Tuesday, August 31, 2010

Elak perasaan marah

APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?

APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?

Apa pula perasaan anda apabila selepas lama beratur, tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di depan anda? Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan?

Kemarahan ialah satu ekspresi perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak suka. Mempunyai perasaan marah bukan perkara buruk kerana ia menunjukkan kita manusia normal.

Malah, ada pakar berpendapat kemarahan pada peringkat rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan tertentu ia boleh memberi kesan positif kepada kita.

Contohnya apabila kita dapat memberitahu seseorang bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan fikiran kita.

Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau wanita, kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding kesan terhadap hubungan sesama insan.

Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia.

Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit jantung koronari. Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika pernah mengalami penyakit jantung.

Kemarahan itu sendiri bukan faktor tunggal kepada risiko sakit jantung. Ada pakar berpendapat, perasaan negatif yang lahir akibat kemarahan itu juga memberi sumbangan yang menyebabkan seseorang berasa resah dan tertekan.

Dua perasaan ini biasanya datang bersama kemarahan yang mungkin berlanjutan kepada emosi negatif lain.

Bagaimanakah kemarahan boleh menyebabkan penyakit jantung koronari?

Saintis mengatakan, kemarahan mungkin ada kesan langsung ke atas jantung dan salur darah (arteri). Emosi negatif seperti marah cepat meningkatkan tindak balas badan apabila menerima tekanan. Jika rangsangan sentiasa diberi, kesan ke atas jantung dan salur darah berlarutan.

Apabila dalam keadaan tertekan, badan menghasilkan hormon tekanan. Dalam keadaan biasa, hormon ini diperlukan untuk menolong kita dalam jangka masa pendek jika menghadapi krisis. Bagaimanapun, jika kita kerap marah, paras hormon tekanan ini meningkat.

Hormon tekanan yang berlebihan mempercepatkan proses aterosklerosis iaitu pengumpulan plak lemak pada dinding salur darah yang akhirnya membuatkan salur darah tersumbat; yang seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari dan serangan jantung.


Selain kesan biologi, kesan ke atas gaya hidup juga penting. Mereka yang mudah marah mungkin tidak dapat menjaga diri dengan baik.

Mereka lebih berkemungkinan untuk merokok, mempunyai pemakanan tidak baik dan seimbang, jarang melakukan senaman dan meminum alkohol berlebihan.

Semua ini juga faktor yang boleh membuat seseorang itu lebih berisiko mendapat penyakit jantung koronari.

Cara mengatasi kemarahan

Ada banyak cara mudah untuk mengatasi kemarahan. Antaranya ialah dengan:

  • Menarik nafas panjang dan kira dari satu hingga 10
  • Membayangkan tempat aman untuk menenangkan minda
  • Beredar dari situasi atau persekitaran yang membuatkan anda marah (secara fizikal dan emosi)
  • Mendengar muzik
  • Mengisi masa dengan hobi
  • Jangan meletakkan harapan dalam setiap situasi
  • Meditasi
  • Meningkatkan tahap spiritual melalui sembahyang, doa dan zikir
  • Paling penting, anda harus menerima hakikat bahawa kehidupan ini tidak selalunya adil atau sempurna, dan anda harus mengambil tindakan wajar di dalam setiap keadaan. Ingat, setiap kali anda melakukan tindakan positif, anda sebenarnya menjaga jantung anda.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

Kurangkan Garam

Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah bagi sesetengah individu yang berisiko

Apa itu garam?

Garam adalah bahan yang memberi rasa masin. Ia boleh didapati dalam bentuk garam halus atau garam kasar yang ditambah dalam makanan atau yang tersembunyi seperti terdapat dalam sos, kicap, taucu, mayonis, keju, ikan masin serta serbuk perisa.

Adakah kita perlu garam?

Garam diperlukan untuk;

  1. Mengawal keseimbangan cecair badan
  2. Membantu fungsi otot dan saraf yang sempurna
  3. Membantu kekalkan tekanan darah pada tahap yang normal

Berapabanyak garam yang diperlukan?

Kita hanya perlu ambil garam kurang daripada 6 garam (1 sudu teh) sehari, termasuk garam tersembunyi.

Tips mengurangkan pengambilan garam

  • Gunakan perncah asli seperti jus limau dan rempah ratus
  • Kurangkan penggunaan garam, perisa tiruan, kicap dan taucu dalam masakan
  • Kurangkan pengambilan makanan yang diproses seperti makanan dalam tin, sosej, burger dan makanan segera
  • Kurangkan penggunaan mayonis dan keju dalam penyediaan makanan
  • Kurangkan makanan ringan yang masin seperti keropaok dan kacang bergaram
  • Kurangkan makanan berawet seperti telur masin, ikan masin, belacan, cencaluk, budu dan jeruk asin
  • Baca lebel makanan dan elakkan membeli makanan yang kaya dengan natrium klorida dan monosodium glutamate (MSG)
  • Hadkan pengambilan garam kepada 1 sudu teh (6 gram) sehari

Membentengi diri dari syaitan


Hidup tidak sunyi daripada ujian dan bahaya. Dalam pelbagai bahaya, yang paling bahaya ialah bahaya syaitan.

Sebab itulah benteng pertama yang diajar Allah ialah "saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam."

Bahaya penyakit fizikal seperti jangkitan kuman atau virus, binatang buas, bencana tanah runtuh dan gempa bumi hanya akan membawa akibat fizikal seperti kecacatan, kesakitan, kerugian dan kematian. Tetapi, akibat dan bahaya syaitan akan membawa kecacatan rohani, ketempangan sosial dan kedangkalan sistem politik yang akhirnya membawa diri ke 'neraka sementara' di dunia sebelum neraka kekal di akhirat nanti.

Jika hendak melawan syaitan sepatutnya kita mengetahui karakter dan strategi serta selok-belok, modus operandi dan organisasinya. Patut juga diketahui ialah kelemahan dan pantang larang syaitan, iblis dan konco-konconya.

Siapa musuh iblis dan syaitan?Mereka ialah Rasulullah s.a.w, orang beriman yang pengasih dan penyayang, suka memberikan nasihat, bertaubat, berakhlak mulia, bersedekah, memberikan manfaat kepada orang lain, sentiasa berwuduk, tidak melakukan dosa, solat khusyuk, pemerintah yang adil, orang kaya yang rendah hati, peniaga yang jujur dan amanah, istiqamah membaca al-Quran dan orang yang bangun bersolat malam ketika orang lain sedang tidur.

Sementara sahabat syaitan dan iblis pula ialah orang kaya yang sombong, peminum arak, hakim yang tidak adil, peniaga yang tidak jujur, orang yang tidak membayar zakat, orang yang meringankan solat, orang yang makan harta anak yatim, orang yang beramal kerana nama, orang yang penghasut dan pendengki serta orang yang membuang masa dan melakukan perbuatan sia-sia.

Pintu hati manusia yang dimasuki oleh iblis:
  • Putus asa dan kecewa
  • Memandang remeh pada dosa kecil
  • Panjang angan-angan dan suka puji-pujian
  • Memandang rendah orang lain
  • Tidak takut murka Allah
  • Tidak boleh mengawal marah
  • Ujub, sombong, riak dan buruk sangka terhadap orang lain
  • Terlalu cinta dunia
  • Bakhil dan kedekutRumah yang tidak dimasuki iblis ialah rumah yang penghuninya saling bermaafan, dalam keadaan berzikir, selalu menjauhi dosa, merendah diri kepada Allah, soleh dan solehah, berbakti kepada ibu bapa, berwuduk dan bersolat serta sentiasa membaca al-Quran.
Ada beberapa jenis senjata untuk melawan syaitan, iaitu membaca Bismillah, banyak berzikir, beristighfar, membaca "la ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin", membaca doa pagi dan petang, bersugi dan gosok gigi, solat berjemaah, berwuduk sebelum tidur, menutup aurat, membaca doa masuk tandas, banyak berselawat kepada nabi, bertaubat banyak-banyak dan banyak membaca al-Quran.

Oleh Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Monday, August 30, 2010

Hipertensi kian menular


Semakin ramai rakyat Malaysia hidap darah tinggi tanpa disedari

ESOK adalah Hari Hipertensi Sedunia yang disambut setiap tahun. Malangnya, setiap kali sambutan bagi meningkatkan kesedaran berhubung ancaman tekanan darah tinggi, ia sebaliknya turut disertai fakta membimbangkan iaitu semakin ramai menghidap penyakit bahaya yang turut disenaraikan sebagai pembunuh senyap.

Di Malaysia, Kajian Mortaliti dan Morbiditi Kebangsaan pada 1996 mencatatkan 33 peratus warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan masalah tekanan darah tinggi. Dan selepas 10 tahun, angka itu meningkat kepada 43 peratus dan wanita Melayu menjadi kumpulan di tangga teratas iaitu pada anggaran satu bagi setiap dua orang. Walaupun tekanan darah tinggi diketahui sebagai pembunuh senyap, tidak ramai yang mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan berkala. Malah disebabkan tekanan darah tinggi tidak menunjukkan sebarang simptom, ramai yang hanya menyedari mereka mengalami tekanan darah tinggi selepas diserang angin ahmar.

Pengerusi Kumpulan Kerja Garis Panduan Hipertensi Malaysia, Profesor Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata antara penyebab utama tekanan darah tinggi adalah obesiti, merokok dan pengambilan garam yang tinggi di kalangan warga Malaysia.

Jelas Abdul Rashid, umumnya orang dewasa hanya perlu mengambil enam gram garam sehari manakala untuk kanak-kanak ia sepatutnya kurang daripada itu. Namun, di Malaysia senario yang ditemui sangat mengejutkan - warga Malaysia mengambil antara 16 ke 18 gram gram sehari!

"Kita bukan hanya bercakap mengenai garam yang ditambah dalam masakan tetapi juga garam yang sudah sedia ada dalam makanan seperti sos, bijirin sarapan pagi dan sos pasta misalnya. Justeru kita tidak menyedari sudah mengambil jumlah garam yang lebih kerana hampir 75 peratus garam sudah ada dalam makanan yang dibeli," katanya.

Abdul Rashid berkata, ramai orang berhati-hati dengan gula tetapi mereka lupa mengenai garam. Sebenarnya, garam dengan harganya yang murah dan kaitan langsung dengan tekanan darah tinggi, ia harus dikawal pengambilannya.

"Tekanan darah tinggi adalah beban kesihatan utama penduduk Malaysia. Atau ringkasnya, kita boleh katakan dalam peperangan menentang tekanan darah tinggi, kita sudah pun kalah," katanya.

Apa yang dikesali, katanya, ramai tidak menyedari mereka mengalami tekanan darah tinggi manakala hampir 62 peratus mengetahui mereka mengalami tekanan darah tinggi tetapi enggan mengambil ubat. Antara sebabnya, kebanyakan pesakit percaya, sekali memakan ubat mereka perlu mengambilnya sepanjang hayat.

"Darah tinggi juga ada tahap-tahapnya seperti mana penyakit barah. Tekanan darah tinggi tahap satu tidak perlu makan ubat cukup dengan penjagaan makanan dan buat pemeriksaan tekanan darah setiap tahun.

"Jika anda lahir dalam keluarga yang ada sejarah tekanan darah tinggi atau berada dalam kumpulan berisiko seperti obes, merokok dan memiliki kadar kolesterol yang tinggi, lakukan pemeriksaan dengan lebih kerap," katanya.

Menurut Abdul Rashid, tekanan darah tinggi yang tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung, kegagalan jantung, kegagalan ginjal dan angin ahmar.

"Jika merujuk negara maju, serangan jantung bukan lagi masalah di sana kerana mereka sudah ada kesedaran untuk mengawalnya. Namun di Malaysia, serangan jantung adalah antara masalah kesihatan utama," katanya.

Selain itu, di kalangan orang Melayu kepercayaan terhadap ubat-ubatan alternatif semakin menular. Ubat-ubatan moden yang dihasilkan dengan penyelidikan dan ujian klinikal yang panjang dilihat memiliki komplikasi jangka panjang. Namun, pengambilan ubat-ubatan alternatif sama ada melalui jualan langsung atau perubatan tradisional lebih berbahaya kerana ubatan-ubatan jenis ini tidak memiliki bukti saintifik dan tidak menjalani ujian klinikal.

"Orang Melayu terlalu banyak kepercayaan begini. Kalau hendak ambil ubat-ubatan alternatif boleh tetapi dalam masa yang sama lakukan pemeriksaan tekanan darah yang kerap dan kawal tekanan darah anda," katanya.

FAKTA: Bahaya Hipertensi

  • Dihidapi seorang bagi setiap dua wanita Melayu
  • Ramai tidak sedar alami penyakit
  • 62 peratus tahu sakit tapi enggan makan ubat
  • Ramai lebih percaya kaedah alternatif.
INFO: Kawal tekanan darah tinggi
Kurangkan berat badan
Bersenam
Kurangkan pengambilan garam dan ambil menu yang sihat
Berhenti merokok
Kurangkan pengambilan kafein
Kurangkan tekanan
Lakukan pemeriksaan tekanan darah secara berkala.

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Thalassemia


Apakah Thalassemia?

Thalassemia adalah penyakit darah yang diwarisi daripada ibu bapa. Penyakit darah ini menyebabkan terjadinya anemia;
  • Anemia ini disebabkan oleh kekurangan hemoglobin dan sel darah merah.
  • Hemoglobin adalah protein pada sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan.
Apakah penyebab Thalassemis?

Thalassemia selalunya diwarisi daripada ibu bapa. Penghasilan hemoglobin pada sel darah merah ditentukan oleh sepasang gen.

Gen Thalassemia menyebabkan kekurangan penghasilan dan mengakibatkan anemia.

Siapakah yang berisiko mendapat Thalassemia?

Thalasemia kebanyakkan dihidapi oleh orang-orang Mediterranean, Timur Tengah dan Asia. Lelaki dan wanita mempunyai peluang yang sama mewarisi penyakit itu daripada ibu bapa.

Apakah tanda dan gejala Thalassemia?

Pembawa Thalassemia (Thalassemia Trait) tidak menunjukkan sebarang gejala. Mereka adalah sihat seperti biasa. Ia hanya dapat diketahui melalui ujian darah yang khusus.

Pesakit Thalassemia major menunjukkan tanda-tanda pada usia awal kanak-kanak seperti;
  • Letih
  • Pucat dan kurang aktif
  • Bahagian perut yang bengkak disebabkan pembesaran hati dan limpa.
  • Kekurangan selera makan
  • Tumbesaran yang terbantut
Bagaimana Thalassemia dikesan?

Thalassemia dapat dikesan melalui pemeriksaan darah, termasuklah complete Blood Count (CBC) dan pemeriksaan hemoglobin khusus. CBC memberikan maklumat jumlah Hb dan pelbagai jenis sel-sel darah, misalnya sel darah merah.

Apakah jenis-jenis Thalassemia?

Thalassemia boleh dibahagiakan kepada 2 jenis;
  1. Thalassemia Trait (pembawa penyakit)
  2. Thalassemia Major (kadang-kadang disebut sebagai Cooley's Anemia)
Apakah risiko mendapat Thalassemia?

Apabila 2 orang pembawa Thalassemia berkahwin, maka ada 3 orang kemungkinan dengan setiap penghamilan
  • Anaknya mewarisi 2 gen normal 25%
  • Anaknya mewarisi 1 gen normal dan 1 gen Thalassemia dari ibu bapanya (Thalassemia Trait) sebanyak 50%
  • Anaknya mewarisi 2 gen Thalassemia daripada ibu bapanya dan menghadapi Thalassemia Major sebanyak 25%

Menggubal Item

Mengubal item mestilah berdasarkan sukatan palajaran dengan mengambil kira kehendak JPU dari segi kandungan dan kemahiran yang hendak diuji. Secara umumnya, kriteria yang perlu ada pada seseorang penggubal ialah;

  1. Menguasai isi kandungan sukatan pelajaran, termasuklah kesedaran tentang sebarang kesukaran yang dihadapi oleh pelajar untuk mengusai mata pelajaran, kesedaran tentang kekeliruan atau kesilapan lazim dibuat pelajar dan kesedaran tentang kesukaran bandingan antara tajuk-tajuk yang ada. Kesedaran ini penting kerana sampel soalan perlu didasarkan pada kesukaran bandingan yang ada supaya kertas soalan tidak menjadi terlalu mudah atau terlalu susah.
  2. Mempunyai objektif pendidikan yang rasional supaya dapat membezakan antara perkara penting diketahui oleh pelajar dengan perkara yang remeh temeh yang tidak perlu diuji.
  3. Memahami dan menyedari tahap pendidikan pelajar supaya soalan yang dibina dapat disesuaikan dengan kemampuan mental pelajar tanpa menjejaskan standard soalan. Ini penting untuk mengelakkan sebarang perkara yang menimbulkan sebarang keraguan atau perkara di luar liputan sukatan pelajaran.
  4. Mahir dalam perhubungan verbal supaya soalan yang ditulis tepat maknanya secara eksplisit dan implisit dan betul jalan bahasanya (kesilapan tafsiran terhadap item adalah kerana penggunaan kata-kata atau ungkapan yang kurang tepat).
  5. Mahir dalam teknik menulis item dengan menggunakan imaginasi dan daya cipta sendiri.

Cukur Ketiak Tingkatkan Risiko Kanser

Pakar mengingatkan tentang risiko kanser payudara akibat penggunaan produk anti peluh akan meningkat dengan pencukuran bulu ketiak. Dalam satu kajian, analisa yang dijalankan terhadap pesakit kanser payudara yang menggunakan produk anti peluh dan mencukur ketiak menghidap penyakit tersebut. Pakar menyimpulkan bahawa kulit yang bulunya tercukur lebih mudah menyerap bahan-bahan kimia yang dikatakan sebagai penyebab timbulnya kanser. Kerana itu, wanita yang sudah biasa menggunakan produk ini disarankan untuk mencari 'kebiasaan alternatif lain yang lebih sihat'. Dalam kajian awal, ahli biologi dari Universiti Reading, Dr. Philippa Darbre menyatakan bahawa bahan kimia parabens yang terdapat di dalam ubat anti peluh dikatakan penyebab tumor payudara.

Kepentingan Rancangan Perniagaan Kepada Usahawan

  1. Memberi peluang kepada usahawan untuk melihat dan menilai idea perniagaan atau projek pernigaannya dengan teliti, secara objektif dan kritis.
  2. Memberi gambaran sama ada projek yang dicadangkan berdaya maju atau tidak.
  3. Membantu usahawan akan masalah-masalah yang mungkin timbul dalam melaksanakan projek perniagaan.
  4. Menjadi garis panduan untuk mengurus perniagaan seharian.
  5. Membuat ramalan-ramalan jualan, perbelanjaan dan aliran wang tuanai perniagaan
  6. Menerangkan tugas dan tanggungjawab kakitangan serta kehandak dan jangkaan perniagaan.
  7. Menilai prestasi pernaigaan
  8. Merancang pembangunan produk baru
  9. Menjadikan asas cadangan bagi pemohonan pembiayaan.

Ramadan latih jiwa


RAMADAN adalah bulan mulia yang Allah anugerahkan kepada insan supaya manusia melalui proses tarbiyah rohaniah. Maksud surah Al-Baqarah ayat 183 menyatakan dengan jelas bahawa siyam atau puasa yang merupakan inti kepada bulan Ramadan iaitu ingin menjadikan manusia berjiwa muttaqin.

Jiwa muttaqin atau takwa merujuk kepada rasa ketuhanan yang tinggi yang menjadi sumber kawalan terhadap gerak laku manusia. Oleh itu berlapar daripada makan minum, mengawal pancaindera, mendidik hawa nafsu adalah asas kawalan yang amat penting bagi seorang insan. Apalagi bagi remaja, pengawalan hawa nafsu merupakan cabaran yang paling utama dalam hidupnya.

Amat penting bagi remaja melalui proses tarbiah rohaniah supaya kawalan dalam diri remaja boleh memandu ke arah kebaikan dalam amal.

Maksud muttaqin antara lain memberikan kita keinsafan bahawa apa sahaja yang kita fikir, kita cakapkan, kita buat dan amalkan sentiasa sandarannya kita lakukan terhadap Allah SWT.

Ramadan yang kita lalui selama sebulan membentuk watak 'abid atau ibadullah dan ibadurrahman iaitu melatih kita berjiwa hamba. Jiwa kehambaan yang murni ialah mendidik remaja supaya memiliki sifat taat, patuh, akur dan tunduk.

Allah SWT menerusi sunnatullah-Nya menyebabkan semua perkara yang dicipta diluar diri manusia bersifat sedemikian.

Yang ingkar pastinya iblis dan syaitan termasuk juga sebahagian manusia. Jiwa muttaqin merupakan latihan daya kawalan dan sensitiviti remaja terhadap perkara mungkar.

Daya kawalan ini sangat perlu tidak sahaja kita sandarkan kepada manusia tetapi lebih penting lagi sandarannya kepada Allah.

Para remaja harus sejak awal lagi memilih jalan yang terbaik membentuk watak dan peribadi supaya perilaku tidak bercanggah dengan syariat.

Kes-kes pergaulan bebas tanpa kawalan, melampiaskan hawa nafsu tanpa ikut syariah menjadikan nafsu nafsi sebagai sembahan dan pujaan telah menyebabkan kerosakan berlaku pada diri remaja.

Tabiat sedemikian bila dilakukan oleh remaja bakal menyebabkan rasa ketagihan yang berterusan dan menyebabkan pelanggaran terhadap yang makruf serta penyuburan pada yang mungkar.

Tanpa kawalan diri, disiplin tidak akan terbina. Petunjuk kepada perbuatan dan amalan selalu dirujuk kepada nafsu nafsi dan bukannya akal fikiran atau pertimbangan hati.

Oleh itu amat penting Ramadan dimanfaatkan oleh para remaja untuk menguatkan hati dan membersihkan rohani supaya akhir Ramadan nanti indeks tingkah laku ada perubahan positif.

Kalau sebelum Ramadan remaja suka membuang masa berpeleseran tetapi selepas menempuh Ramadan dengan jiwa rohaniah yang tinggi, remaja mengisi masa lapang dengan kerja-kerja amal dan kebajikan.

Kalau sebelum berpuasa remaja bersifat rakus dan bengis, selepas melalui sekolah Ramadan timbul keinsafan supaya remaja bersifat belas, terbuka dan lebih bertoleransi.

Jika sebelum Ramadan, remaja hilang adab kepada orang tua dan selalu gopoh dalam melakukan sesuatu, selepas Ramadan remaja bertukar menjadi orang yang tawaduk, merendah diri dan sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa yang susah.

Kelaparan yang ditanggung oleh remaja sepanjang berpuasa kalau diinsafi dengan bersungguh-sungguh boleh mencetuskan keinsafan yang tinggi bahawa kelaparan itu berlaku pada golongan fakir miskin dan golongan tidak berada.

Daripadanya keinsafan itu boleh membina rasa kemanusiaan yang tinggi terhadap orang lain.

Sunnatullah atau ketentuan perjalanan alam tidak akan berlaku tanpa ketertiban yang Allah tentukan dan tanpa kepatuhan sumber alam patuh kepada fitrah jadinya.

Sifat air dijadikan untuk menghilangkan dahaga dan menyuburkan pokok dan membersihkan kotoran.

Sifat api ialah untuk memasak makanan, memberikan kehangatan dan cahaya dan membakar.

Air dan api tidak pernah mungkir akan sifat jadinya. Namun, manusia terutama remaja selalu alpa dan mungkir akan sifat jadinya.

Ilmu, iman dan takwa sahajalah yang akan memandu manusia ke jalan yang diredai dan benar.

Hujung Ramadan menemukan dengan Hari Raya Aidilfitri. Sebulan tarbiah yang dilalui jika dihayati dengan baik bakal mengembalikan remaja kepada fitrah hidup, iaitu kembali kepada asal.

Ibarat kain yang putih bersih. Kalau ini dapat berlaku Ramadan telah menjadi agen transformasi diri dan ini amat penting bagi diri manusia.

Bayangkan setiap Ramadan yang kita lalui kita hayati dengan baik bermakna setiap Ramadan berikutnya akan wujud peningkatan akhlak dan peribadi dan ini menjadi pra syarat yang baik untuk menjadi remaja yang beriman dan bertakwa.

Oleh NURUL IZZAH SIDEK
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Sunday, August 29, 2010

Barah kelenjar air liur


Muka membesar, rasa sakit, saraf muka lumpuh antara masalah dihadapi penghidap yang majoriti wanita
BARAH kelenjar air liur mungkin penyakit yang jarang anda dengar. Di Malaysia berdasarkan laporan Daftar Barah Kebangsaan 2003, daripada 21,464 kes yang direkodkan di Semenanjung, kira-kira satu peratus membabitkan barah kelenjar air liur dengan 0.6 peratus kes adalah pesakit lelaki.
Daripada jumlah itu, 50 peratus membabitkan lelaki Cina dan 46.6 peratus membabitkan lelaki Melayu. Di kalangan pesakit wanita, 49 peratus adalah wanita Melayu manakala 34.7 adalah wanita Cina. Kelenjar air liur menghasilkan air liur yang diperlukan dalam proses pencernaan selain memastikan mulut anda sentiasa lembap. Setiap orang memiliki tiga pasang kelenjar air liur utama di bawah dan di belakang rahang - parotid, sublingual dan submandibular (disebut sebagai kelenjar utama).

Selain itu, ada banyak lagi kelenjar air liur kecil dalam bibir, pipi dan di seluruh kawasan mulut dan tekak.


Kelenjar parotid adalah kelenjar terbesar dengan setiap satunya berjisim kira-kira 15 gram. Ia terletak di bahagian hadapan dan sedikit bawah daripada telinga. Air liur yang dihasilkan daripada kelenjar ini akan dirembeskan ke dalam rongga mulut melalui suatu saluran sepanjang kira-kira lima sentimeter.

Pensyarah Kanan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Irfan Muhamad, berkata hampir 80 peratus kes ketumbuhan kelenjar liur terjadi pada kelenjar parotid. Dan mujurlah, 80 peratus daripada keseluruhan kes bukanlah barah (benign) dan hanya memerlukan rawatan pembedahan mengeluarkan kelenjar yang terjejas bagi mengelak kes berulang.
Namun, katanya, bagi kes yang disahkan sebagai barah parotid, keseluruhan kelenjar itu akan dibuang. Ini disebabkan walaupun sedikit, kelenjar itu meningkatkan risiko kes berulang malah boleh merebak ke bahagian lain. Jika itu berlaku, sudah pasti, rawatannya akan bertambah rumit.

"Kes ketumbuhan membabitkan kelenjar air liur utama iaitu parotid ini boleh terbahagi kepada dua, iaitu kanser (malignant) atau bukan kanser (benign). Bagi kes yang disahkan sebagai barah, biasanya pesakit akan berjumpa doktor mengenai aduan kelenjar di bahagian muka yang semakin membesar dan ada kalanya sakit,".

"Ada juga kes yang menyaksikan saraf muka lumpuh. Ia mungkin petunjuk barah sudah masuk ke peringkat yang lebih teruk. Kelumpuhan saraf muka ini dimanifestasikan dengan senyum senget, pipi tidak boleh kembung malah mata yang tidak tertutup ketika tidur. Ada kala mata menjadi kering kerana pendedahan udara terlalu lama dan menyebabkan selaput mata mengalami kerosakan, dimasuki kuman atau bendasing," katanya.


Bagaimanapun, kata Dr Irfan, punca barah jenis ini tidak dapat dipastikan. Namun, adalah dipercayai ada sesetengah sel dalam kelenjar air liur menjadi mutasi yang menyebabkan sel tumbuh dan terbahagi dengan pantas. Sel yang membentuk tumor boleh merebak ke tisu berdekatan.

Faktor risiko barah kelenjar air liur biasanya dikaitkan dengan usia yang lanjut, pendedahan pada sesetengah jenis radiasi misalnya yang digunakan dalam prosedur imbasan selain kawasan persekitaran yang terdedah kepada bahan-bahan seperti nikel aloi atau habuk silika boleh meningkatkan risiko barah jenis ini.

Rawatannya bergantung pada jenis, saiz dan tahap barah selain keadaan keseluruhan kesihatan penghidap.

Umumnya rawatan barah jenis ini membabitkan pembedahan sama ada dengan atau tanpa terapi radiasi.

1) Pembedahan
Membabitkan bahagian kelenjar yang terjejas. Jika barah itu kecil dan berada di kedudukan yang mudah dicapai, pembedahan akan dilakukan bagi membuang tumor dan sebahagian kecil tisu sihat di kelilingnya. Namun jika ia membabitkan tumor yang besar, doktor mungkin mengeluarkan keseluruhan kelenjar air liur. Malah jika barah sudah merebak ke struktur berdekatan misalnya saraf muka atau tulang muka dan kulit, kemungkinan ia juga akan dibuang sangat besar.

Limpa nodul di tengkuk juga boleh dibuang jika siasatan mendapati barah sudah merebak ke kawasan itu. Pembedahan itu juga mungkin membabitkan pembuangan otot dan saraf di tengkuk kerana ia mungkin boleh menyebabkan telinga, muka, tengkuk dan bahu anda kebas dan lemah.

Jika tulang, kulit atau saraf dibuang pembedahan rekonstruktif diperlukan. Ia bagi memperbaiki keupayaan anda mengunyah, menelan, bercakap dan bernafas selepas pembedahan.

2) Terapi radiasi
Digunakan bagi membunuh sel barah selepas pembedahan. Ia juga boleh dibuat sebelum pembedahan untuk mengecutkan tumor dan memudahkan ia dibuang. Jika tumor terlalu besar dan berada di kawasan yang terlalu berisiko untuk dibuang, mungkin hanya terapi radiasi saja rawatan yang boleh dilakukan kepada pesakit.

3) Kemoterapi
Pilihan rawatan ini selalunya diberi kepada pesakit yang mengalami barah kelenjar air liur di tahap yang teruk dan sudah merebak ke bahagian tubuh yang lain.

FAKTA
Gejala barah kelenjar air liur
  • Benjol atau bengkak di kawasan berdekatan rahang atau di dalam mulut atau leher.
  • Sebelah muka menjadi kebas.
  • Otot pada sebelah muka menjadi lemah.
  • Sakit yang berterusan di kawasan kelenjar air liur.
  • Sukar menelan.
  • Sukar membuka mulut.
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Kanser Kolokrektal


Kanser kolon dan kanser rektum

Kedua-dua jenis kanser, kanser kolon dan kanser rektum merupakan sebahagian daripada kanser yang biasa dikesan di Malaysia.

Dilaporkan kira-kira 3,600mkes baru dikesan setiap tahun. Ia terjadi pada lelaki dan wanita. Biasanya terjadi pada mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

Memahami Kanser Kolorektal

Kolon dan rektum merupakan bahagian-bahagian sistem penghadaman tubuh yang mengasingkan zat-zat daripada makanan dan menyimpan sisa sehingga ia dialirkan keluar dari tubuh.

Bersama-sama, kolon dan rektum membentuk suatu tiub yang panjang dan berotot yang dipanggil usus besar.

Kanser yang brmula di dalam kolon dipanggil kanser kolon dan kanser yang bermula di dalam rektum dipanggil kanser rektal.

Siapakah yang berisiko menghidapi kanser kolokrektal?
  1. Anda berumur melebihi 50 tahun
  2. Sejarah keluarga anda menghidapi kanser kolokrektal
  3. Anda pernah menghidapi kanser kolokrektal, ovari atau payudara.
  4. Anda pernah mempunyai polip, ulcerative colitis atau Crohn's disease
  5. Anda merokok.
  6. Anda mempunyai tabiat yang lebih gemar makan daging dan kurang mengemari buah-buahan dan sayuran.
  7. Cara hidup anda kurang bergerak dan tidak aktif.
Bagaimana mengurang risiko kolorektal?

Adalah lebih baik kita mencegah kanser kolon. 2/3 kes-kes berlakunya kanser kolon dapat dicegah melalui perubahan cara hidup. Untuk mengurang risiko penyakit kanser kolokrektal ialah;

  1. Hidup secara aktif, dengan aktif bersenam kemungkinan terjadinya kanser kolokrektal dapat dikurangkan
  2. Awasi berat badan
  3. Lebihkan makanan serat. Makan lebih sayuran dan buah-buahan.
  4. Berhenti merokok.
  5. Kurangkan pengmbilan alkohol.
Tanda-tanda dan gejala kanser kolokrektal

  1. Perubahan pada tabiat membuang air besar.
  2. Cirit-birit, sembelit atau merasa usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
  3. Darah (sama ada merah yang cerah atau gelap) di dalam najis.
  4. Ketidakselesaan pada abdomen (sakit angin yang kerap, kembung, rasa kenyang dan kejang)
  5. Berat badan turun tanpa sebarang sebab.
  6. Selalu letih.
Mengesan kanser kolorektal

Bagi membantu mencari punca gejala-gejala, doktor akan menilai sejarah perubatan seseorang.

Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin mengarahkan satu atau lebih ujian-ujian dianostik;

  1. X-ray ke atas usus, seperti DCBE (double contrast barium enema) dapat menunjukkan polip atau perubahan-perubahan lain.
  2. Sigmoidoskop – membolehkan doktor melihat bahagian dalam rektum dan bahagian bawah kolon dan mengeluarkan polip dan lain-lain tisu abnormal untuk diperiksa di bawah mikroskop.
  3. Kolonoskopi – membolehkan doktor melihat bahagian dalam rektum dan keseluruhan kolon dan mengeluarkan polip dan lain-lain tisu abnormal untuk diperiksa di bawah mikroskop.
  4. Polipektomi ialah pengeluaran polip semasa sigmoidoskopi dan kolonoskopi.
  5. Biopsi – pengeluaran sampel tisu bagi pemeriksaan di bawah mikroskop, selalunya dilakukan oleh pakar patologi bagi membuat suatu diagnosis.

Tidak salah suami sibuk di dapur


Sebagai ibu, memang rasa bersalah kerana tidak dapat menyediakan hidangan lengkap berbuka untuk keluarga kerana faktor masa, antara luahan rasa suri rumah bekerja kepada Kongsi Rasa.

Menurut mereka, kesibukan tugas di pejabat dan kesesakan jalan raya menjadi faktor mereka tidak dapat menyediakan hidangan selengkap mungkin untuk berbuka. Sebagai pilihan, mereka lebih gemar membeli lauk-pauk di bazar Ramadan. Walaupun tidak memasak untuk juadah berbuka, mereka berusaha mengatasi kekurangan itu dengan menyediakan makanan dimasak sendiri untuk bersahur. Walaupun tidak cukup tidur, ia tidak menghalang ibu bekerja bangun awal pagi untuk menyediakan hidangan buat keluarga.

Dilema ibu bekerja menguruskan rumah tangga bukan masalah asing. Kak Ani juga melalui situasi yang sama. Alangkah baik, jika semua suami memahami dan berusaha mengurangkan bebanan yang ditanggung isteri bekerja.

Memang susah untuk menemui suami yang sanggup menyingsing lengang membantu isteri memasak di dapur atau kerja rumah lain. Penat bekerja tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak membantu isteri yang juga bekerja dan pada masa sama menguruskan rumah tangga.

Tiada isteri yang suka melihat suami menikmati juadah dibeli di kedai. Ibu mana mahu melihat anak disuapkan pembantu rumah ketika mereka sibuk kerja di pejabat.
Semua sedar air tangan isteri pengikat kasih sayang suami. Begitu juga menikmati masakan ibu memang dirindui anak.

Kalau suri rumah sepenuh merasa terhina kerana tidak mempunyai pekerjaan dan wang sendiri, suri rumah bekerja pula rasa terkilan kerana tidak berupaya menguruskan rumah tangga dengan sempurna berikutan kekangan masa.

Antara suri rumah sepenuh masa dan isteri yang bekerja, semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu memastikan rumah tangga mereka bahagia.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Jawapan Soalan 1

Konsep Kecerdasan EQ

Ahli psikologi Peter Salovery dari Universiti Harvard dan John Mayer dari Universiti New Hampshire pertama kali menggunkan konsep ini dalam tahun 1990. Dr. Daniel Goleman dari Universiti Havard telh menulis buku berjudul Emotional Intelligence (EQ) dalam tahun 1995. Sebenarnya EQ ini bukanlah suatu konsep baru. Semenjak 1920 lagi seorang ahli psikologi terkemuak E.L. Thorndike telah mencadangkan supaya kebolehan untuk memahami orang lain dan bertindak secara bijak dalam hubungan antara manusia perlu diberi perhatian dalam pendidikan. Cadangan itu adalah merupakan konsep kecerdasan emosi untuk menentukan ketinggian IQ seseorang.

Pada mulanya cadangan itu disambut baik oleh ahli-ahli psikologi barat, tetapi dalam tahun 1960, konsep itu muloa diabaikan dan dianggap sebagai suatu konsep yang tidak praktikal kerana dipengaruhi oleh teori-teori IQ dan buku-buku teks ujian darjah kecerdasan. Akhirnya pendidikan lebih menekankan dalam kecekapan kognitif pelajar daripada kebolehan dalam aspek afektif. Kurikulum dan sistem pendidikan menjurus kepada kecekapan kognitif dan menekankan domain hemifera kiri otak yang berasaskan pemikiran rasional dan saintifik. Antara implikasi yang dapat diperhatikan ialah;

  • Sistem pendidikan kurang berjaya membentuk individu yang beraklak mulia dan sepadu dari segi rohani, akal, jasmani dan sosial.
  • Wujud berbagai gejala sosial di kalangan golongan remaja dan dewasa.

Para penyelidik di negara ini khususnya yang telah menyedari implikasi ini dan cuba memikirkan suatu paradigma pendidikan yang lebih seimbang untuk membangunkan manusia yang berjaya dan beraklak mulia. Pendidikan di negara ini perlu memberikan asas yang kukuh kepada pembentukan EQ kerana kecerdasan IQ semata-mata bukanlah menjadi kayu pengukur kepada kejayaan seseorang pelajar. Sebaliknya, kecerdasan emosi atau EQ perlu ditekankan dalam bentuk yang lebih menyeluruh untuk melahirkan pelajar yang lebih seimbang. Oleh itu adalah menjadi tanggunjawab seseorang guru memahami konsep EQ, agar falsafah pendidikan negara benar-benar dapat direalisasikan.

Nabi Ibrahim a.s. menghancurkan berhala


Setealah Nabi Ibrahim mulai melakukan dakwahnya menyiarkan agama Allah. Nabi Ibrahim kemudian merencanakan akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata, yang dapat mereka lihat dengan mata kepala, bahawa berhala-berhala dan patung-patung mereka betul-betul tidak berguna bagi mereka dan bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri.

Sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaaan Babylon, bahawa pada setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari raya yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekal makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersukaria dan bersenag-senag sambil meninggalkan kota hingga kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turut beramai-ramai menghormati hari suci itu.

"Inilah dia kesempatan yang kenantikan" kata Nabi Ibrahim ketika melihat kota sudah kosong dari penduduknya, sunyi sepi tidak kedengaran kecuali suara burung-burung yang berkicau, daun-daun yang gemersik ditiup angin. Dengan membawa sebuah kapak, Nabi Ibrhaim menuju ke tempat ibadat untuk menghancurkan patung-patung berhala di situ.

Sambil menunujuk kepada hidangan dan bunga-bungaan di kaki patung, Nabi Ibrahim berkata sambil mengejek, "Mengapa kamu tidak makan makanan lazat yang disajiakan kepada kami ini? Mari jawablah aku dan berkatalah kamu." Lalu disepak, ditamparr patung-patung tersebut. Kemudian dihancurkan dan dipotong-potong patung-patung berhala dengan kapak. Nabi Ibrahim hanya membiarkan patung yang paling besar, lalu kapak disngkutkan kepada patung yang besar tersebut.

Setelah penduduk-penduduk kota Babylon pulang dari pesta, mereka sangat terperanjat kerana melihat patung berhala sudah hancur dan berselerak di atas lantai. Mereka mengensyaki Nabi Ibrahim yang melakukannya, lalu mengadu kepada Raja Namrud.

Itulah saat yang ditunggu-tunggu oleh Nabi Ibrahim. Melalui pembicaraan yang terbuka dapatlah Nabi Ibrahim berdakwah pada kesemua masyarakat di kota Babylon tersebut.

Semasa dalam pembicaraan Nabi Ibrahim ditanya oleh hakim, "Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan (patung-patung) kami?

Dengan tenang Nabi Ibrahim menjawab, " Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cubalah patung besar itu."

Hakim-hakim yang menjalankan pembicaran merasa amat marah kerana merasak dipermain-mainkan oleh Nabi Ibrahim. Lalu mereka berkata, "Engkau telah tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata, mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"

Dengan senang hati Nabi Ibrahim menjawab soalan hakim dengan berpidato "Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata apa-apa, tidak dapat melihat serta mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak kemudaratan, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan persembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat, bahawa persembahan kamu adalah perbuatan yang keliru dan hanya diilhamkan oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang mencipta kamu, mencipta alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaannya. Alangkah hina-dinanya kamu dengan persembahan kamu itu."

Punca sakit leher, belakang


Kira-kira 80 peratus orang dewasa pernah alami sakit leher dan belakang.



Selain bebanan pada tubuh, masalah ini juga boleh disebabkan saraf tunjang, paru-paru dan abdomen tidak normal.

DIANGGARKAN 80 peratus orang dewasa pernah mengalami masalah sakit belakang dalam kehidupan mereka dan kira-kira 50 peratus pula mengalami sakit leher atau sakit tengkuk.

Malah, sakit belakang dan sakit tengkuk atau leher adalah kesakitan paling lazim yang memaksa pesakit bertemu doktor, selain menjadi penyebab utama kecacatan, meninggalkan kerja dan membabitkan kos penjagaan kesihatan yang tinggi.

Secara perubatan, leher dan bahu terdiri daripada otot, tulang, saraf, arteri dan salur darah, begitu juga ligamen dan struktur sokongan lain. Banyak keadaan yang boleh menyebabkan sakit leher dan belakang khususnya kawasan sekitar bahu. Ada yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan trauma serta keadaan lain seperti bebanan. Perlu diketahui, antara tabiat buruk menyebabkan sakit belakang:
  • Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu.
  • Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja.
  • Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat.
  • Berdiri terlalu lama.
  • Membawa barang yang beratnya tidak seimbang.
  • Duduk membongkok di kerusi.
  • Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin.
  • Memakai kasut bertumit tinggi.
Ahli Fisioterapi Hospital Pakar KPJ Tawakal di ibu negara, Siti Suraiya Yusa, berkata kajian menunjukkan kebanyakan masalah tulang belakang boleh dicegah kerana ia berlaku akibat mekanikal tubuh dan postur atau kedudukan yang tidak baik menyebabkan tulang belakang dibebani tekanan yang tidak normal.

"Tekanan tidak normal secara berlarutan boleh membawa kepada perubahan struktur tulang belakang seperti kemerosotan cakera dan sendi, pemanjangan dan pemendekan ligamen dan otot sokongan dan rawan yang haus atau terkoyak," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Penyebab sakit belakang dan leher paling lazim bermula pada tisu lembut seperti otot, tendon dan ligamen dalam struktur ini. Ia berlaku akibat kecederaan yang menimpa struktur ini.

Masalah seperti Arthritis Degeneratif pada spina di leher (spina cervical) boleh mencengkam saraf dan menyebabkan leher dan bahu sakit. Penyakit cakera degeneratif pada bahu (cervical spondylosis) pula boleh menyebabkan sakit leher setempat yang tidak membabitkan kawasan lain.

Siti Suraiya berkata, keadaan tidak normal membabitkan saraf tunjang, jantung, paru-paru dan beberapa organ abdomen juga boleh menyebabkan masalah leher dan belakang.

Namun, apakah pilihan atau kaedah bagi mengelak kemungkinan mengalami masalah sakit leher dan bahu?

"Kunci utama dalam menjaga kesihatan belakang badan dan leher menumpu kepada tiga perkara iaitu belajar mempraktikkan postur yang baik, bijak menggunakan mekanik tubuh dengan baik ketika melakukan aktiviti seharian dan kerap bersenam (amalan senaman yang sesuai)," katanya.

Malah, tegas Siti Suraiya, asas penjagaan kesihatan leher dan belakang bermula dengan postur. Ini kerana kedudukan badan yang tidak betul adalah antara penyebab masalah spina dan boleh menyebabkan kesakitan sedia ada semakin teruk. Lebih serius lagi, ia juga boleh menyebabkan kesakitan menjadi lebih kronik dan sengsara berpanjangan.

Katanya, penjagaan asas postur yang baik ialah mengekalkan kedudukan tulang belakang atau spina yang neutral iaitu memastikan tiga lengkuk semula jadinya berada pada kedudukan betul.




Tiga lengkuk itu merujuk kepada lengkuk kecil pada dasar leher, bulatan kecil di tengah bahagian belakang dan lengkuk kecil di bawah belakang badan. Spina yang neutral tidak terlalu bulat ke depan mahupun terlalu melengkung ke belakang.

"Faktor utama yang mempengaruhi spina yang sihat ialah senaman. Kajian menunjukkan individu yang selalu bersenam kurang mengalami kecederaan atau sakit belakang. Kalangan individu yang gemar bersukan ini juga lebih mudah pulih daripada kecederaan yang dialami berbanding individu yang kurang terbabit dengan aktiviti fizikal," katanya.

INFO: Petua elak sakit belakang

  • Tidur di atas tilam spring; letakkan papan di atas dasar tilam.
  • Elakkan diri daripada ketegangan yang boleh menyebabkan sakit belakang.
  • Kekalkan kedudukan susuk badan (posture) yang baik ketika duduk dan berdiri.
  • Apabila mengangkat barang, tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja.
  • Pelajari senaman yang boleh membaiki pergerakan dan kedudukan susuk badan anda.
  • Jika memandu, anda perlu berhenti dan berehat seketika atau keluar dari kereta setiap 90 minit.
  • Bagi wanita, pakai kasut bertumit rendah.
  • Luangkan sedikit masa untuk berehat dan elakkan daripada terlalu banyak membuat kerja yang membebankan untuk jangka waktu yang lama.
  • Pegang objek yang berat rapat ke badan anda.
  • Apabila duduk di kerusi, pilihlah tempat duduk yang dapat mengampu seluruh paha anda dan biarkan kaki anda lurus ke bawah dan memijak lantai atau bangku kecil dengan selesa.
Cara rawatan di rumah:

  • Tuam dengan ais atau benda sejuk di bahagian yang sakit untuk selama 15 minit. Jika ini tidak mendatangkan kesan, balut botol air panas dengan tuala dan tuamkan ke bahagian yang sakit. Jangan menggunakan haba pada hari pertama anda terseliuh atau tegang otot.
  • Berehat di atas tilam yang padat dan agak keras yang diletak di atas lantai untuk selama 24 jam. Baring mendatar dengan mengampu lutut di atas bantal.
  • Jangan mengangkat barang yang berat dan elak daripada duduk, membongkok dan memandu terlalu lama.
  • Dapatkan nasihat daripada mereka yang terlatih dalam bidang penjagaan belakang mengenai senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.
  • Dapatkan khidmat jurupulih anggota dan ahli kiropraktor untuk membantu anda mencegah kecederaan daripada berulang.
Oleh: Suzan Ahmad
Sumber: http://www.bharian.com.my/

KOENZIM Q10: bahan bakar utama jantung


JIKA anda selalu berasa letih, kemungkinan besar jantung anda tidak memperolehi 'bahan bakar' yang diperlukan untuk kekal sihat dan kuat. Bahan bakar istimewa ini ialah Koenzim Q10 (Co Q10). Ia adalah penting untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular.

Saintis mendapati jantung mengandungi 10 kali ganda lebih banyak Co Q10 berbanding organ lain dalam badan. Ini kerana jantung adalah organ yang paling kuat bekerja dan ia berdegup kira-kira 100,000 kali setiap hari. Tiada satu pun degupan itu boleh berlaku tanpa tenaga. Oleh kerana jantung merupakan organ yang bekerja tanpa henti, ia memerlukan tenaga yang amat banyak secara berterusan

Di peringkat sel, tenaga dikeluarkan dalam mitokondria (pusat janakuasa) dan kerana jantung merupakan organ yang paling kuat bekerja, ia kaya dengan mitokondria yang menjana tenaga (sehingga 5,000 mitokondria dalam setiap sel), lebih banyak daripada apa yang dijumpai dalam mana-mana tisu yang lain. Lebih banyak mitokondria di dalam sel, maka lebih banyak tenaga mampu ia keluarkan. Oleh kerana Co Q10 itu penting untuk pengeluaran tenaga dalam mitokondria, maka tidak hairanlah jika jantung mengandungi berlipat ganda banyaknya Co Q10 berbanding mana-mana organ lain.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa muda. Badan dapat mengeluarkan semua Co Q10 yang diperlukan oleh jantung. Tetapi apabila semakin tua, kita mengeluarkan semakin sedikit Co Q10. Apabila berumur 50-an atau 60-an, jantung akan mengalami 'kebuluran' tenaga. Bila ini berlaku, jantung tidak dapat menjalankan tugasnya dengan cekap serta tidak dapat membekalkan semua oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh organ dan tisu di seluruh badan anda. Justeru itu, anda akan berasa letih dan tidak bermaya.

Manfaat Co Q10 kepada jantung kini diterima umum oleh doktor. Beberapa kajian menunjukkan pembaikan yang konsisten dalam fungsi jantung bagi mereka yang mengambil Co Q10. Oleh kerana Co Q10 begitu perlu untuk pengeluaran tenaga, maka sudah tentu ia akan menjejaskan fungsi jantung sekiranya terdapat kekurangan, dan ini belum lagi mengambil kira organ-organ yang lain.

l Co Q10 sebagai antioksidan

Co Q10 wujud di mitokondria, iaitu tempat di mana radikal bebas dijanakan. Sebagai sejenis antioksidan yang berkesan, Co Q10 telah terbukti dapat mencegah kerosakan mitokondria, dengan itu memelihara dan melindungi sistem tenaga kita.

l Mencegah oksidasi kolesterol LDL

Penyelidikan telah memutuskan bahawa bukan semua kolesterol itu tidak berfaedah. Lipoprotein berdensiti rendah (LDL) dikenali sebagai 'kolesterol jahat' manakala lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) ialah 'kolesterol baik'. Lebih tinggi HDL adalah lebih baik. Sebenarnya, kolesterol LDL secara bersendirian tidak menjadi masalah; ia menjadi masalah hanya apabila ia dioksidasikan oleh radikal bebas. LDL yang dioksidasikan ini akan berkumpul di dalam arteri kita serta membantu membina plak, seterusnya mengeraskan arteri.

Dalam aliran darah, Co Q10 diangkut oleh LDL. Co Q10 melindungi LDL daripada dioksidasikan oleh radikal bebas. Kajian mendapati lebih banyak Co Q10 yang terkandung dalam kolesterol LDL, maka lebih kurang kecenderungannya terhadap pengoksidaan dan juga semakin kurang kemungkinan untuknya membentuk plak yang menyumbat arteri.

Vitamin E juga ialah sejenis antioksidan yang membantu melindungi daripada pengoksidaan LDL. Sehubungan ini, Co Q10 memainkan peranan penting untuk membantu badan anda menyimpan lebih banyak vitamin E dalam aliran darah dengan mengitar semula vitamin E, supaya badan dapat menggunakannya secara berulang-ulang. Melindungi LDL daripada pengoksidaan juga merupakan suatu langkah yang amat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung anda.

n Co Q10 dan Statin

Statin (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) merupakan sekumpulan ubat untuk menurunkan kolesterol dan dianggap sebagai sejenis ubat yang berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak tetapi juga mengurangkan risiko serangan jantung. Statin menghalang sintesis kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase.

Namun demikian, kesan ini juga menghalang pengeluaran Co Q10. Sejak tahun 1990, terdapat banyak kajian yang melibatkan manusia untuk menilai kesan statin dan Co Q10. Kajian-kajian ini mendapati penurunan ketara pada paras Co Q10 dalam jantung, otot rangka dan tisu hati selepas rawatan dengan ubat-ubat statin, terutama sekali apabila ubat-ubat ini diambil dengan dos yang tinggi.

Menurut seorang pakar jantung Dr. Peter Langsjoen, semua statin akan menyusutkan konsentrasi Q10 di kedua-dua paras darah dan paras selular.

"Dos yang lebih tinggi akan menyebabkan kesusutan Co Q10 yang lebih besar. Masalahnya ialah penyusutan ini berlaku secara perlahan sepanjang beberapa tahun, menyebabkan sukar untuk kita menyalahkan sesuatu kesan yang buruk tiga tahun kemudian (misalnya) kepada pengambilan statin," jelasnya.

Penyusutan ini adalah amat bahaya bagi golongan tua, kerana apabila kita semakin tua paras Co Q10 kita menjadi semakin berkurangan. Antara ubat Statin yang terdapat di pasaran Malaysia ialah: Lovastatin, Pravastatin, Simvastatin, Fluvastatin dan Atorvastatin.

Kajian menunjukkan penyusutan Co Q10 akibat daripada penggunaan statin boleh dicegah dengan mengambil suplemen. Lagipun, pengambilan suplemen Co Q10 tidak menjejaskan keupayaan statin untuk menurunkan kolesterol.

Menurut Dr. Langsjoen, menggabungkan Co Q10 dengan statin bukan sahaja dapat mencegah penyusutan Co Q10, tetapi juga mungkin boleh meningkatkan keberkesanan ubat statin dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol jahat). Jika anda sedang mengambil ataupun berhajat untuk mengambil statin, bincangkan dengan doktor anda tentang pengambilannya bersama suplemen Co Q10.

n Co Q10 Larut Air

Suplemen Co Q10 bukan sahaja untuk mereka yang mengambil ubat statin. Dr. Langsjoen telah memberikan suplemen Co Q10 kepada beribu-ribu pesakit, dan beliau berpendapat kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kita mengalami masalah jantung barulah hendak mengambil Co Q10. Beliau percaya pengambilan Co Q10 bermula dari pertengahan umur (apabila kemerosotan Co Q10 bermula), akan memberi kesan perlindungan kepada mitokondria jantung dan membantu memelihara fungsi jantung.

Bentuk tradisi suplemen Co Q10 bagaimanapun tidak mudah diserap oleh badan (serbuk Co Q10 yang diampaikan dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul-kapsul gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk dan gelatin-gelatin keras yang berisi serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah Co Q10 adalah amat besar, tidak larut air, dan tidak begitu larut dalam lipid yang menyebabkannya sukar diserap oleh badan.

Proses "Biosolv" yang dipatenkan dapat mengecilkan saiz zarah Co Q10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada hanya 0.3 mikron, iaitu saiz lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul Co Q10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "larut air" (hydrosoluble). Umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik lagi penyerapannya. Dengan Co Q10 yang larut air, lebih banyak Co Q10 dapat diserapkan ke dalam aliran darah untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada jantung dan badan anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

oleh: Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Saturday, August 28, 2010

20 Kesilapan Utama Mendidik Anak


Mendidik anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang mencabar dalam pembentukan sahsiah diri dan peribadi yang mulia. Terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh ibubapa khasnya terhadap anak-anak mereka berlaku tanpa mereka sedari. Impaknya kesilapan itu berterusan dan secara tidak langsung membentuk budaya negatif dalam hidup berkeluarga.

Sikap jahil ibubapa memberi kesengsaraan emosi pada anak-anak. Kesilapan demi kesilapan terus berlaku tanpa ada usaha-usaha mengkoreksi sudah pasti akan menjejaskan keberkesanan usaha mendidik anak-anak tersebut. Dalam jangkamasa panjang, kesilapan yang berlaku tanpa disedari akan mewujudkan fenomena-fenomena negatif seperti kerenggangan hubungan, peribadi atau akhlak yang tercela pada anak-anak, pudarnya kasih sayang dan sebagainya. Berikut ialah 20 kesilapan utama dalam mendidik anak-anak, iaitu;
  1. Terdapat jurang Komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak.
  2. Ibubapa tidak membimbing anak-anak ke arah kebaikan dan patuhi syariat.
  3. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.
  4. Kurang melahirkan kasih sayang pada anak-anak.
  5. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak.
  6. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.
  7. Tidak pernah luangkan masa makan bersama dengan anak-anak.
  8. Sering mengeluh dihadapan anak-anak.
  9. Komunikasi dengan anak-anak tidak menggunakan bahasa yang betul.
  10. Senantiasa menunjukkan sikap negatif di hadapan anak-anak.
  11. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.
  12. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.
  13. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.
  14. Tidak menghargai kerja anak-anak atau meraikan kejayaan anak-anak.
  15. Suka berleter kepada anak-anak jika mereka melakukan kesilapan.
  16. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
  17. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.
  18. Tidak berusaha pelbagaikan sajian untuk hidangan anak-anak.
  19. Tidak luangkan masa bersama berborak dengan anak-anak.
  20. Suka herdik, gertak dan menakutkan anak-anak.
Berdasarkan perkara diatas, oleh itu, ibubapa haruslah muhasabah diri dan berusaha perbaiki diri dalam mendidik anak-anak. Walau apapun persepsi ibubapa, haruslah ingat bahawa anak-anak juga mempunyai perasaan dan maruah. Maka hormati mereka dan hargai diri mereka sebagaimana anda hargai diri sendiri.

Sumber: http://alhelmi.tripod.com/

Friday, August 27, 2010

Nabi Ibrahim melawan Raja Namrud


APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)

Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya.

Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:

"Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."

Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa.

Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri."

Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"

Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?"

Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim. Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.

Sumber: http://www.ipislam.edu.my

100 unta upah bunuh Rasulullah


SELAMA tiga hari tiga malam Rasulullah SAW dan sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq menyembunyikan diri dalam Gua Tsur sebeluh berhijrah ke Madinah.

Sudah pasti ketika itu mereka diselubungi perasaan takut, bimbang dan cemas.

Ini kerana kafir Quraisy benar-benar melancarkan gerakan mencari mereka berdua untuk dibawa pulang sama ada dalam keadaan hidup mahupun mati.

Dahulu komplot untuk membunuh baginda di rumahnya di lakukan oleh 11 pemuda yang terpilih.

Tetapi kali ini tawaran dibuka kepada sesiapa sahaja untuk memburu dan membawa pulang Nabi Muhammad.

Tawarannya cukup lumayan sehingga menyebabkan seluruh pemuda Quraisy keluar dan masing-masing berpecah menuju ke seluruh pelosok dan ceruk kawasan untuk mencari dan menangkap baginda.

Tawaran 100 ekor unta itu menyebabkan ramai para pemuda yang gagah perkasa sama ada berjalan kaki, menunggang kuda mahupun unta keluar untuk mencari dan memburu baginda.

Mereka sanggup memanjat dan mendaki bukit-bukit, menuruni lembah-lembah yang tandus dan kering malah sehingga melepasi sempadan daerah dan wilayah semata-mata keghairahan untuk merebut tawaran yang cukup lumayan itu.

Ketika itulah sebagaimana yang diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina Siti Aishah sama ada kedudukan baginda selamat atau tidak, semuanya diberitahu melalui laporan harian yang dibuat oleh seorang anak Abu Bakar, iaitu Abdullah.

"Abdullah adalah seorang anak muda yang mahir dan tangkas. Setiap malam ketika malam semakin larut, suasana senyap sepi apabila semua mula dibuai mimpi, anak muda itu akan keluar secara senyap dari Kota Mekah dan segera menuju ke Gua Tsur.

"Di gua itu, Abdullah akan terus melaporkan apa yang beliau intip dan dengar terutamanya dari mulut pemimpin Quraisy mengenai sebarang rancangan mereka sejak bapanya dan Rasulullah berjaya melarikan diri.

"Kemudian pada waktu sahur, Abdullah akan segera meninggalkan gua tersebut dan pulang ke Kota Mekah.

"Beliau kemudiannya berpura-pura seperti baru bangun tidur, seolah-olah setiap malam anak muda ini tidak ke mana-mana.

"Abdullah kemudiannya akan mula menjalankan kerja-kerja pengintipan di sana sini untuk dilaporkan kepada Rasulullah dan Abu Bakar pada malam hari," kata Aishah.

Bagaimana pula dengan makan minum Rasulullah dan Abu Bakar selama berada dalam gua itu?

Amir bin Fuhayrah, seorang lagi anak muda yang berani yang bertanggungjawab dalam hal itu.

Dia bertindak berani kerana jika tertangkap pastinya umur tidak akan panjang kecuali mati dikerjakan oleh musuh-musuh Rasulullah.

Dia merupakan hamba milik Abu Bakar yang kerjanya setiap hari menggembala kambing. Selepas waktu Isyak, Amir akan menghalau kambing-kambingnya berdekatan dengan kaki Bukit Tsur dan apabila keadaan didapati selamat, Amir akan memerah susu-susu kambing tersebut lalu ditinggalkan kepada Abdullah yang akan datang kemudian untuk dibawa kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Apabila tugasnya sudah selesai, Amir akan membawa pulang kambing-kambing dan begitulah yang beliau lakukan hampir setiap malam untuk memastikan baginda dan tuannya dapat minum susu kambing sebagai penggalas perut.

Segala jejak yang ditingalkan oleh Amir dan kambing-kambing tersebut di sepanjang perjalanan pulang, semua telah dipadam atau dihilangkan oleh Abdullah.

Maka tiada sesiapa dapat mengesyaki tindakan berani kedua-dua anak muda itu kerana masing-masing akan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Walaupun ada sesetengah riwayat menceritakan bahawa seorang lagi anak perempuan Abu Bakar, iaitu Asma sendiri yang sanggup bersusah payah setiap malam secara curi-curi membawa bekalan makanan untuk bapanya dan Rasulullah.

Asma sememangnya seorang srikandi Islam yang tidak pernah menghitungkan keselamatannya sendiri demi membantu perkembangan Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

TUJUH MACAM PAHALA YANG DAPAT DINIKMATINYA SELEPAS MATINYA


Dari Anas r.a. berkata bahwa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.
  1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.
  2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.
  3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.
  4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.
  5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.
  6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.
  7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya - yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
  1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
  2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
  3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.
Sumber: http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/

Thursday, August 26, 2010

Cegah barah usus


PENYAKIT yang sering didengar tetapi kurang diberi perhatian oleh orang ramai ialah barah kolorektal atau barah usus. Ia paling biasa dihidapi kalangan lelaki di Malaysia dan ketiga paling banyak dihidapi wanita di negara ini.

Jika diukur menerusi statistik kumpulan etnik, penghidap paling ramai ialah masyarakat Cina. Walaupun punca utama yang menyebabkan kanser usus besar ini masih menjadi tanda tanya, penyakit ini boleh dikesan pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh sepenuhnya. Andai dibiarkan, ia boleh meragut nyawa. Mengikut Pendaftar Kanser Kebangsaan, lebih 3,600 kes baru dikesan setiap tahun dan kebanyakannya dihidapi mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

Barah kolorektal ini terbahagi kepada empat tahap iaitu kanser bermula pada bahagian dalam kolon atau rektum; kedua, kanser mula merebak melalui dinding kolon dan rektum; tahap ketiga, barah mula merebak menghampiri nodus limfa dan keempat, barah terus merebak ke organ tubuh yang lebih jauh seperti hati dan paru-paru.

Perunding Perubatan Onkologi, Dr Christina Ng, berkata barah ini membabitkan bahagian kolon dan rektum serta sebahagian usus besar yang membantu proses penghadaman makanan dan pembuangan sisa.

"Kanser ini tidak diketahui punca utamanya, tetapi pelbagai faktor memainkan peranan. Ini termasuk usia menjangkau 50 tahun ke atas, pembentukan polip, genetik, amalan diet atau pemakanan, penggunaan tembakau, kegemukan dan penyakit radang usus," katanya yang juga Presiden dan Pengasas Empowered, projek khas bagi menyaring kanser kolon di bawah Persatuan Sokongan Kanser Malaysia yang dilancarkan minggu lalu.

Memandangkan ada pelbagai jenis barah, cara merawatnya juga berbeza. Ramai yang tahu mengenai satu atau dua jenis rawatan yang biasa digunakan tetapi pakar biasanya menggandingkan beberapa terapi bukan saja untuk membuang tumor tetapi juga memastikan ia tidak kembali merebak.

Pakar onkologi perlu menimbangkan pelbagai perkara sebelum memilih jenis rawatan yang sesuai dan terbaik untuk pesakit. Penentuan jenis rawatan pula terletak pada tahap barah dan lokasi kanser itu pada tubuh. Beberapa bentuk rawatan barah yang ditawarkan di negara ini ialah seperti radioterapi, pembedahan, kolostomi dan kemoterapi.

Bagaimanapun, kata Dr Ng, cara terbaik menangani barah usus ini ialah menerusi proses penyaringan. Kejayaan projek saringan bertujuan mengesan kanser kolon peringkat awal di Australia dan United Kingdom sudah memperlihatkan kesan penurunan pada jumlah kematian akibat kanser kolon.

Saringan perlu dilakukan bagi mengesan barah sebelum simptomnya muncul dan mereka yang berusia 50 tahun ke atas disarankan menjalani saringan ini sebagai langkah pencegahan awal. Tindakan pantas mengesan dan membuang ketumbuhan atau polip sebelum ia bertukar menjadi barah adalah cara paling berkesan mencegah penyakit ini. Bagaimanapun, sekiranya barah itu sudah terbentuk dan dapat dikesan awal, ia masih meningkatkan peluang sembuh melalui pembedahan sebelum merebak ke organ lain.

"Kami berharap masyarakat lebih peka dan memahami pentingnya mengesan awal simptom penyakit ini supaya pesakit pulih sepenuhnya. Barah bukanlah seperti menghadapi hukuman mati kerana pesakit kini mampu menentukan kesejahteraan hidup dengan mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan rawatan yang terbaik," katanya.

Faecal Immunohistochemical Test (FIT), satu ujian yang digunakan untuk mengesan darah dalam sisa najis wajar dilakukan dalam tempoh sekali setahun. Ia adalah kaedah saringan yang disarankan kepada sesiapa saja berusia 50 tahun ke atas. Ujian ini memberi tindak balas ke atas protin hemoglobin manusia, yang terkandung dalam sel darah merah. FIT memberikan bacaan saringan kanser lebih baik terhadap pertumbuhan barah dalam usus besar berbanding kaedah saringan lama yang dipanggil Faecal Occult Blood Test (FOBT). FIT juga lebih mudah dalam soal mengumpulkan sampel kerana ia lebih praktikal.

Sekiranya keputusan sampel najis positif mengandungi darah yang tersembunyi, prosedur kolonoskopi dilakukan untuk pengesahan lanjut. Kolonoskopi ialah prosedur doktor akan memasukkan tiub halus yang mudah lentur menerusi rektum sehingga ke kolon. Prosedur ini digunakan untuk mengkaji mengapa berlakunya perubahan yang sukar dijelaskan pada tabiat usus di samping melihat tanda awal kanser dalam kolon dan rektum. Prosedur ini membolehkan pakar melihat radang tisu, ketumbuhan luar biasa, ulser, pendarahan dan kekejangan otot.

INFO: Mitos kanser

  • Barah usus penyakit lelaki: Hakikatnya, seperti lelaki, kanser ini juga dihidapi wanita. Di Malaysia, kanser kolon paling banyak dihidapi lelaki manakala barah ketiga paling banyak dihidapi wanita.
  • Barah usus tidak boleh dihalang: Hakikatnya, amaran awal tanda kanser kolon adalah pembentukan ketumbuhan kecil yang bukan kanser dipanggil polip. Sekiranya polip dikesan awal, ia boleh dibuang sebelum kanser terbentuk.

INFO: Saringan barah

  • Mengesan awal dan membuang polip sebelum bertukar menjadi kanser cara terbaik untuk mengelak barah usus besar.
  • Walaupun barah sudah terbentuk, pesakit masih berpeluang pulih sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal. Pembedahan perlu dilakukan sebelum ia merebak ke organ lain.

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Wednesday, August 25, 2010

Amar syahid di medan Uhud


Amar bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum Amar.

Amar sangat berpegang teguh kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama Islam.

Malah, Amar pernah berkata kepada salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak mengikutinya."

Ketika ramai daripada kaumnya sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.

Sehingga pada suatu hari, semasa Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.

Kata Amar: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."

Nabi Muhammad terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima sedikit pun ajaran Islam.

Kemudian Nabi Muhammad bertanya: "Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"

"Benar," jawab Amar.

"Ini adalah satu keajaiban dari Allah," kata Nabi Muhammad.

"Saya mahu memeluk agama Islam," kata Amar dengan tegas.

Kemudian Amar berkata lagi: "Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang Uhud."

"Saya sudah bersedia dengan pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada di tangannya.

Selepas mendengar berita baik dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.

"Syukur kepada Allah. Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi Muhammad sendirian.

Mulai pada hari itu, Amar sah menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Berita keislaman Amar tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam, Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.

Peperangan yang berlaku dengan pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan kehadiran Amar.

Salah seorang daripada tentera Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"

Amar tidak peduli dengan pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.

"Kamu bukan orang Islam. Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata salah seorang tentera Islam itu lagi.

Pada masa itu, badan Amar berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam. Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.

Kata Amar: "Saya sudah beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu. Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."

"Betulkah apa yang kamu katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar berita ke-Islaman Amar.

Amar gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata, "Amar masuk syurga kelak."

Tentera Islam lain terkejut dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi semasa melawan musuh.

Pernah dilaporkan oleh Abu Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.

Begitulah kisah sahabat Nabi Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.

Orang yang mengaku bahawa dirinya Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai Allah.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, August 24, 2010

Modul Pembelajaran Kendiri


Modul kendiri digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Modul didefinisikan sebagai satu unit pengajaran dan pembelajaran kendiri yang lengkap dan terancang bagi menyampaikan dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran.

 
Ciri-ciri asas modul pembelajaran kendiri

 
Modul yang ditulis dengan jelas dan dapat menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Ini boleh dicapai kerana modul mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang wujud melalui aplikasi teori-teori pembelajaran. Di antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut;

  1. Kandungan lengkap – Setiap unit modul seharusnya mengandungi semua bahan yang diperlukan untuk mencapai objektif modul tersebut. Ia merupakan satu pakej yang lengkap dengan bahan-bahan pembelajaran arahan kendiri.
  2. Arahan kendiri – Penggunaan modul memberi peluang kepada pelajar menguruskan pembelajaran mengikut kemampuan masing-masing. Mereka juga boleh mengulangi mana-mana bahagian dengan segera apabila didapati perlu. Susunan modul boleh dipelbagaikan supaya dapat menampung pembelajaran pelajar yang mempunyai minat dan keperluan yang berbeza.
  3. Perbezaan di antara individu – Pelajar mempunyai tahap kebolehan yang berbeza di dalam proses pembelajaran. Tidak mungkin seorang guru dapat memenuhi keperluan setiap pelajar. Modul membolehkan pelajar menentukan tahap kemajuan pembelajaran masing-masing.
  4. Pernyataan objektif yang jelasm – Pelajar belajar dengan lebih berkesan jika mereka jelas tentang hala tuju pembelajaran berkenaan. Objektif yang jelas amat penting kepada penulis modul, kepada guru yang menggunakan modul dan kepada pelajar yang belajar menggunakan midul tersebut.
  5. Perkaitan, urutan dan struktur pengetahuan yang optima.- Modul menggabungkan pengalaman praktikal, bahan teorikal, maklumat dari pelbagai media dan bahan subjek utama yang dikaitkan dengan konsep bahan berkenaan.
  6. Penggunaan media dan kaedah yang pelbagai.- Tindakbalas pelajar terhadap pelbagai media pembelajaran adalah berbeza. Terdapat pelajar yang lebihberminat kepada kaedah pembelajaran visual, audio atau pembacaan. Melalui modul, kesemua kaedah ini dapat digabungkan. Kaedah pembelajaran bermodular tidak membosankan dan ia dapat mengekalkan minat pelajar dan memberi motivasi kepada mereka.
  7. Maklum balas disediakan mengikut kemajuan.- Salah satu daripada ciri-ciri modular ialah ia menyediakan maklum balas yang berterusan mengenai kemajuan pelajar, terutamanya dalam pencapaian objektif modul. Ini dilakukan dengan membina soalan-soalan dalam bentuk teks, senarai semak dan kuiz pada sela tertentu, dan ikuti dengan jawapan-jawapannya. Dengan cara ini pelajar dapat menyemak tahap pengetahuan, pemahaman dan kemahiran masing-masing.
  8. Pengukuhan segera.- Pengukuhan di dalam konteks modul bermaksud ganjaran terhadap pembelajaran. Modul menggunakan maklum balas yang tepat untuk membentuk tingkah laku pelajar. Kelewatan dalam menyediakan maklum balas untuk pelajar akan menurunkan tahap pembelajaran pelajar tersebut.
  9. Penyertaan aktif pelajar – modul direka bentuk untuk menggalakkan penyertaan aktif di kalangan pelajar. Oleh kerana pelajar mengawal pembelajaran masing-masing, maka mereka sendiri yang menentukan sama ada hendak meneruskan pembelajaran atau mengulangi bahagian pembelajaran tertentu, masa untuk belajar dan bila hendak menjawan soalan.
  10. Strategi penilaian dan penguasaan – Modul mempunyai sistem penilaian untuk mengukur penguasaan pelajar terhadap objektif modul. Seseorang pelajar dikehendaki menguasai sesuatu modul sebelum ia meneruskan pembelajar kepada modul yang seterusnya.

Prasekolah kerajaan perlu nilai tambah


PENDIDIKAN prasekolah sangat penting kepada perkembangan dan kemajuan akademik anak-anak kita. Ia menjadi sebuah institusi untuk menyiapkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dengan kemahiran asas menulis, membaca serta mengira.

Di negara kita, terdapat dua jenis pendidikan prasekolah. Satu dikendalikan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Manakala yang satu lagi diusahakan oleh pihak swasta sama ada secara persendirian atau melalui sistem francais.

Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama tetapi berbeza kurikulum. Hal ini menyebabkan standard kualiti muridnya juga tidak selaras. Murid prasekolah kerajaan begini, murid prasekolah swasta begitu.

Melalui program transformasi kerajaan, pendidikan prasekolah kini dijadikan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran.

Semua prasekolah - kerajaan dan swasta - diwajibkan menggunakan kurikulum yang sama iaitu Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Tenaga pengajar dan pembantunya juga perlu mengikuti latihan yang disediakan oleh KPM. Mereka juga perlu mempunyai ijazah. Guru yang belum memenuhi syarat itu perlu menyambung pelajaran.

Penyeragaman ini menjadikan padang permainan kembali sama rata antara prasekolah kerajaan dan swasta. Isu kualiti siapa lebih baik sepatutnya tidak timbul.

Bagaimanapun, pengusaha prasekolah swasta pasti akan menawarkan pelbagai inovasi sebagai daya tarikan untuk mencari seramai mungkin pelajar di tadika masing-masing. Maklum saja kelangsungan perniagaan mereka bergantung kepada bilangan murid yang ada. Semakin ramai murid semakin banyak untung.

Usahawan prasekolah swasta akan membawa masuk pelbagai methodologi dan pedagogi pendidikan Barat atau dari negara maju lain sebagai nilai tambah kepada kurikulum standard yang sedia ada. Selain sebagai 'modal' menarik pelanggan, ia juga satu justifikasi untuk mengenakan yuran yang tinggi.

Segalanya demi memastikan prasekolah mereka melahirkan kanak-kanak yang lebih cerdas dan menguasai kepintaran pelbagai. Ia juga untuk menjadikan prasekolah mereka menjadi pilihan utama ibu bapa.

Dalam hal ini, prasekolah kerajaan juga perlu mengambil pendekatan yang serupa tetapi menggunakan bahan bantu mengajar yang diterbitkan oleh syarikat tempatan. Kelebihannya, bahan tersebut menepati aspirasi negara dan sesuai dengan nilai-nilai murni masyarakat negara kita.

Paling utama, prasekolah kerajaan yang diberi nilai tambah ini akan dapat mengecilkan jurang antara murid di desa atau kawasan pedalaman dengan murid di bandar.

Tambahan pula, prasekolah kerajaan merupakan satu-satunya pilihan pendidikan prasekolah yang ada di kawasan kampung dan pedalaman.

Adalah menjadi tanggungjawab pengendali prasekolah kerajaan ini untuk melengkapi murid-muridnya dengan kecerdasan dan kemahiran tambahan melalui alat bantu mengajar yang sesuai serta berkualiti.

Sekiranya bajet mengizinkan, proses mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga boleh dilaksanakan. Namun, ia bukan sekadar projek membekal perkakasan dan perisian.

Selain itu, guru dan pembantunya juga perlu diberi latihan secara berkala untuk dilengkapi dengan teknik atau kaedah P&P terkini di samping menambah pengetahuan baru.

Melalui pendekatan ini, prasekolah kerajaan akan dilihat dinamik dan tidak boleh diperlekehkan. Malah tidak mustahil ia akan kembali menjadi pilihan utama ibu bapa kerana yurannya rendah dan kualiti pendidikannya setanding dengan prasekolah swasta.

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Rancangan Perniagaan

Rancangan perniagaan adalah satu dokumen bertulis di antara 25 hingga 40 mukasurat yang menerangkan tentang.

  • Pernigaan atau projek yang akan dijalankan, hala tuju perniagaan dan bagaimana ia akan berkembang secara menyeluruh.
  • Kajian-kajian yang telah dibuat dan langkah-langkah yang akan diambil pada masa hadapan untuk membangunkan perniagaan
  • Ramalan-ramalan, jangkaan-jangkaan dan cara perlaksanaan strategi perniagaan.

Sesetengah pihak menggunakan nama-nama lain untuk Rancangan Perniagaan diantaranya adalah pelan induk perniagaan, kertas kerja, kertas projek atau propektus. Rancangan perniagaan merupakan peta yang akan menentukan arah tuju syarikat dan strategi bagaimana kejayaan dicapai oleh usahawan.

Panduan Membina Item

Keperluan menulis item

Soalan hendaklah berdasarkan Jadual Penentuan Ujian yang telah ditetapkan. Soalan digunakan untuk mentaksir perkara yang hendak diperkembangkan dalam diri pelajar melalui mata pelajaran. Penulis item mesti mengetahui spesifikasi item yang kan dibina seperti item subjektif, konstruk dan tajuk, aras kesukaran (pertimbangan profesional), peruntukan markah dan jenis pemarkahan.

Soalan hendaklah jelas dari segi tugasan dan perkataan

Pelajar sepatutnya tidak keliru dengan apa yang dikehendaki oleh soalan. Tajuk atau topik yang digunakan untuk menguji konstruk tertentu biarlah menguji kebolehan pelajar untuk menjawabnya dan bukanlah mereka berkehendak soalan. Pelajar mesti faham apa yang diperlukan bagi menjawab soalan.

Soalan hendaklah seberapa jelas dan tepat yang mungkin

Janganlah menggunakan perkataan yang tidak berfungsi sebagai hiasan (window dressing). Soalan biarlah terus tetapi janganlah terlalu ringkas hingga mengelirukan pelajar atau hingga tugasannya tidak jelas.

Elakkan soalan-soalan yang memerlukan jawapan 'ya' atau 'tidak'.

Misalnya "Setujukah anda dengan perancangan keluarga?" memerlukan jawapan 'ya' atau 'tidak'. Dari itu apakah patut ditulis? Adakah pelajar diperluakn memberi sebab-sebab atau hujah-hujah atau sebagainya. Pelajar cuma meramal kehendak soalan.

Soalan-soalan hendaklah berkemampuan mendiskriminasi antara pelajar lemah, sederhanan atau cemerlang

Topik atau soalan yang dikemukakan sepatutnya dapat memeringkatkan pelajar. Pelajar yang sederhana sepatutnya dapat menjawab soalan pada aras mudah dan sederhana sukar tetapi pelajar yang cerdas dapat menunjukkan kecerdasannya dengan dapat menjawab soalan mudah, sederhana dan sukar. Soalan sepatutnya memberi peluang kepada calon pintar menjawab dengan lebih mendalam.

Monday, August 23, 2010

Anak berdengkur


DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran 'comel' atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran 'comel' atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.

Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

Punca

Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:
  1. Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.
  2. Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.
  3. Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)
Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?

Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah 'bangga' kerana anak mereka 'seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga'.

Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.

Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala 'runtuh' sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa 'berjuang' untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

Risiko apnea tidur

Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

Kesan berdengkur

Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.

Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

Rawatan

Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

Isteri, ibu dan pekerja


Wanita bekerjaya perlu pandai menyeimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.




WANITA dan kerjaya seringkali dikaitkan dengan bebanan kerja. Sehingga ada di antara mereka tidak terdaya lagi untuk menggalas kewajipan dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.

Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.

Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?

Bagi Puan Sri Maimon Arif Patail yang mempunyai kerjaya hebat, beliau menolak kenyataan bahawa wanita kerjaya seringkali mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Sejauh mana bebanan kerja yang ditanggung, ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita kerjaya terlepas daripada tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anaknya," katanya.

Beliau kini menyandang jawatan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Malaysian Mosaic Berhad (MML).

Menurutnya, berdasarkan peratusan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi hari ini yang lebih ramai daripada lelaki, wanita pada masa depan sukar untuk bergelar ibu sepenuh masa.

Katanya, sebalik tamat pengajian, pastinya graduan wanita tersebut akan menceburi kerjaya pilihan.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, tentulah susah bagi wanita untuk meninggalkan kerjaya bagi menjadi seorang ibu sepenuh masa. Sekiranya saya berani menjadi ibu sepenuh masa, saya akan lakukannya. Tetapi saya tidak berbuat demikian.

"Sebagai seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, saya telah diajar untuk menjadi seorang wanita bekerjaya. Bagi saya, kerjaya tidak menjadi masalah kepada saya dan keluarga," katanya.

Katanya, apa yang beliau harapkan ialah setiap wanita yang bergelar ibu seharusnya belajar untuk berfikir dan memahami perasaan seseorang terutama anak-anak dan suami.

"Walau sibuk mana sekalipun, tanggungjawab yang harus dipikul semestinya diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan jaya," ujarnya spontan.

Bergelar wanita berpengaruh mungkin boleh menggugat kualiti masanya bersama anak-anak. Mengulas soal itu, Maimon berkata, dalam mengendalikan hal melibatkan rumah tangga, beliau sentiasa percaya masa berkualiti penting dalam mengurus anak-anak dan suami.

"Sungguhpun hampir setiap hari bekerja saya pulang lewat, saya tetap berusaha untuk dapat menikmati makan malam bersama keluarga di rumah.

"Jika sempat, saya sendiri akan menyediakan hidangan makan malam tetapi jika sebaliknya, saya akan membelinya di kedai. Apa yang penting, kami sama-sama berpeluang menikmati hidangan malam sambil berkongsi berita yang berlaku pada waktu siang.

"Cara ini penting untuk merapatkan hubungan ahli keluarga selain saya dapat menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh keluarga.

"Tetapi hari Sabtu dan Ahad adalah hari memasak untuk saya. Kami akan meluangkan masa bersama di rumah sambil bergurau-senda," tambahnya.

Bagi Maimon, seorang wanita yang berjaya jika hendak terus berjaya mestilah berusaha dari rumah.

"Kejayaan yang dicapai mestilah seimbang di antara karier dan keluarga," katanya ketika menjawab persoalan mengenai kualiti masa yang diberikan kepada keluarganya.

Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, Maimon berkata, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak sejak kecil tentang pengurusan masa dan wang saku, membuat keputusan yang tepat dan penjagaan diri yang bijak sekiranya ibu bapa tiada di rumah.

"Nilai-nilai didikan yang sempurna bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memberi kata-kata perangsang kepada anak-anak termasuk membuatkan mereka faham tentang kesibukan kerjaya yang dipikul oleh ibu bapa.

"Ini penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati anak-anak apabila ibu bapa kerap tiada di rumah kerana urusan kerja.

"Walaupun mempunyai pembantu rumah, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepada mereka," ujarnya panjang lebar.

Dalam kesibukan melunaskan tanggungjawab kerjaya pada setiap hari, adakah beliau masih menitikberatkan hal pemakanan anak-anak?

"Semuanya bergantung kepada keadaan memandangkan anak-anak saya sudah meningkat remaja.

"Namun begitu, ibu bapa perlu memahami cara pemilihan makanan anak-anak agar setiap pemakanan yang diambil dapat membantu meningkatkan daya ketahanan badan sekali gus mengembangkan daya kognitif mereka," katanya.

hasliza.nusi@kosmo.com.my
Sumber: http://www.kosmo.com.my

Google+ Followers