Thursday, May 8, 2014

PENGGREDAN BUAH KELAPA SAWIT


Tandan Masak ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren. Tandan ini mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh (10) soket segar buah relai dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah masih melekat pada tandan semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.

 
Tandan Mengkal ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan atau ungu kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren kekuningan. Tandan ini mempunyai kurang daripada sepuluh (10) soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai. 

 
Tandan Muda ialah tandan segar yang berwarna hitam atau ungu kehitaman dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna kekuningan. Tandan ini tidak mempunyai soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Soket buah relai (jika ada) pada tandan buah muda bukan disebabkan oleh proses kemasakan biasa. 

  
Tandan Terlalu Masak ialah tandan segar yang mempunyai buah berwarna merah tua dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah telah relai daripada tandan tetapi sekurang-kurangnya sepuluh peratus (10%) buah segar masih melekat pada tandannya semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.

 
Tandan Kosong ialah tandan yang lebih daripada sembilan puluh peratus (90%) buah telah relai dari tandannya semasa pemeriksaan di kilang. 
 
 
Tandan Busuk ialah tandan yang sebahagian atau kesemua bahagian tandan dan buah relainya telah berubah warna kepada kehitaman, busuk dan berkulat. 
 
 
Tandan Tangkai Panjang ialah tandan segar yang mempunyai tangkai melebihi 5cm diukur dari paras terbawah tangkai tandan. 

 
Tandan Tidak Segar ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan di ladang lebih daripada 48 jam sebelum dihantar ke kilang dan semua atau sebahagian buah serta tangkainya telah layu. Tangkai tandan tidak segar biasanya kering dan berwarna kehitaman. 
 
 
Tandan Lama ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan lama di ladang sebelum dihantar ke kilang. Buah yang masih melekat pada tandan ini telah kecut dan berwarna perang kehitaman. Tangkainya juga telah kecut, lembut, berserabut dan warna kehitaman.
 
 
Tandan Kotor ialah tandan yang lebih separuh daripada permukaan buahnya berlumpur, berpasir,beramang dan dicampur dengan batu atau jirim-jirim asing yang lain

 
Tandan Kecil ialah tandan yang mempunyai buah yang kecil dan beratnya kurang daripada 2.3 kg (5 lb).  
Tandan Rosak ialah tandan yang lebih daripada 30 % bahagian buahnya telah rosak diserang oleh binatang-binatang perosak terutamanya tikus.
 
 
Tandan Berpenyakit ialah tandan yang mempunyai buah yang tidak normal dari segi saiz atau kepadatannya atau tandan yang mempunyai lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah ‘parthenocarpic’ 
 
 
Tandan Dura ialah tandan segar yang buahnya mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
  • Tebal tempurung - 2-8 mm
  •  Nisbah tempurung dengan buah - 25-50 %
  •  Nisbah mesokarpa dengan buah - 20-60 %
  •  Nisbah isirong dengan buah - 4-20 %
  •  Tiada gelung serabut di sekeliling biji

Buah Relai ialah buah yang berwarna oren kemerahan yang gugur daripada tandan segar kerana masak. Buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas tandan dituai
 
 
Tandan Basah adalah merujuk kepada konsignasi buah kelapa sawit yang mempunyai kandungan air yang berlebihan
 
Sumber: http://wskj.mpob.gov.my/

1 comment: