Wednesday, November 16, 2011

Sedia persekitaran inklusif


Melalui kaedah pengajaran yang tepat dan dengan program sokongan yang betul, kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh belajar bersama-sama dengan murid normal dalam satu bilik darjah.

Pengasas dan Pengetua Children's World, Anne Sivanathan berkata, sebenarnya tiada masalah untuk mengajar mereka dalam satu kelas yang sama kerana kanak-kanak yang dikategorikan sebagai berkeperluan khas datang dari spektrum yang luas seperti ketidakupayaan pembelajaran, lembap dan masalah perilaku disebabkan trauma fizikal.

"Kanak-kanak dengan ketidakupayaan pembelajaran adalah sukar untuk diintegrasikan dengan pelajar-pelajar lain di sekolah biasa kerana pelbagai faktor," katanya pada Persidangan Kebangsaan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faktor pertama, katanya, ialah disebabkan kekurangan pengasuh yang mempunyai ilmu dalam mendiagnosis ketidakupayaan seseorang murid.

"Dalam sistem pendidikan masa kini, para pengajar terutamanya guru-guru mempunyai pengetahuan yang terhad tentang ketidakupayaan pembelajaran serta perkara yang berkaitan.

"Ramai di antara para pengajar ini tidak berupaya mengesan kanak-kanak berkeperluan khas dalam bilik darjah seterusnya membantutkan usaha untuk membantu mereka dengan cara yang lebih bermanfaat," jelasnya.

Menurutnya lagi, kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jelas dan besar sememangnya mudah untuk dikesan namun adalah amat sukar untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai kekurangan upaya sederhana serta kecil terutamanya pada usia muda mereka.

Faktor kedua ialah disebabkan kekurangan kesinambungan yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk berjaya dalam programberbentuk individu (Individualized Program) yang disediakan oleh pakar.

"Secara teorinya, kanak-kanak yang mengidap autisme hanya dapat dikenal pasti ketika dia berumur tiga tahun. Secara praktikalnya pula, diagnosis hanya dibuat pada umur empat hingga lima tahun.

"Bila kanak-kanak didiagnosis dengan keperluan khas, terdapat ramai pakar dari pusat-pusat berbeza yang terlibat dalam mengikuti kemajuan kanak-kanak tersebut, contohnya terapi pekerjaan, patologi pertuturan, pakar-pakar pemakanan, psiko pendidikan dan lain-lain," terang beliau.

Manakala faktor ketiga pula ialah disebabkan kurangnya dana untuk penjagaan harian.

"Ibu bapa biasanya dibebankan dengan kos perubatan yang mahal serta bantuan kemudahan jagaan harian hanya mampu menampung sekitar satu hingga dua jam sahaja setiap hari untuk kakitangan sokongan," katanya.

Anne berkata, faktor keempat ialah disebabkan oleh kekurangan minat khususnya di kalangan guru-guru berkaliber untuk bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

"Selain itu, ia juga disebabkan oleh jumlah kegagalan yang besar dalam proses meningkatkan perkembangan di kalangan kanak-kanak berkenaan," ujarnya.

Hal ini kerana setiap kanak-kanak berbeza dari segi ketidakupayaan mereka.

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers