Wednesday, September 29, 2010

Haram Jimak Isteri Malam Pertama

Tuesday, September 28, 2010

Tanggungjawab Isteri dan Hak Suami

Dalam sesebuah rumahtangga,isteri juga mempunyai tanggungjawab tertentu yang wajib dipenuhi,antaranya ialah:
  1. Isteri mestilah sentiasa mentati suami mereka dan menjaga maruah suami mereka selama mana suaminya itu tidak menyuruh atau melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.Dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Andainya aku ini orang yang menyuruh sesiapa supaya bersujud kepada orang,pasti aku menyuruh isteri itu bersujud kepada suami mereka”.
  2. Isteri mestilah memberikan hak suami yang ingin menyetubuhinya pada bila-bila masa sahaja selagi ia dibenarkan oleh syara’,contohnya ketika bersih daripada haid dan nifas. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu.Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;dan bertaqwalah kepada Allah SWT serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak).Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman”- (Surah Al-Baqarah 2:223)
  3. Menjaga maruah dirinya baik sewaktu di hadapan suami mahupun semasa ketiadaannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “…Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,dengan pemeliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya…" -(Surah An-Nisa’ 4:34)
  4. Menjaga serta membelanjakan segala harta suami dengan jalan yang baik serta dengan keizinannya terlebih dahulu.
  5. Tidak boleh keluar rumah tanpa keizinan suaminya.
  6. Tidak boleh menceritakan dan mendedahkan kelemahan suaminya kepada orang lain.
  7. Mesti bertindak sebagai penghibur hati dan sentiasa melakukan perkara yang mendatangkan kesenangan hati suami mereka.
  8. Sentiasa memberikan layanan yang baik kepada suaminya.
  9. Sentiasa menghormati dan taat setia pada suami sebagai ketua keluarga. Sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,oleh kerana Allah SWT telah melabihkan orang lelaki(dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan,dan juga kerana orng lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” -(Surah An-Nisa’ 4:34)
Oleh: ilmuislam2u
Sumber: http://jomkahwin.wordpress.com/

Sunday, September 26, 2010

Terpeliharakah takwa kita

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, lebih-lebih lagi nikmat selamat mengharungi dan menghayati Ramadan yang baru berlalu. Kita semua maklum bahawa Ramadan adalah sebuah madrasah yang didirikan untuk menjana sifat takwa dalam diri hamba-hamba yang beriman sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 2:183)

Orang yang bertakwa atau muttaqin adalah segolongan hamba yang paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu" (Al-Hujurat 49:13)

Orang yang bertakwa juga merupakan golongan yang diperakui berada di atas jalan yang benar dan termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kemenangan. Di permulaan surah al-Baqarah, setelah menyebut beberapa ciri yang ada pada mereka yang bertakwa, Allah taala mengakhiri dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Baqarah:5)

Kejayaan dan keberuntungan yang diperoleh oleh mereka yang bertakwa bukan sahaja berupa kejayaan di akhirat. Sebaliknya Allah taala telah menjamin berbagai-bagai nikmat, ‘inayah dan ma’unah semasa hidup di dunia lagi. Antaranya:

1. Disediakan jalan keluar daripada segala kesempitan dan permasalahan yang melanda dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak diduga. Firman-Nya bermaksud:

“...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya...” (At-Talaq 65: (2-3)

2. Tidak mudah terpedaya hasutan syaitan. Allah ‘Azza wa Jalla akan sentiasa melindungi mereka daripada terjebak ke dalam kesesatan yang cuba diperdaya oleh syaitan durjana. Firman Allah bermaksud:
 
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (Al-A’raf 7: 201)

3. Allah akan menampakkan mereka perbezaan antara yang benar dan yang salah. Dengan yang demikian mereka akan terpelihara daripada tergelincir ke lembah dosa dan maksiat. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal 8: 29)

Selain mendapat anugerah yang begitu besar di dunia, mereka disediakan pula ganjaran yang tidak ternilai hebatnya di akhirat kelak. Ganjaran-ganjaran itu digambarkan dengan cukup indah dan mendamaikan dalam banyak ayat yang terkandung dalam al-Quran. Antaranya:

1. Diampuni dosa dan diberikan cahaya menerangi perjalanan di akhirat kelak sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Hadid 57: 28)

2. Disediakan syurga yang indah tidak terkata:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta sebagai balasan daripada Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).” (An-Naba’78: 31-36)

Bagaimana memperoleh dan memelihara takwa?
 

Allah ‘Azza wa Jalla telah menunjukkan jalan bagaimana mencapai takwa dan bagaimana memeliharanya. Sebelum itu, perlu difahami terlebih dahulu apa maksud takwa yang sebenarnya.

Ibn Kathir meriwayatkan bahawa menurut Ibn ‘Abbas radiallahuanhu., orang yang bertakwa itu ialah orang beriman yang memelihara diri daripada syirik dan mentaati Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya.

Al-Hasan al-Basri pula berkata, orang yang bertakwa ialah mereka yang memelihara diri daripada perkara yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa yang difardhukannya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang hamba itu tidak sampai ke darjat muttaqin sehingga dia meninggalkan perkara yang tidak berdosa kerana takut terjerumus melakukan perkara yang ada dosa”.

Ubai bin Ka’ab r.a. telah membuat satu perumpamaan yang mudah ketika beliau ditanya oleh Umar bin al-Khattab tentang takwa. Beliau bertanya Sayidina Umar, “Pernahkah anda berjalan di suatu jalan yang penuh duri?”, Umar menjawab, “Ya, pernah?” “Lalu, apa yang anda lakukan?” Umar menjawab, “Saya menyinsing kain dan melangkah berhati-hati.” “Maka, itulah dia takwa!”

Maka takwa adalah langkah menjauhkan diri daripada larangan Allah dan berusaha sedaya mampu melaksanakan suruhan-Nya. Antara jalan untuk mencapai takwa adalah:

1. Berpuasa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.

2. Menerima dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Firman Allah bermaksud:
“Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk serta memberi mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.” (Muhammad 47:17)

3. Menghayati ciri-ciri orang yang bertakwa. Ciri-ciri mereka dinyatakan dalam beberapa ayat. Antaranya terkandung dalam surah az-Zariat yang bermaksud:
 
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).  (Az-Zariat 51:15-19)

Mudah-mudahan peringatan yang serba ringkas ini dapat membantu kita mencapai takwa dan sentiasa memeliharanya.

Sumber: http://www.malaysiaharmoni.com

Punca jantung cacat

APABILA disebut penyakit jantung kongenital, ia merujuk kepada kanak-kanak iaitu bayi hingga yang berumur 15 tahun. Penyakit jantung kongenital bermakna berlaku kecacatan jantung akibat masalah ketika pembentukan jantung bayi.
Kecacatan jantung kongenital ada banyak jenis seperti jantung berlubang (ada lubang pada dinding antara bilik dalam jantung), injap jantung tidak terbentuk sempurna (menyebabkan kebocoran darah) atau yang lebih serius — ketiadaan injap atau bilik pada jantung.

Mempunyai anak yang sakit jantung memang membuatkan ibu bapa tertekan dan takut terhadap kemungkinan yang berlaku.
Dalam keadaan ini, yang lebih baik ialah ibu bapa belajar memahami keadaan anak dan rawatan diperlukan. Cuba berbincang dengan doktor atau ibu bapa lain yang ada anak dengan masalah sama.

Antara kebimbangan ibu bapa ialah apa akan anak mereka lalui apabila dia perlu jalani pembedahan; adakah si kecil berasa sakit? Usah bimbang kerana anak anda diberi anestesia atau ubat bius.

Apa itu anestesia atau ubat bius?
Ia untuk mengawal kesakitan ketika pembedahan. Ubat bius ini membuatkan anak berasa selesa. Pakar bius ialah doktor yang bertanggungjawab memastikan pesakit kecil selesa dan selamat sepanjang pembedahan.

Bius digunakan untuk:
  • Menenangkan kanak-kanak
  • Menyekat rasa sakit kanak-kanak
  • Membuatkan kanak-kanak tidak sedarkan diri untuk jalani pembedahan
Ubat bius digunakan dalam pembedahan jantung ialah bius menyeluruh; ia membuatkan kanak-kanak langsung tidak sedar dan tidak berasa sakit sepanjang pembedahan. Ada beberapa cara memberi ubat bius iaitu melalui:
  • Suntikan ke dalam salur darah
  • Sedut nafas (anak perlu bernafas dalam topeng muka khas)

Dalam kedua-dua cara, ubat bius memberi kesan kepada otak dan seluruh badan.
Semua ubat bius ada kesan sampingan, tetapi kesan sampingan besar sangat jarang berlaku. Antara risiko kesan sampingan ialah alahan pada ubat atau darah yang digunakan.

Pakar bius akan memantau tanda penting pada tubuh pesakit, terutama tekanan darah dan degupan jantung, supaya kesan sampingan ini dapat dielak.

Bagaimana kanak-kanak boleh bersedia menerima ubat bius?

Biasanya pakar bius berjumpa ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak sehari sebelum pembedahan. Dia melihat keadaan dan rekod kesihatan kanak-kanak untuk membuat penilaian sama ada pesakit boleh diberi bius menyeluruh.

Satu keadaan yang tidak membolehkan kanak-kanak diberi ubat bius ialah jika dia demam kerana sebarang jangkitan perlu dirawat sebelum pembedahan. Pakar bius juga akan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga mengenai risiko ubat bius, terutama berkaitan masalah anak.

Hanya selepas itu baru dia meminta kebenaran ibu bapa atau penjaga untuk memberi ubat bius kepada anak. Ibu bapa perlu menandatangani perjanjian persetujuan.

Ibu bapa juga diminta berhenti memberi anak makan sebelum pembedahan. Ia bertujuan mengosongkan perut anak supaya jika pesakit muntah selepas diberi ubat bius, makanan dalam perut tidak masuk ke dalam paru-paru dan menjejaskan pernafasan anak.

Anak anda diberi ubat sebelum dihantar ke bilik pembedahan bagi mengurangkan kegelisahan. Ibu bapa juga boleh membantu menghilangkan ketakutan dan tekanan anak dengan bertenang dan menerangkan apa bakal berlaku.

Berterus terang dengan anak bahawa mereka mungkin mengalami ketidakselesaan dan kesakitan sedikit selepas pembedahan; pada masa sama meyakinkan anak bahawa anda akan berada dekat dan ubat akan diberi kepada mereka.

Apa yang berlaku dalam bilik bedah?


Di Institut Jantung Negara (IJN), seorang penjaga dibenarkan masuk ke bilik bedah untuk menemankan anak. Dalam bilik bedah, anak anda diberi ubat tidur atau pelali dalam bentuk suntikan atau gas.

Apabila anak tidur, ibu atau bapa perlu meninggalkan bilik pembedahan dan tunggu di ruang menunggu Unit Rawatan Rapi (ICU). Pembedahan jantung biasanya mengambil masa empat hingga enam jam.

Beberapa tiub disambung selepas kanak-kanak tidur bagi membantu pakar bius memantau keadaan pesakit ketika pembedahan dan ia terus dipasang apabila pesakit dipindahkan ke ICU.

Satu tiub dipasang pada salur darah di tangan atau pangkal paha untuk memantau tekanan darah dan membolehkan sampel darah diambil tanpa perlu mencucuk tangan pesakit berulang kali untuk pemeriksaan. Satu lagi tiub dipasang pada salur darah di leher atau pangkal paha untuk pemeriksaan jumlah darah anak dan pemberian ubat.

Ada alat dipasang pada badan anak untuk memantau pernafasan dan fungsi jantung. Pesakit juga memerlukan bantuan pernafasan melalui tiub (tiub endotrakea) yang dimasukkan dalam mulut ke trakea.

Ia disambung ke mesin pernafasan (dipanggil ventilator) kerana pesakit ‘dilumpuhkan’ dengan beberapa jenis ubat untuk menenang dan menghentikan pergerakannya sepanjang pembedahan.

Untuk membantu pakar bedah, jantung kanak-kanak dihentikan dengan ubat dan dipasangkan mesin jantung yang dikawal oleh pakar bius dan pakar perfusi.

Apabila pembedahan selesai, mesin jantung ditanggalkan dan jantung kanak-kanak kembali berfungsi. Kanak-kanak dimasukkan ke ICU yang dijaga oleh seorang lagi doktor pakar rawatan rapi.

Apa berlaku dalam ICU?

Pakar bedah jantung dan pakar rawatan rapi akan menjaga pesakit. Berapa lama pesakit perlu berada di ICU bergantung kepada keadaannya. Sepanjang di ICU, pesakit diberi ubat tahan sakit dan ubat tidur supaya berasa selesa kerana masih memerlukan pemantauan rapi.

Anak anda mungkin memerlukan alat bantuan pernafasan sekurang-kurangnya sehari. Jika anak dalam keadaan stabil, ibu bapa digalakkan memegang dan bercakap dengan anak. Bagaimanapun sebelum masuk ke ICU, ibu bapa mesti mencuci tangan dengan bersih untuk mengelak jangkitan kuman.

Bilangan pelawat juga dihadkan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Anak anda dipindahkan ke wad biasa apabila keadaannya lebih stabil dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan atau pemantauan rapi.

Oleh DR NOR AZLINA ABDUL JALIL
(Pengarah Klinikal Perkhidmatan Anestesia Institut Jantung Negara)
Sumber: http://www.hmetro.com.my/

Rokok tingkat risiko pneumothorax?

AHMAD (bukan nama sebenar) berusia 29 tahun. Menjalani gaya hidup seperti lelaki muda yang lain, pada mata kasar dia kelihatan sihat dengan susuk tubuh kurus (tidak terlalu kurus) dan tiada sebarang penyakit.
Namun anak muda itu merokok. Walaupun begitu, dia tidak pernah lupa bersenam terutama menghabiskan masa bersama teman bermain badminton, futsal dan sebagainya. Dari segi pengambilan makanan, dia tidak cerewet namun tidak juga terlalu berhati-hati.

Suatu hari, secara tiba-tiba Ahmad mengalami kesakitan di bahagian dada yang teramat sangat. Tanpa berlengah, dia terus berjumpa doktor. Ahmad tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit berkaitan jantung atau paru-paru. Dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami pneumothorax.

Apa itu pneumothorax?

Jarang berlaku, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Menurut Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Madya Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, pneumothorax atau masalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga pleural antara paru-paru dan dinding dada berlaku apabila terdapat kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru atau paru-paru itu sendiri.

“Terdapat dua jenis pneumothorax. Yang pertama boleh berlaku secara tiba-tiba atau spontan dan ini dipanggil spontaneous pneumothorax. Masalah ini berlaku kepada mereka yang mempunyai gelembung udara nipis pada paru-paru sejak lahir dan apabila perubahan tekanan antara atmosfera dan rongga torasik berlebihan berlaku, ia akan pecah,” katanya.

Keadaan itu katanya, boleh terjadi kepada lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun dengan bentuk fizikal kurus dan tinggi.

“Sebanyak 10 peratus lelaki muda mengalami masalah ini dan di PPUKM sahaja, boleh dikatakan satu kes akan dirujuk setiap minggu,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, individu merokok meningkatkan lagi risiko pneumothorax. Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku apabila kebocoran udara berterusan dari paru-paru ke rongga dada dan menyebabkan tekanan pada struktur dada termasuk saluran yang membawa darah kembali ke jantung.

Bila keadaan tersebut berlaku, pesakit akan mengalami sesak nafas, sakit dada, batuk-batuk dan mungkin pengsan. Keadaan itu boleh mengundang maut andai tidak dirawat dengan segera.

Jenis kedua pneumothorax pula kata beliau, berlaku disebabkan trauma fizikal seperti kemalangan melibatkan bahagian dinding dada seperti keretakan bahagian rusuk dan sebarang kecederaan tembus dada (tembak atau tikaman).

Selain itu, pneumothorax juga boleh berlaku sebagai kesan penyakit paru-paru, termasuk cystic fibrosis, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), kanser paru-paru, asma dan jangkitan paru-paru.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my

Friday, September 24, 2010

Saintis Membuktikan Nabi Musa Belah Laut

OULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.
LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/

Kelebihan Solat Sunat Subuh


Antara solat sunat yang sangat dituntut adalah solat sunat subuh. Ada riwayat mengatakan bahawa Rasulullah sangat menjaga solat sunat subuh ini walau pun terlewat untuk mengerjakan solat subuh.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saiyidah Aishah r.a., isteri Rasulullah SAW, bahawa Baginda telah bersabda:

"Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya".

Dan diriwayatkan oleh Saiyidah Aishah juga bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi berkenaan solat dua rakaat ini:

"Dua rakaat ini lebih aku sukai daripada segala isi dunia."

Dan diriwayatkan lagi oleh Saiyidah Aishah r.a. bahawa Rasulullah SAW apabila di dalam perkara Solat Sunat, Baginda mengambil berat untuk mengerjakan Solat Sunat Subuh lebih daripada yang lain-lain.

Marilah kita melapangkan masa selama lebih kurang empat minit untuk mendengar sedutan mengenai tuntutan menunaikan solat sunat subuh.. Wallah hua'lam..

Sumber: http://tilikcelik.blogspot.com/

Thursday, September 23, 2010

Amalan baik, takwa pelengkap keutuhan iman

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan (muhasabah) terhadap apa yang dia telah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Prof Hamka dalam kitab tafsir al-Azhar berkata, ayat ini menjelaskan iman adalah kepercayaan dan takwa pula pemeliharaan hu bungan dengan Allah. Oleh sebab itu, beriman semata-mata belum memadai sebelum dilengkapi amalan yang merapatkan hubungan dengan Allah.

Kedatangan Syawal adalah isyarat jelas terhadap keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim. Syawal itu adalah bulan peningkatan iman, takwa dan amal soleh setelah umat Islam menghadapi ujian ibadat puasa dan tarbiah jasmani serta rohani ketika Ramadan. Ayat ini merakamkan kisah berlaku pada zaman Nabi SAW.
Diriwayatkan, Abu ‘Amr iaitu Jarir bin Abdullah berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW pada waktu tengah hari. Kemudian datanglah kepada Baginda SAW, satu kaum yang tidak berpakaian, mengenakan pakaian bulu harimau, bergaris-garis lurik sambil menyandang pedang, umumnya mereka itu dari suku Mudhar atau memang semuanya dari Mudhar.

Maka, berubahlah wajah Rasulullah SAW kerana sedih melihat kemiskinan mereka. Kemudian Baginda masuk ke rumahnya, lalu keluar lagi, terus menyuruh Bilal untuk azan. Selanjutnya Bilal berazan dan beriqamah, lalu mendirikan solat, kemudian Baginda berkhutbah.”

Antara isi khutbah, Rasulullah SAW membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kamu semua kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu semua dari diri yang satu iaitu Adam, hingga ke akhir ayat iaitu yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu Maha Mengawasi bagimu semua.” (Surah al-Nisa’, ayat 1)

Selepas itu, Baginda membacasurah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan (muhasabah) terhadap apa yang dia telah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).”

Pada saat itu, ada orang yang bersedekah dengan dinar, dirham, bajunya, segantang gandum, segantang kurma, sehingga Baginda SAW bersabda: “Sekalipun dengan hanya sebiji kurma juga baik.”

Seterusnya semakin ramailah orang yang tampil ke hadapan Rasulullah SAW memberikan sumbangannya masing-masing, sehingga aku dapat melihat ada dua longgokan makanan dan pakaian dan aku melihat wajah Rasulullah SAW berseri-seri, seolah-olah bercahaya bersih sekali.

Pengajaran penting yang dapat difahami, Allah menekankan perintah melakukan amalan bermuhasabah diri dengan dimulai dan diakhiri kalimah takwa. Ini jelas menunjukkan amalan muhasabah yang hendak dilakukan perlu berpaksikan piawaian takwa kepada Allah.

Jelaslah yang dimaksudkan orang yang mengaku beriman kepada Allah perlu memupuk imannya dengan takwa, lalu merenung untuk hari esoknya. Antara persoalan yang perlu dijawab ialah apakah gerangan bekalan yang perlu dibawa untuk dipersembahkan di hadapan Allah.

Oleh itu, timbang-timbanglah terlebih dulu untung ruginya bekalan hidup di dunia ini sebelum ditimbang di hadapan Allah kelak. Renung-renunglah persiapan yang disediakan untuk menghadapi hari esok dan lihatlah jika masih ada lagi yang kurang.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

JIHAD EKONOMI

Kaum Muslimin yang komited di Turki suka membina kekuatan melalui jalan ekonomi. Mereka memilih perniagaan sebagai wasilah menampung keperluan hidup. Fatih sendiri pun berniaga tudung. Bermula daripada 1000 helai tudung yang Resit Amca (Pakcik Rasyid) bekalkan kepada Fatih sebagai modal perniagaan, kini pasaran Fatih sudah mencecah hingga ke Itali. Saya sudah berkali-kali diajak oleh Fatih supaya berniaga bersamanya tetapi saya bimbang tudung yang diberikan kepada saya, akan berakhir sebagai hadiah dan cenderamata, dan bukannya dijual. Saya tahu perniagaan adalah salah satu kelemahan utama saya.

Akan tetapi, bukan sahaja rakan-rakan di Turki suka berniaga, malah masyarakat juga memberikan sokongan yang padu kepada perniagaan muslimin. Ini membolehkan umat Islam di Turki membentuk kekuatan mereka sendiri ketika berdepan dengan tekanan penguasa sekularis yang amat memusuhi Islam.

Pelbagai syarikat bertaraf nasional dan internasional di Turki, dimiliki oleh golongan Muslim yang komited. Pihak tentera Turki sering memberikan tekanan kepada kerajaan agar menyekat, membendung, malah menutup sahaja syarikat yang dikenal pasti oleh golongan Islam. Kemuncaknya, pada akhir 90′an, tentera telah menyenaraikan 100 buah syarikat Turki yang dikenalpasti milik Muslim yang digelar ‘pelampau’, dan disyaki membiayai aktiviti keganasan. Mereka mengisytiharkannya di televisyen dan akhbar. Antara syarikat yang terbabit ialah syarikat Kompasan, Yimpas, Ulker dan sebagainya.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Syarikat-syarikat tersebut telah secara tidak langsung dibuktikan oleh pihak tentera bahawa ia milik golongan Muslim yang multazim (komited). Ia disambut baik oleh umat Islam di Turki kerana pengisytiharan ini bertepatan dengan suatu tradisi yang ada di kalangan mereka. Umat Islam yang komited di Turki, sangat menjaga perbelajaan mereka agar tidak jatuh ke tangan musuh Islam, walaupun musuh Islam itu adalah dari kalangan orang Turki sendiri. Orang Turki yang sekular.

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, masyarakat Turki tidak seperti kita di Malaysia. Di negara kita, adalah menjadi suatu kebiasaan di dalam satu keluarga, ada ayah yang sekular, ibu yang kebingungan, anak sulung yang Islamik, anak kedua yang macam ayah dan sebagainya. Bercampur aduk. Hal ini tidak begitu kelihatan di Turki. Oleh kerana perlaksaan penguatkuasaan sekularisma berlaku secara keras dan ekstrim di Turki, rakyatnya terbelah dua. Sama ada seorang itu, keluarga dan saudara maranya Islamik, atau sekular. Yang Islamik semuanya Islamik, yang sekular, kelihatan langsung tiada kena mengena dengan Islam.

Oleh yang demikian, golongan yang Islamik tidak membeli di kedai yang pemiliknya dikenalpasti tidak mengamalkan Islam. Mereka sanggup menambah 100 langkah ke kedai yang jauh sedikit dan membayar harga lebih sedikit, asalkan duit hasil titik peluh mereka, tidak jatuh ke tangan manusia yang tidak memberi manfaat kepada Islam.

Ia melibatkan roti, gula dan garam, ayam dan daging, malah televisyen dan kereta.

SEJENAK BERSAMA PROTON

“Hasrizal, bagus tak kereta Proton ini?” Abdul Mutalib bertanya kepada saya.

“Kenapa? Bagus tak bagus, ia kereta nasional kami dan ia kereta paling popular di Malaysia,” saya menjawab.

“Bukan apa. Cuba kamu lihat ini,” Abdul Mutalib menunjukkan kepada saya iklan kereta Proton di dalam sebuah majalah yang diterbitkan di Kuwait.

Kereta Pertama Buatan Negara Islam!!!
Wah, bukan main lagi hebatnya iklan tersebut. Saya memang agak terkejut dengan promosi besar-besaran kemasukan kereta Proton ke Turki. Projek membina kilang memasang kereta Proton versi pemanduan kiri di Diyarbakir sudah pun diluluskan dan CEOnya sendiri menjadi pelakon iklan di televisyen Turki.

“Pensyarah-pensyarah kami suruh saya tanyakan kepada awak, adakah kereta Proton ni bagus dan benarkah ia kereta negara Islam?” Abdul Mutalib bertanya dengan begitu ghairah.

“Saya rasa jika dibandingkan dengan kereta Sahin di Turki, kereta Proton setanding malah mungkin lebih baik. Tetapi kalau soalan tentang benarkah ini kereta buatan Negara Islam, jawapannya saya kena rujuk ke Jabatan Siasah Syariyyah, benarkah Malaysia Negara Islam. Haha.!!” saya ketawa bersama Abdul Mutalib.

Abdul Mutalib amat kenal dengan Malaysia. Semasa beliau belajar di Jordan, beliau pernah tinggal lebih dua tahun bersama pelajar Malaysia. Bermula dari belacan dan budu, sampailah kepada isu-isu nasional di Malaysia, beliau mendapat pendedahan yang baik dari rakan-rakannya.

“Tetapi Proton ni adalah projek kerajaan Malaysia. Pekerjanya majoriti Muslim. Jadi kereta Proton ini dibina oleh tangan-tangan orang yang bersembahyanglah agaknya,” saya cuba mencerahkan perbincangan asal kami.

“Kualiti bagus atau tidak sebenarnya?” tanya Abdul Mutalib, semacam tidak berpuas hati dengan keterangan saya.

“Saya harap kualitinya setinggi nama ISLAM yang dibawa. Mudah-mudahan dengan sokongan yang diberi, kualitinya juga meningkat kepada yang lebih baik lagi,” saya mengulas dengan gaya seorang amatur.

Semenjak Proton memasuki pasaran Turki pada pertengahan tahun 90′an, ia mendapat sambutan yang hangat, terutamanya di era kepimpinan Necmettin Erbakan sebagai Perdana Menteri. Liputan yang meluas membolehkan masyarakat di Turki mengenal Malaysia dan Proton secara yang lebih dekat. Akan tetapi, apa yang mengagumkan saya adalah ramai penduduk Turki mengambil keputusan untuk menukar kereta mereka kepada Proton hanya semata-mata didorong oleh rasa mahu menyokong kereta Negara Islam pertama di dunia!

Ya, jika umat Islam di Malaysia ada sikap yang seperti ini, maka strategi memboikot barangan Yahudi boleh berjaya.

Pembentukan sikap yang seperti ini, menjadi cabaran kepada pendakwah dan pendidik masyarakat kerana musuh utama kepada perilaku yang mulia ini adalah sikap negatif mementingkan diri sendiri, atau yang tidak kurang bahayanya, tidak peduli!

Membeli sekilo ikan dengan harga RM4:50 dari seorang peniaga bukan Muslim, adalah sah dari segi syarak. Maka mengapa mesti seseorang itu pergi ke meja peniaga Muslim yang menjual ikan yang sama dengan harga RM4:70? Sifir ini tidak logik bagi pembeli yang mementingkan dirinya sendiri, atau yang hanya memikirkan hukum fiqah cara selapis. Peniaga bukan Muslim itu menjual, saya bersetuju dengan harganya, berlaku pertukaran wang dan ikan, dan sahlah jual beli itu.

Sesungguhnya kami duduk bersama dengan Nabi s.a.w. kemudian datanglah seorang lelaki Musyrik yang rambutnya kusut masai dan panjang dengan seekor kambing yang dia gembala. Maka Nabi bertanya: “(Adakah kambing ini) Dijual atau diberikan?” (atau perawi syak; adakah ia hadiah?) Dia menjawab, “Tidak, bahkan dijual.” Maka, Nabi pun membeli daripadanya seekor kambing. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 8, hlm. 196, No. Hadith: 2216)

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan persoalan tentang bolehkah bertransaksi dengan orang-orang yang memerangi Islam, telah menyatakan: “Telah sepakat orang-orang Islam ke atas keharusan untuk berurus niaga dengan Ahli Zimmah (orang-orang yang mengikat janji dengan Kerajaan Islam), dan selain daripada mereka yang terdiri daripada orang-orang Kafir, selagi mana ia tidak melibatkan barangan yang haram.

Tetapi tidak harus untuk seorang Islam untuk menjual senjata atau peralatan perang kepada orang-orang kafir yang memerangi Islam, dan tidak boleh bertransaksi dengan apa-apa yang membantu dalam menegakkan agama mereka.” (al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Muslim, jil. 5, hlm. 478) [Kredit petikan al-adib.net]

Namun, perbezaan 20 sen itu mempunyai erti yang tinggi jika pembeli ada kesedaran untuk berjuang. Anggaplah 20 sen itu sebagai pelaburan kita berupa perjuangan membangunkan ekonomi umat Islam. Apatah lagi, jika peniaga ikan di pasar, ada yang mampu menjual murah 20 sen kerana ada sebahagiannya yang sudah pun membuat pengubahsuaian kepada mesin timbangnya.

Pembeli Malaysia selalu tidak cermat semasa membeli. Termasuklah diri saya.

TELITI

Berbalik kepada isu jihad ekonomi itu tadi, kita semua sedia maklum bahawa kita sudah boleh membeli kereta, malah rumah dari mana-mana bank tanpa dikenakan faedah atau riba. Biasanya bayaran balik di bank-bank yang Islamik jauh lebih tinggi berbanding bank biasa. Seandainya kita berfikir secara self-centered, pastinya orang yang tidak siuman sahaja yang akan pergi ke bank Islam sedangkan dia boleh membuat jual beli yang sah di bank-bank konvensional.

Namun, jika perbezaan harga itu masih berada di dalam keupayaan kita, maka anggaplah perbezaan harga itu sebagai sumbangan kita kepada kejayaan pembangunan sistem ekonomi Islam.

Kesediaan ini hanya ada jika kita berjiwa Ummah, ada kemahuan yang tinggi untuk menjadikan sikap MEMBERI sebagai prinsip hidup, dan seterusnya prihatin kepada ukhuwwah dan persaudaraan.

“Tidaklah kamu itu dianggap sebagai seorang yang beriman dengan sempurna, sehingga kamu suka untuk saudaramu, apa yang kamu suka untuk dirimu sendiri” [Riwayat Muslim]

Coca Cola jatuh merudum pada tahun 2003 di Turki selepas Mecca Cola masuk ke pasaran Turki. Dan hari ini saya membasahkan tekak dengan Mecca Cola di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur dengan penuh rasa bangga dan puas.

Jika tidak Muslim membantu Muslim, siapa lagi?

Biar pun mungkin digelar anti pasaran terbuka!

Oleh: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
http://saifulislam.com/

Sedekah

Diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Turmudzi dan Ahmad, seperti berikut:

Tatkala Allah Ta'ala menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam. Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung."

Allah menjawab, "Ada, iaitu besi" (kita mafhum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek/bore dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat dari besi). Para malaikat bertanya lagi "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi ?"

Allah yang Maha Suci menjawab, " Ada, iaitu api" (besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api). Para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api ?"

Allah yang Maha Agung menjawab, " Ada, iaitu air" (api membara sedahsyat apapun nescaya akan padam jika disiram dengan air). Para malaikat pun bertanya kembali "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air ?"

Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, " Ada, iaitu angin" (air di samudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat). Akhirnya para malaikat pun bertanya lagi "Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu semua ?"

Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab, " Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya". Ertinya, yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur menunjuk-nunjuk ataupun supaya diketahui orang lain.

Berkaitan dengan ikhlas ini, Rasulullah SAW mengingatkan dalam pidatonya ketika beliau sampai di Madinah pada waktu hijrah dari Makkah : "Wahai segenap manusia! Sesungguhnya amal itu tergantung kepada niat, dan seseorang akan mendapatkan (pahala) sesuai dengan apa yang diniatkannya".

Oleh kerana itu hendaknya kita selalu mengiringi sedekah kita dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah semata, tanpa berasa ingin dipuji, dianggap dermawan, dihormati, dan lain-lain yang dapat menjadikan sedekah kita menjadi sia-sia.

Ganjaran bersedekah

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wa Sallam menganjurkan kepada kita umatnya untuk memperbanyak sedekah, hal itu dimaksudkan agar rezeki yang Allah berikan kepada kita menjadi bertambah berkah.

Allah memberikan jaminan kemudahan bagi orang yang berdekah, ganjaran yang berlipatganda (700 kali) dan sebagai ganti, sebagaimana firman-Nya dan sabda Rasulullah SAW, sbb : Allah Ta'ala berfirman, "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga) maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah". {Qs. Al Lail (92) : 5-8}

Allah Ta'ala berfirman, "Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui". {Qs. Al Baqarah (2) : 261}

Rasulullah SAW bersabda, "Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia dibumi. Yang satu menyeru, "Ya Tuhan, karuniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kepada Allah". Yang satu lagi menyeru, "musnahkanlah orang yang menahan hartanya".

Tolak Bala dengan Sedekah

Orang-orang yang beriman sangat sedar dengan kekuatan sedekah untuk menolak bala, kesulitan dan berbagai macam penyakit, sebagaimana sabda RasulAllah SAW, sbb : "Bersegeralah bersedekah, sebab yang namanya bala tidak pernah mendahului sedekah". "Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah". "Ubatilah penyakitmu dengan sedekah".

Banyak dari kita yang sudah mengetahui dan memahami perihal anjuran bersedekah ini, namun persoalannya seringkali kita teramat susah untuk melakukannya kerana kekhuatiran bahawa kita salah memberi, sebagai contoh kadang kala kita enggan memberi sedekah kepada pengemis yang kita temui ditepi jalan dengan anggapan bahawa mereka (pengemis/peminta tsb) menjadikan meminta-minta sebagai pekerjaannya, malas, dll. Padahal sesungguhnya prasangka kita yang demikian adalah bisikan-bisikan syaitan laknatullah yang tidak rela melihat kita berbuat baik (bersedekah) , sebaiknya mulai saat ini hendaknya kita hilangkan prasangka-prasangka yang demikian kerana seharusnya sedekah itu kita niatkan sebagai bukti keimanan kita atas perintah Allah dan rasul-Nya yang menganjurkan umatnya untuk selalu bersedekah.

Masalah mungkin timbul apabila ternyata kemudiannya bahawa sedekah yang kita beri kepada pengemis/peminta tadi tidak tepat sasaran, bukan lagi urusan kita, kerana sedekah hakikatnya adalah ladang amal bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa. Pengemis/peminta/ fakir miskin lainnya adalah ladang amal bagi orang yang berkemampuan, dapat kita bayangkan andaikata tidak ada lagi orang-orang tersebut, kepada siapa lagi kita dapat beramal (bersedekah) ???

Walaubagaimanapun dalam dunia yang semakin gawat dan gayat ini pemberian sedekah atau kalau kita termasuk orang yang tidak suka memberi sedekah kepada pengemis/peminta/ fakir miskin) dengan berbagai alasan dan pertimbangan maka biasakanlah bersedekah dengan menyiapkan sejumlah wang sebelum sholat Juma'at dan memasukkan ke kotak-kotak sumbangan yang tersedia dan biasakan dengan memberi sejumlah minima setiap Jumaat, misalnya Juma'at ini kita menyumbang RM5 ke kotak amal tersebut maka sebaiknya Juma'at berikutnya harus dengan jumlah yang sama, syukur jika boleh diberi lebih dan yang terpentingnya harus diiringi dengan keikhlasan.

Sedekah anda, walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah Azza Wa Jalla. Orang yang bakhil dan kikir dengan tidak menyedekahkan sebahagian hartanya akan rugi di dunia dan akhirat kerana tidak mendapat keberkatan. Jadi, sebenarnya orang yang bersedekah adalah untuk kepentingan dirinya. Sebab menginfakkan (belanjakan) harta akan memperoleh berkah dan sebaliknya menahannya adalah celaka.

Tidak menghairankan jika orang yang bersedekah diibaratkan orang yang melabur (invest) dan menabung di sisi Allah dengan jalan meminjamkan pemberiannya kepada Allah. Balasan yang akan diperolehnya berlipatganda. Mereka tidak akan rugi meskipun pada awalnya mereka kehilangan sesuatu.
Sedekah yang pahalanya terus mengalir

Dari Abu Hurairah RA, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : "Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal : amal jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak shalih yang mendo'akannya." (HR. Bukhari, dalam Adabul Mufrad)

)leh Arbain Muhayat pada 11 February 2010
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Wednesday, September 22, 2010

Syarat Sah Sembahyang

Suatu hari di salah sebuah kelas agama, seorang ustaz mengajar tentang hukum-hukum sembahyang lima waktu kepada murid-muridnya.

Ustaz: Kita telah belajar minggu lepas tentang syarat-syarat sah sembahyang. Hari ini saya cuba mengenalpasti kefahaman kamu tentang syarat sah sembahyang. Saya harap kamu bersedia..
Murid-murid: Baik ustaz.
Uztaz: Ali! Sah atau tidak kalau kita sembahyang di dalam bilik karoke?
Ali: Tak tahu ustaz!
Ustaz: Tentulah sah! Dengan syarat mengandap kiblat... dan jangan pulak awak berkaraoke sekali.
Murid-murid: (Ketawa)

Ali merasa berbulu je... sebab kena ketawa

Ali: Ustaz! Pada pemahaman saya kalau kita pakai “Tie” tentu tak sah sembahyang.
Ustaz: Sah la Ali! Awak faham ke tak syarat sembahyang..
Murid-murid: (Ketawa lagi)
Ali: Tak sah la ustaz.
Ustaz: Ok! Kenapa awak kata macam tu?
Ali: Habis! Kalau kita pakai “Tie” je... yang lain tak pakai... sah ke?
Murid-murid: Hahahahaha (ketawa semakin kuat)
Uztaz: Nak kena si Ali ni (dalam hati)

Uztaz pulak berbulu pada Ali.

Tuesday, September 21, 2010

Cabaran Pendidikkan Teknikal, Vokasional dan Kemahiran Menghasilkan Tenaga Kerja Profesional dan Berdaya Saing.

Dalam suasana persaingan yang cukup sengit di era globalisasi kini,kita dituntut untuk menguasai ilmu yang mantap dan luas yang memungkinkan setiap daripada para pelajar kita mampu menghadapi cabaran ini dengan bekalan ilmu yang cukup mantap dan rapi. Mungkin kerana cabaran pendidikan masa kini dilihat terlalu hebat maka sistem pendidikan negara juga terpaksa diubahsuai dan direkabentuk sesuai dengan keperluan dan perubahan yang mendadak ini.

Pastinya ramai di antara kita terutamanya ibubapa yang menaruh harapan yang tinggi terhadap pencapaian anak-anak mereka apabila pendekatan pendidikan yang dibawa menerusi sistem persekolahan memberikan penekanan terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P), sumber manusia, kemahiran dan sikap, teknologi, sistem pengurusan yang lebih cekap, dan perubahan kepada beberapa polisi yang tertentu.

Semuanya ini dilihat sebagai satu usaha murni untuk melahirkan generasi pelajar yang jauh lebih hebat dan berketrampilan dalam menghadapi era yang juga hebat dan penuh dengan persaingan ini. Tetapi adakah sistem pendidikan yang sedemikian rupa mampu untuk melahirkan generasi pelajar yang kita inginkan.

Oleh yang demikian antara factor-faktor yang perlu difikirkan adalah seperti berikut:

1. Falsafah Pendidikan Kebangsaan
  • Jasmani
  • Emosi
  • Rohani
  • Intelek
2. UNESCO: Mementingkan Pendidikan Untuk Semua (EFA – Education For All)
  • Access
  • Equity
  • Quality
3. Dasar Mermartabatkan Bahasa Melayu Dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI);

Menggantikan Dasar Pendidikan Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI/PPSMTI) iaitu mengggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam kurikulum kebangsaan secara pelaksanaan soft-landing kecuali mata pelajaran Sains dan Matematik Tingkatan 6.

4. 4 Prinsip KSSM
  • Quality
  • Equality
  • Equinvalency
  • Implement
5. 21st Century Currculum: Mementingkan Kemahiran Kebolehkerjaan (Employability Skill) – Skills that apply across a variety of jpbs and life contexts seperti;
  • Communication
  • Teamwork
  • Problem solving
  • Initative and enterprise
  • Planning and organizing
  • Self management
  • Learning
  • Technology
6. Sustainability Curriculum
  • Marketable students
  • New approach in teaching and learning process
  • International standard certification
7. Competency Based Curriculum
  • Pengetahuan (Knowledge) – Minds on
  • Kemahiran (Skills) – Hand on
  • Nilai (Value) – Hearts on
8. Green Technology
  • Tenaga Solar – Reduce pollution
  • Hidroelektrik – Reduce pollution
  • Eletric Mono Rail – Reduce petrol
  • Digital Asistant – Reduce paper.
9. New Technology
  • Handphone operatin system – Global Positioning System (GPS)
  • Control operation system – lift, escalator, travellator, traffic light
  • Integrated safety precautions system – LCD, Plasma and LED
  • Audio player system – MP4 player
  • Remote sensor – ceiling fan remote, infrared controller
10. Dual Certification: Professional Certificate
  • Institusi Jurutera Malaysia
  • City and Guilds
  • UniKL
  • OHS Certificate
11. Standard Pekerjaan: Standard berasaskan keperluan NOSS dan lain-lain standard antarabangsa

12. Isu Semasa
  • Perkauman (Racism)
  • Kreativiti dan Inovasi
Oleh: Adam Othman
Unit Kejuruteraan, Sektor Pendidikan Teknik dan Vokasional
BPK, Kementerian Pelajaran Malaysia

6 strategi perkasa vokasional, teknikal

BAHAGIAN Pendidikan Teknik dan Vokasional menggariskan enam strategi - serta beberapa pendekatan pengurusan terkini - untuk memperkasa pendidikan vokasional dan teknikal.
Enam strategi itu ialah:
  1. Mempertingkatkan kualiti pengurusan vokasional dan teknik.
  2. Memperkasakan kurikulum vokasional dan teknik.
  3. Meningkatkan hubungan industri dan badan profesional.
  4. Memperkasa keusahawanan di sekolah (school enterprise).
  5. Memantapkan jalinan hubungan dengan IPTA/IPTS dan agensi latihan awam dan swasta.
  6. Perancangan komunikasi - Mengubah minda masyarakat ke arah menjadikan program vokasional dan teknikal sebagai pilihan utama pendidikan.
Sementara konsep 5S adalah antara pendekatan pengurusan yang dicadangkan. Program 5S ialah sisih (seiri), susun dalam turutan (seiton), sapu (seiso), seragam (seiketsu) dan sentiasa amal (shitsuke).

Sumber: http://www.utusan.com.my/

PENERAPAN UNSUR KEMAHIRAN KEBOLEHKERJAAN DALAM MATA PELAJARAN ASAS KEMAHIRAN VOKASIONAL

Kemahiran kebolehkerjaan didefinisikan sebagai kemahiran selain dari kemahiran teknikal, diperlukan untuk membantu mendapatkan pekerjaan, meningkat dan mencapai potensi diri dalam kerjaya yang diceburi, serta untuk menyumbang ke arah kejayaan organisasi (enterprise).

1. Pemetaan Kemahiran Kebolehkerjaan ( Employability Skills Mapping, Univ. of Kent, UK)
2. Kemahiran Abad Ke 21 (US/ Metiri Group)
3. Lapan kemahiran kebolehkerjaan yang utama yang dicadangkan oleh ACCI/BCA 2002:

• Berkomunikasi
• Bekerja dalam pasukan
• Menyelesaikan masalah
• Berinisiatif dan enterprise
• Merancang dan menyusun atur
• Mengurus kendiri
• Belajar
• Teknologi

4. Tiga kategori kemahiran kebolehkerjaan (Alabama Coop Exten. Sys. 2002):

I. Kemahiran Asas Akademik

• Bertutur
• Mendengar
• Membaca
• Menulis
• Mengira

II. Kemahiran Berfikir

• Belajar
• Menaakul
• Berfikir secara kreatif
• Membuat keputusan
• Menyelesaikan masalah

III. Kualiti Peribadi

• Bertanggung jawab
• Yakin diri
• Kawal diri
• Bersosial
• Jujur
• Berintergriti
• Adaptasi dan fleksibel
• Semangat berpasukan
• Menepati masa
• Efisien
• Arahan kendiri
• Bersikap positif terhadap kerja
• Bekerjasama
• Mengurus kendiri
• Menggayakan diri

Oleh: Raudah Majid BPK, KPM

Wanita Dan Hari Raya

Hadith :

Dari Ummu Athiyyah ra., ia berkata:” Nabi saw. memerintahkan kami untuk membolehkan gadis-gadis dan gadis-gadis pingitan keluar rumah dan beliau memerintahkan para wanita yang sedang haid agar menjauhi tempat solat kaum muslimin. (Muslim)

Huraian
  1. Pada Hari Raya disunatkan seluruh kaum muslimin beserta keluarganya untuk hadir di tempat solat. Manakala bagi wanita yang sedang haid yang tidak dapat mengerjakan solat, mereka hendaklah menjauhi tempat solat. Kedatangan tersebut ialah supaya sama–sama dapat menyaksikan kebaikan hari itu dan bersama mengaminkan doa dari kaum muslimin.
  2. Bagi wanita pula mereka hendaklah menjaga diri dan menjauhi dari perkara yang mendatangkan fitnah. Hal ini termasuk bersalaman dengan yang bukan mahram kerana sering terjadi, disebabkan alasan untuk bermaaf-maafan, seorang lelaki dapat menyalami (berjabat tangan) dengan wanita yang bukan mahram. Rasulullah SAW pernah bersabda : "Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan wanita."
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kurikulum, pensijilan baru 2011

JABATAN Pembangunan Kemahiran akan memastikan kurikulum yang dibangunkan memenuhi piawaian minimum dan selaras dengan bidang ekonomi yang diberi keutamaan.

Kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) akan mengandungi komponen kemahiran asas berkaitan dengan literasi dan numerasi serta penguasaan pelbagai bahasa.

Kemahiran asas ini penting sebagai sokongan kepada kemahiran praktikal serta pembinaan kemahiran dan keupayaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suasana kerja.

Di samping itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan membangun bank kurikulum untuk menyimpan semua kurikulum yang dibangunkan.

Agensi penyedia TEVT mengeluarkan sijil tersendiri dan sijil TEVT ini belum diiktiraf sepenuhnya sebagai sijil yang melayakkan calon memasuki institusi pengajian tinggi.

Penerimaan sijil TEVT dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan majikan dapat diperluas dengan menghapuskan keraguan terhadap kualiti latihan yang diberikan oleh pelbagai agensi.

Pada masa ini, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Teknologi dan Sarjana Muda Teknologi tidak diiktiraf sepenuhnya oleh institusi pengajian tinggi dan Lembaga Jurutera Malaysia.

Untuk penyeragaman dan pengiktirafan pensijilan TEVT, SKM akan diguna pakai sebagai pensijilan kebangsaan bagi TEVT.

Langkah berikut akan diambil bagi memperkukuh pengiktirafan sijil TEVT:
  1. Mengiktiraf dan menyeragam pelbagai tahap SKM dengan kesemua sijil yang dikeluarkan oleh penyedia TEVT menjelang tahun 2012;
  2. Mewajibkan pekerja dalam pekerjaan terpilih memiliki SKM atau sijil yang setaraf. Syarat ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2012; dan
  3. Memperluas penerimaan SKM sebagai syarat kelayakan masuk ke dalam skim perkhidmatan awam, dan ke institusi teknikal dan vokasional di peringkat tinggi dan ke institusi pengajian tinggi menjelang tahun 2011.

Lembaga Teknologi Malaysia akan ditubuh untuk mempercepat pengiktirafan sijil berkaitan kemahiran dan teknologi.

Pengiktirafan ini akan menggalakkan institusi pengajian tinggi termasuk institusi TEVT menawarkan kursus berkaitan teknologi selaras dengan keperluan ekonomi berpendapatan tinggi.

Selaras dengan hasrat untuk membangunkan pendidikan teknikal dan keperluan industri, Malaysia-Japan International Institute of Technology akan ditubuh sebagai institusi berautonomi di bawah Universiti Teknologi Malaysia dengan matlamat memperkukuh kerjasama dan rangkaian dengan Jepun dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

Institut ini berupaya memberi pendedahan kepada pelajar dan meningkatkan keberkesanan kos dalam menyediakan latihan tentang pembangunan teknologi terkini di tempat kerja, etika kerja dan amalan pengurusan Jepun.

Pada masa ini, terdapat keperluan untuk mengurangkan pertindihan kursus yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan bagi mengoptimumkan penggunaan kapasiti TEVT dan mengelak pembaziran sumber.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), perkara ini akan diberi perhatian memandangkan kadar enrolmen di institusi TEVT dijangka akan meningkat.

Institusi TEVT akan mengkaji semula, merasionalisasi dan memperkemas penyelarasan kursus menjelang akhir tahun 2011.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Ciri-ciri Guru Yang Sukses :

  1. Diteladani, disegani, dicintai, dan dihormati oleh murid-muridnya
    Ikhlas dalam mengajarkan ilmu-ilmunya. memiliki tekad yang kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk murid-muridnya, dan berusaha keras mengantarkan mereka kepada ketinggian derajat orang-orang yang berilmu
  2. Tidak berperilaku yang menakutkan, tidak bersikap kasar, senantiasa menyayangi murid-muridnya dan mereka pun menyayanginya.
  3. Tekun memperdalam bidang keahlian dan perhatiannya, menonjol dibidangnya, dan menguasai seluruh materinya dengan baik.
  4. Rajin mengkaji, berwawasan luas, mengenal baik adat bdan budaya masyarakatnya, dan memahami betul permasalahan-permasalahan ummatnya
  5. Bersemangat dalam menyampaikan ilmu, memberi motivasi kepada murid-muridnya, dan selalu ramah dan ceria dihadapan mereka
  6. Tertib, tepat dalam janjinya, dan rapi dalam setiap pekerjaannya.
  7. Menjauhi hal-hal yang syubhat (meregukan), meninggalkan setiap perilaku yang buruk, dan bersifat terpuji dalam segala hal.
  8. Tidak larut dalam canda, kelalaian, kebodohan, perkataan kotor, dan hanya bertutur kata dengan lembut dan santun.
http://tanbihun.com/pendidikan

Perkara Yang Perlu Dilakukan Selepas Pentaksiran Selesai

Jika pentaksiran (buku ujian, manuskrip jawapan atau kerta penulisan) dihantar ke organisasi lain bagi tujuan skoran dan analisa, pastikan semua arahan penyediaan dan pembungkusan adalah dipatuhi. Kumpulkan semua bahan secepat mungkin, secara teratur dan tersusun agar murid tahu bahawa tugasan mereka adalah selamat. Seperti yang telah dinyatakan pada arahan manual, pastikan semua kertas jawapan mengandungi nama atau pengenalan murid dan dan mengandungi tanda-tandan pengenalan yang diperlukan, Kembalikan atau hapuskan bahan yang tidak digunakan.

Jelaskan sebarang arahan terutama opsyen skoran, laporan atau ringkasan atau permohonan pengendalian. Permohonan semak semula atau analisa semula akan menambahkan kos.

Jika pentaksiran pemarkahan diadakan setempat, pastikan ianya dikumpulkan setempat bagi mengelak tugasan murid tidak bercampur aduk atau hilang,
Sebarang permasalahan yang berlaku ketika pentadbiran pentaksiran dijalankan akan menjejaskan skoran murid, oleh itu, pendidik boleh menentukan samada agar prosedur pentaksiran adalah berjalan dengan baik dan lancar.

Pastikan pentaksiran skoran adalah tepat dan seragam. Membenarkan murid membuat skoran terhadap diri sendiri atau rakan adalah dianggap tidak berkebolepercayaan. Pentaksiran prestasi hendaklah dijalankan oleh guru atau lain-lain pentaksir yang telah dilatih; dan pentaksir hendaklah mengunakan rubrik bagi menjamin kebolehpercayaan. Pastikan juga semakan dibuat agar kunci skoran yang dibina adalah betul dan menyemak respon sampel yang kecil akan membantu memastikan ketepatan
 Jenis Prosuder dan Sumber Pentaksiran

Monday, September 20, 2010

Tingkatkan pertahanan badan

DENGAN ada sistem pertahanan yang baik, setiap individu dapat melakukan aktiviti harian dengan baik.
Sistem pertahanan badan, merupakan barisan pertahanan badan anda yang pertama, dan terdiri daripada berbilion sel darah putih (makrofages, neutrofils, sel pembunuh semulajadi dan lain-lain) yang sentiasa meronda dan mengawasi badan untuk mengenalpasti, kemudian menyelubungi dan memusnahkan sebarang organisma yang boleh menyebabkan penyakit seperti bakteria, virus, fungus dan juga sel kanser.

Setiap hari apabila anda menarik nafas, anda juga menarik masuk berjuta-juta kuman (bakteria dan virus-virus) yang wujud berkeliaran dan terapung di udara. Di samping itu, terdapat berjuta-juta lagi yang sudah pun berada dalam badan anda. Sekiranya sistem pertahanan anda kuat, ia dapat menanganinya tanpa sebarang masalah. Namun demikian, kadangkala ada kuman atau virus yang dapat mengatasi benteng pertahanan anda, menyebabkan anda dijangkiti selesema. Selesema merupakan tanda yang dapat dilihat bahawa sistem pertahanan anda adalah lemah dan bermasalah. Semua bakteria dan virus ingin melihat sistem anda menjadi lemah, kerana jika ia lemah dalam beberapa hari sahaja, ini sudah mencukupi untuk memberi peluang kepada mereka memasuki badan anda dan mula membiak.

Terpulanglah kepada sistem pertahanan badan kita untuk membantu melindungi badan daripada kuman yang luar biasa yang tercipta melalui 'penentangan antibiotik.' Beberapa jenis bakteria yang dahulunya mudah sahaja dirawat dengan menggunakan antibiotik biasa, tidak lagi memberi tindak balas seperti dahulu. Jangkitan bakteria lain seperti tuberkulosis - yang pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai sudah terkawal, baru-baru ini muncul semula dengan lebih mencabar untuk merawatnya. Persoalan mengenai penentangan bakteria ini merupakan hanya salah satu daripada beberapa masalah kesihatan serius yang mesti ditangani oleh sistem pertahanan badan kita.

Sistem pertahanan badan dan beta glucan

Pada tahun 70-an, beta glucan telah ditemui sebagai sejenis karbohidrat gantian yang diperoleh daripada tumbuhan tertentu seperti ragi dan cendawan dan mempunyai keupayaan untuk merangsang fungsi pertahanan badan apabila ia ditulenkan dan disuntik ke dalam badan. Para penyelidik memperluaskan kajian awal yang dilakukan ke atas haiwan dan mereka dapat membuktikan beta glucan yang disuntik mampu mempertingkatkan tindakbalas pertahanan badan. Hasil kajian ini adalah amat penting, terutama sekali apabila terdapat bukti yang begitu menonjol tentang kecekapan dan keupayaan beta glucan. Tetapi kerana karbohidrat beta glucan adalah rentan terhadap penghadaman di bahagian atas saluran gastrousus, ia mesti dimasukkan ke dalam badan melalui suntikan dan tidak secara oral. Tetapi apabila satu penemuan tercapai pada tahun 90-an mengenai satu proses baru yang dipatenkan, kita sekarang boleh mendapati beta glucan dalam bentuk ragi disahkan tidak mudah hadam dan boleh berhenti buat sementara waktu dalam usus kecil dengan itu memberi peluang seterusnya untuk diserapi oleh tisu limfa. Penyelidikan telah mendokumenkan tentang keselamatan dan kecekapan cara pengambilan beta glucan secara oral.

Whole Glucan Particle - Beta glucan (WGP-BG) yang dipatenkan

Whole Glucan Particle (WGP) atau zarah glukan lengkap merupakan satu bentuk khas beta glucan yang diperolehi daripada jenis ragi yang dipatenkan. Ia merupakan sejenis suplemen semulajadi yang membantu memperkuatkan sistem pertahanan kita. WGP-BG, yang mempunyai lebih 40 paten / paten dalam pertimbangan, merupakan bentuk beta glucan yang paling tulen kini boleh didapati. Ketulenan yang tinggi ini membuatkan WGP-BG amat berkesan untuk memperkuatkan sistem pertahanan demi mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan dan kanser.

Bagaimana WGP-BG berfungsi
 

Banyak kajian menunjukkan pengambilan WGP-BG secara oral akan diserapi oleh reseptor dalam usus kecil bergastrik yang berhubungkait dengan tisu limfa dan kemudian ia disalurkan kepada makrofages. Makrofages selepas itu menjadi aktif. Keadaan keaktifan yang meningkat ini akan dipancarkan ke seluruh badan dengan itu mendorong makrofages agar sentiasa lebih giat dan berwaspada, demikian juga neutrophils dan sel-sel -T pembunuh.

WGP-BG telah pun didokumentasikan sebagai dapat meningkatkan dengan ketaranya prestasi sel sistem pertahanan untuk mengenalpasti dan memusnahkan patogen-patogen atau sel kanser.

WGP-BG dan kanser

Semua orang sedikit sebanyak mempunyai sel kanser yang terpendam dalam badan. Sel kanser ini dalam diam sentiasa menyelinap di seluruh badan kita sambil menyerang anggota kita serta selalu mencari jalan sama ada untuk menumpaskan sistem pertahanan kita atau melepaskan diri daripada dikenalpasti dan seterusnya dimusnahkan oleh mekanisme pertahanan semula jadi kita. Pelbagai jenis sel pertahanan sentiasa memerhati dan berwaspada terhadap sel kanser dan menandanya untuk dimusnahkan. Jika sistem pertahanan kita dikompromi dengan apa jua cara, maka risiko sel kanser itu berkembang menjadi tumor akan meningkat. WGP-BG membantu merangsangkan kekuatan sistem pertahanan anda sehingga ia menjadi cukup kuat untuk mencegah penyakit kanser.

WGP-BG khususnya bermanfaat untuk keadaan kesihatan dan situasi yang berikut:

  • Untuk mereka yang berumur melebihi 50 tahun - Apabila kita semakin tua, sistem pertahanan kita menjadi kurang cekap, dengan itu meningkatkan risiko terhadap berbagai jenis penyakit.
  • Mereka yang memerlukan perlindungan sistem pertahanan yang lebih kuat semasa musim wabak demam selesema.
  • Mereka yang bekerja di hospital dan klinik.
  • Mereka yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga mereka.
  • Mereka yang mempunyai sejarah menghidapi virus hepatitis A, B, C, Herpes, virus Epstein - Barr (EBV), Papillomavirus (HPV) Manusia dan lain-lain.
  • Mereka yang mengambil antibiotik dan ubat anti virus, anti fungus. [WGP-BG akan meningkatkan keberkesanan ubat-ubat ini]
  • Mereka yang menghidapi penyakit kandidiasis faraj.
  • Mereka yang menderita ketegangan - tekanan fizikal atau emosi tekanan tinggi oleh sebab gaya hidup dan kerjaya yang mereka pilih boleh memberi kesan negatif kepada sistem pertahanan badan.
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Allah menggagalkan rancangan jahat

Al-Maraghi berkata: "Setelah Allah SWT menerangkan kekuasaan-Nya untuk mengembalikan manusia selepas mati dan memberikan perhatian agar merenungkan tanda bukti kekuasaan-Nya, segera menetapkan kebenaran risalah utusan-Nya yang mulia kepada manusia seluruhnya dan kebenaran apa yang dibawanya dari sisi Tuhan.

"Tanda bukti yang paling penting ialah al-Quran yang orang kafir katakan sebagai dongengan orang dahulu. Lalu Allah SWT bersumpah dengan langit yang menumpahkan air hujan dan bumi tempat kehidupan bagi manusia dan haiwan dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhannya bahawa al-Quran itu adalah firman Allah SWT yang hak, tidak diragukan lagi kebenarannya.

"Kemudian Dia mengetahui bahawa orang yang mempertahankan kebatilan itu para penipu yang tidak mengharapkan kebaikan sedikit pun daripadamu, melainkan hanya keburukan saja dan mereka yang kamu lihat jangan sampai menimbulkan kesusahan dan janganlah kamu merasa terlambat atas penetapan seksaan pengingkarannya, bahkan tangguhkanlah sebentar lagi, nescaya kamu akan melihat apa yang akan menimpa padanya."

Firman Allah SWT: Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan.
Ibn Abbas berkata, perkataan raj'ie adalah hujan dan juga awan yang membawa hujan. Qatadah pula berkata: "Yang membawa kepada rezeki hamba setiap tahun. Tanpanya nescaya binasa dan juga binasa ternakan mereka."

Syed Qutub berkata: "Perkataan al-raj'ie adalah hujan yang berulang-ulang dan perkataan al-sad'ie adalah tumbuh-tumbuhan yang membelah tanah dan makin membesar."

Kedua-duanya merupakan satu pemandangan kehidupan dalam salah satu gambarannya iaitu pemandangan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan titik mula kejadiannya.

Pemandangan air hujan yang mencurah dari langit, pemandangan tumbuh-tumbuhan yang membelah tanah hampir sama dengan pemandangan air mani yang memancut keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan, dan hampir sama dengan pemandangan bayi yang muncul dari rahim yang gelap gelita.

Hidup tetap hidup, pemandangan tetap pemandangan dan gerak tetap gerak. Itulah peraturan yang tetap yang membuktikan adanya Pencipta yang tiada tolok bandingnya sama ada dari segi hakikat ciptaan atau dari segi rupa bentuknya yang lahir.

Firman Allah SWT: dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Abbas berkata: "Iiaitu bumi yang merekah kerana tumbuhnya tanaman." Ini juga pendapat Said bin Jubair, Ikrimah, Abu Malik, al-Dahhaq, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan lain-lain.

Hamka berkata: "Maka bertalilah di antara langit dengan bumi itu. Langit yang menurunkan hujan dan bumi subur dengan tumbuh-tumbuhan. Banyak hujan, dapat hidup sentosa di bumi banyaklah yang tumbuh.

"Teratur hujan suburlah bumi. Dan kamu hai insan, hanyalah kerana belas kasihan Allah yang mengatur pertalian langit dan bumi. Kalau kamu perhatikan itu, nescaya kamu akan insaf di mana letaknya kamu di alam ini."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar).
Ibn Abbas berkata, perkataan fasl memberi maksud kebenaran. Inilah juga pendapat Qatadah. Sedangkan yang lain pula berpendapat maksudnya keadilan.

Hamka berkata: "Tegas keluarnya dengan jitu, maksudnya tiada dusta dan main-main, jelaslah menjadi pemisah dan pemutus di antara yang hak dan yang batil."

Firman Allah SWT: dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok.

Ibn Kathir berkata: "Ia adalah bersungguh-sungguh dan penuh kebenaran. Selepas itu dijelaskan pula berkenaan dengan perihal orang kafir yang mendustakan daripada jalan Allah."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya).

Mereka yang membuat pelbagai rancangan jahat adalah manusia yang dijadikan daripada air mani yang memancut, yang keluar di antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.

Iaitu sel-sel yang tidak punya kekuatan, kuasa, dan kemahuan, tidak punya ilmu pengetahuan dan hidayah, iaitu manusia yang dijaga dan dipelihara Allah dalam pengembaraan mereka yang jauh dan akan dibangkitkan kembali selepas mati untuk diperiksa segala rahsia hati mereka, dan pada hari itu mereka tidak mempunyai seberang kekuatan dan penolong.

"Mereka membuat pelbagai rancangan jahat" dan aku sebagai Tuhan Pencipta, Penunjuk, Pemelihara, Pengarah, Penghidup kembali dan sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Perkasa, dan sebagai Tuhan yang mencipta langit dan bintang yang muncul di waktu malam, yang menciptakan air mani yang memancut dan manusia yang berakal, menciptakan langit yang menurunkan hujan dan bumi yang tumbuh subur dengan tumbuh-tumbuhan, Allah akan turut mengatur pelbagai rancangan balas.

Firman Allah SWT: Oleh itu janganlah Engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.

Ibn Kathir berkata: Biarkan mereka dan jangan engkau gopoh gapah dengan merasa lambat menunggu tamatnya perjuangan itu, kerana kamu akan dapati balasan azab dan sengsara pasti menimpa mereka.

Penutup

Syed Qutub berkata: "Cara membabitkan Rasulullah SAW dalam urusan itu seolah-olah ia mempunyai kuasa di dalamnya, cara menghapuskan pagar-pagar perbezaan di antara nabi SAW dengan kehendak ilahiyah yang berkuasa memutuskan urusan itu."

Seolah-olah Allah berkata kepadanya engkau diberi kuasa terhadap mereka, tetapi berikan mereka tempoh yang sebentar.

Itulah cara mengambil hati yang lemah lembut dan penuh kemesraan untuk menghapuskan kesusahan dan derita menghadapi tindakan-tindakan jahat. Semuanya hancur belaka. Dan yang kekal dan tinggal ialah kemesraan dan kasih sayang.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Jawapan Soalan 3

Jarak WZ = 50

Saturday, September 18, 2010

Bantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik

Cara untuk membantu anak anda belajar dengan lebih baik bukan terletak pada aktiviti atau teknik pengajaran, tetapi dengan membantu membentuk perkembangan emosinya.
 

Memahami gaya pembelajaran anak anda membina asas cara untuk mengajarnya. Menyemai tabiat pembelajaran yang baik juga penting dalam proses membantu anak anda belajar dengan lebih baik dan cemerlang di tadika. Cara asuhan sepanjang tahun-tahun awal membentuk emosinya. Ini penting dalam keupayaannya untuk belajar

Asuhan bukan sahaja tentang mendisiplin perangai anak anda tetapi juga mengajarnya cara mengawal emosinya. Para pakar telah mengenal pasti satu cara asuhan iaitu bimbingan emosi yang boleh membantu kanak-kanak membentuk ikatan kukuh dengan ibubapa mereka (sila rujuk kotak). Bimbingan emosi bermakna membantu pembangunan emosi kanak-kanak, mula-mula dengan membantu mereka memahami emosi mereka sendiri dan kedua, dengan ibu bapa bertindak balas terhadap emosi ini. Anda boleh melakukannya dengan cara berikut:

Berbual dengan anak anda

Tanya anak anda bagaimana perasaannya dan berikan perhatian sepenuhnya bila dia bercakap. Dengar dengan berempati. Beri galakan bila dia cuba mengenal pasti dan memberitahu anda perasaannya. Bantunya jika perlu.

Fahami perasaannya

Ketahui bagaimana perasaan anak anda dengan memerhatikan bahasa isyarat badannya, ekspresi wajahnya dan mendengar nada suaranya. Dengan kepekaan kepada komunikasi tidak verbal ini, anda dapat memberi sokongan dan simpati bila dia sedih, marah atau kecewa, dan bergembira bersama bila dia riang atau gembira.

Jawab pertanyaannya

Anak anda dalam usia prasekolah gemar bertanya. Cuba sedaya upaya untuk menjawabnya. Jangan bersikap acuh tak acuh atau menyuruhnya jangan mengganggu anda dengan soalannya. Anda membuatnya takut untuk bertanya dan hilang semangat untuk belajar. Jika anda tidak tahu jawapannya, luangkan masa untuk mencari jawapan bersamasamanya.

Bila anak anda membuat kesilapan

Pujuknya dengan memahami perasaannya selepas dia membuat kesilapan. Terangkan bahawa perasaan bersalah itu adalah normal. Bantu anak anda membetulkan kesilapannya. Dengan cara ini, anda memberikan penyelesaian kepada situasinya. Jangan memarahinya kerana ini hanya akan menjadikannya takut. Dia tidak akan belajar cara menyelesaikan masalah, mengulangi kesilapan sama dan menyebabkannya dimarahi lagi lalu menyangka dia tidak akan dapat melakukannya dengan betul.

Tetapkan batas

Meskipun semua perasaan – baik dan buruk – boleh diterima, bukan semua perangai boleh diterima. Sebagai contoh, dia marah dengan kawannya kerana menconteng bukunya tetapi itu tidak bermakna dia boleh memukul rakannya itu. Pastikan anak anda tahu apa yang diterima dan apa yang tidak patut dilakukan, dan bantunya mencari penyelesaian kepada masalahnya. Daripada tidak memukul kawannya, apa yang boleh dia lakukan?

Ikatan kukuh

Ikatan kasih merujuk kepada hubungan antara ibu bapa dan anak. Anak yang rapat dengan ibu bapanya akan mencari perlindungan daripada ibu bapanya, dan kurang takut bila ke tadika. Dia dapat berinteraksi dengan guru-gurunya, berkawan dengan kanak-kanak sebaya dan lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dia mempunyai kesungguhan untuk belajar, bersifat ingin tahu dan berani bertanya dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu, dia lebih berkelakuan baik, kurang bermasalah dan dapat menyelesaikan pertikaian dengan lebih bijak. Bila dewasa, dia akan menjadi seorang yang bermaruah tinggi, yakin pada diri sendiri, mudah berkongsi perasaan dengan orang lain dan dapat mengekalkan hubungan dengan mereka.

Oleh Woo Pei Jun, Pakar Psikologi
Sumber: http://www.mypositiveparenting.

Perit Sembelit

Bersenam, kerap minum, pengambilan serat mampu kurangkan gangguan usus

SEMBELIT bukan sekadar satu masalah kesihatan sebaliknya 'gangguan' yang boleh menjejaskan mood serta rutin harian. Bayangkan, desakan ke tandas, terbantut apabila 'hajat' anda gagal dilepaskan kerana kesukaran membuang air besar.

Hakikatnya, sembelit memberi maksud berbeza. Kebiasaannya, masyarakat memahaminya sebagai aktiviti pengosongan usus yang jarang berlaku manakala sesetengah lain pula berdepan masalah seperti najis yang keras dan kecil, sukar buang air besar atau rasa tidak puas selepas buang air besar.
Apakah punca masalah ini? Setiap jenis sembelit yang disebutkan tadi mungkin berbeza dan pendekatan bagi tujuan rawatan juga perlu sesuai dengan jenis sembelit yang tertentu. Apapun ia banyak dipengaruhi dengan amalan gaya hidup seseorang individu itu.

Malah, kekerapan individu membuang air besar dalam sehari juga berbeza. Mungkin dua hingga tiga kali sehari atau sekali dalam tiga hari. Namun, individu itu dikatakan mengalami sembelit jika membuang air besar hanya dua kali seminggu atau kurang. Ia turut dikaitkan perbuatan meneran ketika membuang air besar. Sembelit juga bukan hanya dialami si kecil, tetapi turut dianggap biasa bagi wanita serta warga emas melebihi 65 tahun.

Apabila kita sering mengalami sembelit, ada beberapa cara untuk mengatasinya. Apa yang penting adalah berusaha supaya najis dapat keluar dengan lancar. Untuk keluar dengan lancar, najis harus lembik dan tidak keras.

Perkara asas adalah banyakkan pengambilan serat sebanyak 20-35 gram sehari, banyak minum air serta bersenam.

Berikut adalah beberapa jenis sembelit:
  • Sembelit sekali-sekala - adalah jenis sembelit yang paling lazim dialami termasuk warga tua, wanita hamil, pengembara, pesakit yang mengambil ubatan tertentu atau yang pernah menjalani pembedahan. Ia lebih mudah dirawat dengan mengubah gaya hidup dan pengambilan julap.
  • Sembelit Akut - sembelit bersifat sementara, berlaku secara tiba-tiba akibat kesan daripada sebab tertentu. Keadaan ini boleh berulang.
  • Sembelit Hypotonic atau sembelit atonic - berlaku apabila otot abdomen jadi lemah tidak mampu menolak pergerakan usus seperti sepatutnya. Masalah ini disebabkan gaya hidup tidak sihat, kurang pengambilan serat dan kurang cairan dalam tubuh.
  • Sembelit ‘Fungsian tiada kaitan dengan fizikal, hormon atau kimia dalam tubuh tetapi ia sebaliknya berkemungkinan disebabkan faktor psikologi akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
  • Sembelit Rektum - Apabila individu terlalu sibuk atau leka dengan gesaan mengosongkan usus, dia sebenarnya melatih rektum untuk menjadi tidak sensitif. Akibatnya rektum tidak menghantar isyarat pada otak walaupun ia penuh. Bahan fekal yang kering dan kesat menjadikan lebih sukar untuk digerakkan.

Sembelit tidak harus diambil ringan dan harus dirawat pada peringkat awal sebaik punca masalahnya diketahui selepas berbincang dengan doktor anda.

INFO: Punca sembelit
  • Kurang serat, gemarkan makanan berlemak dan bergula
  • Kurang minum air
  • Kerap menahan diri daripada buang air besar
  • Kurang bersenam atau melakukan pergerakan (selepas kemalangan)
  • Faktor emosional seperti tekanan perasaan
  • Berkaitan hormon seperti hamil dan kedatangan haid
  • Kesan ubat-ubatan seperti ubat batuk (codein), ubat gastrik (aluminium/kalsium), penenang
  • Pengambilan makanan tambahan seperti zat besi
  • Otot perut dan usus semakin lemah (warga tua)

Gejala-gejala
  • Najis lebih kering, keras dan sukar membuang air besar
  • Meneran semasa membuang air besar
  • Sakit semasa pergerakan usus
  • Kekejangan di bahagian abdomen.

Tip cegah sembelit:

  • Jangan menangguh buang air besar
  • Minum sekurang-kurangnya lapan gelas cecair sehari. Ini seperti putih dan jus buah-buahan.
  • Amalkan tabiat buang air besar secara rutin, dengan waktu yang tetap misalnya ketika mandi pagi.
  • Bersenam atau aktif bergerak.

Sumber: Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
http://www.bharian.com.my/

Friday, September 17, 2010

Muawiyah terima teguran rakyat

MUAWIYAH bin Abi Sufyan bin Harb bin Umaiyah ialah pengasas Bani Umaiyah. Beliau ialah sahabat Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun 602 Masihi. Lima tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul.

Beliau memeluk Islam ketika berumur 25 tahun. Pada masa itu Mekah ditawan oleh tentera Islam. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang penentang yang hebat dan kuat terhadap Islam. Abu Sufyan ialah bapa Muawiyah seorang pemimpin Quraisy yang masyhur dan berpengaruh.

Pada masa Nabi Muhammad, beliau dilantik sebagai seorang penulis wahyu dan banyak melaporkan hadis serta mengetahui hadis Nabi Muhammad.

Selain dilantik menjadi gabenor Syam selama 20 tahun, Muawiyah juga dilantik menjadi khalifah pada 26 Rabiulawal tahun 41 Hijrah. Pada masa itu Hasan bin Ali menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Muawiyah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam semasa berperang di Syam. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khatab, beliau dilantik sebagai gabenor di Jordan.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah, beliau banyak mencapai kejayaan dalam aspek pemerintahan, pentadbiran, politik, ketenteraan, politik, dan lain-lain. Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijrah bersamaan 680 Masihi.

Muawiyah adalah tokoh terkenal kerana mengubah corak pemerintahan daripada demokrasi kepada sistem beraja. Beliau adalah pemerintah yang dihormati dan digeruni oleh rakyatnya.

Pada suatu hari, semasa Muawiyah berada di istana, beliau bertanya kepada para pembesarnya yang lain mengenai dirinya.

Kata Muawiyah: "Siapakah di antara pembesar beta ini yang dapat memberitahu beta mengenai sesuatu. Siapakah orang yang lebih baik dan mulia selain daripada ahli keluarga beta?"

Para pembesar yang ada di istana itu tidak mahu menjawab. Kelihatan istana sunyi sepi. Tiba-tiba ada seorang pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi cuba menjawab pertanyaan Muawiyah. Pembesar itu bangun menampilkan dirinya dengan berani.

Pada masa itu, Hasan bin Ali turut berada di sana mendengar soalan yang dikemukakan oleh Muawiyah. Hasan diam membisu. Tiba-tiba, datang pembesar yang berani itu menghampiri Hasan bin Ali.

Kemudian pembesar itu menarik tangan Hasan, lalu mengangkat tangan beliau sambil berkata: "Orang yang mulia selain ahli keluarga tuanku ialah Hasan Bin Ali."

"Apa kamu kata? Hasan bin Ali orang yang lebih mulia selain daripada keluarga beta?" Tanya Muawiyah dengan nada terkejut.

Muawiyah terkejut mendengar jawapan daripada pembesar itu. Pembesar itu berani mengatakan bahawa ada orang lain yang lebih mulia daripada ahli keluarganya, sedangkan pada masa itu Muawiyah adalah seorang raja dan pemerintah Bani Umaiyah.

"Benar tuanku. Hasan bin Ali adalah cucu Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Beliau adalah anak Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az-Zahrah. Bagi saya Hasan bin Ali orang yang mulia dan tiada bandingannya dengan orang lain," kata pembesar itu lagi.

Para pembesar lain turut terkejut mendengar jawapan pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi itu. Semua para pembesar lain memandang tepat ke arah muka beliau. Mereka memandang beliau dengan pandangan sinis.

"Berani benar Annuman al-Zirqi berkata begitu di hadapan tuanku. Memang tidak beradab beliau ini," kata salah seorang pembesar yang menyokong kuat kepimpinan Muawiyah.

Ada di antara mereka marah terhadap Annuman al-Zirqi kerana mereka adalah pembesar yang menyokong kuat dan setia kepada Muawiyah.

"Maafkan hamba tuanku. Annuman al-Zirqi ini mungkin kelaparan atau tidak cukup tidur semalam. Maka, sebab itulah beliau berkata begitu," kata salah seorang pembesar lain bagi memujuk hati Muawiyah.

Muawiyah tetap berada di sana. Kemudian Muawiyah berasa seperti mahu marah terhadap Annuman al-Zirqi. Sebentar kemudian, marahnya itu menjadi reda apabila Muawiyah duduk semula di atas kerusi takhtanya itu.

"Maafkan saya tuanku. Saya berkata benar. Bagi saya orang yang mulia daripada ahli keluarga tuanku adalah Hasan bin Ali," kata Annuman al-Zirqi kepada Muawiyah.

"Tidak mengapa. Beta sudah tahu kebenarannya. Orang yang mulia selain daripada keluarga beta adalah Hasan bin Ali. Walaupun pada mulanya tadi beta agak terkejut dan berkecil hati tetapi sekarang beta dapat menerima kenyataan itu. Beta memaafkan kamu. Kamu berkata benar," jelas Muawiyah panjang lebar.

Para pembesar lain yang turut berada di sana juga dapat menerima kenyataan bahawa Annuman al-Zirqi seorang yang tegas dan bercakap benar. Mereka tidak marah kepada Annuman al-Zirqi lagi.

Annuman al-Zirqi ialah seorang pembesar yang berani. Beliau berani menyatakan kebenaran di hadapan rajanya pada masa itu. Oleh yang demikian kita sebagai orang Islam wajar mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kita juga perlu bercakap benar dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa. Orang yang bercakap benar tidak akan rugi.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Thursday, September 16, 2010

Derma Darah Menyelamatkan Nyawa

Mengapa kita perlu menderma darah?

Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Darah mungkin diperlukan untuk pembedahan mangsa kemalangan, atau merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia. Sumbangan anda mungkin menyelamatkan mereka.

Siapakah yang layak untuk menderma darah?

Jika anda berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai berat badan melebihi 45kg. Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan. Sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila beritahu sebelum menderma.

Adakah anda cukup sihat untuk menderma darah?

Anda harus cukup sihat jika hendak menderma darah. Kesihatan dan keselamatan anda amat penting. Anda akan diminta untuk mengisi borang persetujuan menderma darah di mana sejarah perubatan akan disoal. Tekanan darah dan setitik darah akan diambil untuk tujuan hemoglobin. Semua maklumat yang diberikan adalah sulit.

Adakah jarum itu menyakitkan?

Anda Cuma berasa sakit sedikit apabila jarum dimasukkan dan tidak lagi selepas itu.

Berapa banyak darah yang akan diambil?

Sebanyak 450ml, iaitu kurang dari 1 pain (586ml). Orang dewasa biasanya mempunyai lebih kurang 5 liter (10-12 pain) darah di dalam badan.

Bagaimanakah rasanya selepas menderma darah?

Kebanyakan orang merasa lebih selesa selepas menderma darah. Anda dinasihatkan supaya mengambil makanan ringan sebelum menderma darah.

Bolehkah kita melakukan aktiviti sukan selepas menderma darah?

Boleh. Cuma elakkan dari melakukan aktiviti yang berat untuk tempoh 5 jam selepas menderma darah. Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menggantikan darah yang telah diderma itu?

Plasma digantikan semula dalam tempoh 24 jam. Anda perlu minum air 4 gelas tanpa alkohol dan jangan melakukan kerja berat dengan menggunakan tangan anda untuk tempoh 5 jam. Darah memerlukan jangkamasa 4-8 minggu untuk digantikan dan anda boleh menderma selepas itu.

Apakah yang akan dibuat kepada darah yang telah didermakan itu?

Darah anda akan diuji untuk menentukan kumpulan darah dan ujian saringan untuk jangkitan tertentu dilakukan. Kemudian, disimpan untuk kegunaan pesakit. Darah juga boleh diasingkan kepada beberapa komponen darah dan boleh digunakan untuk merawati lebih dari seorang pesakit.

Give Blood Save Lives

Kena isi borang dulu... baru boleh derma... prosedur!!!!
Hish-hish.. macam nak ambil exam pulak!!!
Test darah dulu... Hb mesti lebih dari 10.. Hb 14.6...  Boleh derma.. darah jenis O+.. yang bestnya berat dah turun 80kg (matlamat tercapai)...
Darah yg dibenarkan derma ialah 450ml shj...
Mari kita menderma darah... kerana hospital di negara kita amat memerlukan darah anda... 
Sumbangan saya ini.. tidaklah seberapa... tetapi sebagai tanda tulus ikhlas... persahabatan dengan rakan sepejuangan.. Harapan saya semoga.... keluarga Cikgu Takiyudin.. dapat menempuh dugaan Allah ini... Sesungguh dugaan-dugaan adalah untuk hambaNya yang dikasihi.... Sememangnya berat mata memandang berat lagi bahu memikul... Saya berdoa Cikgu Takiyudin segera sembuh... dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa bersama-sama isterinya yang tercinda dan keluarganya yang tersayang... Amin!!!

Wednesday, September 15, 2010

Syarat wajib dan rukun haji

Daripada segi bahasa haji bermaksud mengqasadkan sesuatu. Haji dalam istilah syarak ialah mengqasadkan di dalam hati untuk mengunjungi kaabah bagi pekerjaan nusuk di Baitullah Al-Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, saie dan wuquf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.

Adapun bila haji itu difardukan menjadi khilaf ulama. Pendapat yang paling tepat haji itu diwajibkan pada tahun yang keenam hijrah (rujuk Bahru al-Wafi karangan Sheikh Daud Al-Fatani, muka surat 396).

Adapun Nabi Muhammad SAW menunaikan fardu haji pada tahun ke-10 hijrah.

Rasulullah SAW bersabda:

Wahai manusia, telah difardukan ke atas kamu haji. Bertanya seorang lelaki adakah setiap tahun ya Rasulullah. Maka Nabi diam, sehingga lelaki itu bertanya sebanyak tiga kali. Maka Rasulullah bersabda: Jika aku berkata ya, nescaya akan diwajibkan ke atas kamu (setiap tahun) dan kamu sekali-kali tidak mampu untuk menunaikannya. (rujuk mukhtasar Sahih Muslim, Lilhafiz Zakiuddin Abdul A'zim al-Munziri, cetakan Dar Ibnu Affan, Jordan muka surat 171).

Dapatlah difahami daripada hadis di atas bahawa kefarduan haji ini cuma sekali seumur hidup. Namun, kewajipan menunaikan haji di dalam Mazhab Syafie boleh ditakkhirkan kecuali setelah sempurna syarat kemampuannya.

Syarat wajib haji

  • Islam - Orang kafir atau murtad tidak wajib menunaikan ibadat Haji. Hanya orang Islam sahaja yang dibenarkan mengunjungi Baitullah dan sah untuk menunaikan ibadat Haji.
  • Baligh - Orang yang sudah meningkat dewasa wajib menunaikan ibadat haji. Kanak-kanak yang belum meningkat dewasa atau cukup umur tidak wajib mengerjakannya.

Sekiranya kanak-kanak tersebut menunaikan haji maka jatuhlah haji tersebut kepada haji sunat dan mendapat pahala haji sunat.

  • Berakal - Orang gila atau tidak waras akalnya tidak wajib menunaikan Haji. Jika ia menunaikan haji hajinya menjadi haji sunat dan perlu mengulanginya jika ia sembuh.
  • Merdeka - Hamba sahaya tidak wajib menunaikan Haji kerana mereka tidak memiliki wang atau harta. Sekiranya mereka menunaikan Haji juga melalui pertolongan orang lain, Haji mereka masih dianggap sah mengikut pendapat para ulama.
  • Berkemampuan - Berkemampuan adalah mampu dan berkuasa untuk mengerjakan haji. Ia dilihat daripada sudut kemampuan kewangan dan kemampuan kesihatan seseorang semasa menunaikan haji dan perjalanan pergi baliknya.

Para fuqaha melihat kemampuan dapat dibahagikan kepada dua bahagian:-

  • Kemampuan dengan sendiri
  • Kemampuan dengan pertolongan orang lain.

Oleh Mohd Razali Zakaria

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Jawapan Soalan 2

JLOX

I'tiraf


Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu
Ampunkan dosa ku terimalah taubat ku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Ila hilis tu lilfirdausi ahla
Wala aqwa alnnaril jahim
Fahabblitau batau wafir zunubi
Fainnakarob firul zanbi azim

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmat Mu ampunkan daku Oh Tuhan ku

Wahai Tuhan selamatkan kami ini
Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepada Mu
Suburkanlah cinta kami kepada Mu

Penyanyi: Raihan

Mengenal hati dimana kedudukan kita


Keadaan hati juga turut dapat mempengaruhi suasana keceriaan diri itu, dan kehidupan seharian.
Hati yang senang dapat menggambarkan kegembiraan dan ceria, hati yang sedih melahirkan kurang bersemangat dan murung dabn begitu juga dengan hati marah banyak menimbulkan kebencian dan kesombongan nya

Disinilah ianya perlu bimbingan yang baik, kehidupan yang sihat dapat menjadi santapan jasmani kita yg baik dan kehidupan yg penuh taqwa menjadi santapan rohani.

Qalbun mayyitatau hati yang gelap dan mati, kesinambungan hati ini banyak bersifat sombong, tinggi diri mahu pun memperkecilkan hak dan kebenaran. Refleksi hati ini mencerminkan perilaku orang orang kafir dan yang seangkatan dengan nya.

Kedua nya bagi hati qalbun maridl. Inilah hati yang sakit. Mereka asyik sedang mencari jalan yang selamat, tapi sebenarnya celaka. Misalnya, melakukan satu satu ibadah itu di anggap sebagai bida'ah atau menyelewengkan ayat-ayat Al quran menjadi hasrat untuk pemenuhan hawa nafsu belaka.

Sifat munafik termasuk dalam kategori hati yang sakit ini. Sebagaimana firman Allah;

''Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka berkata: 'Kami telah beriman'. Tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan (para pemimpin) mereka, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok-olok'.'' (QS Al-Baqarah [2]: 14).

Ketiganya pula, qalbu atau qalbun salim atau hati yang selamat. Ia selalu condong pada kebenaran dengan hanya mengikuti ajaran Islam berdasarkan Al quran dan hadis. Firman Allah SWT, yang bermaksud:

''Hanya ucapan orang-orang mukmin, yang apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul memutuskan (perkara) di antara mereka, mereka berkata: 'Kami mendengar dan kami taat'. Dan mereka itulah orangorang yang beruntung.'' (QS An-Nur [24]: 51)

Dari beberapa sinopsis ringkas tadi, mari kita bayangkan di manakah kedudukan hati kita? Dan se eloknya berushalah untuk 'pindah ke lain hati' atau 'hijrah hati' -- dari qalbun mayyitdan qalbun maridl ke qalbun salim, perlu perubahan itu di ambilkira bagi mendapat mendapat keredaan Allah SWT.

Oleh: matjejakrasul
http://sentiasa.blogspot.com

11 jenis manusia didoa Malaikat


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

Oleh Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Google+ Followers