Pengujian
Dalam konteks pendidikan, pengujian dijalankan untuk mengukur prestasi pelajar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah. Menurut Bashah (2006) pengujian digunakan untuk mendapatkan satu pemerhatian (maklumat) sistematik dimana tugasan itu diandaikan representatif (mewakili) bagi trait pendidikan atau atribut yang hendak ditentukan.
Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran di sekolah (Mohd. Tajudin, 2002). Objektif utama pengujian adalah untuk mengukur 'penguasaan' pelajar dalam sesuatu kursus atau kemahiran. Menurut Mokhtar Ismail (1995) ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperolehi pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan dan psikologi. Perkara ini penting dalam memperlihatkan kejayaan atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara untuk memastikan hal ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.
Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkahlaku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) yang menegaskan bahawa ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan.
Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markah atau skor akan diberikan kepada individu berkenaan (Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003). Pemarkahan atau penskoran dalam pengujian melibatkan penentuan peruntukan markah atau skor diberi pada satu-satu item ujian. Ini menggambarkan pengujian dapat menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji melalui markah/skor yang diperolehi mereka. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian, seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari (Liew Cheong Chaing, 1999).
Pengukuran
Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen (Nitko, 2004). Manakala menurut Bhasah (2006), pengukuran dalam erti kata lain ialah langkah menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu. Menurut Mokhtar Ismail (1995) pula, pengukuran dalam pendidikan sebenarnya adalah langkah untuk menentukan tahap sejauh mana seorang memiliki sifat tertentu.
Pengukuran adalah satu proses berterusan yang memastikan sesuatu perkara itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menjalankan pengukuran, demi mendapatkan keputusan yang baik, cekap dan cemerlang. Pengukuran menggunakan maklumat kuantitatif yang merujuk kepada penggunaan skala kadar (rating scale) yang telah didefinisikan dalam bentuk angka dan digunakan secara holistik atau analitik (Bhasah, 2006).
Pengukuran merupakan umpukan atau pemberian angka-angka atau nombor kepada sesuatu objek atau perkara mengikut satu set peraturan yang ditetapkan. Pengukuran boleh berbentuk ujian, skala kadar (rating scale) atau senarai semak. Contohnya, skor (markah) 79 daripada 100 markah bagi satu ujian ialah satu pengukuran (Bhasah, 2003). Pengukuran yang tidak melibatkan sebarang tugasan, tidak boleh dikategorikan sebagai ujian. Contohnya rekod pelajar yang disimpan oleh pihak sekolah, ia hanya merupakan penyimpanan maklumat pelajar.
Penilaian
Dari sudut pengajaran, penilaian boleh menentukan status sesuatu objek yang dinilai itu dengan membanding status berkenaan dengan satu set standard atau kriteria untuk membuat keputusan. Penilaian merupakan pertimbangan atau pembuatan keputusan tentang merit atau nilai sesuatu perkara atau benda. Di samping itu, penilaian yang berkesan adalah penilaian yang sistematik dalam pengumpulan dan analisis data. Selain itu, penilaian dapat menentukan sama ada sesuatu objektif itu telah tercapai yang boleh membolehkan sesuatu pertimbangan atau keputusan dibuat.
Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Nitko (2004), Popham (1990) dan Kubiszyn dan Borich (2003), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai (Gay & Airasian, 2003).
Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian (Liew Cheong Chaing, 1999). Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran guru. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di sekolah teknik adalah penilaian terhadap projek, portfolio, ujian bulanan, peperiksaan, lisan pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.
Sebagai kesimpulannya , pengujian, pengukuran dan penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Ketiga-tiga aspek tersebut dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan bengkel sekolah, ketiga-tiga aspek dilakukan sekali lagi bagi mengetahui sama ada guru 'mengajar' dan pelajar 'belajar'.
salam.Boleh saya guna artikel ni untuk assgmt saya?
ReplyDeleteterima kasih diatas perkongsian ilmu
ReplyDeletesalam. mohon untuk saya gunakan maklumat ini utk tugasan saya ye, moga Allah merahmati. terima kasih
ReplyDeleteSaya amat berbesar hati sekiranya ada yang sudi menggunakan artikel ini sebagai rujukkan.
ReplyDeletemohon untuk guna maklumat ini utk kerja saya...moga diberkati..
ReplyDeleteterima kasih diatas perkongsian ilmu. mohon untuk guna artikel sbg rujukan
ReplyDeleteSy mohon guna maklumat ini utk tugasan sy. Terima kasih.
ReplyDeletesaya mohon untuk guna maklumat ini. semoga dirahmati dan diberkati.
ReplyDelete