Tuesday, February 19, 2013

Hasad dengki sifat iblis

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Islam benarkan iri hati dalam perkara positif seperti mencemburui kejayaan orang lain agar kita juga berjaya seperti mereka. - Gambar hiasan

TUGAS seorang pengintip adalah mencari rahsia atau maklumat yang berharga untuk disalurkan kepada pihak-pihak tertentu. Sebagai imbal balik, si pengintip akan memperolehi manfaat tertentu untuk kepentingan hidupnya.

Demikianlah analogi mudah yang kita boleh tempelkan kepada mereka yang suka mencari kesalahan orang lain. Sikap ini sebenarnya terhasil dari sifat hasad dengki yang tidak berkesudahan.

Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu merasa susah hati apabila melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.

Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki. Dalam laras bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan, mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.

Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.

Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama”. (riwayat At-Tirmidzi).

Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.

Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama.

Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (ali-‘Imran: 120).

Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (al-Falaq: 5).

Rasulullah juga memperingatkan dalam hadis yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering”. (riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga melarang sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Janganlah kalian saling dengki (riwayat Muslim)

Dalam institusi keluarga, perasaan hasad dengki mungkin boleh berlaku di kalangan adik-beradik, ipar-duai dan sebagainya. Ia akhirnya menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang dan semakin jauh.

Pejabat atau tempat kerja juga salah satu tempat berleluasanya penyakit hasad dengki ini. Hal ini dapat diperhatikan apabila menjelang musim kenaikan pangkat, perolehan bonus dan sebagainya.

Perasaan ini muncul apabila kita membandingkan kejayaan orang lain dengan kejayaan atau kegagalan yang ada pada diri kita. Lebih buruk lagi, hasad dengki biasanya datang bersama dengan perancangan untuk menjatuhkan orang tersebut.

Sepatutnya, dalam hal ini, kita perlu melihat kejayaan orang lain sebagai pemangkin untuk kita tingkatkan usaha dan prestasi bagi bersaing secara sihat dengannya.

Namun, mereka yang ditimpa penyakit hasad dengki ini merasakan kejayaan orang lain itu sebagai ancaman terhadap dirinya dan sebagai penghalang kepadanya untuk maju ke hadapan.

Cara yang paling mudah memuaskan hatinya adalah dengan mencari kesalahan orang lain untuk mencalar reputasinya di kalangan rakan-rakan sepejabat mahupun majikan.

Suasana ini akan berlanjutan sehinggalah ada yang sanggup menuduh rakan-rakan sekerja dengan tuduhan melampau serta ada yang sanggup untuk melemparkan fitnah semata-mata hasad dengki dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang lain.

Semuanya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat sekali gus menjamin laluannya untuk berada di kemuncak terbuka luas.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

2 comments:

  1. Boleh tak tuan berikan cara-cara menghindarinya sifat hasad dengki. Saya ada dengar satu nasyid. Harap boleh dikongsi bersama. Tapi bukan artis terkenallah. http://youtube.com/watch?v=T2Sk7HfPJDk

    ReplyDelete
  2. Salam

    Israel : Bangsa
    Yahudi : Agama

    Jangan tersalah tafsir.

    Seperti juga

    Melayu : Bangsa
    Islam : Agama

    Mohon tuan admin membuat posting baru berkaitan ini kerana masih ramai yang tidak faham dan jelas berkaitannya. Hujahnya dan huraiannya banyak. Antaranya Surah al-Baqarah ayat: 120. Kenapa Tuhan menggunakan perkataan YAHUDI DAN NASRANI? Sedang kan nasrani itu juga agama.
    MZB.

    ReplyDelete

Google+ Followers