Monday, July 11, 2011

Sejarah Kota Ngah Ibrahim

Ngah Ibrahim merupakan seorang pembesar Melayu yang menjadi penentang dalam campur tangan British di dalam pentadbiran negeri Perak. Dia dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan bersama-sama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin telah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Ngah Ibrahim mati di Singapura dalam tahun 1895.

Sejarah


Nama penuh dan gelaran kebesarannya ialah Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar. Ngah Ibrahim merupakan anak kepada Long Jaafar yang dijadikan Orang Besar Jajahan dengan gelaran Orang Kaya Menteri. Gelaran ini diberikan oleh Sultan Abdullah Mohammad Shah. Long Jaafar juga diberikan kuasa untuk membangunkan daerah Larut. Setelah Long Jaafar meninggal dunia dalam tahun 1857, gelaran dan kuasanya diturunkan kepada Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim mempunyai 3 orang isteri. Isterinya yang pertama adalah anak kepada Laksamana Mohamad Amin.

Ngah Ibrahim membangunkan sebuah kota, yang kini dipanggil Kota Ngah Ibrahim di Matang yang menjadi pusat pentadbirannya. Ngah Ibrahim merupakan Orang Kaya Jajahan, dan mempunyai visi meluas untuk memajukan daerah Larut Matang. Dalam tahun 1872, Ngah Ibrahim telah menggajikan Kapten Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di dalam wilayahnya. Untuk mengerjakan lombong bijih, Ngah Ibrahim mendapatkan perkhidmatan Kapitan Cina yang membawa kuli dari Negeri China.

Disebabkan wilayah Larut menjadi Anugerah Sultan kepada Long Jaafar dan keturunannya, kekayaan Larut tidak dikongsi bersama dengan Kerajaan Perak. Ngah Ibrahim membina sebuah kota di Matang dipanggil Kota Ngah Ibrahim. Di dalam kota tersebut, Ngah Ibrahim membina sebuah rumah besar (kini menjadi bangunan Muzium Matang). Ngah Ibrahim mengadakan sistem pentadbiran moden di wilayah Larut dan mempunyai pasukan polisnya sendiri, dan mempunyai seorang hakim untuk mengadili kes-kes tuntutan, seorang majistret dan juga Bendahari untuk memungut cukai dan mentadbir kewangan wilayah.

Ketegangan juga berlaku kerana wujud kejadian-kejadian yang dicetuskan oleh imigran-imigran China yang semakin ramai. Ini menyukarkan Ngah Ibrahim untuk mengawal keadaan. Untuk mengatasi masalah ini, beliau menubuhkan Pasukan Polis yang dianggotai oleh 40 orang Melayu. Akan tetapi Pasukan Polis ini gagal mengawal kekacauan-kekacauan dan kegiatan kongsi gelap yang dicetuskan oleh orang Cina.

Ngah Ibrahim tahu ia perlu menguatkan pasukan polisnya. Pasukan polis yang diwujudkan oleh Kapten Tristam Speedy dalam tahun 1873 terdiri dari 110 orang anggota Sikh yang diambil dari wilayah Patiala, Ludhiana dan Ferozepur di Punjab, India untuk menjadi Sepoi. Mereka dilengkapkan dengan senapang dan pistol, dan mempunyai 4 laras meriam Krupps.

Sumber: larutmatang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers