Tuesday, February 19, 2013

Penggalakan Dasar 60:40

15 Perakuan dilaksana tambah bilangan pelajar aliran Sains

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lima belas perakuan itu merupakan sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Februari lepas dan dipengerusikan oleh Ketua PengarahPelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara perakuan yang akan dilaksanakan adalah menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

"Bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

"Perkara-perkara itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang dimurnikan ketika ini," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pembudayaan Sains dan Teknologi dan Pelancaran Buku Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera di Petrosains KLCC di sini, Jumaat.

Buku laporan strategi itu yang diterbitkan hasil daripada beberapa sesi mesyuarat, bengkel dan dialog yang dikendalikan bersama-sama pelbagai pihak lain seperti ibu bapa, guru, persatuan dan badan bukan kerajaan telah dibentangkan kepada Muhyiddin pada 5 November lepas.

Lima belas perakuan yang dinyatakan itu akan dilaksanakan secara kolaboratif antara sektor awam khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologidan Inovasi (Mosti), Kementerian Pengajian Tinggi, swasta dan masyarakat.

Muhyiddin berkata, perakuan lain yang bakal dilaksanakan adalah penggunaan pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains tingkatan empat dan lima daripada RM70kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid tingkatan enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

Daripada aspek tenaga pengajar, kerajaan bakal menyediakan laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.
Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar pusat-pusat penemuan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium supaya mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti-aktiviti melibatkan guru-guru serta ibu bapa bagi menggalakkan pelajar meminati sains.

Katanya, pendekatan interaktif yang digunakan pusat-pusat sains tersebutdalam pembelajaran penghayatan sains dilihat efektif dan berkesan untuk mempelajari sains.

"Saya yakin dengan peranan yang dimainkan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta serta badan korporat merupakan tanggungjawab sosial ke arah membentuk persekitaran positif penerapan budaya sains di rumah, sekolah dan persekitaran,"katanya. –BERNAMA

Sumber: Mstar Online

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers