Wednesday, October 24, 2012

Waspada Pesona Harta

berhati-hatilah dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. - Gambar hiasan

HARTA adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana kurniaan dan anugerah yang lain, harta yang diperoleh oleh seseorang itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT.

Walaupun harta tersebut berada dalam pemilikan kita, namun ia bukanlah bermakna harta tersebut boleh digunakan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Ia bukanlah milik mutlak yang mendatangkan kebebasan kepada kita untuk mendapatkannya dan membelanjakannya mengikut kehendak hati tanpa adanya pertimbangan dustur Ilahi.

Mengetahui sifat manusia yang sangat cintakan harta, maka Allah SWT membenarkan aktiviti atau kegiatan perolehan harta dan perbelanjaannya. Akan tetapi, ia tidak terhenti setakat itu sahaja.

Di samping kebenaran memanfaatkan harta, Allah SWT mendatangkan beberapa sekatan dan batasan agar manusia dapat menggunakan harta tanpa membinasakan dirinya dan tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia yang lain.

Oleh yang demikian, dalam kita mencari dan membelanjakan harta, kita tidak harus sama sekali membelakangi wahyu Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. (rujuk al-Munafiqun: 9)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperoleh harta. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka.

Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut. Golongan pertama, harta boleh melalaikan manusia dalam konteks hubungan dengan Allah SWT. Golongan yang pertama ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah menyibukkan dirinya mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

Ada di kalangan mereka yang meremeh-temehkan solat sehingga sanggup mengerjakannya di akhir waktu dengan alasan perlu mendahulukan janji temu dengan pelanggan dan sebagainya. Sebahagiannya terlepas waktu solat kerana asyik bermesyuarat atau sibuk melayan pelanggan sehingga luput waktu solat.

Sebahagiannya pula ada yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana meraikan hari jadi pelanggan di kelab-kelab sehingga terlepas solat Subuh kerana badan yang terlalu letih.

Ada pula yang asyik menangguhkan amalan fardu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji. Namun, berkali-kali haji ditangguhkan kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji.

Apabila mereka sudah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka bukan sahaja hati mereka tidak tenteram, bahkan rumah-rumah mereka tidak damai dan harmoni kerana sunyi daripada ingatan dan zikir kepada Allah SWT. (rujuk an-Nur: 37)

Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dalam konteks hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya kepada harta orang lain.

Nabi SAW bersabda: Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (riwayat Muslim)

Golongan ini juga melupakan tanggungjawab terhadap manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Lalu mereka enggan untuk membayar zakat dan memberi sumbangan kepada fakir miskin kerana ia dianggap sebagai kerugian besar.

Sedangkan Nabi SAW telah memberikan jaminan bahawa harta yang disedekahkan dan didermakan akan mendatangkan keberkatan kepada kehidupan si pemberi.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang sanggup untuk memberikan sumbangan hartanya pada jalan Allah SWT sebenarnya telah berjaya melalui satu ujian dalam kehidupannya.

Hakikatnya, Allah SWT menjadikan kemiskinan untuk menguji si miskin, sama ada reda dan sabar dengan ketentuan-Nya itu. Si miskin juga akan diuji, sama ada dia sanggup mencari pendapatan yang haram untuk mengatasi kemiskinannya.

Allah SWT juga mencipta kekayaan kerana ingin menguji si kaya adakah dia bersyukur dan membantu si miskin.

Lantaran itu, Allah SWT berfirman: Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)

Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dalam konteks dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala sudut. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk akan status dan kekayaan mereka. (rujuk al-Taghabun: 16)

Kesimpulannya, terdapat tiga ancaman harta kepada kita iaitu dalam konteks hubungan dengan Allah SWT, hubungan dengan manusia yang lain dan terhadap diri sendiri. Marilah sama-sama kita menjaga diri agar tidak termasuk dalam mana-mana kelompok ini. Berwaspada agar diri tidak terlalu terpesona dengan harta sehingga kelalaian itu makin meningkat dan akhirnya menyesal apabila maut menjelang tiba.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Miskin Hati, Iman Lebih Parah Daripada Tiada Harta


ILMU dapat mengubah hidup masyarakat miskin. 

Ilmu pengetahuan boleh ubah hidup masyarakat, harta

MANUSIA mempunyai dua tugas utama sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Bagaimanapun, Allah SWT dengan kasih sayangnya tidak membiarkan hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terbeban dengan cara mengurniakan panduan penting iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Manusia harus ada Allah SWT dan Rasul dalam hatinya yang menjadi kekuatan dalam kehidupan. Adanya Allah dan Rasul, maka tidak akan ada lagi kebejatan sosial, kepincangan politik dan kemelesetan ekonomi.

Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta

Islam menekankan kejayaan dunia hingga akhirat dan kerana itu Islam menyediakan panduan berkaitan setiap aspek urusan supaya umat dapat menggunakannya sebaik mungkin termasuklah dalam soal mengurus kemiskinan.

Kemiskinan sering dilihat sebagai keadaan yang menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak. Kemiskinan mampu memberikan pulangan positif kepada kesaksamaan dari sudut kestabilan ekonomi.

Bayangkan jika semua kaya, apa akan jadi pada sebuah negara? Sudah tentu berlaku lambakan duit yang menyebabkan inflasi dan nilai wang itu akan menjadi rendah. Inflasi juga menyebabkan barangan asasi menjadi mahal dan boleh terjadi untuk membeli sebuku roti memerlukan segenggam duit kertas.

Bagaimanapun, mustahil sebuah negara itu dihuni oleh semua masyarakatnya yang miskin. Secara logiknya, jika ada orang miskin sudah tentu ada orang kaya. Malaysia mempunyai paras kemiskinan yang tertentu berbanding negara lain.
Gaji minimum ditetapkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah RM1,500, dan mereka yang berada di bawah paras itu dianggap miskin. Maka, istilah kemiskinan itu subjektif dan tidak boleh diukur hanya melihat kepada pendapatan saja.

Kemungkinan, gaji bulanan hanya RM1,000, tetapi mereka mempunyai punca pendapatan lain daripada hasil perniagaan sambilan menjadikan hasil pendapatan bulanan mencecah jumlah RM2,500.

Pengamalan ideologi kapitalis, harta cenderung bertumpu kepada golongan yang kaya, manakala orang miskin cenderung menjadi lebih miskin. Maka, kemiskinan tidak dapat dihapuskan.

Bagaimana cara untuk mengurangi kadar kemiskinan? Ada pandangan mengatakan kemiskinan bukanlah suatu masalah perlu ditangani dengan memberikan wang ringgit sebagai keperluan peribadi semata-mata, tetapi ia berhubung kait dengan isu (qalbi) atau hati.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan itu, mereka menjadi orang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar. (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 46).

Kemiskinan bukanlah penghalang utama kepada kemajuan negara, tetapi kemiskinan perlu diolah mengikut situasi semasa. Kadang-kadang kemiskinan mampu memberi ketenangan berbanding hidup dalam kekayaan.

Kemunduran sesebuah negara berlaku apabila adanya masyarakat yang bukan saja miskin dari segi harta, bahkan miskin dari segi hati dan keimanan. Inilah yang dinamakan miskin, miskin dan miskin. Namun, tidak dinafikan kemiskinan boleh melambatkan kemajuan negara.

Apabila malas telah menguasai diri, ia akan merebak kepada sifat mazmumah yang lain. Malas boleh menjadi punca kepada jenayah lebih besar seperti dadah, judi dan lain-lain. Malas juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga kerana apabila malas bekerja sudah tentu tiada wang.

Kemiskinan selalunya berpunca daripada kemiskinan ilmu pengetahuan. Ketiadaan ilmu, masyarakat mudah tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ketiadaan ilmu juga boleh menyebabkan masyarakat terpinggir daripada arus kemodenan seterusnya menjadi penat dalam mengejar kemajuan.

Sebenarnya bukan semua orang bernasib baik menjadi kaya dengan hanya berniaga. Ramai juga yang kecundang. Walaupun begitu, dengan adanya ilmu kita tidak akan mudah jatuh miskin.

Saidina Ali berkata: “Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta.”

Namun, untuk memastikan ilmu itu tidak menjadi sia-sia semestinya kemajuan negara haruslah dibina ke arah kebaikan bukan dibina ke arah kemungkaran. Itulah jalan yang mampu menyelesaikan masalah miskin, miskin dan miskin.

Berdasarkan zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz, tidak ada orang yang ingin menerima zakat. Hal itu bukan kerana kemiskinan sudah tidak wujud, tetapi disebabkan rasa malu untuk menerima zakat. Ia lahir daripada hati yang bersifat qanaah iaitu berasakan cukup.

Kemiskinan bukan hanya disebabkan kekurangan harta semata-mata, tetapi sebenarnya disebabkan kemiskinan iman dan takwa kepada Allah SWT. Apabila jiwa kaya automatik harta akan meningkat disebabkan iman dan takwa mampu meningkatkan kesungguhan untuk bekerja.

Oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Tuesday, October 16, 2012

Malas Beribadat, Lengah Solat Antara Tanda Kecil Golongan Munafik


GOLONGAN munafik memperlihatkan diri mereka seolah-olah mengaku bertuhankan Allah tetapi dari segi perbuatan, fikiran dan tindakan, bercanggah dengan perintah Allah. Nabi Muhammad SAW pernah memohon Allah mengampunkan golongan ini tetapi Allah tidak ampunkan.

Munafik akidah membezakan seorang Islam dengan orang kafir, munafik perangai memperlihatkan kebaikan di depan orang tetapi di belakang tidak sama, manakala munafik amalan, nampak warak di depan orang tetapi apabila tiada mata memandang, hilang warak. Penceramah bebas, Dr. Syafawi Che Mat, berkata umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak tergolong dalam kumpulan munafik yang berpura-pura mengikuti ajaran Islam tetapi tidak menjiwai kebenaran itu di dalam hati.

Katanya, tanda kecil munafik ialah malas beribadat, lupa kepada Allah, melengahkan solat fardu, mempercepatkan solat, meninggalkan solat jemaah, menyuruh kemungkaran dan melarang yang makruf.

“Malas beribadat bukan malas menunaikan solat kerana enggan mencari ilmu pengetahuan, tidak gemar menghadiri majlis ilmu atau pergi ke majlis kebajikan juga bermakna malas beribadat. Enggan berada di saf hadapan solat jemaah termasuk tanda kecil munafik.

“Paling ketara ialah sikap suka menunjuk-nunjuk, depan orang buat betul-betul tetapi orang tiada, buat ala kadar saja,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Tanda-tanda Munafik’ pada majlis ceramah bulanan di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, baru-baru ini.

Beliau berkata, banyak perkara dalam kehidupan seharian jika tidak dijaga boleh menjuruskan seseorang kepada amalan munafik seperti lupa kepada Allah semasa se-nang, apatah lagi ketika berhadapan kesusahan.

Umat Islam perlu sentiasa mengingati Allah tidak kira masa dengan mensyukuri nikmat-Nya apabila dikurnia rezeki dan bermohon kepada-Nya, jika didatangkan dugaan atau kesusahan.

Dr Syafawi berkata, selain syaitan yang berjanji akan menyesatkan umat manusia, orang Islam perlu tahu keutamaan dan memastikan ia dipelihara supaya dapat melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dan memenuhi tuntutan kehidupan dunia.

Katanya, ramai yang bersolat tetapi masih lalai dengan melengahkan ibadat wajib itu hingga di penghujung waktu atau mempercepatkan solat menyebabkan tidak menjaga rukun serta bacaan dalam sembahyang.

“Nabi Muhammad berpesan jika hendak jumpa Allah di akhirat nanti perlu jaga solat. Sekarang ini jadi kebiasaan menjamakkan solat iaitu solat Zuhur pada hujung waktu nak masuk Asar diikuti solat Asar. Ini yang dikatakan jamak solat yang tidak jamak,” katanya.

Selain itu katanya, ciri mengenai sifat munafik jelas dapat dilihat melalui hadis Nabi Muhammad yang memberi ingatan supaya manusia tidak menjadi orang munafik yang ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Monday, October 15, 2012

Nabi sedih umat cuai solat

Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan solat sunat yang lainnya. Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat adalah cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi.

 Cuai kerana urusan dunia

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang yang beriman."(An-Nisa : 103).

Abu Hurairah RA meriwayatkan: "Selepas Isyak aku bersama Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan. Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah...andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah...aku sungguh menyesali umatku."

Rasulullah menangis

“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?" tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”

“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”

“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad, Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata, bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).

“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”

“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat (hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).

Abu Darda' berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua amalnya akan ditolak.

Perintah ahli keluarga bersolat

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”

“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah kafir." (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda'). Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Wednesday, October 3, 2012

Cara Serikan Wajah & Langsingkan Tubuh Selepas Bersalin




Pun begitu, wanita yang sedang berbadan dua tidak lepas daripada mengalami perubahan terutama pada bentuk badan. Antara lain adalah, tubuh tidak lagi langsing, kulit wajah menjadi kusam serta tidak mulus dan beberapa masalah yang menjadi keluhan wanita sedang hamil. Perubahan hormon antara penyebab kenapa masalah ini sering kali menimpa setiap wanita yang sedang berbadan dua. Bahkan, sedikit sebanyak membuatkan seseorang itu berasa kurang selesa dengan penampilan dan ingin kembali menawan seperti sebelum hamil.
.
Stretch Mark

Stretch mark adalah garis-garis berwarna merah muda yang muncul pada kulit. Lama kelamaan, garis merah ini akan berubah menjadi garis berwarna putih. Stretch mark muncul kerana kulit mengalami peregangan dan elastis kulit tidak memadai menangani peregangan yang terjadi. Akibatnya, kulit seperti pecah dan timbul garis-garis atau guratan tersebut. Sebahagian besar wanita hamil, stretch mark tidak dapat dielakkan. Biasanya muncul saat usia kehamilan 4-5 bulan. Semasa peregangan terjadi, kemunculan stretch mark ini biasanya disertai rasa gatal

Pun begitu, jika seseorang memiliki kulit yang anjal, kemungkinan saat hamil dan setelah kelahiran tidak akan terjadi stretch mark. Biasanya, ini bersifat genetik. Jika ibu anda tidak mengalami stretch mark, mungkin anda juga akan terhindar daripada masalah ini.

Untuk mencegahnya, gunakan krim anti stretch mark yang mengandungi pelembap tinggi sedari awal kehamilan. Hindari juga penambahan berat badan yang keterlaluan sepanjang tempoh kehamilan. Pun begitu, anda harus ingat kemunculan stretch mark juga bergantung pada tingkat kekenyalan kulit seseorang. Stretch mark boleh berlaku biarpun anda sudah melahirkan bayi.

Mask Of Pregnancy

Wanita yang sedang hamil turut mengalami mask of pregnancy, di mana warna kulit wajah tidak sama terutama di bahagian dahi dan pipi serta warna yang lebih gelap pada lipatan-lipatan. Untuk mencegahnya, gunakan krim yang mengandungi 15 SPF. Hindari terdedah atau berada di bawah sinaran matahari dalam tempoh yang lama.

Jerawat dan kelemumur Meningkatnya produksi hormon progesteronsecara tidak langsung akan meningkatkan pengeluaran minyak sehingga menyebabkan kulit wajah dan kepala berminyak. Akibatnya, jerawat dan kelemumur menjadi masalah yang dialami sepanjang anda hamil.

Untuk mencegahnya, cuci muka lebih kerap daripada biasa, tetapi jangan terlalu kerap sehingga menyebabkan kulit kering. Untuk mencegah kelemumur, cuci rambut dengan lebih kerap dari biasa.

Kegemukan

Penambahan berat badan memang sepatutnya terjadi ketika kehamilan kerana janin dalam kandungan semakin hari semakin membesar. Namun, jika selepas melahirkan berat badan anda masih tidak turun, anda harus melakukan diet dan senaman. Pun begitu tidak boleh keterlaluan terutama bagi wanita yang menyusukan anak. Apa yang penting, anda harus mendisiplinkan diri bagi memastikan kalori dalam tubuh seimbang dengan apa yang dikeluarkan.

Diet yang baik adalah jumlah pengambilan makanan, jenis makanan, dan jadual makan. Selain itu, perhatikan jenis makanan terutama bagi anda yang menyusu bayi. Pastikan susu yang dihasilkan mengandungi khasiat yang baik untuk bayi. Justeru, pilih jenis makanan yang
tepat seperti sayur dan buah yang kaya dengan serat, karbohidrat kompleks, protein rendah lemak dan perbanyakan minum air putih.

Sebaik-baiknya, anda mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Melalui kaedah ini, anda tidak perlu terseksa menahan lapar dan juga akan membantu proses pembakaran agar dapat berlangsung dengan maksima. Yang penting anda tidak lupa untuk bersenam. Mulailah dengan senaman ringan seperti joging atau mengayuh basikal di rumah. Setelah tubuh kembali pulih daripada luka bersalin, barulah anda menambah kaedah senaman. Diet cara yang tepat disertai dengan senaman adalah cara yang sihat untuk tubuh dapat kembali langsing.

Sumber: http://www.mingguanwanita.com.my/

Karekter Isteri Dimata Suami


Cabaran sebenar setiap wanita adalah selepas bergelar isteri dan ibu. Namun sayangnya ramai wanitayang lupa perasaan sebenar mereka setelah mendirikan rumahtangga. Setelah berkahwin ramai yang sudah lupa bagaimana untuk memikat hati suamitermasuk dari segi penampilan,budi bahasa,rasa hormat dan banyak lagi..

CIRI-CIRI ISTERI DAMBAAN SUAMI.

Akur pada suami.Sentiasa jujur,ikhlas dan taat pada suami.

Berkelakuan baik terhadap suami.Jangan menyakiti hati suami dengan tingkahlaku,bahasa ataupun tindakan.Sebaliknya menjadi isteri yang 'melegakan; setiap kali suami pulang kerumah.Jangan sampai suami menderita makan hati dalam diam.

Jangan bebankan suami.

Ada isteri terlalu demand,meminta itu dan ini sehingga suami pening kepala untuk memenuhi kehendak dan impian isteri.Jangan sampai suami terpaksa menerima rasuah atau salah guna kuasa semata-mata ingin memenuhi permintaan isteri.

Sentiasa bersolek untuk suami.Ramai isteri tidak suka bersolek dirumah malah ada yg kelihatan selekeh.Ada isteri yang merasakan mereka sudah tua dan tak perlu bersolek hatta mengenakan sedikit gincu untuk kelihatan cantik dimata suami.Sedangkan menjadi lumrah lelaki sukakan kecantikan terutama melihat seorang wanita yang menawan.Walaupun suami tidak pernah bersungut tetapi hakikatnya mereka suka melihat jika isteri bersolek seadanya agar sentiasa kelihatan manis dan menarik.Sbolehnya,ubah imej ikut citarasa suami.

Suka sanggah dan menolak permintaan suami.Jangan biar malaikat melaknat isteri yang menderhaka atau menyanggah cakap suami.

Sentiasa mengingatkan dan berpesan pada suami dalam apa jua perkara.

Perlu ada rasa takut dan hormat pada suami.Ia dapat elak daripada buat perkara tidak baik.

Jangan membelakangkan suami.Mesti minta izin suami terlebih dahulu walaupun tahu suami tidak marah.Ia sebagai cara menghormati suami.Biarpun perkara kecil setiap isteri perlu menjaga hati suami.

Jaga harta suami.Ia adalh amanah dan sesekali menyalahgunakan untuk kepentingan sendiri.

Isteri kena minta maaf segera jika buat salah atau menderhaka pada suami.Jadikan ia amalan biasa dan jangan sesekali lengahkan,buat tidak tahu ataupun tunggu Hari Raya untuk minta maaf.Sesungguhnya isteri sebegini sentiasa dilaknat para malaikat.

Solat bersama suami.Jangan hanya tunggu ada masalah,sebaliknya jadikan ia amalan harian untuk merapatkan hubungan dan mengelakkan menderhaka kepada suami.

Jangan perkecilkan pemberian suami biarpun tidak seberapa.Sebaliknya kena berterimakasih dan hormati dirinya sebagai suami terutama bagi isteri yang berkedudukan dan berkerjaya tinggi.

Perlu bermuka manis dan senyum pada suami.Isteri sedemikian akan dimuliakan diakhirat.

Pandang muka suami bila bercakap.Lihat dan renung dengan penuh kasihsayang.Ia lebih dekat dihati.Bukan bercakap membelakangkan atau sambil buat kerja.

Jangan bawa virus pergaduhan dalam rumahtangga.Jangan biar suami berubah hati dan mencari wanita lain.Awas!punca suami kahwin lain ialah kerana ada benda yang tidak ada pada isteri.

Jangan terlalu kongkong suami.Beri kebebasan dengan batasan yang wajar,jangan terlalu prasangka sampai asyik telefon bertanya suami dimana,sentiasa bertekak,check telefon suami sehingga suami tiada privasi.

Urut badan suami selepas balik kerja.Walaupun penat tetapi satu-satunya cara memikat suami ialah dengan memberi sentuhan pada suami.

Jaga makan minum.Guna ayat-ayat al Quran dan bukanya bomoh untuk menambat hati suami.Ingatlah doa adalah lebih mujarab.Hulurkn segelas air setiap kali suami pulang dari kerja.

ITULAH ANTARA CIRI-CIRI YANG ADA AGAR INGIN SENTIASA DISAYANGI DAN DICINTAI SUAMI.

(Dipetik dari majalah Harmoni m/s 56.oleh Rahaiza Ismail)
Sumber: http://nasihat-ibu.blogspot.com/

8 Cara Menjadi Isteri Dambaan Suami


Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri menuntut waktu kerja 24jam sehari dan 7 hari seminggu. Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.

Sebagai seorang suami, ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.

1. Isteri yang cerdik
Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!

2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga

Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

3. Manager dalam segala hal

Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

4. Selalu di belakang suami

Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

5. Menjaga perut suami dan anak-anak

Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

6. Pandai jaga diri

Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

7. Perunding imej

Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus
imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

8. Menjaga keluarga mertua

Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.

Sumber: http://www.fitrahpower.com/

Maut demi cantik


SITUASI PERTAMA: Masliana (bukan nama sebenar), mempunyai berat badan dalam lingkungan 40 kilogram dan mahu kekalkan berat badan itu.

Merasakan nasi penyebab utama kepada 'kegemukan', andai 'termakan' menu ruji itu, akan menyebabkan Masliana terus menuju ke biliknya untuk bersenam sehinggalah berasa puas.

SITUASI KEDUA: Impian sejak kecil untuk menjadi model menyebabkan Farina (bukan nama sebenar) sentiasa menjaga penampilan, melihat cermin, menimbang berat badan dan merungut sekiranya berat badan naik sedikit.

Walhal, tambahan berat badan itu tidaklah sebanyak mana, namun ia tetap menghantui Farina. Merasakan dirinya 'gemuk', dia mula mengelak makan malam atas alasan: "saya tidak lapar."

Alasan dan senario sebegini, bukanlah baru dalam kalangan wanita muda bekerjaya serta remaja perempuan yang mula meningkat dewasa. Apa sahaja berkaitan kecantikan, semua dijadikan keutamaan.

Tidak salah untuk kelihatan anggun. Namun, bertindak sebaliknya dengan merasakan diri berhadapan masalah berat badan, biarpun hakikat sebenarnya tidak sepertimana yang difikirkan adalah tidak boleh dipandang ringan.

Ini sekali gus menunjukkan budaya pemakanan dan diet seimbang dalam masyarakat negara ini masih dipandang ringan, hanya semata-mata mahu kelihatan kurus serta cantik.

Dirujuk sebagai masalah 'imej badan', golongan wanita dikenal pasti lebih cenderung menghadapi masalah ini berbanding lelaki.

Mulanya tidak mahu mengambil sarapan pagi, kemudian tengah hari dan seterusnya malam. Ada segelintir wanita yang berhadapan dengan masalah psikologi ini berasa puas sekadar mengisi perutnya dengan sebiji epal. Semuanya kerana satu - mahu kurus.

Bagi mereka, seseorang wanita itu akan kelihatan cantik sekiranya memiliki bentuk badan persis model. Disebabkan itulah, ramai sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan potongan badan menawan, termasuklah melakukan pembedahan.

Cantik selalunya merujuk kepada bentuk badan kurus atau langsing selain daripada paras rupa menawan. Ini menyebabkan kebanyakan wanita terlalu mengambil berat perihal berat badan mereka.

Walhal, konsep kecantikan itu sebenarnya luas pemahamannya. Tidak sekadar berlandaskan pemikiran sempit itu sahaja.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong, di sebalik pengaruh gemerlapan bintang fesyen dan hiburan, masalah obesiti turut dikenal pasti menyumbang kepada pencarian imej tubuh unggul dalam kalangan wanita.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar peningkatan obesiti di negara adalah daripada 14 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada 2011. Ini menyebabkan ada antara wanita terlalu takut dilabelkan golongan 'obes' sehingga menjaga pemakanan secara keterlaluan.

"Apabila bercerita mengenai obesiti, saya harus berhati-hati kerana ada kemungkinan orang salah faham. Mereka jadi terlalu takut sehingga tidak mahu makan, sentiasa amalkan diet keterlaluan walaupun mereka sebenarnya sudah kurus.

"Ini juga mungkin terjadi kerana penekanan keterlaluan yang diberikan kepada masalah ini (obesiti) tanpa kita sedari konsep makanan seimbang dilupakan semata-mata kerana ingin kelihatan kurus," katanya.

Ini termasuklah, pengambilan nasi seharusnya dielakkan kerana makanan karbohidrat itu kononnya berpotensi menggemukkan atau meningkatkan berat badan seseorang.

Menyangkal andaian itu, Dr. Tee menjelaskan, ramai orang salah faham. Sebenarnya, nasi tidak akan menjadikan anda gemuk. Semuanya bergantung kepada kuantiti pengambilannya. Kalau diambil dalam kuantiti kecil atau sederhana, ia tidak akan menjadikan kita gemuk.

"Asalkan kita bergerak, kalori itu akan hilang apabila digunakan. Jadi tidak perlu terlalu risau sehingga tidak makan satu-satu jenis makanan langsung dan ini akan menyebabkan anda kehilangan zat penting seperti vitamin B," katanya.

Apatah lagi dalam piramid makanan, panduan mencapai diet sihat menunjukkan nasi berada di tangga paling bawah sekali, oleh itu ia perlu diambil dalam kuantiti secukupnya.

Selain pengambilan nasi dielakkan, golongan yang menggilai kecantikan bentuk badan sanggup mengikat perut agak keterlaluan sehingga menjejaskan pemakanan sihat.

Ini termasuklah mereka yang sememangnya sudah kurus tetapi merasakan dirinya gemuk.

Diklasifikasikan sebagai penyakit berpunca daripada pelbagai faktor dan pengaruh emosi, gangguan makan biasanya disebabkan oleh kurang harga diri dan keyakinan terhadap paras rupa serta penampilan diri.

Terdapat beberapa jenis gangguan makan, namun umum lebih mengenali anoreksia nervosa dan bulimia, akibat daripada tindakan keterlaluan dalam penjagaan berat badan.

"Ada wanita sanggup makan seperti biasa, atau makan lebih banyak daripada biasa tetapi akan mengeluarkan semula makanan dimakan sama ada dengan memuntahkannya secara sengaja atau menggunakan julap. Ini dipanggil bulimia.

"Terdapat juga wanita yang mengurangkan makan, atau terlalu kuat bersenam mahupun tidak makan langsung ekoran merasakan pengambilan sedikit makanan boleh menimbulkan kebimbangan, ini dipanggil anoreksia nervosa," katanya.

Jelasnya, inilah masalahnya. Bagi mereka kurus adalah untuk cantik, bukannya untuk kesihatan. Apabila tidak makan atau memuntahkan balik apa yang dimakan, mereka bukan sahaja tidak cukup nutrien, mineral malah protein pun langsung tidak dapat diserap.

Dr. Tee berkata, badan kita memerlukan nutrien setiap hari untuk proses pertumbuhan, mengekalkan atau menukar tisu lama. Bagi kanak-kanak ia penting untuk proses pertumbuhan.

Pengambilan nutrien mencukupi juga amat penting bagi orang dewasa. Ini membolehkan penukaran tisu dibuat bagi membantu seseorang itu menjalani kehidupan seharian seperti berfikir, bekerja dengan lebih bertenaga.

Harus diingat kekurangan nutrien yang teruk dalam jangka panjang boleh membawa maut, jelas Dr. Tee. - Bernama.

Sumber: http://www.utusan.com.my/