Tuesday, October 18, 2011

Kajian Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional Daripada Perspektif Ibu Bapa Dan Guru


Pendidikan teknikal dan latihan vokasional selari dengan hasrat kerajaan untuk membentuk Malaysia sebagai negara perindustrian. Perancangan sumber manusia yang cekap dan berkemahiran tinggi perlu dipertingkatkan melalui pendidikan dan latihan vokasional. Hasrat kerajaan bagi membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mempunyai nilai kerja positif tidak selari dengan pengendalian kurikulum vokasional di sekolah-sekolah menengah. Manakala pendidikan vokasional terus mengalami imej negatif daripada ibu bapa dan guru-guru dalam memotivasikan pelajar terus menceburi laluan kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional. Imej negatif terhadap bidang teknikal dan vokasional bukan sahaja di Malaysia, malah pelbagai negara di Asean dan Amerika Syarikat juga mempunyai persepektif yang hampir sama (Wancott, 2000; Gray, 1997; Kang and Bishop, 1986).

Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mempromosikan bidang teknikal dan vokasional oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan sejumlah agensi yang berkaitan bagi meningkatkan minat pelajar dalam bidang tersebut. Pilihan ibu bapa dan pelajar masih lagi kepada pendidikan akademik berbanding pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Mengapa fenomena ini berlaku dalam abad ke 21, di pihak kerajaan ingin mencapai negara perindustrian, sebaliknya di pihak ibu bapa dan guru tidak nampak laluan kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional merupakan satu potensi bagi mencapai negara perindustrian.

Jesteru itu, adalah penting untuk memahami dan memberi kesedaran kepada ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar mengenai pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Tanggapan imej negatif terhadap pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu diterokai daripada pemengang kepentingan. Tujuan utama kajian ini adalah memahami tanggapan imej dan kebanggaan kerja dalam bidang teknikal dan vokasional daripada perspektif ibu bapa dan guru-guru sekolah menengah.

Kajian ini dijalankan di dua zon, iaitu, utara (Kedah) dan zon tengah (Selangor), dua buah sekolah telah dipilih bagi satu zon misalnya sekolah di bandar (Kajang) dan luar bandar (Dengkil) memadai bagi mendapatkan pandangan ibu bapa dan guru-guru. Persampelan bertujuan telah dipilih bagi memenuhi perbincangan kumpulan berfokus di sekolah dengan penyertaan ahli PIBG, iaitu, ibu bapa, guru kaunselor kerjaya, guru-guru. Analisis tematik telah dijalankan setelah temu bual berkumpulan dilaporkan secara verbatim, disusun dan ditafsirkan selepas kajian lapangan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat dua tema utama iaitu, imej positif dan imej negatif mengenai pendidikan teknikal dan latihan vokasional dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru.

Walaubagaimanapun, imej negatif kekal kental dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru terutama bagi laluan kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional. Pengkaji juga mengenal pasti beberapa isu baru, misalnya, pembaziran tenaga kerja negara, antaranya disebabkan kelemahan prasyarat pengambilan pelajar dalam sistem pendidikan teknikal dan vokasional; prasyararat matapelajaran Bahasa Melayu menghalang pelajar meneruskan pengajian peringkat sijil kemahiran, pelajar pengajian Islam dan Bahasa

Arab serta pelajar-pelajar cemerlang akademik dan pelajar perempuan yang berminat dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu diambil kira sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa akan datang. Beberapa implikasi kajian telah dikemukakan sebagai cadangan pembentukan polisi bagi meningkatkan imej pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Sumber: http://www.nvtc.gov.my/

No comments:

Post a Comment