Friday, March 15, 2013

Anakku

Anakku
Kelahiranmu umpama terang bulan di malam hari 
Wajahmu yang suci memberi cahaya kegembiraan 
Penyejuk jiwa dalam kedukaan penaik semangat mama dan abah.

Anakku
Rasa puas dan gembira hati mama dan abah
apabila kamu disuatu masa nanti mampu beroleh kejayaan luar biasa

Anakku
Bila dewasa nanti buatlah apa sahaja, laksanakanlah apa saja. Namun biarlah bersama Allah dan jangan tinggalkan Allah
Allah hendaklah dibawa kemana-mana sahaja, mahupun dalam perjuangan
Di dalam menuntut ilmu Allah jangan dilupakan.
Allah mesti ada di dalam setiap masa dan keadaan
Mama dan abah sentiasa mendoakan kebaikan untuk kamu

Anakku
Yakinlah
Allah adalah segala,
Hidup mati kita adalah keranaNya,
Jangan sesekali kamu ingkar perintahNya
Takutlah kepadaNya
Cintailah terhadapNya serta rasulNya

 Anakku..
Moga kekal bersih hatimu menjadi anak yang soleh dan solehah
Suatu hari nanti! Selalulah basahkan bibirmu dengan zikir, tasbih serta munajat untuk menerangi makam mama dan abah yang sedang menghahapi Allah yang Maha Berkuasa.

Amin Ya Rabbal Alamin

Thursday, March 14, 2013

Keberkatan Rezeki

Oleh AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki. Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah rezeki yang halal daripada hasil usaha tangannya sendiri.

Pada masa kini punca rezeki adalah berbagai-bagai. Pun begitu, punca rezeki daripada perniagaan lebih menampakkan hasilnya. Walau bagaimanapun keberkatan dalam mencari rezeki sewajarnya diberikan perhatian. Rezeki yang halal lagi berkat akan membawa manfaat sehingga ke akhirat.

Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh Allah SWT, sama ada sedikit ataupun banyak. Rahmat Allah amat luas, bersyukurlah dengan nikmat Allah dan carilah rezeki yang halal, jangan makan rezeki yang haram.

Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)."

Jelaslah, rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima oleh Allah SWT.

Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (riwayat Ibn Majah dan Ahmad, Ibn Hibbah dan Ibn al- Mubarak).

Oleh itu, ketakwaan kepada Allah akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat.

Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata, 'Rezeki secupak tidak akan jadi segantang' bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis. 'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan. "Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit), maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh Allah, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.

Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata dan budaya orang Melayu, dengan pandangan penuh bijaksana untuk direnungi oleh generasi akan datang sebagai panduan dalam kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar dan Al-Hakim).

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (riwayat Ath-Thabrani dan Al-Bazzaar).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda: "Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi hari mereka (waktu fajar).

Ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW dalam sabdanya: "Selesai solat fajar (Subuh) janganlah kamu tidur sehingga melalaikan kamu untuk mencari rezeki." (riwayat Ath-Thabrani).

AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

PENDAWAIAN SELONGSONG PVK, PEMBULUH, SESALUR PVK

PENERANGAN
 
Sistem pendawaian selongsong PVK digunakan pada permukaan dinding rumah yang telah siap. Ianya bersaiz kecil dan nipis. Pendawaian jenis ini hanya dapat menampung kabel yang terhad.Pendawaian jenis ini mempunyai persamaan dengan pendawaian permukaan. Perbezaannya hanya kabel disalurkan menggunakan selongsong PVK. Kerja pendawaian ini dilakukan dengan memasang selongsong PVK di permukaan dinding terlebih dahulu.Kabel-kabel akan dimasukkan ke dalam selongsong secara beransur-ansur, setelah siap barulah ditutup dengan penutup selongsong. Berikut adalah senarai saiz selongsong PVK dan kegunaannya.
 
Jadual 1 : Saiz dan kegunaan selongsong PVK
  
Gambar 1: Pendawaian selongsong PVK
 
Sistem pendawaian pembuluh PVK pula digunakan di tempat yang terdapat bahaya kerosakan mekanikal yang minima. Sistem ini boleh dipasang di permukaan atau tersembunyi.
Sistem pendawaian sesalur PVK mampu menampung kabel yang banyak. Ianya sesuai digunakan kerana lebih selamat dan apabila ianya dipasang di dalam sesebuah bangunan, ia biasanya dipasang bergabung dengan sistem pendawaian lain.
Kebaikan 
  1. Kemas dan cantik
  2. Selamat, tidak terdedah pada kerosakan mekanikal bahan kimia dan haba
Kelemahan
  1. Kerja tambahan akan menjejaskan bangunan.
  2. Punca kerosakan sukar dikesan
Langkah-langkah membuat pendawaian selongsong, pembuluh dan sesalur PVK berdasarkan Rajah Bentangan dan Rajah Pendawaian:
  1. Lukis rajah bentangan dan rajah pendawaian pada kertas A4.
  2. Senaraikan bahan dan peralatan tangan yang hendak digunakan.
  3. Sediakan bahan dan peralatan tangan.
  4. Ambil ukuran dan potong selongsong, pembuluh dan sesalur mengikut rajah bentangan.
  5. Pasang alat tambah pada pendawaian selongsong, pembuluh dan sesalur.
  6. Buat pendawaian mengikut gambarajah pendawaian.
  7. Buat tamatan kabel
  8. Uji kefungsian litar.
Peralatan tangan dan kegunaanya
 Jadual: Alatangan 
 
Alat Tambah Pendawaian
Jadual: Alatambah
Peraturan elektrik dan keselamatan dalam pendawaian selongsong PVK.
  1. Rancang laluan selongsong terlebih dahulu.
  2. Pendawaian selongsong hendaklah dipasang ditempat yang tidak dimasuki air seperti: (Air hujan, Wap atau air memeluwap, Air terkumpul dan Air yang menitis).
  3. Pastikan setiap sambungan kabel pada setiap alur keluar pada selongsong mestilah baik dari aspek mekanikal dan elektrikal.
  4. Pastikan selongsong yang dipasang pada struktur rintangan api seperti lantai atau dinding tahan kebakaran mestilah ditutup rapi.
  5. Hujung selongsong yang dipotong hendaklah diratakan atau dikemaskan bagi mengelakkan kecederaan kabel.
  6. Jumlah kabel yang boleh dimasukkan ke dalam selongsong PVK hendaklah mempunyai faktor ruang yang tidak melebihi 45%.
Memeriksa kekemasan sistem pendawaian berdasarkan pemeriksaan visual.
  1. Pemeriksaan visual ialah pemerhatian melalui deria mata, sentuhan dan pendengaran. Biasanya ia dilakukan di peringkat awal selepas kerja-kerja pemasangan siap. Antara perkara yang diperhatikan:
  2. Laluan kabel yang betul dan sempurna.
  3. Jenis kod warna dan saiz kabel yang betul.
  4. Alat yang betul bagi tujuan pengasingan atau penyuisan litar.
  5. Mengguna kadaran alat perlindungan yang betul.
  6. Semua tamatan kabel ditandakan.
  7. Notis merbahaya dan amaran dipasang pada bahagian tertentu.
  8. Semua rajah dan arahan boleh dilihat dengan jelas.

Friday, March 8, 2013

Harga Sawit Masih Berisiko

Oleh Fadzil Zainol
ekonomi@utusan..com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Pemulihan harga minyak sawit mentah (MSM) sejak akhir- akhir ini dikatakan masih berisiko untuk terjejas, disebabkan pengeluaran tanaman pesaingnya yang produktif serta ketidaktentuan peraturan di kalangan negara-negara pengimport.

Menurut nota penyelidikan oleh Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), tanaman kacang soya yang merupakan komoditi pengganti kepada sawit dilihat tidak terjejas walaupun mengalami cuaca yang kering, khususnya di kawasan tanaman Amerika Selatan.

Menurut kajian, kadar penghasilan kacang soya di Brazil dan Argentina akan tumbuh 25 peratus kepada 133 juta tan pada tahun ini.

"Situasi ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya persaingan harga antara kacang soya atau sawit. Hal itu membawa risiko kepada kedua-dua komoditi itu meletakkan paras harganya yang rendah supaya menjadi pilihan pengimport," menurut nota penyelidikan tersebut.

Selain itu, pelaksanaan peraturan import yang ketat oleh Biro Kualiti Kebangsaan China mulai 1 Januari 2013 dilihat sebagai ancaman kepada eksport sawit Malaysia ke China.

Menurut HLIB Research, walaupun masih tiada lagi kes produk sawit Malaysia yang tidak melepasi kastam negara itu sehingga hari ini, namun menjangkakan beberapa penambahbaikan peraturan mungkin dilaksanakan memandangkan ia baru dilaksanakan.

Hal yang sama juga berisiko untuk berlaku di India, yang mana negara itu giat berusaha melindungi industri domestiknya melalui pengenaan duti import sawit.

"Kami tidak menolak kemungkinan India bakal meningkatkan lagi duti import sawitnya memandangkan harga komoditi itu terlalu selesa berbanding kacang soya," jelas nota penyelidikan itu lagi.

China dan India menguasai 35 peratus eksport sawit negara pada tahun 2012.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Nilai Sisi Sawit

Relau yang memuatkan buah kelapa sawit untuk distimkan sebelum proses memerah minyak dilakukan

Menerusi proses menghasilkan minyak kelapa sawit, penghasilan serta lambakan bahan buangan seperti tandan buah kosong (EFB) dan juga tempurung kelapa sawit mendatangkan sedikit masalah.

Sebelum ini, bahan-bahan tersebut akan dibuang begitu sahaja, namun terdapat juga usaha untuk memproses bahan buangan tersebut untuk dijadikan baja.

Terbaru, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kyushu Institute of Technology (KIT) dari Jepun mengadakan bengkel khas untuk membincangkan pengurusan bahan buangan tersebut.

Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan kaedah terbaik yang dikenali sebagai sistem sisa buangan sifar (zero-discharge system) di kilang sawit bagi menguruskan bahan buangan tersebut.

Menurut pengerusi bengkel tersebut, Prof. Dr. Mohd. Ali Hassan, kajian antara UPM dan KIT telah dilaksanakan sejak 15 tahun dahulu lagi.

Jelasnya, industri sawit menjadi fokus negara dan usahasama yang mana penjanaan sisa sawit yang begitu banyak telah membuka peluang menjalankan pelbagai penyelidikan.

‘‘Kita juga sentiasa mengambil peluang dan mencari kaedah serta teknologi terbaik menyelesaikan masalah sisa industri sawit.

‘‘Kerjasama di antara Kyutech dan UPM telah menghasilkan pelbagai teknologi yang kini dapat diguna pakai oleh industri bagi mencapai matlamat zero-discharge dan pembangunan lestari," katanya ketika di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Kini, hasil kerjasama ini kedua-dua buah universiti telah memperkenalkan system tersebut di kilang sawit di Sandakan, Sabah.

Projek tersebut juga merupakan perkongsian penyelidikan untuk pembangunan mapan dalam bidang Sains dan Teknologi (SATREPS) di antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Agensi Sains dan Teknologi Jepun.

‘‘Konsep kami adalah untuk mewujudkan peluang perniagaan melalui sistem buangan sifar seperti bioplastik, biogas, arang EFBdan rawatan air sisa (efluen) yang menyumbang kepada pemuliharaan kawasan ramsar di Sungai Kinabatangan dan Segama," kata Dr. Mohd. Ali.

UPM dengan kerjasama KIT akan membangunkan sistem bahan buangan sifar di kilang-kilang sawit di sekitar Sungai Kinabatangan untuk menjana perniagaan baru berkonsep hijau.

JICA, JST, UPM dan KIT mempunyai sejarah kerjasama penyelidikan dan pembangunan sejak tahun 1990an dalam bidang alam sekitar dan bioteknologi.

Konsep buangan sifar merupakan satu amalan membebaskan bahan-bahan seperti air yang terawat bagi mengelakkan alam sekitar tercemar.

Di dalam industri pemprosesan minyak kelapa sawit, proses membebaskan sisa bahan buangan telah lama menjadi isu alam sekitar.

Jika dahulu sisa buangan tersebut dialirkan terus ke sungai tanpa dirawat dan amalan tersebut menyebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk.

Antara sisa lain dalam pemprosesan minyak kelapa sawit adalah serat EFB dan juga tempurung kelapa sawit.

Sebelum ini, serat EFB dan tempurung kelapa sawit hanya dibuang begitu sahaja dan hanya sedikit yang menjadikannya sebagai baja.

Biarpun sisa buangan tersebut mencemarkan alam sekitar namun pihak industri tidak memiliki cara untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang berharga.

Oleh kerana sawit merupakan salah satu industri utama negara, lambakan sisa bahan buangan tersebut semakin meningkat saban hari. Oleh itu, satu kajian atau tindakan perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Sehubungan itu, bengkel yang bertemakan Zero-Discharge From Palm Oil Industry & Creation Of New Green Profitable Business yang diadakan telah membincangkan konsep penciptaan peluang perniagaan.

Antaranya , ialah melalui sistem buangan sifar yang mana bahan sisa dari kilang-kilang kelapa sawit dikitar semula bagi memperoleh produk-produk yang mempunyai nilai tambah.

Contoh produk nilai tambah yang boleh dihasilkan adalah seperti bioplastik, biogas untuk penjanaan tenaga elektrik, arang daripada tandan sawit kosong dan cengkerang sawit, perolehan semula air, serta rawatan air sisa.

Menerusi kaedah tersebut, negara dijangka memperoleh impak yang positif seperti penggunaan bahan sisa sawit secara lebih efisien mampu mendatangkan keuntungan melalui penghasilan produk nilai tambah.

Selain itu, pengamalan sistem rawatan sisa efluen yang lebih lestari di semua kilang sawit juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menerusi sistem yang diperkenalkan juga, projek-projek loji pandu yang dibina di kilang sawit akan mempamerkan keupayaan untuk perlaksanaan pada skala penuh.

Malah, sistem tersebut juga bakal mencipta peluang perniagaan hijau yang menguntungkan negara.

Antara lain ia juga mencipta peluang pelaburan dari syarikat luar terutamanya Jepun bagi perniagaan produk nilai tambah serta menggalakkan pemuliharaan alam semulajadi di sekitar Kinabatangan, Sabah.

Namun apa yang paling penting adalah, imej industri sawit sebagai industri yang mesra alam dan mengamalkan pembangunan lestari juga dapat dipertingkatkan.

Sumbe: http://www.utusan.com.my/

Produktiviti Sawit Dan Boron

Beberapa unsur mikro yang berperanan penting dalam mengawal pertumbuhan tanaman, terutama sekali unsur boron. Unsur ini sangat diperlukan oleh kelapa sawit. Ini adalah kerana kelapa sawit merupakan salah satu tanaman yang terdedah apabila kekurangan boron yang boleh memberi kesan pada rendahnya produktiviti tanaman.

Sekurang-kurangnya, setiap pokok kelapa sawit memerlukan 100 hingga 200 gram boron satu tahun. Untuk memenuhi keperluan ladang kelapa sawit seluas 7.8 hektar saja, diperlukan bekalan boron sekitar 100 ribu ton per tahun.

Kegunaan unsur ini dalam tanaman ialah, ia berperanan dalam pembahagian, pemanjangan dan pembezaan sel, ketelapan membran, serta perkecambahan debunga.

Mahu atau tidak keperluan tersebut perlu dipenuhi, kerana boron mempunyai dua fungsi fisiologi utama yang bermanfaat bagi tanaman. Fungsi pertama, boron boleh membentuk ester dengan sukrosa sehingga sukrosa yang merupakan bentuk gula terlarut dalam tubuh tanaman lebih mudah diangkut dari tempat fotosintesis ke tempat pengisian buah. Proses tersebut menyebabkan buah akan terasa lebih manis dengan aroma yang khas.

Fungsi fisiologi kedua, ialah boron memudahkan pengikatan molekul glukosa dan fruktosa menjadi selulosa untuk mempertebal dinding sel. Hasil tanaman akan menjadi lebih tahan terhadap serangan perosak dan penyakit. Sebaliknya, apabila tanaman kekurangan unsur boron maka dinding sel yang terbentuk menjadi sangat tipis. Selain itu, sel menjadi besar yang diikuti dengan penebalan suberin atau terbentuk ruang-ruang reksigen kerana sel menjadi retak dan pecah akibat tidak terbentuk selulosa untuk menebalkan dinding sel.

Kekurangan boron juga boleh menyebabkan pertumbuhan vegetatif terhambat kerana unsur itu berfungsi sebagai aktifator mahupun inaktifator hormon auxsin dalam pembahagian dan pembesaran sel.

Antara kesan lain ialah proses fotosintesis tanaman akan menjadi perlahan. Ini adalah disebabkan gula yang terbentuk daripada karbohidrat hasil fotosintesis akan berkumpul di daun. Umumnya tanaman yang kekurangan boron boleh diamati dari bentuk daunnya yang tidak sempurna atau sering disebut hook leaf.

Daun muda warnanya menjadi perang dan membengkok. Selain itu, daun tumbuh pendek sehingga hujung pelepah melingkar (rounded front tip), anak daun pada hujung pelepah berubah bentuk menjadi kecil seperti rumput atau bristle tip, atau tumbuh rapat pendek seolah-olah bersatu dan padat (little leaf). Ketidaksempurnaan (malformation) bentuk daun itu mengakibatkan terganggunya proses fotosintesis sehingga buah yang terbentuk sedikit, kecil, dan berkualiti rendah.

Tanaman yang mengalami kekurangan unsur ini akan menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan pucuk dan akar terbantut, pucuk mati, pengangkutan makanan yang perlahan, serta buah yang sedang berkembang terdedah diserang penyakit.

Google+ Followers