Wednesday, August 8, 2012

Etika Perniagaan : Memupuk Budaya Keselamatan


Suatu aspek yang sering dilupakan oleh kebanyakan syarikat perniagaan termasuk jabatan-jabatan yang berkenaan ialah keselamatan di tempat kerja dan tempat-tempat kunjungan awam seperti di tempat peranginan atau pengangkutan awam. Sebab utama kemalangan ialah kerana tidak wujud budaya keselamatan atau sikap ‘ingat sebelum kena’ dalam syarikat, jabatan, di kalangan pengurus, kakitangan organisasi, serta orang awam yang terlibat. Yang wujudnya ialah kesilapan pengurusan dan pengurusan tidak berfungsi. Kedua-dua ini berlaku sebahagian besarnya kerana salah cara berfikir tentang kemalangan. Kemalangan diberi nama ‘trageri’ .Tragedi tidak dapat dielakkannya. Oleh itu difikirkan tidak ada apa-apa yang boleh dibuat untuk mengelakkannya. Tetapi harus diingati bahawa sikap berjaga-jaga dan usaha menjalankan pembikinan (maintenance) alat-alat yang terlibat secara regular akan mengurangkan kekerapan dan darjah seriusnya sesuatu kemalangan berlaku. Tetapi budaya ini hanya boleh dipupuk melalui kesedaran tentang prinsip-prinsip pengurusan yang utuh.

Akhir-akhir ini kita sering menyaksi dan mendapat tahu melalui media massa banyak kes tragedi yang melibatkan kematian atau kecederaan akibat daripada ‘kemalangan’ seperti keruntuhan bangunan, keruntuhan jalan bukit, kebakaran tempat awam dan perlanggaran kenderaan atau pengangkutan awam. Memang di akhir bahawa sesetengah daripada ‘kemalangan’ ini disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan manusia seperti hujan lebat selama beberapa hari yang menyebabkan keruntuhan sebahagian bukit, tetapi kebanyakan daripada tragedi ini adalah kerana kecuaian, kelalaian atau kealpaan manusia. Dalam bukunya Global Disasters, Allinson (1993) menegaskan bahawa boleh dikatakan hampir semua kemalangan adalah berpunca daripada kesilapan dalam pengurusan (mismanagement) atau mencerminkan pengurusan yang tidak berfungsi (dyfunctional management). Kedua-dua ini berlaku sebahagian besarnya, kerana salah cara berfikir tentang sesuatu. Pertama, terdapat kepercayaan yang meluas bahawa kemalangan atau ‘tragedi’, (label yang selalu diberi) tidak dapat dielakkan. Kepercayaan ini berasaskan beberapa idea dan rangkai kata. Oleh itu, syarat pertama untuk memulakan meneliti mengelakkan tragedi ialah menyenaraikan dan membuang idea dan rangkai kata yang membuai pihak pengurusan dalam pemikiran bahawa kemalangan atau tragedi tidak dapat dielakkan. Dalam menganalisis empat kemalangan korporat yang besar (yang meliputi kemalangan kapal angkasa Challenger), Allison mendapati pihak pengurusan tidak nampak perkaitan di antara asas-asas pengurusan yang lemah dan ‘kemalangan’ yang berlaku. Biasanya tidak terdapat rangkaian arahan yang jelas, pembahagian tanggungjawab, komunikasi yang berjalan dengan licin, arahan atau perintah bertulis. Oleh itu, pihak pengurusan atas perlulah lebih peka terhadap tanggungjawab moralnya menentukan sistem pengurusan yang betul dan berpandukan etika diwujudkan. Dengan lebih khusus, satu sistem pengurusan yang berstruktur perlulah diadakan untuk mengelakkan suasana beretika dalam organisasi yang menekankan keselamatan.

Mengikut Allinson lagi, banyak perbincangan menyebut konsep “kesilapan manusia” (Human error) yang mana meletakkan kesilapan atau tuduhan berlakunya sesuatu tragedi ke atas bahu seseorang atau orang-orang tertentu. Pendekatan ini cenderung mengelak dari menyebut faktor pengurusan secara terasing daripada rangkaian atau sistem faktor-faktor penyebab yang saling berinteraksi. Apabila terdapat usaha yang kuat untuk mengelak tuduhan atau menunding jari kepada seseorang individu atau kumpulan sebagaimana dalam kes yang menuduh “kesilapan juruterbang”, maka ini dipanggil ‘mencari salah’ (scapegoating). Mencari salah tidak dapat menolong mengelakkan tragedi daripada berulang, cuma hanya seolah-olah mewujudkan satu penyelesaian. Oleh kerana ‘kesilapan manusia’ atau ‘faktor manusia’ senantiasa ada, maka tidak ada apa-apa yang boleh dibuat, dan rangkai kata yang selalu disebutkan akan terus disebut ‘kita semua membuat kesilapan’, ‘ tiada manusia sempurna’, ‘dia hanya manusia biasa’. Oleh itu tragedi dikatakan dapat dielakkan.

Penggunaan perkataan “tragedi” juga menunjukkan betapa kuatnya pengaruh perkataan : ‘tragedi’ membawa makna ‘tidak dapat dielak’ bukan sahaja sesuatu peristiwa yang menjadi tumpuan, tetapi juga peristiwa-peristiwa yang serupa dan banyak lagi yang akan berlaku. Jadi tanggungjawab dengan senang sahaja dibatalkan atau dihapuskan dengan menggunakan perkataan ‘tragedi’. Sebagaimana kata Allison, contoh terbaik ialah kemalangan Bhopal yang selalunya dirujuk sebagai tragedi Bhopal. Jadi,sebagai tragedi, kejadian ini dipanggil ‘nasib’ atau ‘telah ditentukan’ dan respons yang boleh diambil ialah hanya menerimanya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan kepercayaan bahawa ‘kemalangan tetap akan berlaku’ atau ‘tidak boleh dielakkan’. Sikap atau kepercayaan begini tidak hairanlah menjadi satu penghalang kepada usaha menggubal satu program yang menyeluruh dalam pengurusan pengekalan kemalangan (disaster prevention management).

Harus diingati bahawa tidak ada orang yang mengatakan bahawa kesilapan manusia boleh dihapuskan sama sekali. Apa yang ditekankan ialah kesilapan manusia boleh dikurangkan ketahap minimum. Malah satu daripada hasil pengurusan pengelakan kemalangan ialah mengurangkan kekerapan dan kesan kesilapan manusia. Begitu juga dengan kemalangan. Kita tidak mengatakan bahawa kemalangan tidak akan berlaku. Apa yang dihujahkan ialah membuang kepercayaan karut daripada rangkai kata “kemalangan tetap akan berlaku” dan menukarkannya dengan kata-kata “kemalangan korporat secara global adalah sebahagian besarnya bukan kemalangan , tetapi hampir semuanya fungsi pengurusan yang salah (mismanagement)”.

Pemikiran yang mencari sebab tunggal untuk sesuatu kemalangan (pemikiran ‘monocausal’) juga adalah simplistik. Contohnya adalah seperti yang diberi oleh Pratley (1995). Pada 4 Oktober 1992, sebuah kapal terbang pengangkut barang Boeing 747 EI AI kehilangan satu enjin semasa sedang mendaki perlahan-lahan selepas meninggalkan lapangan terbang Schiphol. Enjin yang jatuh menimpa pula enjin berdekatannya dan menyerpihkannya. Akhirnya kapal terbang itu jatuh beserta dengan lebih separuh daripada had minyak bahan bakarnya ke atas satu blok rumah pangsa di kawasan luar bandar Amsterdam, membunuh sambil membakar anak-anak kapal dan kira-kira 50 orang penghuni rumah pangsa tersebut.

Kejadian ini disebabkan oleh interaksi beberapa peristiwa, tindakan dan keadaan yang malang. Walau bagaimanapun, laporan kemalangan itu mengatakan bahawa faktor penyumbang utama ialah kesilapan dalam rekabentuk kancing besi (bolt). Pembuat kapal terbang, Boeing, boleh dipersalahkan kerana kesilapan ini dan kerana mengambil masa untuk mencari kesilapan itu. Tetapi adalah merupakan satu reaksi yang keterlaluan untuk menuduh Boeing kerana keseluruhan rangkaian peristiwa yang membawa kepada kemalangan itu. Boeing hanya patut dipersalahkan kerana kesilapan rekabentuk dan kecuaian serius dalam kawalan mutu, kerana kelemahan Boeing dalam hal ini telah menyebabkan enjin pertama terserpih. Tetapi kesemua peristiwa yang berikutnya tidak dapat dipersalahkan Boeing sahaja, walaupun kemalangan itu tidak akan berlaku jika rangkaian peristiwa-peristiwa yang berlaku tidak dicetuskan oleh kesilapan penting di pihak Boeing. Namun begitu, satu pengajaran besar boleh didapati di sini : adalah satu menjadi perkara penting bagi sesebuah syarikat memperbaiki rekabentuk produknya dan responsif kepada pandangan timbalbalik mengenainya. Dalam kes ini Boeing memang telah lama mengetahuinya.

Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah konsep tanggungjawab moral, syarikat-syarikat akan bertindak mengikut setakat mana komitmen moral mereka terhadap kesejahteraan komuniti atau masyarakat umum.

Perspektif Islam Tentang Keselamatan

Etika keselamatan dalam Islam tidak lari daripada konsep tanggungjawab seseorang terhadap dirinya atau terhadap orang lain, di bawah jagaannya. Mengikut sejarah pemerintahan Islam, seseorang pemimpin yang baik dan adil mestilah antara lain, senantiasa memerhati dan mengambil tahu secara menyeluruh hal ehwal pejabat atau negara yang ditadbirnya. Dalam satu laporan, Khalifah Umar AlKhattab, di zaman pemerintahannya pernah mengatakan bahawa beliau takut jika seekor baghal terjatuh daripada jalan di kawasan pergunungan di Iraq dan patah kakinya, dan Tuhan kemudian akan bertanya kepadanya mengapa beliau tidak menturapkan jalan-jalan di kawasan tersebut. Riwayat ini menunjukkan bahawa seseorang pentadbir atau pengurus patut senantiasa memikirkan keselamatan orang-orang di bawahnya dan masyarakat umum walaupun mereka berada jauh dari pandangan mata. Khalifah Umar juga mengamalkan pintu terbuka terhadap rakyat dan untuk ini beliau menubuhkan satu pejabat untuk menerima dan meneliti apa-apa rungutan terhadap mana-mana pegawai kerajaan, termasuk gabenor dan hakim.

Khalifah Umar pernah berpesan kepada gebenor-gabenor yang baru dilantik supaya menekankan perkhidmatan kepada masyarakat, katanya :

Dengar, sesungguhnya aku bukan menghantar kamu sebagai pemerintah dan orang berkuasa, tetapi aku menghantar kamu sebagai pembimbing agar manusia mengikut kamu. Berilah kepada orang-orang Islam hak mereka; jangan pukul mereka takut mereka terhina; jangan puji mereka takut mereka hilang disiplin. Jangan tutup pintu terhadap mereka takut yang gagah di antara mereka mencederakan yang lemah.

Khalifah Ali b. Abu Talib pula pernah mengarahkan Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar supaya mengamalkan komunikasi yang regular dan berterusan dengan gabenor-gebenor lain, kommisioner dan pegawai-pegawai lain.

Ciri komunikasi begini dan sikap terbuka orang atasan adalah merupakan syarat-syarat penting dalam menangani apa-apa masalah dalam organisasi dan masyarakat. Sebagaimana kata Allison (1995), dalam kebanyakan kemalangan yang berlaku hari ini, terdapat sesuatu ketika atau tahap dalam organisasi di mana komunikasi terputus—sama ada orang berkuasa tidak menerima laporan, atau orang berkuasa menerima laporan tetapi tidak berbuat apa-apa, atau orang bawahan mendapat maklumat tetapi tidak menyampaikan kepada pihak atasan kerana orang atasan tidak mahu mendengar atau orang bawahan tidak merasakan maklumat itu penting untuk disampaikan ke atas.

Perasaan bertanggungjawab ke atas orang-orang di bawah jagaan masing-masing merupakan satu kreteria penting dalam menangani bukan sahaja masalah keselamatan, malah banyak masalah lain dalam keluarga, organisasi dan masyarakat. Mengikut satu Hadith, Rasullah s.a.w.pernah berkata :

“Setiap orang daripada kamu adalah penjaga, dan akan ditanya mengenai jagaannya. Pemimpin adalah penjaga ke atas rakyat dan dia akan ditanya mengenai rakyatnya; seseorang lelaki (suami) adalah penjaga ahli-ahli keluarganya dan akan disoal tentang jagaannya; perempuan (Isteri) adalah penjaga ahli-ahli keluarga (suaminya dan anak-anaknya) dan akan disoal mengenai jagaanmu.”

Jika arahan ini dihayati oleh mana-mana pengurus atau sesiapa saja anggota organisasi, banyak masalah yang melanda organisasi dan masyarakat akan dapat diatasi. Kita boleh bayangkan komunikasi akan berjalan dengan licin, semua lapisan organisasi akan mendapat maklumat dan bertindak menyampaikan maklumat atau berbuat sesuatu. Komitmen akan tetap ada terhadap keselamatan dan pengelakan berlakunya keadaan-keadaan berbahaya.

Apa yang jelas daripada sejarah Islam di atas ialah peranan orang atasan atau ketua pentadbiran dalam menjaga kebajikan orang-orang bawahannya. Dan apa yang dilakukan oleh seseorang ketua atau pemimpin sangat penting mengikut Islam kerana dia adalah Khalifah Allah yang diamanahkan menjaga dan menjalankan kebaikan dan kebajikan di dunia. Nilai-nilai pemimpin pula adalah nilai-nilai yang diharapkan dihayati daripada al-Quran dan Hadith.

Walaupun peranan pemimpin penting dalam menjaga keselamatan dan kebajikan secara umum, peranan semua tahap masyarakat tidak dilupakan mengikut pandangan Islam. Sebagaimana jelas daripada Hadith di atas, semua tahap dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab terhadap seseorang atau kelompok tertentu suami terhadap ahli keluarganya, isteri terhadap suami dan ahli keluarganya, anak terhadap ayah, pemimpin terhadap rakyat, manakala hamba abdi terhadap tuannya.

Oleh itu, jika semua pihak menyedari dan menunaikan tanggungjawab masing-masing, maka jika sesuatu potensi punca kemalangan mula dikenalpasti, sudah tentu ianya disampaikan ke pihak yang berkuasa mengambil tindakan segera. Dengan ringkas, azam untuk berkomunikasi (the will to communicate) tetap wujud di semua tahap keluarga, organisasi, mahupun masyarakat.

Budaya Keselamatan

Kajian mengenai kemalangan-kemalangan besar yang berlaku misalnya kemalangan kapal angkasa Challenger menunjukkan budaya korporat sebagai punca yang penting dalam rangkaian peristiwa-peristiwa yang mencetus kemalangan tersebut. Semenjak tahun-tahun 1980-an, teori pengurusan telah kecewa dengan limitasi kawalan ekonomi atau birokratik, dan dengan itu menekankan pemupukan budaya korporat sebagai menambah kawalan pengurusan. Melalui matlamat yang jelas, sistem makna atau nilai yang dikongsi bersama di antara pengurusan dan pekerja, perasaan terlibat dalam organisasi, keberkesanan organisasi dapat dipertingkatkan. Ringkasnya pengurusan patut mengurus budaya organisasi secara aktif kerana budaya boleh menerangkan kelakuan beretika atau tidak beretika (termasuk mengenai keselamatan dan kesihatan), di samping budaya itu sendiri dapat diubah melalui cara yang lebih komited dan dengan kemahiran.

Metodologi Pemupukan Budaya


Metodologi pemupukan budaya yang menyeluruh (unitary) memang telah terkenal dan bertapak dalam pengurusan. Proses ini meliputi strategi, falsafah dan misi korporat. Strategi ini tidak terhad kepada matlamat ekonomi sahaja tetapi termasuk pernyataan. “Apakah jenis organisasi yang syarikat mahu jadi – cirinya, nilai-nilai yang dipegangnya, perhubungan dengan pelanggan, pekerja, masyarakat setempat, dan pemegang saham. Nilai-nilai ini pula diterjemahkan sebagai kod etika yang lebih spesifik; diedar dengan meluas, disampaikan (communicated), dikuatkuasa dan disemak semula.

Disamping pemupukan budaya yang menyeluruh ini, ada pula pendekatan yang menekankan peranan sub-budaya dalam organisasi yang dipercayai lebih berkesan, dalam memberi kesedaran kepada golongan-golongan tertentu seperti ahli profesional. Sub-budaya mampu menjadi punca penyeliaan dan kritik ke atas golongan-golongan lain yang kurang beretika dan menyebabkan kemalangan dalam organisasi. Pendekatan ini tidak memberatkan budaya korporat yang menyeluruh yang bergantung kepada pihak pengurusan sebagai arkitek kod moral, tetapi menggalakkan anggota-anggota sub-budaya berkenaan supaya meningkat kesedaran nilai etika yang masing-masing memegang atau membawa ke dalam organisasi (Sinclair, 1993).

Rumusan

Kertas kerja ini tidak bertujuan menambahkan polemik atau perdebatan tentang pendekatan mana lebih berkesan, sama ada pendekatan budaya menyeluruh atau sub-budaya. Tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah teori dan amalan pengurusan mempunyai peranan penting dalam pemupukan budaya (atau etika) keselamatan dan harus digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam keselamatan dan kesihatan pekerja dan semua pihak yang mempunyai kepentingan (stakeholders) termasuk masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, apabila syarikat, jabatan ata organissi memberikan tumpuan kepada etika keselamatan, harus diingat bahawa etika keselamatan hanya merupkan satu aspek tanggungjawab moral. Tanggungjawab moral seseorang adalah lebih luas daripada keselamatan atau kesihatan pekerja dalam industri-industri tertentu. Tanggungjawab moral meliputi semua ‘stakeholder’ yang berinteraksi secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana organisasi (misalnya orang awam yang mungkin menjadi mangsa kemalangan yang timbul dari amalan yang tidak beretika sesebuah syarikat). Oleh itu pendidikan dan latihan dalam etika dan tanggungjawab sosial korporat harus menjadi agenda penting bagi jabtan-jabatan, jawatankuasa-jawatankuasa, organisasi-organisasi yang bertanggungjwab dalam keselamatan dan kesihatan, termasuk juga syarikat-syarikat perniagaan yang mana merupakan majikan kepada pekerja-pekerja.

Sumber: miosh.net/

No comments:

Post a Comment