Wednesday, July 27, 2011

Memupuk Potensi Anak Anda

Memberi yang ‘terbaik’ berbeza daripada seseorang ibubapa kepada ibu bapa yang lain, tetapi terdapat beberapa garis panduan yang boleh kita amalkan bagi membantu mengembangkan potensi kanak-kanak.

Kanak-kanak adalah lambang masa silam yang diikat dengan kasih sayang dan rasa hormat menghormati antara dua insan yang bertekad untuk berkongsi kehidupan dan masa depan yang penuh dengan harapan.

Salah satu harapan yang tiba dengan hadirnya cahayamata ialah agar kanak-kanak membesar dan berkembang sebaik mungkin. Untuk memupuk potensi dan kebolehan kanak-kanak, sebagai ibu bapa kita berusaha keras bagi memberikan mereka yang terbaik.

MENGENALI ANAK ANDA

Jika anda fikirkan baik-baik berapa ramaikah ibu bapa cuba untuk mengenali anak mereka? Mari kita uji:
  • Apakah watak kartun/warna/ makanan/hobi kegemaran anak anda?
  • Apakah perkara yang dia suka/ tidak sukai?
  • Bagaimanakah keadaannya apabila dia berperangai baik/nakal?
  • Apakah kelebihan/kelemahannya?
  • Siapakah yang paling mudah berbicara dan memahaminya?
  • Bagaimanakah anda tahu sama ada anak anda gembira/sedih?
  • Apakah keputusan yang anda capai? Jika anda gagal menjawab sebahagian besar daripada soalan-soalan tadi, anda perlu berbuat sesuatu dengan segera. Mengenali anak anda dengan lebih baik adalah langkah pertama yang penting bagi memastikan anda berjaya memupuk kebolehan dan potensi kanak-kanak.
HARAPAN YANG TINGGI

Apakah yang anda harapkan daripada anak anda? Cuba bandingkan harapan anda terhadap anak anda dan harapannya sendiri? Senaraikan 5 perkara yang anda inginkan dari anak anda. Kemudian, tanya anak anda: “Jika ibu seorang ahli silap mata yang boleh mengkabulkan 3 permintaan, apakah yang kamu inginkan?”. Senaraikan permintaannya.

Bandingkan dua senarai ini, dan anda akan dapati dunia kanakkanak dan dunia anda amat jauh berbeza. Mereka adalah insan kecil yang suci dan ikhlas yang sedang belajar menerokai keadaan sekeliling dan di luar rumah, jadi mereka memberikan reaksi dan mengharapkan perkara yang berbeza dari dunia ini.

Kunci untuk memahami perbezaan ini ialah dengan memahami keperluan kanak-kanak dengan sepenuhnya. Jelas sekali, memenuhi keperluan fizikal kanak-kanak adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangannya. Isu-isu seperti pemakanan yang betul, tempat tinggal dan perlindungan adalah sesuatu yang kebanyakan ibu bapa tidak perlu fikirkan kerana ianya adalah perkara paling asas dalam membesarkan anak.

Walau bagaimanapun, selain memenuhi keperluan fizikal kanakkanak, ibu bapa turut dinasihatkan untuk mencuba sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan emosi, kognitif dan kerohanian kanak-kanak. Ia memberikan kanak-kanak satu sistem kepercayaan asas yang saling melengkapi aspek fizikal pertumbuhan, dan membawa kepada hubungan mesra dengan ibu bapa, serta memudahkan mereka menjalin hubungan dengan orang lain dan meluahkan emosi.

ASUHAN POSITIF

Adakah ini bermakna kita perlu menjadi ibu bapa yang sempurna bagi kanak-kanak? Pada realitinya, kita tidak dapat jadi orang yang sempurna. Walaupun kita meninggalkan kerjaya untuk menjadi ibu bapa sepenuh masa sekalipun, kita tidak boleh menjadi ibu bapa yang ‘sempurna’. Kita hanya boleh menjadi ibu bapa yang sebaik mungkin dengan asuhan yang seimbang. Kita akui pada hakikatnya, kita tidak sempurna tetapi cukup baik untuk ‘tugas’ ini.

Untuk menjadi ibu bapa yang baik, kita perlu arif dalam menangani kerenah kanak-kanak, cara melahirkan emosi dan cara memberi galakan kepada mereka. Sekali sekala kita perlu berhenti bercakap dan dengar apa yang ingin kanak-kanak katakan. Kita perlu ingat bahawa memberi pilihan dan hormat-menghormati adalah faktor-faktor penting dalam membina hubungan dengan kanak-kanak.

MENANGANI KERENAH

Kerenah yang tidak munasabah pada amnya adalah gambaran apa yang tersirat dalam hasrat jiwa si manja. Dia mungkin ingin menarik perhatian anda. Pada masa yang sama, kerenahnya juga adalah luahan rasa kecewa dan marah – sama ada kerana dia gagal melakukan sesuatu atau ingin membalas dendam kepada anda. Mungkin juga kerenahnya adalah satu cara perebutan kuasa, di mana si manja cuba menguji had kebebasan mereka daripada ibu bapa.

Apabila menangani kerenah, adalah satu amalan baik jika anda tidak menghiraukan sikap atau perangai buruk dan memberi perhatian kepada sikap baik dengan pujian atau hadiah kecil. Ibu bapa perlu sabar dan bertenang apabila berhadapan dengan kerenah yang mencabarkan bagi mengelak dari ledakan kemarahan. Jangan gunakan ugutan atau pun hukuman fizikal.

Apa juga cara yang anda lakukan, pastikan ianya kaedah yang konsisten. Tetapkan dengan jelas apakah perangai yang boleh dan tidak boleh diterima dan akibatnya. Ini akan menetapkan had bagi kerenah dan tingkah laku kanak-kanak. Namun begitu, sesetengah kerenah mungkin mempunyai sebab tertentu di sebaliknya dan sebagai ibu bapa yang prihatin, sesekali anda perlu mengenalpasti emosi yang tersembunyi dan bukan hanya kelakuannya semata-mata.

BERKOMUNIKASI DENGAN SI MANJA

Terangkan sesuatu dengan jelas dan tepat. Gunakan bahasa yang mudah difahami dan minta si manja ulang apa yang anda katakan. Elakkan sindiran atau kritikan, dan pastikan komunikasi emosi anda selari dengan ekspresi wajah anda bagi mengelakkan kekeliruan.

Satu bahagian yang penting di dalam proses komunikasi ialah berkongsi emosi. Sebagai contoh, kongsi perasaan dengan kanak-kanak menerusi ayat seperti “Tidak mengapa untuk menangis/ merasa sedih”; “Ibu merasa marah kerana kamu menyepahkan barang-barang”, “Ibu merasa gembira kerana kamu turut menolong mengemaskan ruang tamu”. Proses perkongsian ini akan membantu kanak-kanak berkomunikasi tentang emosi dengan lebih baik, dan membantu anda sebagai ibu bapa untuk meluahkan kasih sayang kepada kanak-kanak dengan lebih baik.

DENGAR APA YANG SI MANJA INGIN KATAKAN


Luangkan masa dengan kanak-kanak dengan melakukan perkara yang mereka suka. Cuba bermain dengan mereka sekerap mungkin. Namun begitu, jangan pula mengambil alih – biarkan si manja yang menentukan cara dan langkah semasa bermain. Bermain adalah salah satu cara kanak-kanak melahirkan emosi mereka.

Apabila berkomunikasi dengan kanak-kanak, gunakan soalan reflektif sebagai satu cara untuk memberikan anda petunjuk tentang apa yang sedang difikirkan oleh si manja. Contonya, katakan “Ibu tak pasti kenapa kamu meragam hari ini” dan bukannya “Berhenti meragam”. Kita juga boleh cuba mengagak apabila cuba membantu kanak-kanak meluahkan perasaan. Cuba berkata: “Kamu nampak sangat marah, adakah itu perasaan kamu sekarang?”

MEMBINA JATI DIRI
Jati diri adalah komponen penting dalam personaliti yang sihat. Berikan galakan kepada kanak-kanak. Gunakan galakan yang positif. Elakkan daripada berkata “Kamu tak boleh membuat apaapa dengan betulkah?” Sebaliknya, katakan “Itu satu cubaan yang baik.” Ia memberi implikasi yang besar kepada pembinaan jati diri si manja.

Anda mungkin ingin memberi kanak-kanak sedikit tanggungjawab di rumah. Anda haruslah bersabar dan biarkan si manja cuba menyiapkan kerjanya dengan sendiri. Anda boleh membantu, tetapi jangan buatkan atau selesaikan kerja untuknya. Harapan tentang keupayaan kanak-kanak haruslah realistik dan jangan sekali membandingkannya dengan kanak-kanak lain.

MEMBERI PILIHAN DAN HORMATMENGHORMATI

Memberi pilihan dan hormatmenghormati di dalam hubungan memupuk jati diri dan keyakinan. Begitu juga dengan si manja. Hormati mereka. Ini bermakna anda patut menghormati barangbarang kepunyaan kanak-kanak dan ruang peribadinya, dan jangan buang barang-barang permainan mereka yang lama tanpa memberitahu atau berbincang dengannya terlebih dahulu, atau membuat janji yang anda tahu anda tidak dapat tunaikan.

Satu cara untuk memupuk pilihan dan rasa hormat ialah dengan melibatkan kanak-kanak di dalam membuat sesetengah keputusan. Ini membuat mereka berasa dihargai dan dihormati kerana pendapat mereka didengar. Tetapi, pastikan kanak-kanak sedar bahawa keputusan tidak boleh dibuat secara sambil lewa tanpa memikirkannya terlebih dahulu – mereka perlu bertanggungjawab atas keputusan mereka.

Secara ringkasnya, apa yang kita perlu ingat ialah bina hubungan mesra dengan anak-anak sejak dari kecil kerana ini memberikan asas bagi hubungan yang saling percaya mempercayai ketika dewasa. Memanglah ia satu proses yang memerlukan kerjasama kedua-dua pihak, dan menuntut kesabaran dan kasih sayang yang tinggi daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu menjaga diri mereka juga. Walau pun kita sudah menjadi ibu bapa, kita hanya manusia biasa dan kehidupan kita penuh dengan pelbagai cabaran yang pahit dan manis. Ibu bapa mungkin turut merasa risau, tertekan, malah depresi, dan perlu menangani semua ini dengan baik supaya tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak terjejas.

Binalah hubungan yang erat dengan si manja seawal mungkin supaya ia memudah dan melicinkan tanggungjawab ibu bapa di masa hadapan. Anda tidak perlu mencuba bersusah payah untuk menjadi ibu bapa yang sempurna; ibu bapa yang positif dan sebaik mungkin sudah memadai

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers