Monday, May 7, 2012

Kawal Makanan Anak


KANAK-KANAK yang tembam dan montel sememangnya comel tetapi adakah mereka sihat?

Kebanyakan ibu bapa di Asia juga mudah ghairah untuk melihat badan anak mereka menjadi lebih berisi atau dalam definisi mudahnya, gemuk.

Apapun, kegemukan kanak-kanak sering dipandang ringan meskipun masalah ini mungkin akan mengganggu perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak berkenaan.

Menurut Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Dr Farah Diba Khan, orang Asia sering membuat tanggapan yang salah apabila mengatakan anak kecil yang gemuk itu sihat dan comel.

Ibu perlu mengikut panduan diet yang sepatutnya supaya isu anak gemuk yang kini menjadi masalah utama Dalam kalangan pelajar di negara ini dapat diatasi.

“Penyediaan makanan yang betul dan mendidik tabiat makan yang sempurna bermula sejak kecil lagi dan ibu bapa bertanggungjawab ke arah pembentukan itu.

“Secara normalnya, fizikal anak adalah gambaran kepada keadaan fizikal ibu bapa. Tabiat pemakanan sekeluarga juga amat mempengaruhi kesihatan kita.
Menjadi sifat anak untuk meniru dan menerima apa saja makanan pemberian ibu.

“Justeru, ibu harus ingat semuanya bermula daripada tangan kita dan sentiasa berjaga-jaga serta prihatin dengan jenis makanan yang diberikan kepada anak bagi mengelakkan masalah berat badan berlebihan,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga bermasalah kegemukan, anda perlu lebih memandang berat pengambilan makanan dalam kalangan anak sejak kecil.

Ini kerana kanak-kanak yang gemuk sejak kecil berpotensi tinggi untuk terus berkeadaan begitu apabila dewasa kelak. Dengan itu, wajar mengambil langkah pencegahan sebelum masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung menyerang.

Selain itu, dia turut menasihati agar ibu bapa dan anak melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Tambahnya, tidak ada satu makanan pun yang membekalkan semua nutrien diperlukan kanak-kanak untuk pembesaran fizikal dan mental secara optimum.

Tetapi, setiap makanan boleh dipadankan ke dalam diet yang pelbagai, sederhana, seimbang dan sihat. Sehubungan itu, tidak ada istilah makanan baik atau tidak baik, khususnya bagi kanak-kanak kerana keseluruhan diet bagi sesuatu hari perlu diambil kira.

Oleh itu, berikan pelbagai makanan daripada setiap kumpulan makanan (karbohidrat, protein, lemak, vitamin, garam galian dan serat) pada setiap hari bagi membekalkan nutrien diperlukan oleh anak anda.

Bagi remaja pula, normal untuk mereka mengambil makanan dalam kadar kerap berikutan faktor usia yang semakin meningkat. Golongan ini sememangnya aktif serta memerlukan lebih banyak makanan untuk membesar.

“Memang waktu usia remaja mereka perlu makan banyak, tetapi harus diingatkan supaya mendisiplinkan diri dengan tidak mengambil makanan ringan terlalu kerap kerana akan mendatangkan kesan buruk kepada tubuh badan pada masa depan.

“Ibu bapa memainkan peranan dalam mengawal pemakanan anak mereka, tetapi tidak dinafikan kesibukan ibu bapa bekerja menyebabkan mereka tiada masa untuk memasak makanan berkhasiat dan seimbang kepada anak.

“Makanan seimbang saja tidak cukup. Kita kena amalkan kehidupan sihat dengan sentiasa bersenam untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan. Di samping itu, pihak sekolah dan pengendali kantin juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan pemakanan seimbang kepada pelajar,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers