Saturday, November 19, 2011

Penjelasan Tentang Kiamat


FIRMAN Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu? Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu? Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan Hari Kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Adapun kaum 'Ad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum 'Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka. Dan telah datang Firaun dan orang-orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang dijungkir balikkan kerana kesalahan yang besar. Maka (masing-masing) mereka menderhakai Rasul Tuhan mereka, lalu Allah menyiksa mereka dengan seksaan yang sangat keras. Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera. Agar kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar. (al-Haqqah: 1-12)


Surah ini diturunkan selepas surah al-Mulk. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
  • Dalam surah Nun ada disebutkan tentang hari kiamat secara umum. Dalam surah ini pula diterangkan berita tentang kiamat secara terperinci.
  • Dalam surah yang lepas ada diceritakan tentang pendustaan terhadap al-Quran dan ancamannya sedangkan surah ini disebutkan pula keadaan umat yang mendustakan para rasul dan apa yang berlaku kepada mereka. Ini supaya para pendusta yang sezaman dengan Nabi SAW tidak lagi mendustakannya.
Firman Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu?

Ibn Kathir berkata: Al-Haqqah adalah salah satu daripada nama-nama hari kiamat. Ini kerana berlaku tahqiq kepadanya janji baik dan buruk. Atas asas inilah Allah membesarkan hal dan hari tersebut.

Al-Maghari berkata: Perbincangan ini bagi menunjukkan tujuan sebenar yang mahu disampaikan. Apakah keadaan dan sifatnya masih tidak lengkap serta hakikatnya masih belum dapat digambarkan?

Selanjutnya Allah SWT menjelaskan lagi betapa dahsyatnya peristiwa kiamat, keadaannya yang huru-hara dan betapa ngerinya.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

Al-Farra' berkata: Sesungguhnya disebut haqqah kerana padanya semua perkara akan dihitung.

Al-Zajjaj pula berkata: Dinamakan haqqah kerana setiap orang akan mendapat balasan amalannya sama ada baik atau buruk.

Syed Qutub berkata: Kiamat dengan pemandangan dan peristiwa memenuhi ruang pembicaraan yang terbanyak dalam surah ini kerana ia dimulakan dengan nama kiamat iaitu al-Haqqah.

Ia adalah perkataan yang dipilih khusus kerana nadanya dan ertinya yang membayangkan kesungguhan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Ia bermaksud hari kiamat yang tetap dan pasti berlaku atau hukuman ke atas manusia dan pernyataan kebenaran. Semuanya mengandungi makna yang tersendiri.

Perkataan al-Haqqah seperti yang telah dijelaskan mempunyai makna yang tertentu. Ia melahirkan suasana hebat di samping membayangkan balasan kepada orang yang mendustakan agama dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan hari kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Ibn Abbas berkata: Perkataan qari'ah memberi maksud nama daripada nama-nama hari kiamat.

Muqatil berkata: Ini kerana Allah menetapkan hukuman kepada musuh-musuhnya dengan azab.

Ibn Qutaibah berkata: Qari'ah merupakan hari kiamat kerana ia menggerunkan.

Sedangkan perkataan taghiah pula ada beberapa tafsiran:
  • Kerana mereka melampau dan kufur. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
  • Iaitu dengan tempikan taghiah (yang kuat). Inilah pendapat Qatadah. Ini kerana ia melebihi daripada kadar sorakan biasa. Justeru, dapat membinasakan dengan bunyi yang amat kuat.
  • Iaitu yang menyembelih unta. Inilah pendapat Ibn Zaid.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers