Thursday, August 2, 2012

CAP dakwa penggunaan talipon bimbit boleh akibatkan mati pucuk.


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan kaum lelaki berhati-hati ketika menggunakan telefon bimbit kerana berpotensi mengurangkan sperma lelaki sekaligus mengakibatkan mati pucuk.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kajian mendapati pengguna yang membuat panggilan dari telefon bimbit lebih daripada empat jam sehari mempunyai jumlah sperma paling kurang dan paling rendah kualitinya.

“Satu lagi kajian menunjukkan lelaki yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar juga menghadapi risiko kerosakan sperma,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kaedah penyimpanan dalam poket itu akan menghadapi pendedahan Frekuensi Radio (RF) lebih tinggi kerana antena biasanya berada di belakang dan hampir dengan badan.

“Doktor percaya kerosakan itu mungkin disebabkan radiasi elektromagnetik telefon bimbit atau haba dihasilkan,” katanya.

Katanya penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu lagi faktor menyumbang kepada penurunan sperma selain obesiti, merokok dan tekanan.

Sementara itu, katanya, pengeluar telefon bimbit sudah mengeluarkan amaran mengenai risiko penggunaan telefon bimbit terhadap kesihatan.

“Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya memberi amaran kepada pengguna supaya menjauhkan iPhone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter dari tubuh,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menasihati orang ramai menggunakan ‘speakerphone’ supaya telefon berada dalam jarak 20 sentimeter daripada kepala.

Sebelum ini, CAP menggesa kerajaan melancarkan kempen untuk mendidik dan memberi peringatan kepada orang ramai mengenai bahaya pendedahan kepada radiasi akibat penggunaan telefon bimbit.

“Hasil kajian terkini Hospital Universiti di Orebro, Sweden menunjukkan penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun atau lebih boleh meningkatkan risiko tumor otak,” katanya.

Katanya, kajian yang diketuai Profesor Lennart Hardell itu menjelaskan ia berlaku memandangkan jarak otak yang hampir dengan antena radiasi dan berpotensi menyerap sejumlah tenaga elektromagnetik.

“Menurut kajian itu, bagi setiap tahun penggunaan telefon bimbit, tumor otak meningkat sebanyak lapan peratus dan selepas lebih 10 tahun, terdapat 280 peratus risiko tumor otak,” katanya.

No comments:

Post a Comment