Monday, August 8, 2011

Elak Jual Akhirat Kerana Beli Dunia



LUQMAN Al-Hakim sentiasa memberikan kata-kata berguna kepada anaknya supaya dia berfikir dan mendalami maksud nasihat itu.Contohnya, beliau mahu anaknya tidak terlalu menerima bulat-bulat kebaikan seseorang kepadanya.
Mungkin, bimbang ada udang di sebalik batu di atas kebaikan itu. Katanya: “Hai anakku! Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada segala kejahatan manusia dan berhati-hatilah engkau daripada segala kebaikan mereka.

“Jauhilah diri daripada musuhmu serta berhati-hati dengan kawanmu dan janganlah engkau menghalang sesuatu yang tidak berkaitan denganmu.”

Pada maksud yang hampir sama, katanya: “Dan janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang akan memperdayakanmu dan orang yang keji perangainya kerana jika dia membalas permintaanmu itu, balasannya berupa keaiban buatmu. Dan sekiranya dia menunaikan hajatmu itu, ia hanya untuk kebanggaan (dirinya).

“Janganlah engkau meminta maaf kepada orang yang tidak suka melihat engkau memperoleh kemaafan.
Janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang tidak suka melihat engkau mencapai kemahuanmu.”

Kebijaksanaan Luqman dalam memberikan nasihat turut dilihat apabila berkata: “Barang siapa yang bercerita kepada orang yang tidak mendengar akan percakapannya, ia seumpama orang yang membawa harta bendanya kepada ahli kubur.

“Hai anakku! Utuslah seorang yang bijaksana dan berwasiat padanya. Utuslah seorang yang bijaksana dan jangan pula engkau berwasiat (lagi) padanya.”

Kita hendaklah berhati-hati ketika memberi nasihat atau meluahkan sesuatu perkara kepada seseorang.
Biarlah nasihat itu didengar dan diikuti oleh orang itu. Jika memberi nasihat kepada mereka yang enggan mendengarnya, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Luqman ketika menasihatkan anaknya supaya tidak terlalu mementingkan dunia berkata: “Jual duniamu untuk membeli akhiratmu, nescaya engkau akan untung keduaduanya sekali. Jangan sesekali engkau menjual akhiratmu semata-mata untuk membeli duniamu kerana itu menjadikanmu rugi kedua-duanya.”

Diriwayatkan, bahawa beliau berkata kepada anaknya: “Hai anakku! Aku akan memberikan rahsia padamu dengan dua perkara, apabila engkau berpegang dengan kedua-duanya engkau akan sentiasa dalam kebaikan: Setiap dirhammu (hartamu) untuk kehidupanmu (di atas dunia) dan agamamu untuk (bekalanmu) di hari akhirat.”

Luqman berkata lagi kepada anaknya: “Jangan engkau condong kepada dunia serta jangan hatimu (memikirkan) mengenainya. “Engkau tidak diciptakan untuk memikirkan hal keduniaan, sedangkan tidak ada ciptaan Allah yang lebih hina daripadanya.

Oleh: paktam
Sumber: http://www.detikdaily.net/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers