Monday, October 15, 2012

Nabi sedih umat cuai solat

Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan solat sunat yang lainnya. Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat adalah cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi.

 Cuai kerana urusan dunia

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang yang beriman."(An-Nisa : 103).

Abu Hurairah RA meriwayatkan: "Selepas Isyak aku bersama Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan. Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah...andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah...aku sungguh menyesali umatku."

Rasulullah menangis

“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?" tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”

“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”

“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad, Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata, bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).

“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”

“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat (hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).

Abu Darda' berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua amalnya akan ditolak.

Perintah ahli keluarga bersolat

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”

“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah kafir." (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda'). Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers