Sunday, August 28, 2011

Mengapa Wajah Tidak Berseri Ketika Solat?

"Ya Allah, baru kusedari bahawa wajahku tidak pernah senyum apabila sedang berhadapan dalam majlis-Mu. Sedangkan solatku ini adalah berhadapnya aku dengan-Mu, Kekasihku. Adakah aku tidak ikhlas dalam berhadapan dengan-Mu dalam solat ini, wahai Tuhanku?

Ya Allah, beratnya wajahku BAGAI aku menanggung beban yang sangat hebat. Tiada seri dan ceria pada air muka ini. Bagai air kolam yang bertakung begitu lama. Tiada riak, bagai angin tak pernah sampai di sini. Mengapa jadi begini?

Ya Allah, bukankah aku sedang berdiri, rukuk dan sujud. Menyerahkan diri ini kepada-Mu. Kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Indah. Sewajarnya aku sedang menikmati keindahan-Mu ya Zul-Jalal Liwal Ikram. Bukankah wajah ahli syurga akan berseri-seri di syurga kerana dapat memandang Zat-Mu?

Ya Allah, apakah hambamu ini belum mencapai martabat ihsan? Aku belum mampu beribadat seolah-olah aku yakin Engkau melihatku atau aku seolah-olah sedang melihat Engkau? Kalau benar aku ini ihsan ya Allah, tentulah wajahku berseri-seri di dalam solat. Bukankah begitu wahai Kekasihku?

Ya Allah, sewajarnya wajahku ceria ketika patah-patah ayat suci bermesra di lidahku. Sewajarnya air mukaku kelihatan gembira ketika aku qiam, rukuk dan sujud kepada-Mu. Aku sewajarnya tersenyum dan berwajah permata kerana Engkau-lah yang sedang berada di majlis amalan cintaku.

Ya Allah, kalau hamba-Mu akan gembira dapat melihat Zat-Mu di syurga kelak, apakah aku tidak patut gembira dalam solat ini? Bukankah solat ini telah menemukan aku rapat dengan-Mu, ya Allah. Bukankah yang sedang berada di depanku sekarang ialah Engkau, wahai Kekasihku?

Ya Allah, aku tidak pernah menunjukkan wajah senyumku kepada-Mu ketika solatku. Aku takut kepada-Mu ya Allah kerana dosa-dosaku. Namun, hati ini sangat gembira sebenarnya kerana Engkaulah di depanku. Sebagaimana Engkau janjikan ahli syurga gembira berhadapan dengan Kekasih di dalam syurga, izinkanlah di dunia ini, dalam solat yang singkat ini, aku merasai pengalaman syurga ya Allah. Biarlah manusia lain berwajah berat menanggung beban solat, namun aku lebih rela berwajah ceria kerana kegembiraanku dapat berada dalam majlis-Mu telah mengatasi rasa takut dan berat bebanku.

Ya Kekasih para mukmin, kurniakanlah kepada kami wajah berseri-seri dalam solat ini. Kurniakanlah kami ihsan yang menjadikan kita bukan lagi sekadar rapat dengan kata-kata tetapi telah rapat menyelinap di dalam jiwa. Dunia solat yang singkat ini adalah pancaran dunia syurga. Di mana sahaja kami berada, izinkan kami melihat dengan haqqul yakin kewujudan-Mu Yang Terindah. Sesungguhnya, gembira kami telah mengatasi rasa takut ini kerana kami sedar betapa melimpah-ruahnya kasih sayang dan keampunan-Mu. Perkenankanlah cita-cita kami wahai Zat Yang Maha Suci.

Oleh: BayangDiAir
http://dakwahkemaman.blogspot.com

Bersabarlah Wahai Sayang - Sahnisah Huri


Proses Daging Burger - Dari Produk Yang Popular?

Ramadhan, jauhi dari menjadikan ia bulan 'makan-makan'

Ramadhan datang lagi menjenguk umat Rasulullah s.a.w buat sekian kali.Kali in datangnya seperti kehadiran Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.Sering disebutkan Ramadhan adalah bulan nikmat, Ramadhan juga bulan pengampunan.

Bagi yang menghayatinya, maka akan datangnya hikmahnya bulan pengampunan ini dengan nikmat iman dan ketaqwaan.

Ayat 183 Surah Al Baqarah bermaksud " Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Namun masih ada dikalangan kita sendiri tidak dapat menghayati kehadiran Ramadhan dengan mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri menjadi hamba yang memiliki jiwa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Sidang pembaca sekalian, Ramadhan bukan sahaja datang dengan syiar kewajiban berpuasa malah amalan-amalan sunat seperti solat Tarawikh di malam pertama sebelum berpuasa pada esok harinya.

Dan Daripada Abdulrahman Bin Auf, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya " Sungguh Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan dan mensunnahkan solat di dalamnya, barang siapa yang berpuasa dan solat dimalannya kerana keluar dari dosanya ibarat pada hari ia dilahirkan oleh ibunya" (hadith riwayat Ahmad).

Disebabkan itulah kehadiran Ramadhan ini amalannya didahului dengan solat sunat Tarawikh yang mendahului amalan berpuasa.Sunat Tarawikh akan berjalan sebaik selepas Isya' malam sebelum umat Islam berpuasa pada esoknya.

Mengapa?Berbalik kepada hadith yang dibacakan sebentar tadi yang menkiaskan agar umat Islam memperbanyakkan amalan sunat yang terutamanya di malam hari.

Keutamaan mengerjakan solat Tarawikh, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda " Barang siapa berdiri (solat malam) di bulan Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan pahala dari Allah, makan akan diampunkan dosa-dosa sebelumnya " (hadith Riwayat Muslim).

Terkadang ada dikalangan umat Islam mutakhir ini hanya mengetahui bahawa kehadiran Ramadhan hanya besarnya kepada kewajiban berpuasa sahaja.

Lebih malang lagi, dicelah-celah kehangatan puasa itu, kita lalai dengan budaya berpuasa yang boleh disifatkan sebagai sekadar menahan lapar dan dahaga, sekadar mahu mencukupkan syarat agar mata manusia melihat kita ini berpuasa.

Malah lebih parah dari itu, kehadiran ramadhan bagi sesetengah pihak hanya untuk meraikan bulan 'makan-makan' kerana jika dilihat pada perkembangan hari ini, pelbagai iklan dan promosi bufet Ramadhan disiarkan.

Ada yang telah memikirkan mahu berbuka dihotel-hotel mewah, direstoran terpilih dan berbuka bersama rakan-rakan, dan ada yang telah membuat tempahan awal berbuka meskipun 1 Ramadhan belum tiba.

Malang sekali, budaya ini semakin menjadi 'kebiasaan' kepada masyarakat di negara ini dalam meraikan kehadiran Ramadhan, dan bukan menjadi suatu yang aneh jika berbuka dengan lauk pauk yang mewah, melimpah ruah.

Di sana sini kini mula bicara mengenai apa menu istimewa pada Ramadhan kali ini.Malah dipejabat-pejabat hari ini, isu makanan atau menu pada Ramadhan menjadi topik perbualan utama.

Impaknya, puasa sekadar menahan lapar dan dahaga, perut yang kempis sebelum puasa menjadi kembung dipertengahan dan dipenghujung bulan puasa.

Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri hanya meneguk air dan tiga biji buah Tamar (buah kurma) ketika berbuka, dan kemdiannya baginda meneruskan solat serta amalan sunat yang lain memenuhi malam-malam Ramadhan.

Malangnya, umat Islam hari ini persoalan amalan sunat yang mendampingi Ramadhan, malah menjadi nadi kepada kekuatan Ramadhan itu sendiri semakin tidak dibicarakan.

Ada yang tidak lagi mengendahkan waktu bersahur, kerana lena dibuai mimpi, malah ada yang terlena hingga subuh ditinggalkan begitu sahaja.Puasa sekadar pada niat, dan menahan lapar serta dahaga.

Walhal lebih penting lagi, kedatangan Ramadhan ini seharusnya dititipkan dengan segala amalan sunat bermula dengan Solat Sunat Tarawikhnya; kemudian bertadarus Al-Quran (lebih molek bersekali mentadabur), solat Tahajjud di sepertiga malam, dan pada siang harinya juga di samping menahan lapar, dahaga, menahan mata, telinga mulut dari yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa, amalan bertadarus, mendengar tazkirah, bersedekah dan sebagainya juga boleh menambah nikmat Ramadhan.

Alangkah moleknya, jika solat Tarawikh juga diselangkan dengan slot tazkirah dipertengahannya, sementara ia mampu mengisi jiwa-jiwa yang menghadirkan diri ke rumah Allah dengan ilmu tambahan.

Mengapa Ramadhan disebut sebagai bulan rahmat dan pengampunan?

Nah pada bulan ini datangnya peristiwa penting hari-hari tertentu seperti turunnya Al-Quran (Nuzul Quran) pada hari ke-17 Ramadhan.

Malah di dalam bulan Ramadhan jugalah datangnya satu malam yang dipanggil Lailatul-Qadar iaitu suatu keistimewaan yang diturunkan Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Allah menjanjikan bahawa mereka yang beramal pada malam tersebut diberi ganjaran pahala seperti beribadat selama 1000 bulan.Malam yang disebutkan ini akan datang pada 10 malam terakhir dan para ulama menakrifkan ianya pada malam ganjil.

Daripada Aishah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya " Carilah malan Lailatul -Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir sebelum ramadhan" *hadith riwayat Bukhari, Muslim Tarmizi dan Ibnu Majah).

Sejurus amalan-amalan yang disebutkan tadi dilakukan dengan baik, insyaAllah rasa kehambaan akan datang, dan disitulah nikmat iman dan jiwa penuh taqwa akan dirasai.

Jadikanlah Ramadhan kali ini bukan seperti Ramadhan yang sebelumnya yang mana daripada Ramadhan 'bulan makan-makan' kepada Ramadhan bulan melazatkan amalan yang membawa ketaqwaan.

Moga ia mampu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita semua kepada Allah.

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
Sumber: http://www.detikdaily.net/

Tuesday, August 23, 2011

Melawan Cabaran Nafsu Dan Syaitan


Syaitan itu akan sentiasa menjadi musuh manusia:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).

Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (7:14-17)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya." (15:39)

Dua dalil di atas menjelaskan kepada kita di mana Syaitan akan menjadi seteru yang sentiasa akan berusaha menghasut anak Adam agar membuat maksiat dan dosa lantas melupakan Tuhan yang mengusai hari pembalasan. Oleh itu, wahai para pemuda, kita perlu tahu bagaimana caranya untuk berhadapan dengan cabaran ini. Berikut adalah saranan Abdullah Naseh Ulwan...


Langkah-langkah melawan Syaitan:

  1. Jadikan Syaitan musuh anda. Rujuk ayat al-Quran (35:6)
  2. Istiqamah dengan jalan yang lurus. Rujuk ayat al-Quran (6:153)
  3. Memohon perlindungan kepada Allah. Rujuk ayat al-Quran (16:98-100)
  4. Sentiasa ingat kepada Allah. Rujuk ayat al-Quran (43:36-37
  5. Muraqabah. Rujuk ayat al-Quran (7:201)
  6. Jauhi orang-orang yang alpa. Rujuk ayat al-Quran (6:68)
Dalam hidup ini, Allah sudah memberi pilihan kepada manusia sama ada mahukan jalan ketakwaan ataupun kekufuran. Oleh itu, terpulang kepada manusia sama ada mahu menjadi orang yang beruntung atau orang yang rugi.

"Kerana keadaan itu tidak mencukupi, (maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." (76:3)

Bagi orang-orang yang tetap teguh dengan Imannya tatkala godaan nafsu datang menduga, maka bergembiralah dengan janji Allah yang tiada keraguan padanya.

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Allah juga sudah menyatakan amarannya kepada orang yang menjadikan nafsu sebagai Tuhannya.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?" (45:23)

Oleh itu wahai para pemuda, janganlah kita mudah menyerah kalah kepada pujukan nafsu. Buktikan kekuatan hatimu, bukan sekadar tenagamu. Buktikan ia kepada Tuhanmu, bukan sekadar kepada manusia. Dan dengan itu kamu akan menjadi pemuda yang hebat di sisi Allah.

Berikut merupakan saranan Abdullah Naseh Ulwan dalam berhadapan dengan pujukan hawa nafsu...

Cara untuk bebas daripada hawa nafsu:
  1. Tingkatkan Iman
  2. Yakin Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan. Ya! mari kita mengamalkan muraqabah.
  3. Isi masa dengan perkara berfaedah
  4. Apabila bersendirian ataupun berangan-angan kosong, Syaitan akan mudah menghasut nafsu.
  5. Bersahabat dengan orang-orang yang baik
Sahabat akan mempengaruhi diri seseorang.

Sumber: iluvislam.com

Sunday, August 14, 2011

Mangga

Mangga ialah satu tumbuhan yang dijumpai sejak 4000 tahun dahulu di India dan di anggap sebagai simbol kehidupan.Ramai yang mengetahui rasa dan kenikmatan buah mangga tapi disebalik kenikmatan ada terkandung khasiat dan kebaikannya.

Antara kebaikan mangga

  1. 1 cawan hirisan mangga boleh membekalkan 25 peratus nilai harian vitamin A,yang menggalakkan penglihatan kita dengan baik.
  2. Asid glutamin yang terdapat didalam buah mangga juga baik untuk menambah daya ingatan kita.
  3. Pada setiap 100 gram mangga mengandungi 75 peratus kalori yang membantu kita mengimbangi berat badan.
  4. Makan mangga dengan kerap dapat menghaluskan kulit dan membuka liang-liang roma yang tersumbat.
  5. Ini yang selalu di cari oleh orang lelaki,vitamin E yang terdapat dengan banyaknya didalam buat mangga dapat mengawal hormon sex dan peningkatan daya seks.
Digunakan dalam perubatan tradisional.
  1. Dalam perubatan cina, kemasanan dan kemanisan buah mangga dapat menghasilkan tenaga(tonik yin).Mereka gunakan untuk merawat bengkak gusi, anemia, sembelit, batuk, deman, loya, mabuk laut dan penghadaman yang lemah.
  2. Vitamin powehouse – Mangga adalah gudang vitamin. Bermula dari Vitamin A, B, C menjadi kaya dibekalkan dengan mineral seperti fosforus dan kalsium, mangga adalah salah satu buah-buahan yang meminjamkan faedah nutrisi maksimum. Mereka juga mengandungi vitamin K dan magnesium. Mangga sangat kaya dengan potasium yang boleh membantu mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Mangga adalah salah satu sumber terbaik Betacarotene, quercetin dan Astragalin. Ini adalah antioksida yang meneutralkan radikal bebas.
  3. Pektin Merendahkan Risiko Kanser – Mangga mengandungi fenol yang antioksidan kuat dan mempunyai ciri-ciri anti-kanser. Mereka juga mengandungi pectin, yang menurunkan paras kolesterol darah. Kajian telah menunjukkan hubungan kuat wujud antara banyakmakan seratseperti mangga dan mengurangkan risiko kansersaluran gastrousus. Ia berkesan dalam melegakan liang-liang tersumbat kulit dan keasidan dan pencernaan miskin.
  4. lain-lain faedah – Ia menyembuhkan masalah buah pinggang termasuk nefritis. Mangga merawa masalah pernafasan dan menyembuhkan sembelit. Ia adalah buah buahan yang disyorkan dalam demam. Mangga juga merupakan sumber yang kaya vitamin A (beta-karotena), E, dan selenium yang membantu melindungi daripadapenyakit jantung dan penyakit lain. Mangga adalah buah yang paling sesuai untuk dimakan selepas senaman kerana ia replenishes garam dan tenaga.
Jadi, menikmati raja buah-buahan dan membuat makan secara sihat satu pengalaman yang menarik ini di musim panas

Sumber: http://kgmokkan.blogspot.com/

Kisah Uwais Al-Qarni Bagi Insan Yang Masih Mempunyai Ibu.


"Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan. Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak. Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar.

Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk semua dari kita yang masih mempunyai ibu, terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya.

Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan Ilahi nanti.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah. Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?

Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak). Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya, dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.

Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.

Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”

“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.

“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”

Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.

Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”

“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.”

Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.

Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”

“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”

“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”

Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”

Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.

Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. WalLahu ‘alam.

Nota: Semoga Allah melimpahkan pahala kepada guru-guruku yang telah menitiskan ilmu kepadaku.

Oleh: BayangDiAir
Sumber: http://www.tranungkite.net/

Tuesday, August 9, 2011

Memiliki Kemampuan Bersyukur


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan”. (Bukhari)

Huraian:

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah:

Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah.

Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

Monday, August 8, 2011

Roti Canai


Bahan-bahan ( 12-16 biji )
  • 550 gm tepung gandum
  • 250 gm air
  • 1 biji telur 50gm
  • 3 sudu besar susu pekat manis 60gm
  • 1 sudu teh garam-6gm
  • 1 sudu teh butter/margerin-15gm
  • 1-2 sudu besar tepung gandum-untuk di tambah kalau terlebih lembik semasa menguli
Cara-cara
  1. Masukkan bahan ke dalam bekas, kacau hingga sebati
  2. Masukkan bancuhan air tadi kedalam tepung.
  3. Uli hingga jadi doh
  4. Rehatkan doh selama 10min
  5. Uli lagi selama 5min
  6. Ulang langkah 4 dan 5 sebanyak 3 kali.
  7. Lepas kali ke 3 proses uli an rehat, doh bertambah kenyal dan tidak  melekat. sekiranya proses pertama terasa doh melekat di tangan. Pada proses kedua uli&rehat, tambah sedikit tepung(1 sudu besar)
  8. buat sebanyak lebih kurang 12-16 biji dan perap selama 3jam atau lebih.
  9. Setelah diperap bolehlah  dikibar.
Tip.
  • Lepas dibulatkan, hendakklah disapu dengan magerin, kemudian baru simpan, apabila masa nak kibar pulak, hendaklah di penyek-penyek dahulu sebesar tapak tangan, dan rehatkan selama 10 min, sebelum dipenyek besar untuk proses kiba

Elak Jual Akhirat Kerana Beli Dunia



LUQMAN Al-Hakim sentiasa memberikan kata-kata berguna kepada anaknya supaya dia berfikir dan mendalami maksud nasihat itu.Contohnya, beliau mahu anaknya tidak terlalu menerima bulat-bulat kebaikan seseorang kepadanya.
Mungkin, bimbang ada udang di sebalik batu di atas kebaikan itu. Katanya: “Hai anakku! Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada segala kejahatan manusia dan berhati-hatilah engkau daripada segala kebaikan mereka.

“Jauhilah diri daripada musuhmu serta berhati-hati dengan kawanmu dan janganlah engkau menghalang sesuatu yang tidak berkaitan denganmu.”

Pada maksud yang hampir sama, katanya: “Dan janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang akan memperdayakanmu dan orang yang keji perangainya kerana jika dia membalas permintaanmu itu, balasannya berupa keaiban buatmu. Dan sekiranya dia menunaikan hajatmu itu, ia hanya untuk kebanggaan (dirinya).

“Janganlah engkau meminta maaf kepada orang yang tidak suka melihat engkau memperoleh kemaafan.
Janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang tidak suka melihat engkau mencapai kemahuanmu.”

Kebijaksanaan Luqman dalam memberikan nasihat turut dilihat apabila berkata: “Barang siapa yang bercerita kepada orang yang tidak mendengar akan percakapannya, ia seumpama orang yang membawa harta bendanya kepada ahli kubur.

“Hai anakku! Utuslah seorang yang bijaksana dan berwasiat padanya. Utuslah seorang yang bijaksana dan jangan pula engkau berwasiat (lagi) padanya.”

Kita hendaklah berhati-hati ketika memberi nasihat atau meluahkan sesuatu perkara kepada seseorang.
Biarlah nasihat itu didengar dan diikuti oleh orang itu. Jika memberi nasihat kepada mereka yang enggan mendengarnya, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Luqman ketika menasihatkan anaknya supaya tidak terlalu mementingkan dunia berkata: “Jual duniamu untuk membeli akhiratmu, nescaya engkau akan untung keduaduanya sekali. Jangan sesekali engkau menjual akhiratmu semata-mata untuk membeli duniamu kerana itu menjadikanmu rugi kedua-duanya.”

Diriwayatkan, bahawa beliau berkata kepada anaknya: “Hai anakku! Aku akan memberikan rahsia padamu dengan dua perkara, apabila engkau berpegang dengan kedua-duanya engkau akan sentiasa dalam kebaikan: Setiap dirhammu (hartamu) untuk kehidupanmu (di atas dunia) dan agamamu untuk (bekalanmu) di hari akhirat.”

Luqman berkata lagi kepada anaknya: “Jangan engkau condong kepada dunia serta jangan hatimu (memikirkan) mengenainya. “Engkau tidak diciptakan untuk memikirkan hal keduniaan, sedangkan tidak ada ciptaan Allah yang lebih hina daripadanya.

Oleh: paktam
Sumber: http://www.detikdaily.net/

Google+ Followers