Monday, May 20, 2013

Teknologi 'janakuasa mini Panasonic' alternatif tenaga hijau

PENCAHAYAAN menggunakan teknologi LED keluaran Panasonic mampu memberikan penjimatan sehingga 80 peratus tenaga elektrik berbanding mentol lampu konvensional tanpa mengurangkan kualiti kecerahan dan keselesaan pengguna.
 
PANEL solar (photovoltaic panel) HIT Panasonic berfungsi menyerap tenaga matahari untuk menghasilkan tenaga elektrik, elemen penting dalam jana kuasa mini.
 
FUEL Cell penjana tenaga elektrik dengan sokongan yang semakin popular di Jepun. Digunakan bagi menghasilkan tenaga elektrik yang berpanjangan menggunakan bahan bakar Hidrogen dan Oksigen.
 
Panel solar serap cahaya matahari inisiatif baru kurangkan penggunaan bekalan elektrik di rumah, kilang
 
PERNAHKAH kita terfikir jumlah sebenarnya tenaga elektrik yang diperlukan untuk sebuah rumah atau bagi menampung operasi perniagaan sehari? 
 
Jika diambil kira dengan menggantikan kesemua lampu kepada lampu diod pemancar cahaya (LED), perkakasan elektrik yang menggunakan sistem pintar untuk pengurusan tenaga yang cekap disokong teknologi ‘inverter’ dan deria pengesan kehadiran manusia.
 
Pastinya jumlah voltan yang digunakan sehari mampu dikurangkan pada tahap minimum tanpa mempengaruhi keselesaan dan kualiti seharian hidup pengguna mahupun kecekapan operasi perniagaan pihak industri.
 
Inisiatif mengurangkan penggunaan tenaga elektrik ini seterusnya akan membuka laluan kepada pengguna mencuba pula teknologi tenaga hijau dan boleh diperbaharui sebagai panel solar dan kincir angin untuk dipasang di rumah kediaman mahupun kawasan perindustrian masing-masing.
 
Penggunaan ‘jana kuasa elektrik mini’ yang menghasilkan tenaga hijau dan boleh diperbaharui itu bakal memberi manfaat besar kepada pengguna bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik berpunca daripada pencawang atau grid nasional serta jaminan kelangsungan bekalan yang diperlukan seisi rumah atau operasi perniagaan.
 
Bahkan penggunaan jana kuasa mini ini turut memberi peluang kepada pengguna untuk menjana pendapatan sebagai penyumbang dan penghasil tenaga boleh diperbaharui dengan menyambungkannya kepada pencawang utama atau grid nasional menerusi insentif yang sedang dalam kaji kerajaan.
Justeru, menyedari potensi itu, langkah Panasonic Corp memperkenalkan penyelesaian lengkap teknologi tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui di pasaran tahun depan sememangnya dialu-alukan dan bakal memberi manfaat besar khususnya kepada alam sekitar, pengguna individu dan pihak industri.
 
Perbezaan ini meletakkan gergasi elektronik Jepun itu setapak ke hadapan berbanding peserta industri elektronik lain apabila berupaya menawarkan empat teras utama teknologi elektronik masa kini iaitu produk penghasilan tenaga, produk penjimatan tenaga, produk penyimpan tenaga dan sistem pengurusan tenaga yang efektif.
 
Bahkan untuk pertama kalinya kesemua produk itu akan dipamerkan di pameran dan persidangan Teknologi Hijau dan Produk Ekologi Antarabangsa (IGEM) 2010 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 14 Oktober di Pusat Konvensyen KLCC.
 
Khususnya bagi teknologi panel solar, pengguna berpeluang untuk melihat lebih dekat produk baru itu di IGEM 2010 apabila ia untuk pertama kalinya dipertontonkan kepada pengguna selepas pengambilalihan Sanyo Electric oleh Panasonic Corp daripada gergasi Wall Street, Goldman Sachs.
 
Antara teknologi menarik yang akan diperkenalkan adalah produk panel solar photovoltaic HIT, perkakasan elektrik inverter, stor penyimpan tenaga seperti bateri dan fuel cell dan sistem komputer pengurusan tenaga seperti yang dimuatkan dalam rumah-eko.
 
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Jeff Lee berkata, kesemua produk yang dipertontonkan itu adalah hala tuju syarikat yang baru selaras dengan sasaran untuk menjadi syarikat berteraskan teknologi hijau menjelang 2018 sempena ulang tahun ke-100 Panasonic.
 
Katanya, sebelum ini Panasonic hanya mengeluarkan produk teknologi pintar yang menjimatkan tenaga namun pengambilalihan itu akan melengkapkan hasrat menjadi syarikat berasaskan teknologi hijau menerusi keupayaan tambahan membangunkan dan mengeluarkan panel solar.
 
INFO
  • Sel Photovoltaic adalah peranti yang menjana tenaga elektrik menerusi hukum kesan photovoltaic. Sel photovoltaic dibangunkan pada tahun 1954 di Bell Laboratories.
  • Kebiasaannya Sel Photovoltaic digunakan bagi menukar tenaga cahaya matahari kepada elektrik berarus terus dengan kadar kecekapan sekitar 30 peratus.
  • Panel sel photovoltaic yang lebih besar kini dihasilkan secara besar-besaran untuk digunakan sepenuhnya sebagai bekalan tenaga elektrik bagi sesuatu kawasan terpencil, program angkasa lepas dan operasi satelit.

No comments:

Post a Comment