Friday, March 8, 2013

Produktiviti Sawit Dan Boron

Beberapa unsur mikro yang berperanan penting dalam mengawal pertumbuhan tanaman, terutama sekali unsur boron. Unsur ini sangat diperlukan oleh kelapa sawit. Ini adalah kerana kelapa sawit merupakan salah satu tanaman yang terdedah apabila kekurangan boron yang boleh memberi kesan pada rendahnya produktiviti tanaman.

Sekurang-kurangnya, setiap pokok kelapa sawit memerlukan 100 hingga 200 gram boron satu tahun. Untuk memenuhi keperluan ladang kelapa sawit seluas 7.8 hektar saja, diperlukan bekalan boron sekitar 100 ribu ton per tahun.

Kegunaan unsur ini dalam tanaman ialah, ia berperanan dalam pembahagian, pemanjangan dan pembezaan sel, ketelapan membran, serta perkecambahan debunga.

Mahu atau tidak keperluan tersebut perlu dipenuhi, kerana boron mempunyai dua fungsi fisiologi utama yang bermanfaat bagi tanaman. Fungsi pertama, boron boleh membentuk ester dengan sukrosa sehingga sukrosa yang merupakan bentuk gula terlarut dalam tubuh tanaman lebih mudah diangkut dari tempat fotosintesis ke tempat pengisian buah. Proses tersebut menyebabkan buah akan terasa lebih manis dengan aroma yang khas.

Fungsi fisiologi kedua, ialah boron memudahkan pengikatan molekul glukosa dan fruktosa menjadi selulosa untuk mempertebal dinding sel. Hasil tanaman akan menjadi lebih tahan terhadap serangan perosak dan penyakit. Sebaliknya, apabila tanaman kekurangan unsur boron maka dinding sel yang terbentuk menjadi sangat tipis. Selain itu, sel menjadi besar yang diikuti dengan penebalan suberin atau terbentuk ruang-ruang reksigen kerana sel menjadi retak dan pecah akibat tidak terbentuk selulosa untuk menebalkan dinding sel.

Kekurangan boron juga boleh menyebabkan pertumbuhan vegetatif terhambat kerana unsur itu berfungsi sebagai aktifator mahupun inaktifator hormon auxsin dalam pembahagian dan pembesaran sel.

Antara kesan lain ialah proses fotosintesis tanaman akan menjadi perlahan. Ini adalah disebabkan gula yang terbentuk daripada karbohidrat hasil fotosintesis akan berkumpul di daun. Umumnya tanaman yang kekurangan boron boleh diamati dari bentuk daunnya yang tidak sempurna atau sering disebut hook leaf.

Daun muda warnanya menjadi perang dan membengkok. Selain itu, daun tumbuh pendek sehingga hujung pelepah melingkar (rounded front tip), anak daun pada hujung pelepah berubah bentuk menjadi kecil seperti rumput atau bristle tip, atau tumbuh rapat pendek seolah-olah bersatu dan padat (little leaf). Ketidaksempurnaan (malformation) bentuk daun itu mengakibatkan terganggunya proses fotosintesis sehingga buah yang terbentuk sedikit, kecil, dan berkualiti rendah.

Tanaman yang mengalami kekurangan unsur ini akan menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan pucuk dan akar terbantut, pucuk mati, pengangkutan makanan yang perlahan, serta buah yang sedang berkembang terdedah diserang penyakit.

No comments:

Post a Comment