Monday, February 25, 2013

Menarik Minat Pelajar ke Aliran Sains

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad
AKIBAT merosotnya bilangan pelajar aliran sains Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada isu tersebut.

Kementerian Pelajaran dilaporkan memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen. Jumlah ini tidak mencapai sasaran yang sepatutnya iaitu 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus aliran sastera atau kemanusiaan.

Kewujudan aliran sains bermula apabila pelajar memasuki Tingkatan Empat di sekolah menengah. Mereka boleh memilih salah satu aliran yang ditawarkan iaitu aliran sains, kemanusiaan atau vokasional. Bagi pelajar aliran sains tulen mereka dikehendaki mengambil mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi di samping mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral. Kebiasaannya pelajar yang mengikuti aliran sains ini adalah terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kemerosotan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains ini boleh menjejaskan usaha untuk meramaikan siswa mengikuti subjek kritikal di peringkat universiti. Para siswa perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi untuk membolehkan mereka mengikuti bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, akauntansi dan lain-lain.

Sebagai sebuah negara sedang memasuki fasa negara maju bilangan tenaga kerja yang ramai berkelulusan dalam bidang tersebut sangat diperlukan. Mereka akan berperanan menjadi penyelidik, saintis, teknologis, jurutera, perekacipta dan tenaga pengajar di universiti.

Itulah sebabnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar 60 : 40. Dasar ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui slogan Wawasan 2020 yang diperkenalkan lewat 980an.

Tidak dapat dinafikan bukanlah mudah untuk pelajar mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang sains kerana ia dikatakan lebih sukar jika dibandingkan dengan mata pelajaran sastera atau kemanusiaan. Ada pelajar yang ingin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM akan memilih bidang kemanusiaan atau vokasional walaupun mereka layak mengikuti bidang sains. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu membolehkan mereka diterima dengan mudah ke institusi pengajian tinggi dan memilih subjek yang mereka minati.

Kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ini perlu dilihat secara holistik. Ini bermakna untuk mengatasi isu tersebut perlu dilihat dari semua aspek dan melibatkan semua pihak. Dengan ini tidaklah dibebankan kepada sekolah atau guru semata-mata.

Isu kekurangan pelajar mengikut aliran sains khususnya di kalangan pelajar bumiputera disedari sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Bagi mengatasinya dalam Laporan Razak 1956 mencadangkan penubuhan sekolah berasrama penuh bagi memberi kemudahan kepada pelajar khususnya daripada luar bandar untuk mendapat pendidikan yang terbaik.

Justeru wujud, Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjung Malim (sekolah asal); Sekolah Sultan Abdul Hamid, Jitra; Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Cadangan yang sama dinyatakan dalam Laporan Rahman Talib 1961 berikutannya wujud Sekolah-Sekolah Sains di seluruh negara dan bilangannya kini mencecah hampir 60 buah.

Namun demikian sekolah berasrama penuh sahaja tidak dapat menampung keperluan yang ramai bilangan pelajar aliran sains tanpa mendapat sokongan daripada sekolah menengah harian dan sekolah swasta.

Dari segi kerjaya nampaknya bidang profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi atau akauntan kurang menarik minat sebahagian pelajar kerana dalam masa yang sama terdapat ratusan jenis pekerjaan lain yang boleh dipilih oleh mereka.

Melalui kajian-kajian didapati ramai pelajar yang lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan, bidang hospitaliti seperti masakan, perhotelan, pengendalian restoran dan lain-lain. Bidang kerjaya ini bukan sahaja memberi cabaran baru menarik tetapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan mereka di bidang profesional itu.

Dari segi perjawatan pula terutama untuk menjadi ketua atau pegawai kanan dalam sesebuah jabatan atau organisasi sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bidang korporat dan badan politik sebahagian besarnya dimonopoli oleh mereka yang berkelulusan sains sosial atau kemanusiaan.

Ini disebabkan mereka mempunyai kelebihan kerana telah mendapat pendedahan awal bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan semasa belajar di universiti. Berbeza dengan mereka yang mengikuti bidang kritikal atau sains tulen di mana lebih fokus dengan kandungan subjek pengajian mereka sahaja. Oleh itu ada pelajar memikirkan lebih baik memilih bidang yang mempunyai masa depan lebih baik dalam kerjaya nanti.

Walau bagaimanapun untuk memenuhi dasar 60 : 40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran maka kerjasama dan sokongan dari ibu bapa, pengetua dan guru-guru sangat diperlukan supaya lebih ramai pelajar berminat untuk memilih aliran sains. Ibu bapa perlu merangsang dan menggalakkan anak meminati mata pelajaran matematik dan sains sejak di sekolah rendah.

Sementara itu pengetua sekolah seharusnya memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah. Peranan guru tidak kurang pentingnya di mana kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar hendaklah sentiasa digunakan dan menjadikan subjek itu tidak membebankan.

Untuk menarik minat pelajar mengikuti aliran sains mereka seharusnya diberi beberapa keistimewaan di antaranya adalah mendapat bantuan kewangan dan laluan mudah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Selain kerajaan maka badan-badan korporat boleh memainkan peranan dan turut membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dengan dorongan ini diharapkan lebih ramai pelajar akan berusaha keras untuk membolehkan mereka ditempatkan dalam aliran sains.

Semoga jawatankuasa khas yang ditubuhkan kelak dapat menyiapkan laporan khusus untuk mengatasi masalah itu.

- UTUSAN

Tuesday, February 19, 2013

Penggalakan Dasar 60:40

15 Perakuan dilaksana tambah bilangan pelajar aliran Sains

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lima belas perakuan itu merupakan sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Februari lepas dan dipengerusikan oleh Ketua PengarahPelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara perakuan yang akan dilaksanakan adalah menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

"Bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

"Perkara-perkara itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang dimurnikan ketika ini," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pembudayaan Sains dan Teknologi dan Pelancaran Buku Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera di Petrosains KLCC di sini, Jumaat.

Buku laporan strategi itu yang diterbitkan hasil daripada beberapa sesi mesyuarat, bengkel dan dialog yang dikendalikan bersama-sama pelbagai pihak lain seperti ibu bapa, guru, persatuan dan badan bukan kerajaan telah dibentangkan kepada Muhyiddin pada 5 November lepas.

Lima belas perakuan yang dinyatakan itu akan dilaksanakan secara kolaboratif antara sektor awam khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologidan Inovasi (Mosti), Kementerian Pengajian Tinggi, swasta dan masyarakat.

Muhyiddin berkata, perakuan lain yang bakal dilaksanakan adalah penggunaan pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains tingkatan empat dan lima daripada RM70kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid tingkatan enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

Daripada aspek tenaga pengajar, kerajaan bakal menyediakan laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.
Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar pusat-pusat penemuan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium supaya mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti-aktiviti melibatkan guru-guru serta ibu bapa bagi menggalakkan pelajar meminati sains.

Katanya, pendekatan interaktif yang digunakan pusat-pusat sains tersebutdalam pembelajaran penghayatan sains dilihat efektif dan berkesan untuk mempelajari sains.

"Saya yakin dengan peranan yang dimainkan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta serta badan korporat merupakan tanggungjawab sosial ke arah membentuk persekitaran positif penerapan budaya sains di rumah, sekolah dan persekitaran,"katanya. –BERNAMA

Sumber: Mstar Online

Hasad dengki sifat iblis

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Islam benarkan iri hati dalam perkara positif seperti mencemburui kejayaan orang lain agar kita juga berjaya seperti mereka. - Gambar hiasan

TUGAS seorang pengintip adalah mencari rahsia atau maklumat yang berharga untuk disalurkan kepada pihak-pihak tertentu. Sebagai imbal balik, si pengintip akan memperolehi manfaat tertentu untuk kepentingan hidupnya.

Demikianlah analogi mudah yang kita boleh tempelkan kepada mereka yang suka mencari kesalahan orang lain. Sikap ini sebenarnya terhasil dari sifat hasad dengki yang tidak berkesudahan.

Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu merasa susah hati apabila melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.

Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki. Dalam laras bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan, mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.

Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.

Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama”. (riwayat At-Tirmidzi).

Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.

Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama.

Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (ali-‘Imran: 120).

Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (al-Falaq: 5).

Rasulullah juga memperingatkan dalam hadis yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering”. (riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga melarang sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Janganlah kalian saling dengki (riwayat Muslim)

Dalam institusi keluarga, perasaan hasad dengki mungkin boleh berlaku di kalangan adik-beradik, ipar-duai dan sebagainya. Ia akhirnya menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang dan semakin jauh.

Pejabat atau tempat kerja juga salah satu tempat berleluasanya penyakit hasad dengki ini. Hal ini dapat diperhatikan apabila menjelang musim kenaikan pangkat, perolehan bonus dan sebagainya.

Perasaan ini muncul apabila kita membandingkan kejayaan orang lain dengan kejayaan atau kegagalan yang ada pada diri kita. Lebih buruk lagi, hasad dengki biasanya datang bersama dengan perancangan untuk menjatuhkan orang tersebut.

Sepatutnya, dalam hal ini, kita perlu melihat kejayaan orang lain sebagai pemangkin untuk kita tingkatkan usaha dan prestasi bagi bersaing secara sihat dengannya.

Namun, mereka yang ditimpa penyakit hasad dengki ini merasakan kejayaan orang lain itu sebagai ancaman terhadap dirinya dan sebagai penghalang kepadanya untuk maju ke hadapan.

Cara yang paling mudah memuaskan hatinya adalah dengan mencari kesalahan orang lain untuk mencalar reputasinya di kalangan rakan-rakan sepejabat mahupun majikan.

Suasana ini akan berlanjutan sehinggalah ada yang sanggup menuduh rakan-rakan sekerja dengan tuduhan melampau serta ada yang sanggup untuk melemparkan fitnah semata-mata hasad dengki dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang lain.

Semuanya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat sekali gus menjamin laluannya untuk berada di kemuncak terbuka luas.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, February 13, 2013

Perkembangan bayi anda pada usia 12 bulan

Langkah-langkah pertama bayi

Pencapaian bayi yang paling utama sudah hampir tiba – pada bila-bila masa di bulan ini bayi anda mungkin akan mula mengambil langkah-langkah pertamanya (sesetengah bayi tidak akan berjalan untuk beberapa minggu atau bulan lagi, jadi janganlah risau sekiranya status bayi anda belum lagi berubah kepada bayi yang boleh berjalan pada bulan ini). Kebanyakan kanak-kanak mengambil langkah awal mereka dengan berjengket sambil mengarah kaki mereka ke luar. Sudah tentu anda tidak mahu terlepas peluang untuk mencatatkan saat ini, jadi bersedialah dengan kamera anda. Pada waktu ini juga, bayi anda sudah pandai makan sendiri dan menggunakan sudu, walaupun belum begitu cekap dan makanan seringkali tidak sampai ke mulutnya.

Permainan baru bayi

Pada masa ini, permainan bayi anda mula berubah dari permainan yang membangunkan kemahiran motor halus (dia sudah mahir mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuknya) dan mula beralih kepada permainan yang melatih otot-otot yang lebih besar. Sesetengah kanak-kanak pada umur ini sudah boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang senyap selama dua hingga lima minit – walaupun bayi anda mungkin lebih gemarkan permainan yang bukan jenis senyap.

Memang, bagi bayi anda, perbuatan menolak, membaling dan melanggar semua benda dan membuatnya jatuh merupakan satu perkara yang menyeronokkan. Dia suka memberikan anda alat mainan tapi dia juga akan mengambil alat mainan daripada anda, dan dia juga suka meletakkan barang seperti bongkah ke dalam bekas dan mengeluarkan semuanya semula. Periuk dan kuali juga boleh digunakan untuk ini – dia pandai meletakkan periuk yang kecil ke dalam periuk yang lebih besar dan akan seronok mendengar bunyi bising yang terhasil apabila periuk dan kuali berlaga-laga.

Memudahkan waktu tidur

Salah satu perkara yang menyenangkan semasa membesarkan bayi ialah apabila sampai waktu untuk tidur - masa yang anda boleh gunakan untuk berehat dan mengembalikan tenaga anda. Tetapi, apabila bayi anda menghampiri hari jadi pertamanya dia akan semakin enggan untuk tidur di siang hari¸ dan kemahuan berdikari ini akan membuatkan bayi anda meragam semasa waktu tidur.

Mengikuti rutin tidur yang tetap, seperti mandian atau membaca buku cerita sebelum tidur, mungkin boleh membantu bayi anda tidur. Elok jika diadakan "urutan" yang konsisten bagi rutin tidur ini. Berikan bayi makan, mandikan dia, pakaikan pakaian tidur, bermainlah dengannya, atau bacakan buku cerita, atau nyanyikan lagu, mainkan muzik dan kemudian barulah baringkan dia di katilnya. Apa sahaja langkah yang diambil, jadikan ia satu rutin yang tetap, yang juga memberikan anda dan bayi anda masa yang lebih panjang untuk bermesra dan berehat. Anda juga boleh bersilih ganti menjalankan rutin tidur ini bersama suami anda (anda mandikan bayi, suami anda membacakan buku cerita dan lain-lain cara) pada setiap malam, atau, untuk meringankan tugas dan membenarkan anda berdua berehat beberapa kali seminggu, cuba menidurkan bayi anda secara bergilir-gilir.

Sukar berpisah

Beberapa bulan kebelakangan ini, anak anda mungkin menunjukkan perangai meragam disebabkan bimbang berpisah. Ini perkara biasa: dia menyayangi anda dan memerlukan anda, jadi dia akan berasa tertekan apabila anda meninggalkannya. Untuk memudahkan proses pemisahan, cuba minta pengasuh datang lebih awal supaya bayi anda mempunyai masa untuk membiasakan diri dengannya. Tinggalkan dia secara bersahaja saja dan jangan menyulitkan keadaan dengan memanjangkan ucapan selamat tinggal anda; lakukannya dengan cepat, iaitu hanya dengan satu ciuman. Bayi anda akan berhenti menangis apabila anda hilang dari pandangannya.

Anda boleh membantu bayi anda untuk lebih berdikari dengan tidak menunggu dekatnya setiap masa. Jika dia bertatih ke bilik yang lain, tunggulah beberapa minit sebelum mengikutinya. Jika anda pergi ke bahagian lain dalam rumah anda, panggil bayi anda datang kepada anda apabila anda sudah berada di bilik itu – dan jangan bekejar-kejar kepadanya setiap kali dia menjerit. Bukanlah perkara yang terbaik untuk bayi anda untuk mendapat kebebasan sepenuh daripada ayah dan ibu; anda tentu mahu dia memahami yang dia boleh bergantung kepada anda bila-bila masa, dan, walaupun dia menyedari kehadiran dan pemergian anda, ini tidak begitu mengganggukan dia.

Lebih memahami bahasa

Walaupun pada tahap ini bayi hanya boleh bertutur beberapa perkataan selain "mama" dan "dada", didapati kebanyakan bayi yang berusia satu tahun boleh menyebut ayat pendek dengan menggunakan nada yang betul walaupun kedengaran seperti bahasa asing.

Pada masa ini, bayi anda sudah boleh memberi respon kepada soalan dan arahan yang mudah, terutamanya jika anda membantunya dengan menggunakan pelbagai isyarat tangan. Contohnya, tanyalah "Di mana mulut kamu?" dan tunjukkan ke arah mulutnya. Atau cuba, "Tolong ambilkan cawan" dan tunjukkan ke arah objek itu. Bayi anda mungkin menjawab dengan caranya tersendiri, dengan menggunakan isyarat juga, seperti menggelengkan kepala untuk menyatakan "tidak".

Gunakan potensi penerimaan yang ada pada bayi anda sekarang untuk mula mengajarnya bersopan santun dan membina sikap suka membantu. Tekankan pentingnya kata-kata "sila" atau "boleh ke?" dan "terima kasih". Di samping itu, jadikan waktu mengemas alat mainan bayi anda satu masa yang menyeronokkan dengan menjadikannya satu aktiviti mainan. Walaupun bayi anda mungkin kurang faham akan maksud anda, bukanlah terlalu awal untuk membentuk tabiat ini.

Memberi nama kepada benda-benda


Anda memainkan peranan penting dalam membantu bayi anda menghubung kaitkan objek dan nama sesuatu objek itu - semakin kerap anda melakukannya, semakin cepat perbendaharaan kata bayi anda akan berkembang. Sentiasalah bercakap dengan bayi anda dan menamakan benda. Apabila menaiki tangga, kira bilangan tangga satu persatu dan jika berada di pasar raya tunjukkan nama dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada. Bacakan buku bergambar dan minta dia tunjukkan atau namakan objek yang dikenalinya. Pastikan anda memberikan dia pilihan sekali-sekala. Tanya bayi anda sama ada dia mahu memakai stoking berwarna merah atau biru; dia hendak bermain dengan bongkah atau gegelung bertingkatnya. Dia mungkin tidak akan menjawab, tetapi kemungkinan juga dia akan menggembirakan anda dengan menjawab apabila tidak dijangka.

Adakah bayi saya membesar dengan normal?

Ingatlah bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap-tahap perkembangan fizikal yang utama mengikut masanya sendiri. Kemahiran-kemahiran yang ditetapkan merupakan panduan yang menunjukkan potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda - jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda akan mendapati yang dia akan lambat untuk mencapai perkembangan tertentu tidak seperti kanak-kanak lain. Jangan risau, kebanyakan doktor akan menilai pembesaran bayi pramatang dari waktu yang dia sepatutnya dilahirkan dan menentukan pencapaiannya sewajarnya

Sumber: http://www.babycenter.com.my/

Google+ Followers