Wednesday, March 21, 2012

PEMIKIRAN KREATIF DAN INOVATIF

Pemikiran kreatif dan inovatif dapat diwujudkan dengan menanya soalan-soalan terbuka yang dapat mencungkil daya pemikiran pelajar untuk mengemukakan idea-idea baru serta mencetuskan pemikiran bertahap tinggi. Ia mendorong proses akomodasi iaitu penyusunan semula pengetahuan dan proses asimilasi iaitu menggabungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan yang sedia ada. Organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat mengembangkan pemikiran divergent atau lateral, imaginatif di kalangan pelajar.

Ahli psikologi telah mengkaji fenomena pemikiran kreatif dan inovatif dengan tujuan menerangkan hasil (produk) dan proses pemikiran. Tumpuan ialah kepada heuristik yang digunakan sebagai pemikiran. Pendekatan pemikiran kreatif dan inovatif untuk mengkaji proses pemikiran berbeza mengikut teori pemikiran yang diamalkan. Konsep pemikiran tersebut ialah:-

Pemikiran sebagai CUBA JAYA

Menurut ahli psikologi behavioris pemikiran ialah satu usaha cuba jaya, iaitu pertalian antara rangsangan dan respons. Teori pemikiran behavioris terdiri daripada tiga komponen, iaitu rangsangan (Ra: sesuatu situasi penyelesaian masalah, respons (Re : tingkah laku penyelesaian masalah tertentu) dan kaitan antara rangsangan tertentu dan respons tertentu. Organisma akan cuba sehingga berjaya mencapai pertalian itu. Pertalian itu diandaikan berlaku dalam minda organisma dan dipamerkan dengan penyelesaian masalah berkenaan (Ra-Re). Menurut Thorndike (1911), latihan mengeratkan pertalian antara rangsangan dan respons, dan respons yang tidak membantu proses penyelesaian masalah, lama-kelamaan akan kehilangan kesannya. Pertalian antara rangsangan dan respons akan bertambah kukuh sekiranya terdapat kesan yang menyeronokkan selepas menyelesaikan sesuatu masalah.

Apakah pula yang berlaku antara rangsangan dan respons? Hull (1943) meramalkan bahawa respons-respons kecil berlaku di antara Ra dan Re yang membawa kepada penyelesaian masalah. Watson (1930) menyifatkan ini sebagai bercakap dengan diri sendiri. Walau bagaimanapun ahli-ahli psikologi behavioris tidak begitu berminat menerangkan apa yang berlaku di antara rangsangan dan respons. Oleh sebab apa yang berlaku dalam minda organisma tidak dapat dilihat secara empirikal, kajian mengenainya kurang diberi perhatian. Hanya tindakan yang dapat diperhatikan berlaku, seperti rangsangan dan respons diterima sebagai bukti.

Pemikiran sebagai CELIK AKAL


Menurut ahli psikologi Gestalt, pemikiran atau proses penyelesaian masalah ialah pencarian kaitan antara satu aspek masalah dengan aspek yang lain, dan akibatnya ialah kefahaman struktural. Iaitu kebolehan memahami bagaimana semua bahagian-bahagian masalah dapat disepadukan bagi memenuhi syarat-syarat matlamat. Ini memerlukan mengorganisasi semula elemen-elemen masalah kepada bentuk baru supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Dalam eksperimen klasik yang dijalankan oleh Kohler (1925) seekor monyet yang lapar diletak di dalam sebuah sangkar. Sebiji pisang tergantung daripada bumbung sangkar tersebut dan terlalu tinggi untuk monyet itu mendapatkannya. Dalam sangkar itu juga terdapat beberapa kotak yang berlainan saiz. Monyet itu cuba mendapatkannya pisang itu dengan melompat-lompat beberapa kali tetapi tidak berjaya. Ia pun berhenti seketika dan memerhati sekeliling sangkar dan dengan tiba-tiba mengheret kotak-kotak ke tengah sangkar di bawah pisang. Lalu monyet itu pun menyusun kotak-kotak itu bertindih-tindih menjadi seperti tangga dan kemudian memanjat kotak-kotak tersebut dan berjaya mendapatkan pisang. Menurut Kohler, apabila monyet itu secara tiba-tiba sedar tentang pertalian di antara kotak-kotak dengan mendapatkan pisang, ia disifatkan celik akal (insight).

Pemikiran sebagai MENCARI MAKNA

Menurut Ausubel (1968), struktur kognitif atau skemata ialah pengetahuan sedia ada manusia dan terdiri daripada fakta, konsep dan generalisasi yang pernah dipelajari atau didedahkan. Pembelajaran bermakna atau meaningful learning berlaku apabila maklumat baru dapat diasimilasikan ke dalam struktur kognitif individu berkenaan melalui proses subsumpsi. Pendek kata, subsumpsi berlaku apabila individu dapat memberi makna kepada maklumat baru berdasarkan pengetahuan sedia ada. Namun demikian, pemikiran ditafsirkan sebagai proses mencari skemata atau pengalaman lalu yang sesuai untuk dikaitkan dengan pengalaman atau maklumat baru.

Pemikiran sebagai PEMBENTUKAN KONSEP


Pengujian hipotesis atau pemikiran induksi lazimnya dikaitkan dengan pembentukan konsep dan penaakulan analogikal. Pembentukan konsep dikaitkan dengan usaha-usaha Bruner, Goodnow & Austin (1956) yang menyarankan kepentingan pengkonsepan. Pembentukan konsep atau kategori memudahkan individu memahami persekitarannya serta mengurangkan tekanan kognitif. Kategori konsep mewakili beberapa objek atau peristiwa yang mempunyai ciri-ciri serupa atau hampir sama serta ciri-ciri tertentu yang membezakan objek itu dengan objek yang lain.

Individu yang diberikan masalah mengumpulkan maklumat mengikut kategori tertentu dikatakan akan mengemukakan hipotesis dan peraturan. Contohnya, objek-objek seperti meja, kerusi, katil dan almari akan dilonggokkan di bawah kategori perabot. Dia akan meneruskan proses melonggokkan mengikut hipotesis ini sehingga ia tidak boleh dipakai lagi.

Pemikiran sebagai PEMBINAAN MAKLUMAT

Ahli-ahli psikologi seperti Sigel (1984) menyifatkan pemikiran sebagai satu proses aktif yang melibatkan beberapa operasi mental utama seperti induksi, deduksi, penaakulan, urutan dan klasifikasi. Operasi ini bertindak secara berasingan atau bergabung apabila menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Pelajar sentiasa aktif memerhati dan membina pengetahuan dengan membuat hubung kaitan antara objek, peristiwa atau orang di persekitarannya.

Kanak-kanak dengan spontan boleh asimilasi pengetahuan daripada pengalaman dan menyusunnya melalui beberapa operasi mental. Walau bagaimanapun aspek-aspek pengalaman dan cara pengalaman itu disusun adalah terhad dan tertakluk kepada tahap perkembangan kanak-kanak itu. Dalam proses pembelajaran yang memberi pelajar peluang bercakap, memberi pendapat dan membuat keputusan, akan menambahkan kualiti pemikiran pelajar di sekolah. Kanak-kanak yang berinteraksi dengan orang dewasa dan menerima layanan yang positif akan muncul sebagai pemikir yang lebih berkesan.

Pemikiran sebagai PENAAKULAN DEDUKTIF


Penaakulan deduktif ialah membuat kesimpulan berdasarkan premis, pernyataan atau maklumat tertentu yang diperoleh daripada berbagai-bagai sumber. Individu hanya perlu menyusun idea-idea tersebut ke arah mendapat satu jawapan yang betul sahaja. Semua butir maklumat yang diperlukan untuk menjawab pertanyaan Siapakah yang paling tinggi? Telah diberikan. Individu hanya dikehendaki menyusun dan mengaturnya mengikut cara berkesan. Sekiranya maklumat yang diberikan salah, maka jawapannya pun mungkin salah. Penaakulan induktif juga disebut sebagai pemikiran bertumpu atau konvergen.

Pemikiran sebagai PENAAKULAN INDUKTIF

Penaakulan induktif yang disebut sebagai pemikiran bercapah tidak ditujukan ke arah mendapatkan satu jawapan betul. Sebaliknya, terdapat lebih daripada satu jawapan yang mungkin betul (Phillips, 1994). Individu yang menaakul secara induktif cuba mengemukakan pelbagai jawapan, idea, kesimpulan dan alternatif yang boleh diterima sebagai betul. Lazimnya, dalam penaakulan induktif individu tidak dapat menyatakan dengan yakin iaitu daripada banyak jawapan yang dicadangkan, satu jawapan adalah betul. Mengapa? Ini adalah kerana jarang sekali seseorang itu akan dapat meneliti segala kemungkinan. Kemungkinan lain boleh timbul yang memaksa individu mengubahsuai pemilihan awalnya. Contohnya, jika kita rumuskan bahawa semua kucing mempunyai ekor dan tiba-tiba kita bertembung dengan kucing yang tidak mempunyai ekor, kita terpaksa mengkaji semula rumusan yang dibuat tentang kucing.

Pemikiran sebagai PENYELESAIAN MASALAH

Menurut Simon (1962), semua aktiviti kognitif atau pemikiran pada asasnya ialah penyelesaian masalah. Dalam kehidupan harian seseorang, penyelesaian masalah ialah aktiviti yang kerap dilakukan, sama ada di rumah, di tempat kerja, di tempat permainan dan rekreasi atau semasa pembelajaran.

Pada asasnya, terdapat tiga ciri utama penyelesaian masalah, iaitu, keadaan matlamat, keadaan awal, dan pelaksana. Biasanya penyelesaian masalah dilihat sebagai mencari ruang masalah yang terdiri daripada beberapa masalah yang memerlukan penyelesaian. Keadaan awal ialah kesedaran tentang masalah dan pemilihan tindakan untuk menukar keadaan awal dalam ruang masalah. Apabila sesuatu tindakan di ambil, maka individu itu adalah pada tahap keadaan pertengahan, iaitu dia telah menukar keadaan kepada keadaan yang lain. Apabila ia mencapai matlamatnya dia dikatakan telah sampai pada keadaan matlamat atau penyelesaian masalah.

STRATEGI PEMBELAJARAN

Organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif perlu di rangka berlandaskan kepada pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Kaedah tersebut dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan mencungkil idea baru daripada pelajar. Juga dapat menggalakkan pelajar untuk berkomunikasi.
Strategi pembelajaran yang berkesan dapat mengembangkan potensi, dan bakat pelajar yang terpendam dan seterusnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian. Contoh-contoh yang boleh digunakan ialah seperti brainstorming, pembelajaran berpusat masalah, simulasi, kerja secara berkumpulan dan sebagainya.

KOMUNIKASI TERBUKA

Komunikasi terbuka dapat mendorong perkembangan dan kemajuan organisasi pembelajaran. Komunikasi terbuka membolehkan maklumat diperoleh dengan mudah tanpa banyak halangan birokrasi. Maklumat yang diperoleh dari luar organisasi dapat digunakan untuk membantu perkembangan kreativiti dan inovasi serta meningkatkan produktiviti dan kreativiti di kalangan pelajar.

Maklumat yang diperoleh bukan sahaja mengalir daripada atas ke bawah tetapi juga dari bawah ke atas. Ia juga dapat menggalakkan pencarian fakta dan maklumat terkini berhubung perkembangan organisasi. Maklumat yang pantas dan terkini boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat bagi menangani berbagai perkembangan organisasi pembelajaran.

PENYELESAIAN MASALAH

Setiap hari kita dilanda dengan pelbagai masalah, sama ada di tempat kerja, rumah ataupun di sekolah. Sebagai contoh, kerapkali kita terdengar pelajar yang diberikan kerja seperti projek sejarah, masalah matematik, menulis karangan, mangatakan Saya tidak tahu tanpa mencuba. Aktiviti-aktiviti penyelesaian masalah membawa pelbagai manfaat kepada pemantapan pemikiran kreatif dan inovatif pelajar (Fisher, 1992).

Kegiatan penyelesaian masalah tidak hanya menambah penguasaan pengetahuan, memperkukuhkan kemahiran dan melahirkan sikap tertentu, tetapi memberi peluang kepada guru memerhati cara pelajar mendekati masalah, berkomunikasi dan belajar.

Bagi menentukan sama ada pelajar memahami sesuatu prinsip atau butir maklumat ialah dengan memberinya masalah untuk diselesaikan. Aktiviti-aktiviti corak bermasalah juga memberi peluang kepada pelajar menunjukkan kebolehannya mengaplikasikan sesuatu prinsip, kaedah atau teori kepada penyelesaian masalah berkenaan.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh individu atau pelajar ada yang berstruktur dan apa pula yang tidak berstruktur. Contoh masalah-masalah berstruktur seperti masalah matematik dan fizik. Bagi masalah-masalah ini, segala maklumat yang diperlukan telah disediakan atau mudah diperoleh untuk menyelesaikannya. Akan tetapi dalam kehidupan seharian pelajar menghadapi pelbagai masalah sosial, etika, moral dan sebagainya yang kabur dan tidak berstruktur, iaitu tidak boleh diselesaikan mengikut langkah-langkah yang teratur. Bagi masalah berstruktur, proses penyelesaian masalah mengikut urutan langkah-langkah tertentu. Berdasarkan cadangan Newell dan Simon (1972) langkah-langkah penyelesaian masalah adalah mengikut urutan seperti di bawah.
  1. Mengenal pasti masalah
  2. Mendefinisikan masalah
  3. Mencari penyelesaian
  4. Bertindak
  5. Menilai kejayaan tindakan
Jadi aktiviti-aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah sama ada dalam pengajaran dan pembelajaran serta program lain di sekolah mampu membentuk daya kreativiti dan inovasi pelajar dan juga guru.

KESIMPULAN

Inovasi dan kreativiti merupakan penyumbang ke arah perubahan organisasi, perkembangan dan pembangunan negara. Bagi menghasilkan sebuah organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif faktor-faktor yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan organisasi, kepimpinan, budaya, teknologi, pemikiran, strategi pembelajaran, penyelesaian masalah dan juga komunikasi terbuka.

Kreativiti dan inovasi yang dibentuk atau dibina perlulah bersesuaian dengan keperluan dan kehendak masyarakat, individu dan juga negara. Ianya juga hendaklah bebas daripada sebarang kebimbangan dan ketakutan yang merupakan pra syarat untuk mengembangkan potensi pelajar yang seharusnya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang aktif dan berdaya maju. Individu yang bersifat kreatif dan inovatif perlu diganjari dengan sepatutnya supaya bakat yang ada tidak dipersiakan begitu sahaja.

Bagi guru yang kreatif dan inovatif pula, mereka harus sentiasa mengkaji dan menyelidik apa yang berfungsi dan tidak berfungsi dalam profesion mereka. Mereka perlu menanya beberapa persoalan dengan diri mereka. Di antara persoalan-persoalan tersebut ialah:-
  • Bagaimana perasaan beliau dengan kualiti dan kuantiti atau aktiviti dalam perkembangan organisasi pembelajaran?
  • Bagaimana beliau membina dan mengukuhkan faktor yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan lepas?
  • Bagaimana beliau mengalih atau mengelakkan penghalang yang mengganggu aktiviti?
  • Bagaimana beliau menetapkan matlamat untuk dan mengukur kesesuaian perkembangan aktiviti dalam pembelajaran baru?
  • Bahagian mana yang paling perlu beliau pertingkatkan perkembangan proses hasil pembelajaran baru?
Jadi jelas menunjukkan ciri-ciri kreatif dan inovatif bukan sahaja wujud pada seseorang individu sahaja tetapi ia berkait rapat dengan penyumbang atau faktor-faktor lain seperti kepimpinan, pemikiran dan budaya sesuatu organisasi itu untuk menentukan kejayaan, pembangunan dan perkembangan sesebuah organisasi khasnya organisasi pendidikan.

Sumber: http://www.mudahbelajar.com

No comments:

Post a Comment