Wednesday, September 14, 2011

Dua Pelajar Antara Lapan Suspek Samun Restoran Mamak Ditahan


SHAH ALAM, 14 SEPTEMBER— Polis Selangor menahan lapan lelaki termasuk dua pelajar tingkatan lima dan dua pengawal keselamatan sebagai suspek rompakan bersenjata secara berkumpulan di dua buah restoran mamak pada 28 Ogos dan 8 September lalu.

Suspek pertama ditangkap di Pangsapuri Rimba Jaya, Klang pada 8 September pukul 11 malam selepas rompakan ke atas restoran mamak dilakukan pada pagi hari yang sama.

Penangkapan suspek pertama membawa kepada penahanan tujuh lagi suspek sehingga Ahad lepas (11 September) dan kesemua suspek yang berumur antara 17 dan 27 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dipetik Bernama Online.

Bagaimanapun, beliau berkata polis masih mencari seorang lelaki dikenali sebagai S Veeramuthu, 19, dari Kapar bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya seorang daripada suspek yang ditahan adalah antara mereka yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun sebuah rumah di Gombak.

Beliau berkata kejayaan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes samun restoran mamak ini berjaya menahan suspek walaupun mereka cuba menyembunyikan identiti mereka dengan memakai topi keledar dan jaket semasa merompak adalah hasil intipan yang berkesan.

Polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha yang dilaporkan dicuri di Shah Alam, sebuah beg laptop, topi keledar dan jaket yang dipakai mereka semasa melakukan rompakan.

Sumber: http://www.selangorkini.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers