Wednesday, October 3, 2012

Maut demi cantik


SITUASI PERTAMA: Masliana (bukan nama sebenar), mempunyai berat badan dalam lingkungan 40 kilogram dan mahu kekalkan berat badan itu.

Merasakan nasi penyebab utama kepada 'kegemukan', andai 'termakan' menu ruji itu, akan menyebabkan Masliana terus menuju ke biliknya untuk bersenam sehinggalah berasa puas.

SITUASI KEDUA: Impian sejak kecil untuk menjadi model menyebabkan Farina (bukan nama sebenar) sentiasa menjaga penampilan, melihat cermin, menimbang berat badan dan merungut sekiranya berat badan naik sedikit.

Walhal, tambahan berat badan itu tidaklah sebanyak mana, namun ia tetap menghantui Farina. Merasakan dirinya 'gemuk', dia mula mengelak makan malam atas alasan: "saya tidak lapar."

Alasan dan senario sebegini, bukanlah baru dalam kalangan wanita muda bekerjaya serta remaja perempuan yang mula meningkat dewasa. Apa sahaja berkaitan kecantikan, semua dijadikan keutamaan.

Tidak salah untuk kelihatan anggun. Namun, bertindak sebaliknya dengan merasakan diri berhadapan masalah berat badan, biarpun hakikat sebenarnya tidak sepertimana yang difikirkan adalah tidak boleh dipandang ringan.

Ini sekali gus menunjukkan budaya pemakanan dan diet seimbang dalam masyarakat negara ini masih dipandang ringan, hanya semata-mata mahu kelihatan kurus serta cantik.

Dirujuk sebagai masalah 'imej badan', golongan wanita dikenal pasti lebih cenderung menghadapi masalah ini berbanding lelaki.

Mulanya tidak mahu mengambil sarapan pagi, kemudian tengah hari dan seterusnya malam. Ada segelintir wanita yang berhadapan dengan masalah psikologi ini berasa puas sekadar mengisi perutnya dengan sebiji epal. Semuanya kerana satu - mahu kurus.

Bagi mereka, seseorang wanita itu akan kelihatan cantik sekiranya memiliki bentuk badan persis model. Disebabkan itulah, ramai sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan potongan badan menawan, termasuklah melakukan pembedahan.

Cantik selalunya merujuk kepada bentuk badan kurus atau langsing selain daripada paras rupa menawan. Ini menyebabkan kebanyakan wanita terlalu mengambil berat perihal berat badan mereka.

Walhal, konsep kecantikan itu sebenarnya luas pemahamannya. Tidak sekadar berlandaskan pemikiran sempit itu sahaja.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong, di sebalik pengaruh gemerlapan bintang fesyen dan hiburan, masalah obesiti turut dikenal pasti menyumbang kepada pencarian imej tubuh unggul dalam kalangan wanita.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar peningkatan obesiti di negara adalah daripada 14 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada 2011. Ini menyebabkan ada antara wanita terlalu takut dilabelkan golongan 'obes' sehingga menjaga pemakanan secara keterlaluan.

"Apabila bercerita mengenai obesiti, saya harus berhati-hati kerana ada kemungkinan orang salah faham. Mereka jadi terlalu takut sehingga tidak mahu makan, sentiasa amalkan diet keterlaluan walaupun mereka sebenarnya sudah kurus.

"Ini juga mungkin terjadi kerana penekanan keterlaluan yang diberikan kepada masalah ini (obesiti) tanpa kita sedari konsep makanan seimbang dilupakan semata-mata kerana ingin kelihatan kurus," katanya.

Ini termasuklah, pengambilan nasi seharusnya dielakkan kerana makanan karbohidrat itu kononnya berpotensi menggemukkan atau meningkatkan berat badan seseorang.

Menyangkal andaian itu, Dr. Tee menjelaskan, ramai orang salah faham. Sebenarnya, nasi tidak akan menjadikan anda gemuk. Semuanya bergantung kepada kuantiti pengambilannya. Kalau diambil dalam kuantiti kecil atau sederhana, ia tidak akan menjadikan kita gemuk.

"Asalkan kita bergerak, kalori itu akan hilang apabila digunakan. Jadi tidak perlu terlalu risau sehingga tidak makan satu-satu jenis makanan langsung dan ini akan menyebabkan anda kehilangan zat penting seperti vitamin B," katanya.

Apatah lagi dalam piramid makanan, panduan mencapai diet sihat menunjukkan nasi berada di tangga paling bawah sekali, oleh itu ia perlu diambil dalam kuantiti secukupnya.

Selain pengambilan nasi dielakkan, golongan yang menggilai kecantikan bentuk badan sanggup mengikat perut agak keterlaluan sehingga menjejaskan pemakanan sihat.

Ini termasuklah mereka yang sememangnya sudah kurus tetapi merasakan dirinya gemuk.

Diklasifikasikan sebagai penyakit berpunca daripada pelbagai faktor dan pengaruh emosi, gangguan makan biasanya disebabkan oleh kurang harga diri dan keyakinan terhadap paras rupa serta penampilan diri.

Terdapat beberapa jenis gangguan makan, namun umum lebih mengenali anoreksia nervosa dan bulimia, akibat daripada tindakan keterlaluan dalam penjagaan berat badan.

"Ada wanita sanggup makan seperti biasa, atau makan lebih banyak daripada biasa tetapi akan mengeluarkan semula makanan dimakan sama ada dengan memuntahkannya secara sengaja atau menggunakan julap. Ini dipanggil bulimia.

"Terdapat juga wanita yang mengurangkan makan, atau terlalu kuat bersenam mahupun tidak makan langsung ekoran merasakan pengambilan sedikit makanan boleh menimbulkan kebimbangan, ini dipanggil anoreksia nervosa," katanya.

Jelasnya, inilah masalahnya. Bagi mereka kurus adalah untuk cantik, bukannya untuk kesihatan. Apabila tidak makan atau memuntahkan balik apa yang dimakan, mereka bukan sahaja tidak cukup nutrien, mineral malah protein pun langsung tidak dapat diserap.

Dr. Tee berkata, badan kita memerlukan nutrien setiap hari untuk proses pertumbuhan, mengekalkan atau menukar tisu lama. Bagi kanak-kanak ia penting untuk proses pertumbuhan.

Pengambilan nutrien mencukupi juga amat penting bagi orang dewasa. Ini membolehkan penukaran tisu dibuat bagi membantu seseorang itu menjalani kehidupan seharian seperti berfikir, bekerja dengan lebih bertenaga.

Harus diingat kekurangan nutrien yang teruk dalam jangka panjang boleh membawa maut, jelas Dr. Tee. - Bernama.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers