katakan. Jika memang sudah ada bukti yang kukuh dan dia pula mengaku salah, terpulang kepada kita sendiri sama ada ingin memberi peluang kedua atau tidak kerana kita ada hak itu.

“Andai sudah tidak boleh menyelesaikan masalah itu, berpisah mungkin jalan terbaik untuk kedua-dua pihak daripada bersama dan asyik mengimbau tindakan serta kecurangan dirinya selama ini. Bukankah itu tidak bahagia kelak? Malah, tidak mustahil kejadian itu akan memburukkan lagi hubungan.”
Dia Fadila, Penyanyi

INFO: 8 reaksi si dia curang

  1. Tidak semesra dulu: Jika sebelum ini, nampak kesungguhan dirinya dalam berhubungan, tetapi semuanya pantas bertukar. Bukan setakat tiada kata-kata manis, si dia juga seolah-olah mahu menjauhkan diri.
  2. Resah melampau: Bukan saja duduk tidak keruan, riak wajahnya juga membayangkan segala-galanya. Lebih-lebih lagi, si dia asyik melihat jam tangan...musykillah!
  3. Mematikan nada dering: Jika dulu, telefon andalah yang diterkam dulu untuk menguji tahap kesetiaan. Kali ini, si dia pula yang menyembunyikan telefon bimbit dan mengubah nada bunyi kepada mod gegar. Tidak cukup itu, telefon bimbit dibawa sampai ke bilik air. Faham-faham sajalah!
  4. Mudah naik angin: Pantang tersilap sikit, ada saja yang tidak kena. Jika si dia mahu selalu bersama, sekarang ada saja yang tidak kena. Pantang nampak kesalahan, bagai halilintar marahnya.
  5. Kurang menelefon dan bertanya khabar: Hakikat ini harus anda fahami semua. Ketika awal bercinta dulu, bukan main lagi gelagatnya menelefon serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Sekarang, semua tinggal kenangan.
  6. Alasan demi alasan: Jika sudah berumah tangga, ada saja alasan untuk pulang lewat. Bagi yang bercinta pula, si dia kerap memberi alasan sibuk bekerja. Sedangkan, semua itu dusta kerana sebenarnya, si dia sibuk berpacaran dengan orang lain.
  7. Panggilan rahsia: Bukan saja ada kod rahsia pada telefon bimbit, si dia juga sering menyamar seolah-olah sedang bercakap dengan orang penting di tempat kerja, walhal itulah ‘kekasih gelapnya’.
  8. Tersasul: Entah apa mimpi, si dia tiba-tiba memanggil anda dengan panggilan yang cukup manja dan berbeza. Sayang, manja, darling atau sebagainya. Jangan mudah terpedaya dengan nama palsu itu kerana di sebalik ungkapan itu, mungkin si dia tersalah sebut nama buah hati baru.
Oleh: Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Penyakit Mental


Apa itu penyakit mental
  • Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
  • Kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1% daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental.
  • Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang-upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.
Adakah semua penyakit mental serupa?

Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama:

1. Neurosis:
  • Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka.
  • Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka.Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
  • Kemurungan - Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu serta menganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan
  • Kebimbangan - Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya
2. Psikosis:

Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkahlaku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas
  • Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah - ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan
  • Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab.
Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
  • Schizophrenia: Antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkahlaku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
  • Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

3. Kecelaruan Personaliti:

Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karekter. Masalah yang dialami ini boleh menberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Apa yang menyebabkan berlakunya penyakit mental?

  • Penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental.
Faktor genetik/ keturunan:
  • Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.
Gangguan bahan kimia dalam otak:

Bila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya:
  • Schizophrenia: Penghasilan dopamin secara berlebihan
  • Kemurungan: Paras serotonin terlalu rendah
  • Mania: Paras serotonin meningkat secara melampau
  • Kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin
Jangkitan virus:
  • Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.
Sejarah hidup yang getir:
  • Sebagai contoh: mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibubapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar
Keadaan sosio-ekonomi yang rendah:
  • Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh meningkatkan masalah penyakit mental.
Bolehkah penyakit mental diubati?
  • Ya
  • Kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubat yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental.
  • Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan.
  • Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan carakerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.
Di manakah bantuan boleh diperolehi?
  • Semua hospital dan klinik kesihatan di Malaysia mempunyai anggota yang telah dilatih untuk memberi rawatan kepada mereka yang mengalami masalah penyakit mental. Pakar psikiatri akan dirujuk untuk kes-kes yang rumit.
Adakah sebarang ujian yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental?
  • Ya..
  • Mereka yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental mereka boleh mengambil satu ujian yang mudah dan ringkas iaitu Kajiselidik Kesihatan General Health Questionnaire (GHQ). (Anda memerlukan Adobe Acrobat Reader untuk melihat dokumen tersebut)
  • GHQ adalah satu kaedah saringan bagi menilai tahap kesihatan mental individu. Ia bagaimanapun tidak dapat menggantikan pemeriksaan dan penilaian yang lazim dijalankan oleh anggota kesihatan mental yang terlatih.
  • Terima kasih di atas usaha anda mengambil ujian GHQ
  • Jika skor anda < 4 = : Anda tidak mengalami masalah kesihatan mental yang ketara. Anda masih boleh mengekalkan atau meningkatkan lagi tahap kesihatan mental anda dengan mengikut petua-petua dan garis panduan yang disyorkan
  • Jika skor anda > 5 =: Anda mengalami masalah kesihatan mental yang ketara. Adalah mustahak agar anda bertemu anggota kesihatan mental yang terlatih untuk menjalani penilaian selanjutnya.
Rujukan

www.medscape.com/medscape/Psychiatry/clinicalupdate
American Psychiatric Association
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

Peranan Kecerdasan Emosi Mengembangkan Kerjaya


Untuk berjaya dalam kerjaya, ternyata tidak cukup hanya cerdas fikiran sahaja. Kita dapa lihat orang yang berjaya dalam kerjaya bukanlah tergolong daripada orang yang pintar sahaja. Kita juga ada melihat orang yang pintar hanya pandai mengkritik pendapat orang lain sahaja. Sebaliknya orang pandai memberi perhatian perasaan orang lain, sedia menegur dan ditegur, bertolak ansur dan berfikiran positif, kerjayanya mudah berkembang dan berjaya. Orang yang demikian ialah orang yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi.

Kecerdasan emosi ialah salah satu kepintaran yang menggambarkan kemampuan seseorang dalam mengawal perasaan dan emosinya dengan baik terhadap dirinya serta orang lain. Ia akan mampu membezakan perasaan dan emosi, dan kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk membimbing fikiran dan tindakannya (Salovey & Mayer, 1990). Menurut Goleman (1989), secara konsep, kepintaran jenis ini mampu melengkapi fikiran. Menurutnya lagi kejayaan dalam bekerja bukanlah ditentukan oleh fikiran sahaja.

Kecerdasan Emosi boleh ditingkatkan, dan dapat dirasakan baik oleh diri sendiri maupun orang lain. Banyak ahli psikologi berpendapat kecerdasan emosi yang tinggi akan sangat berpengaruh pada peningkatan kualitas kerjaya. Setidak-tidaknyanya ada lima dimensi yang amat berpengaruh dalam membangunkan kecerdasan emosi, iaitu:
  1. Memahami emosi-emosi sendiri
  2. Mampu mengelola emosi-emosi sendiri
  3. Memotivasi diri sendiri
  4. Memahami emosi-emosi orang lain
  5. Mampu membina hubungan sosial
Kejayaan merupakan proses beransur-ansur, bukan berlaku sekelip mata. Kecerdasan emosi itu penting, individu yang mempunyai kecerdasan emosi akan menjadi lebih baik setiap hari. Orang yang lebih baik setiap hari sedang membina kerjaya yang cemerlang.

Kecerdasan Emosi


Perasaan dan emosi seperti tangisan, sedih, takut dan gelak ketawa mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan personaliti serta menggerakkan arah kehidupan seseorang manusia. Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Maka untuk itu, emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang.

Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal dilihat sebagai individu manusia yang mengalami situasi yang pelbagai dan berkehendakkan reaksi bagi melahirkan emosi yang juga berbeza.

“Kecerdasan intelektual (IQ) lazimnya membolehkan seseorang belajar di universiti atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang memiliki IQ yang tinggi akan sejahtera dalam hidup”

Kecerdasan intelektual (IQ) membolehkan seseorang untuk belajar di universiti dan kolej atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang bijak dan pandai akan sejahtera dalam hidup. Kemahiran mengawal dan menggunakan emosi (EQ) secara bijak sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup seseorang.

Sejak Goleman menerbitkan bukunya yang berjudul “The Emotional Intelligence”, ramai pengkaji mula menunjukkan minat terhadap penyelidikan di bidang yang baru ini. Para pengkaji cuba memahami bagaimana kecerdasan emosi dapat bergabung tenaga dengan kecerdasan akal bagi menentukan kejayaan dan keharmonian sesebuah kehidupan manusia.

Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi, maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan intelektual yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.

Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini. Antara aspek kecerdasan emosi yang semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia kini adalah seperti berikut:
  • Empati iaitu memahami orang lain secara mendalam
  • Mengungkapkan dan memahami perasaan
  • Mengendalikan amarah
  • Kemandirian iaitu berdiri dengan sendiri atau berdikari
  • Kemampuan untuk menyesuaikan diri
  • Disukai oleh orang lain
  • Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara mereka yang berada di sekeliling
  • Semangat setiakawan
  • Keramahan
  • Sikap hormat-menghormati
“Kecerdasan emosi bermula sejak kecil dan dengan itu, ibu bapa memiliki peranan terpenting dalam membina kecerdasan emosi anak-anak”

Kecerdasan emosi bermula sejak kecil dan dengan itu, ibu bapa memiliki peranan terpenting dalam membina kecerdasan emosi anak-anak. Mereka harus mengajar, mendidik serta membimbing anak-anak tentang kecerdasan emosi dengan memberikan contoh teladan yang baik. Bagi membolehkan anak-anak memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, ibu bapa seharusnya mengajar dan menerapkan dalam diri anak-anak beberapa aspek seperti berikut:
  • Membina hubungan persahabatan yang baik dan harmonis
  • Bekerja dalam kumpulan secara harmonis
  • Berbicara dan mendengarkan secara efektif
  • Mencapai prestasi yang lebih tinggi sesuai dengan aturan yang ada (jujur)
  • Mengatasi masalah dengan teman yang nakal
  • Berempati antara satu sama lain
  • Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara peribadi ketekunan
  • Mengatasi konflik
  • Membangkitkan rasa humor atau jenaka
  • Memotivasikan diri apabila menghadapi saat-saat yang sulit dan genting
  • Menghadapi situasi yang sulit dengan percaya kepada diri sendiri
  • Menjalin keakraban
Jika dilihat di dalam konteks pendidikan di Malaysia, penyelidikan dan kajian tentang kecerdasan emosi masih kurang dilakukan. Pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia dilaksanakan secara tidak langsung dan ia tidak dijadikan sebagai satu subjek atau perkara yang khas (Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia 1983).

Pada kebiasaannya, beberapa andaian wujud di mana kemahiran-kemahiran sedemikian diperoleh oleh para pelajar melalui kurikulum terselindung yang disampaikan oleh guru-guru secara tidak langsung. Namun, terdapat beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang dijadikan subjek utama bagi memenuhi perkembangan yang berkesan pelajar-pelajar di Malaysia.

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian ini akan sentiasa berterusan, faktor emosi perlulah dikawal dan dijaga sentiasa. Kecerdasan emosi pelbagai etnik hendaklah sentiasa diberi penekanan dan dikawal dari kecil lagi. Begitu juga perbezaan antara gender iaitu lelaki dan perempuan.

Menurut Patricks dan Furnham, pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam kemahiran sosial. Namun, ia berbeza dengan pertimbangan jangkaan diri atau self-estimated di mana pelajar lelaki memiliki pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan.

Walau bagaimanapun, hasil kajian ini berbeza dengan yang diperoleh daripada Kyung Hee. Pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam tiga faktor kecerdasan emosi iaitu empati, penggunaan emosi dan perhubungan sesama rakan sebaya.

Menurut Curtis pula, apabila emosi diajar dan ditekankan dengan pembelajaran yang berkaitan dengan kecerdasan emosi melalui kaedah rawatan, perubahan yang lebih baik dari keadaan sebelumnya berlaku dalam diri pelajar-pelajar. Perubahan berlaku walaupun pelajar-pelajar berada di dalam tiga kelas yang berbeza iaitu kelas Pengajian Sosial/English Moden, kelas Psikologi dan kelas sukarelawan pelajar pintar. Menurut Curtis lagi, kelas bimbingan diadakan dan hasilnya wujud peningkatan dalam pengurusan emosi.

Oleh : Azromihana binti Azmi (azromihana@yahoo.com)
Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/

Rawatan Kanser Buah Pinggang



Kanser buah pinggang peringkat serius atau sel renal karsinoma (RCC) berlaku apabila sel-sel buah pinggang menjadi bertambah parah dan tumbuh di luar kawalan.

Dalam kebanyakan kanser buah pinggang, tumor akan mula kelihatan pada lapisan saluran halus dalam buah pinggang.

Tanda-tanda yang biasa kelihatan dalam RCC termasuklah darah dalam air kencing (haematuria), kelesuan, hilang berat badan, anemia, dan sakit atau ada kelompok pada sisi atau pada bahagian bawah belakang. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes kanser ini, ia tidak mudah dikesan semasa pemeriksaan fizikal sehingga ia sudah berada pada peringkat lewat penyakit itu.

Faktor ini menyebabkan pesakit tidak menyedari mereka menghidap kanser ini pada peringkat awal.

Ini menyebabkan kebanyakan kes sampai ke peringkat serius (peringkat ketiga dan keempat) apabila penyakit dikesan. Malah, ia dikesan selepas pesakit mengalami pelbagai gejala kesihatan.

Walaupun kanser ini tidak popular seperti kanser payu dara atau prostat, jumlah pesakit semakin meningkat di kalangan warga emas lelaki berumur 60 hingga 69 tahun.

Ia dikategorikan sebagai 10 kanser utama yang menyebabkan kematian.

Pada 2002, kira-kira 208,000 orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini (dan 37,000 daripadanya rakyat Amerika) serta 102,000 meninggal dunia.

Jumlah pesakit kanser buah pinggang di Amerika Syarikat tahun lalu dianggarkan 36,000 orang dan 40 peratus daripadanya berakhir dengan kematian.

Sehingga hari ini, lebih 57,000 kes kanser buah pinggang dikesan di Amerika dan dianggarkan 13,000 pesakit akan meninggal dunia walaupun mendapat rawatan.

Secara global, kanser buah pinggang adalah kanser keenam paling lazim (terutama pada peringkat III dan IV) di dunia selepas kanser paru-paru, payu dara, kolorektal, prostat dan hati.

Di Malaysia, kanser ini di tangga ke-17 bagi lelaki dan ke-20 bagi wanita dan kemungkinan menghidap kanser buah pinggang meningkat dengan cepat selepas berumur 40 tahun.

Terdapat lebih kurang 383 kes-kes barah buah pinggang dan organ pembuangan air kecil sejak 2006 . Di kalangan orang dewasa, RCC adalah penyebab utama bagi 85 peratus kanser buah pinggang dan hampir 30 peratus daripada pesakit-pesakit dengan RCC mempunyai barah metastatik pada peringkat diagnosis.

Tumor barah sel ginjal lanjut

Perunding Onkologi Klinikal, Datuk Dr. Mohd Ibrahim A Wahid, berkata, RCC adalah jenis barah ginjal yang serius tetapi jarang dijumpai.

Ia adalah antara tumor yang paling kalis rawatan, dengan kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 68.9 peratus sahaja.

Kebiasaannya mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, suka merokok, tekanan darah tinggi serta menghidap penyakit buah pinggang adalah golongan paling berisiko mendapat RCC.

"Sehingga tahun 2005, pilihan rawatan yang boleh didapati adalah terhad. Rawatan utama untuk peringkat awal RCC adalah pembedahan untuk membuang barah daripada tubuh. Walaubagaimanapun, daripada pesakit yang telah didiagnos dengan RCC, kira-kira 25 peratus hingga 30 peratus akan kembali menghidap barah selepas pembedahan dan memerlukan rawatan lanjut melewati pembedahan," ujarnya.

Bagaimanapun, beberapa tahun lepas, terapi RCC telah mensasarkan laluan-laluan molekular yang khusus dan proses-proses yang mempengaruhi pertumbuhan sel seperti mTOR. Ia merupakan satu protein yang dijumpai dalam sel tubuh untuk pertumbuhan dan pembahagian sel.

Menurut Penasihat Perubatan untuk Unit Oncology & Specialty Care Business dari Pfizer Malaysia, Dr Mohd Nawi Wahid, rawatan baru seperti Torisel disasarkan khusus kepada mereka yang menghidap RCC lanjut. Dalam erti kata lain, RCC tergolong dalam kes yang 'terlepas pandang'.

"Kajian telah menunjukkan bahawa temsirolimus mampu untuk mencapai hasil yang baik. Pfizer Malaysia amat berbangga dapat membawa harapan baru kepada penghidap RCC lanjut melalui rawatan ini," ujarnya.

Rawatan RCC

Kehadiran Torisel (temsirolimus), satu ubat intravena (IV) diluluskan sebagai rawatan bersasar baru untuk barah ginjal peringkat lanjut (juga dikenali sebagai tumor barah sel ginjal lanjut) membawa harapan kepada penghidap RCC yang mempunyai kadar kelangsungan hidup yang rendah.

Sama seperti ubat barah yang lain, pesakit yang bakal dirawat dengan Torisel akan melalui penilaian cermat berkenaan kesesuaian mereka terhadap ubat dan faktor-faktor risiko prognosis mereka akan dinilai melalui kesihatan terkini mereka khasnya keadaan organ hati mereka.

Ia merupakan rawatan sekali seminggu yang diberikan secara intravena supaya ubat tersebut boleh memasuki saliran darah secara terus. Tiga puluh minit sebelum pesakit menerima rawatan ini, doktor mungkin akan memberi mereka antihistamin secara intravena untuk membantu mengurangkan peluang kemungkinan reaksi alahan. Rawatan penuh ini dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 minit. Jika antihistamin diberi terlebih dahulu, rawatan penuh akan mengambil masa 60 hingga 90 minit.

Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Google+ Followers