Monday, November 18, 2013

Transformasi Pendidikan Vokasional

INTI PATI UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI PADA 06/01/2012 DI MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
 
  1. Selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional.
  2. Aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan berhasrat untuk merealisasikan ‘High Income Economy’ atau Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Dalam Model Baru Ekonomi. Kejayaan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan negara merupakan faktor yang kritikal, bagi menentukan pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.
  3. Pendidikan Vokasional adalah laluan yang penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan keperluan semasa. Penekanan terhadap penambahbaikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional untuk menyumbang kepada mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi. Peningkatan kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sistem latihan kemahiran dan jalinan usahasama dengan pihak industri perlu diperkukuhkan supaya lebih responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara. Untuk itu, peranan yang dinamik dari pihak yang terlibat menjadi faktor penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing. Pendidikan Vokasional perlu menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.
  4. Kementerian Pendidkan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan negara serantau. Kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan ( OECD ) adalah 44%, berbanding hanya 10% di Malaysia. Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan. Negara Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4 -5 tahun) dan program apprenticeship. Di negara tersebut, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat umur 14 tahun lagi. Negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar yang mengambil aliran ini di peringkat menengah atas mejangkau 40 hingga 60 peratus. Dalam pada itu, pendidikan vokasional di sekolah negara maju juga melibatkan On The Job Training bagi menghasilkan tenaga kerja kepada industri. Apabila tamat pengajian, pelajar mereka dianugerahkan sekurang-kurangnya sijil atau diploma.
  5. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara serantau, pendidikan vokasional di Malaysia perlu dibuat perubahan besar dan segera. Jika ini tidak dilakukan, bimbang negara tidak kompetitif di peringkat global dan terus ketinggalan. Kejayaan perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik, tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.
  6. Pendidikan Vokasional di Malaysia pada masa ini sedang menuju ke arah konsep Pendidikan Untuk Semua ( Education For All ) seperti yang digariskan oleh UNESCO. Program Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) yang dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan alternatif kepada murid yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengan rendah lagi sehingga ke tahap kolej vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Swasta ( ILKS ). Sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf menjadi KV rintis pada tahun 2012 seperti yang disebutkan tadi. Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nanti adalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi.
  7. Transformasi pendidikan vokasional merupakan usaha merekayasa kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus dan sumber manusia sehingga terbina sistem pendidikan vokasional yang baharu. Proses dilaksana menerusi lima strategi, lima inisiatif dan sebelas tindakan. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Buku Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional iaitu: (1.- Transformasi kurikulum pendidikan vokasional, 2. - Transformasi institusi pendidikan vokasional, 3.- Kolaborasi dengan rakan strategik dalam industry, 4. - Transformasi pentaksiran pendidikan vokasional. 5. - Transformasi organisasi pendidikan vokasional).
  8. Dalam usaha memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan industri, Kementerian amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama (MoU) antara institusi latihan KPM (PAV dan KV) dengan industri kerana dengan adanya perkongsian teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung dapat memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan para pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar. Termeterai perjanjian persefahaman (MOU) di antara KPM dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS.
  9. Kerjasama pihak industri dalam menyediakan latihan kemahiran amat penting agar latihan melalui “work based learning” dapat diperolehi oleh pelajar. Kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan berlakunya ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan institusi latihan kemahiran.
  10. Amalan standard kualiti persekiran tempat kerja melalui konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal juga telah mula diperkenalkan di sekolah menengah teknik dan vokasional oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009. Pelaksanaan konsep 5S perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutama di bengkel-bengkel dan juga pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur. Inisiatif ini juga merupakan langkah ke arah transformasi persekitaran kolej vokasional supaya amalan budaya bekerja yang berkualiti diterapkan kepada pelajar KV. Graduan KV akan mengamalkan budaya ini apabila mereka bekerja atau menjalankan perniagaan nanti.

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers