Tuesday, October 2, 2012

Suamiku Pemalas!


“Suami sejak awal berkahwin sememangnya sangat berat tulang dalam membantu saya menguruskan rumah tangga. Saya tertekan dengan sikapnya itu. Apakah benar kata orang, sikap pemalas yang dimiliki suami berasal daripada didikan ibunya sewaktu zaman kanak-kanak yang tidak mendidiknya agar berdikari?

Pandangan Kaunselor:

Pepatah Melayu ada menyatakan; bagaimana acuan begitulah juga bentuk kuihnya. Tetapi ramai yang terlupa, ada tikanya kuih yang dibentuk oleh acuan tidak kekal bentuknya disebabkan adunan bahan yang ada tidak tepat menyebabkan bentuk berubah terus berbeza daripada acuan. Sama jugalah dengan sikap dan tingkah seseorang. Bererti tidak semestinya sikap malas suami yang enggan membantu kerja-kerja isteri di rumah bermula daripada sikap si ibu yang tidak membentuk anaknya agar rajin membantu.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan, cara hidup masyarakat Melayu sebenarnya membentuk situasi sebegini. Bukan semata-mata asuhan ibu. Masyarakat Melayu mendidik agar anak perempuan bertumpu di dapur sementara anak lelaki dengan kerja-kerja luar rumah. Amalan tradisi ini diperjuangkan tanpa sedar sejak turun temurun dan kini tika anak perempuan mula menjejak luar rumah, kebanyakan anak lelaki masih tidak dibenarkan ke dapur.

Biar pun itu tradisinya, ia bukan sebab untuk suami enggan atau malas membantu isteri melaksanakan kerja-kerja di rumah. Setiap individu yang menjejakkan kaki ke dunia perkahwinan perlu faham dan maklum mengenai tanggung jawab yang perlu dilaksanakan di dalam perkahwinan. Mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian yang menjadi tugas rutin wanita sebenarnya bukanlah tanggung jawab isteri. Ulama menjelaskan; seandainya lelaki mengambil gadis dari rumah yang mempunyai pembantu rumah maka suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah bagi membantu isterinya yang biasa dibantu dalam melaksanakan kerja-kerja rumah.

Bezanya, segala kerja yang sinonim dengan wanita yang sebelum ini dikhususkan untuk tinggal dan menetap di rumah sahaja – jika dilakukan akan menjadi bonus kepada suami malah isteri sendiri kerana mampu menambah kasih sayang suami kepada isteri. Satu perkara yang menukarkan bonus ini kepada wajib dilakukan ialah apabila pekerjaan ini disuruh oleh suami setelah segala kelengkapan bagi menyelesaikan tugasan tersebut disediakannya. Sebagai contoh, jika suami belikan beras, ikan, sayur dan kelengkapan memasak yang lain kemudian suami perintahkan isteri memasak maka, isteri wajib memasak dan jika engkar, isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz.

Kembali kepada permasalahan ini; ada benarnya pendapat tersebut tetapi tidak tepat 100 peratus. Seperti huraian saya di awal jawapan, sikap sebenar bergantung kepada individu itu sendiri. Biarpun terdidik dengan cara ibu yang tidak biasakan anak lelakinya ke dapur tetapi jika dia sedar tentang peranan dan tanggung jawab yang perlu dipikul selepas memasuki gerbang perkahwinan, tiada alasan wajar yang boleh dipegang lagi.

Setiap individu perlu sedar, di dalam sesebuah perkahwinan terdapat 3 siri tanggung jawab iaitu tanggung jawab tersendiri seorang suami (melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks, bersikap romantik, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri).

Tanggung jawab tersendiri seorang isteri (taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hatinya) dan tanggung jawab bersama suami dan isteri (menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta bersama-sama menguruskan rumah tangga).

Perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. Insya-ALLAH jika sejak mula suami biasa membantu, tidak akan ada masalah di belakang hari. Masalahnya, ramai isteri yang mahu tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua mahu dibuat. Lama-lama, suami yang terbiasa, sukar ubah perangai.

Cara paling baik meminta suami menolong ialah dengan meminta dia menemankan anda melakukan kerja-kerja tersebut seperti ketika memasak. Mungkin suami mengelak kerana ingin berehat. Jangan marah, pujuk dengan lembut. Katakan, ada cerita menarik yang mahu dikongsi. Jika itu alasannya, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Jika mahu lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat di mana suami anda berada. Sambil melakukan kerja tersebut, luahkan rasa penat dan keseronokan jika suami dapat membantu. Jika dia pura-pura tidak dengar, anda perlu berterus terang, minta dia membantu secara berhikmah. Jangan mendesak atau mengarah! Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan “tolong” dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu.

Jika anda terbiasa melakukan segala-galanya seorang diri, jangan bimbang! Mulakan daripada sekarang. Cara paling baik, luahkan hasrat hati anda yang pasti seronok jika suami dapat membantu menguruskan rumah tangga.

Bila nak luah? Kata orang, masa paling baik ialah selepas sama-sama menyelesaikan hajat batin. Belai rambutnya, mainkan jari-jari di badannya dan cakaplah dalam nada suara yang lembut, mendayu dan merayu. Gunakan kuasa memikat anda sepenuhnya sampailah suami mengaku ‘YA’ akan tolong anda.

Jika malam pertama gagal, cuba lagi malam esoknya dan jangan putus asa. Dalam masa yang sama, berdoa minta ALLAH SWT lembutkan hati suami. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama, sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu. Dapat jugalah sesekali anda beristirahat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insya-ALLAH akan bertambah semarak cinta

Oleh: Editorial PaMa
Sumber: http://pama.karangkraf.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers