Tuesday, April 19, 2011

KERAJAAN BANI ABBASIYAH (132-656H / 750-1258M)


Cita-cita untuk menubuhkan kerajaan Bani Abbasiyah bukanlah satu perkara baru, kerana cita-cita dan fikiran untuk mengekalkan kekhalifahan Islam ditangan keturunan Bani Hasyim sudah bermula sejak Nabi mulai gering lagi, yang mana Abbas bin Abdul Mutalib telah memerintahkan kepada Sayyidina Ali bertanyakan kepada Nabi tentang siapa bakal khalifah Islam selepas Rasulullah.s.a.w. Tetapi Sayyidina Ali enggan melakukannya sehinggalah Rasulullah.s.a.w wafat. Sebab itu Nabi Muhammad s.a.w wafat tanpa sebarang wasiat mengenai bakal penggantinya.


Orang ramai membuat pemilihan khalifah secara demokrasi iaitu membuat pilihan ramai. Dan akhirnya terpilih Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah yang pertama kemudian Sayyidina Omar Kemudian Sayyidina Osman dan Sayyidina Ali.


Setelah Muawiyah berjaya merampas kuasa jawatan khalifah daripada Sayyidina Ali, maka telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang-orang Syiah lalu mereka melantik Hassan bin Ali menjadi khalifah (Kufah).

Pada tahun 41 Hijrah Sayyidina Hassan telah meletak jawatan dan menyerahkannya kepada Muawiyah dan akibatnya tertubuhlah Kerajaan Bani Umaiyah yang telah diasaskan oleh Muawiyah bin Abu Sufian.


GERAKKAN BANI ABBASIYAH


Ada dua cara gerakkan Bani Abbasiyah;

1. Gerakkan secara sulit
  • Tertubuh pada awal kurun kedua Hijrah (98H) pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abd.Aziz.
  • Pengasasnya ialah Ali bin Abdullah yang kemudiannya digantikan oleh anaknya Muhammad bin Ali.
  • Gerakkan ini berselindung dibawah nama Bani Hasyim (Alawiyeen dan Ahlil Bait). Pada masa ini mereka tidak melahirkan nama Abbasiyah dengan tujuan untuk menarik sokongan Syiah dan mengelakkan berlakunya perpecahan.
  • Setelah Pemimpin pemberontakkan Syiah Hasyim bin Muhammad menyerahkan kuasanya kepada Ali bin Abdullah pada tahun 98 Hijrah maka Humaimah telah dijadikan sebagai pusat gerakkan dan cawangannya ialah Kufah dan Khurasan. Di Kufah masih terdapat fikiran untuk mengembalikan hak khalifah kepada keturunan Rasulullah / Bani Hayhim. Dan Khurasan letaknya jauh dari Damsyik (Pusat pemerintahan Kerajaan Umaiyah, dan lebih mudah mendapat pengaruh kerana penduduknya pernah menerima layanan buruk dari Kerajaan Umaiyah.
  • Gerakkan pemberontakkan ini lebih giat dan aktif di zaman pemerintahan Khalifah Omar bin Abd.Aziz kerana sikap Khalifah yang sangat berlemah lembut.
  • Setelah Ali bin Abdullah meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya Muhammad bin Ali pada tahun 117 Hijrah. Kemudian diganti oleh Ibrahim bin Muhammad pada tahun125 Hijrah.

2. Gerakkan secara terbuka
  • Pada tahun 747M / 129H Ibrahim bin Muhammad menaikkan bendera hitam di Khurasan sebagai cabaran kepada kerajaan Bani Umaiyah (pada ketika itu menggunakan bendera putih).
  • Abu Muslim al Khurasani, pemimpin utama dalam rangka mendirikan Kerajaan Bani Abbasiyah: telah berjaya menakluki Meru (ibu kota Khurasan). Pada ketika itu Nassar bin Saiyar (gabenor Umaiyah di Khurasan) meminta bantuan Khalifah Marwan tetapi gagal mendapat apa-apa bantuan dan beliau meninggal tidak lama kemudian. Beliau berjaya menakluki Kufah pada tahun 749M / 131H.
  • Ibrahim bin Muhammad terbunuh dalam peperangan lalu digantikan oleh saudaranya Abdullah bin Muhammad (Abu al Abbas al Saffah).
  • Abu al Abbas mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah Kerajaan Bani Abbasiyah pada tahun 750M / 132H.
  • Khalifah Marwan tidak putus asa, lalu bergerak dengan 12,000 tentera dari Harrah, manakala tentera Abbasiyah dipimpin oleh Abdullah bin Ali (bapa saudara al Abbas). Kedua-dua tentera ini bertemu ditebing kiri sungai Zab pada tahun 750M. Tentera Marwan mengalami kekalahan dan Khalifah Marwan lari ke Mesir.
  • Pada 25 April 750M Damsyik berjaya ditawan oleh tentera Bani Abbasiyah.
  • Khalifah Marwan lari ke Mesir tetapi diburu oleh tentera Abbasiyah dan beliau berjaya dibunuh di satu daerah bernama Bousir /Busir pada 5 Ogos 750M. Kepalanya dihantar ke Kufah

FAKTOR-FAKTOR TERDIRINYA KERAJAAN BANI ABBASIYAH
  • Terdirinya Kerajaan Bani Umaiyah itu secara kekerasan, merampas kuasa hingga mengakibatkan pertumpahan darah sesama Islam (Peperangan Ali dan Muawiyah). Sebab itu golongan umat Islam yang bersikap sebagai orang tengah berasa simpati terhadap pihak yang gagal disamping mengutuk pihak yang menang.
  • Terdapatnya Khalifah-khalifah dalam Kerajaan Bani Umaiyah yang tidak berminat dalam politik. Contohnya Yazid bin Muawiyah lebih mementingkan diri dari soal negara. Ia hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya.
  • Penghinaan yang keterlaluan Bani Umaiyah ke atas Syiah Ali adalah satu daripada sebab yang membangkitkan kebencian orang-orang Islam terhadap mereka. Antaranya pembunuhan Sayyidina Hussain bin Ali di Karbala dan cacian terhadap keturunan Ali di atas mimbar dalam khutbah Jumaat.
  • Keburukkan yang terbit dari cara perlantikan Khalifah Bani Umaiyah iaitu menentukan bakal khalifah dimana terdapat dua orang putera mahkota dalam satu masa. Ini telah membangkitkan pergaduhan sesama sendiri dalam keluarga Bani Umaiyah kerana khalifah yang dilantik kemudiannya cuba menyingkirkan bakal khalifah yang sudah terlantik dan menggantikan anaknya atau orang pilihannya sendiri. Dalam suasana inilah pihak Bani Hasyim melancarkan gerakkan mereka merebut pemerintahan.
  • Kezaliman setengah daripada khalifah-khalifah Bani Umaiyah yang bukan sahaja terhadap Syiah Ali tetapi juga terhadap orang-orang yang pernah berjasa besar terhadap kerajaan. Muhammad bin al Qasim dan Qutaibah bin Muslim adalah dua orang panglima perang yang berjasa dalam bidang pertahanan dan penaklukkan tetapi telah dibunuh oleh Khalifah Sulaiman bin Abd.Malik kerana kesalahan yang sedikit. Hajaj bin Yusof dipenjarakan dan harta bendanya dirampas. Begitu juga Musa bin Nusair yang mati dalam penjara. Hal yang demikian menyebabkan rakyat memberi sokongan kepada sebarang gerakkan untuk menggulingkan Kerajaan Bani Umaiyah.

Cara perlantikkan Khalifah dalam Kerajaan Bani Abbasiyah.

  • Cara perlantikkan khalifah di dalam Kerajaan Bani Abbasiyah adalah sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Bani Umaiyah iaitu menentukan sendiri bakal khalifah sebelum wafatnya;
  • Abu al Abbas al Saffah melantik gantinya Abu Jaafar al Mansor sebagai bakal khalifah manakala gantinya ialah anak saudaranya Isa bin Musa bin Muhammad bin Ali.
  • Khalifah Harun al Rasyid pula melantik ketiga-tiga orang anaknya menjadi Khalifah atas nasihat para pembesarnya iaitu al Amin, al Makmun dan al Mu'tasim. Kemudian berlaku perebutan kuasa yang berakhir dengan kemenangan al Makmun.
  • Al Makmun kemudian melantik pula saudaranya al Mu'tasim. Al Mu'tasim melantik anaknya al Wathiq. Al Wathiq meninggal dunia tanpa melantik bakal khalifah. Pembesar-pembesar Negara melantik gantinya al Mutawakkil.
  • Al Mutawakkil kemudiannya mengikut jejak langkah datuknya Harun al Rasyid dengan melantik tiga orang anaknya ganti khalifah iaitu Muhammad Muntasir Billah, Muhammad al Mu'taz Billah dan Ibrahim al Muayyad Billah. Kemudian diakhir pemerintahannya ia membatalkan perlantikan Muhammad al Muntasir Billah kerana dijangka keburukkan akan berlaku sekiranya ia menjawat jawatan khalifah. Ini menyebabkan Muhammad al Muntasir Billah marah lalu bermuafakat dengan golongan bangsa Turki untuk membunuh bapanya. Begitulah cara perlantikan khalifah dalam zaman keemasan Bani Abbasiyah adapun khalifah kemudian daripada ini dikuasai oleh pembesar-pembesar bangsa Turki, mereka melantik dan melucutkan siapa yang mereka kehendaki. Setelah Bani Buawaeh menguasai pemerintahan mereka pula berkuasa dalam perlantikan khalifah. Sehinggalah kerajaan ini dikalahkan oleh tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan pada tahun 656H / 1258M.

KHALIFAH PERTAMA ABDULLAH AL ABBAS (132-136H / 750-754M)


Riwayat Hidup
  • Nama beliau Abu al Abbas Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas. Beliau bergelar Abu Abbas As Saffah (Penumpah darah).
  • Dilahirkan pada tahun 104H di Humaimah.
  • Beliau dilantik sebagai khalifah pertama pada 13 Rabiulawal 132H / 750M.
  • Beliau wafat pada 13 Zulhijjah 136H ketika berusia 33 tahun.
  • Beliau memerintah selama 4 tahun 9 bulan.

Peribadi

  • Seorang yang gemar berperang.
  • Seorang yang keras hati.
  • Kejam terhadap musuh terutamanya ke atas keluarga Bani Umaiyah.
  • Kuat daya ingatan.
  • Gagah dan berani.
  • Pemurah serta dermawan.
  • Tidak menepati janji.

Bentuk Kekejaman yang dilakukan
  • Menggali kubur-kubur keturunan Umaiyah dan membakar mayat mereka, iaitu kubur Muawiah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiah, Abd.Malik bin Marwan dan Hisyam bin Abd.Malik kecuali kubur Omar bin Abd.Aziz.
  • Melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga Bani Umaiyah setelah mereka dijemput ke majlis kenduri.
  • Menghapuskan saki baki keluarga Umaiyah kecuali anak-anak yang masih kecil.

Tindakan yang dilakukan untuk mengkukuhkan Kerajaan
  • Mengubah pusat pemerintahan dari Damsyik ke Kufah, kemudian ke Hirah dan kemudian ke Anbar. Beliau memberi nama Hasyimiah sempena nama keturunannya Hasyim.
  • Menukarkan warna bendera kerajaan dengan warna Hitam.
  • Menghapuskan golongan Bani Umaiyah sebagai langkah menguatkan kedudukan politiknya.
  • Abu Muslim Al Khurasani dilantik sebagai gebenor di Timur dan Khurasan. Abu Jaafar Al Mansor sebagai gebenor di Iraq, Mausil dan Armenia. Syam dan Mesir di bawah gebenor Abdullah bin Ali.
  • Abi Salamah Al Khalali dan Khalid Barmaki dilantik sebagai menteri. Namun Abu Salamah kemudiannya dibunuh kerana dikhuatiri memindahkan kuasa kepada keluarga Sayidina Ali.

Faktor-faktor yang menyebabkan kejayaan beliau
  • Keadaan kucar kacir yang berlaku dalam keluarga Bani Umaiyah sebelumnya dan pada masa pemerintahannya.
  • Kejayaan cemerlang gerakan sulit oleh penyokong-penyokongnya di serata tempat.
  • Peranan Abu Muslim Al Khurasani yang berjaya menguasai beberapa buah daerah termasuk Khurasan dan Merw. Usaha ini telah membuka jalan kepada beliau.
  • Orang-orang Parsi memberi sokongan padu kerana golongan itu begitu marah kepada pemerintahan Bani Umaiyah yang bersifat assabiyah.
  • Peranan saudara-saudaranya iaitu Abu Jaafar, Abdullah, Ali, Salleh dan Daud yang bersama-sama membanteras musuh.

Jasa-jasa beliau

  • Mengadakan rumah-rumah api untuk panduan musafir (lampu-lampu jalan raya untuk panduan orang-orang yang berjalan pada malam hari).
  • Memperbaharui jalan dan meletakkan batu tanda jarak di antara Mekah dangan Kufah mengikut kiraan Batu Hasyimi.
  • Memperkukuhkan angkatan tentera untuk mempertahankan ancaman musuh terutama dari Rom.
  • Membuka Bandar baru di Iraq yang dinamakan Bandar Hasyimiah.

KHALIFAH ABU JAAFAR AL MANSUR (136-158H / 754-775M)


Riwayat Hidup

  • Nama penuh beliau ialah Abu Jaafar Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas. Beliau adalah saudara Abu Abbas.
  • Beliau dilahirkan pada 101H di Humaimah.
  • Beliau berjuang bersama-sama dengan saudaranya Abu Abbas untuk menegakkan daulah Abbasiyah.
  • Beliau adalah orang kanan As Safah semasa menegakkan Kerajaan Bani Abbasiyah.
  • Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun136H atas wasiat Abu Abbas ketika berusia 35 tahun.
  • Beliau wafat pada tahun 158H di Bikrul Maimun dalam perjalanan untuk mengerjakan haji ketika berusia 57 tahun.
  • Memerintah selama 22 tahun dan dianggap sebagai bapa pembangun kerajaan Abbasiyah yang sebenar kerana ditangan beliaulah kerajaan Abbasiah berdiri dengan kukuh.
  • Beliau berjaya menghapuskan segala anasir yang mengancam kerajaan.
  • Beliau memulakan pembangunan Negara secara lebih pesat.
  • Beliau memulakan gerakan mengkaji ilmu pengetahuan sehingga Kota Baghdad dianggap sebagai pusat pertemuan ilmu pengetahuan dunia.

Peribadi
  • Seorang yang gagah berani dan tabah hati.
  • Bercita-cita tinggi untuk memajukan Negara.
  • Pentadbir yang cekap dan berwibawa.
  • Mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.
  • Berminat terhadap ilmu pengetahuan dan kasih akan ulama.
  • Rajin bekerja dan berdisiplin.
  • Berhemah tinggi dan disegani.
  • Bijak dan pandai menggunakan masa.
  • Kuat beribadat dan condrong kepada sebarang pelajaran agama.
  • Bijak mengatur ekonomi Negara dan cermat membelanjakannya.

Bapa Pembangunan Kerajaan Abbasiyah
  • Ahli sejarah telah mensifatkan bahawa Khalifah Abu Jaafar Al Mansor sebagai "Bapa pembangun Kerajaan Abbasiyah yang sebenar" kerana:
  • Ditangan beliaulah Kerajaan Abbasiah berdiri dengan kukuh.
  • Beliau berjaya menghapuskan segala anasir sabbersif merbahaya yang mengancam kerajaannya.
  • Beliaulah yang memulakan pembangunan Negara secara lebih pesat.
  • Beliau memulakan gerakkan mengkaji ilmu pengetahuan sehingga Kota Baghdad dianggap sebagai pusat pertemuan ilmu pengetahuan dunia.

Tindakan-tindakan mengukuhkan negara

Walaupun Abu Jaafar merasai keamanan kerana seterunya dapat dikalahkan, tetapi beliau masih lagi mencurigai sebahagian daripada pembesarnya. Jadi bagi mengatasi masalah ini beliau melakukan beberapa tindakan positif sebagai langkah untuk menstabilkan Negara iaitu:


1. Menghapuskan pemberontak puak Syiah (Alawiyeen)
  • Puak Syiah merupakan keluarga dan penyokong Sayidina Ali yang bercita-cita untuk menumbangkan Kerajaan Bani Umaiyah tetapi mereka menyerahkan kepada keluarga Al Abbas.
  • Golongan Syiah adalah golongan yang turut bersama memerangi dan menjatuhkan Kerajaan Bani Umaiyah sehingga memungkinkan Bani Abbasiyah memerintah, tetapi mereka telah disingkirkan.
  • Penghinaan dan penipuan politik yang dilakukan keatas mereka itu menimbulkan perasaan simpati dikalangan sesetengah golongan umat Islam.
  • Mereka tidak berpuas hati lalu bangun menentang Kerajaan Abbasiyah. Golongan ini dipimpin oleh Muhammad bin Abdullah.
  • Mereka mendapat sokongan yang kuat dari penduduk Hijaz, Kufah dan Basrah.
  • Khalifah Abu Jaafar Al Mansur telah menghantar tenteranya di bawah pimpinan Isa bin Musa dan berjaya menghapuskan pengaruh golongan Syiah ini.

2. Memerangi bapa saudaranya sendiri Abdullah bin Ali dan menghapuskan pengaruhnya.
  • Abdullah bin Ali adalah panglima tentera yang sangat berjasa mengalahkan Kerajaan Bani Umaiyah disaat terakhir dengan mengalahkan Marwan bin Al Hakam dalam Peperangan Sungai Zab.
  • Abdullah mempunyai pengaruh dan pengikut yang besar dikalangan penduduk Syam dan Mesir. Oleh itu beliau mendakwa dirinya berhak menjadi khalifah.
  • Beliau juga mendakwa bahawa Abu Abbas berjanji untuk mengangkat beliau sebagai khalifah.
  • Khalifah Abu Jaafar mengutus tentera seramai 17000 orang dibawah pimpinan Abu Muslim Pasukan tentera ini dapat mendudukkan tentera Abdullah dan beliau akhirnya ditangkap dan dipenjarakan.

3. Menghapuskan pengaruh Abu Muslim Al Khurasani
  • Beliau seorang yang berjasa kepada Khlifah kerana dalam membangunkan Kerajaan Abbasiyah dan menghapuskan pemberontakan Abdullah bin Ali.
  • Selepas menundukkan tentera Abdullah, beliau tidak lagi mematuhi arahan khalifah kerana beliau telah mempunyai pengaruh besar.
  • Khalifah Abu Jaafar bimbang akan pengaruh beliau dapat menggugat pemerintahnnya.
  • Lalu Khalifah membuat helah dengan menjemput beliau ke istana kemudian beliau dicerca dan kerana tidak tahan menerima cercaan beliau cuba melawan dan akhirnya beliau pun dibunuh. Beliau dianggap penentang khalifah.

4. Memerangi Abd.Rahman Ad Dakhil di Sepanyol
  • Beliau ialah Abd.Rahman bin Muawiah bin Hisham bin Abd.Malik yang terkenal dengan nama Abd.Rahman Ad Dakhil
  • Abd.Rahman Ad Dakhil adalah keturunan Umaiyah yang telah berjaya melarikan diri ke Sepanyol semasa gerakan Abbasiyah menghapuskan Bani Umaiyah.
  • Abd.Rahman telah mendapat sambutan untuk menubuhkan Kerajaan Umaiyah II di sana pada tahun 138H / 757M.
  • Abd.Rahman menggantikan perkataan Khalifah dengan Amir.
  • Dia digelar oleh Abu Jaafar Al Mansur dengan Sakhar Quraisy (kerana ketangkasannya melarikan diri).
  • Khalifah Abu Jaafar telah menghantar Al Alak bin Al Muraish dan tenteranya ke Sepanyol tetapi tidak berjaya mengalahkan Abd.Rahman. Al Alak terbunuh dan kepalanya dipotong kemudian dikirimkan kepada Khalifah sebagai tanda amaran.

Jasa-jasa Abu Jaafar AL Mansur
  • Mendirikan Kota Baghdad di Iraq.
  • Membina Istana yang indah.
  • Membina sebuah pelabuhan yang besar di Sungai Furat untuk persinggahan kapal-kapal.
  • Memajukan perkembangan ilmu pengetahuan, mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku pengetahuan ke dalam Bahasa Arab.
  • Mendirikan sekolah tinggi iaitu "Baitul Hikmah".

Pembentukan Keluarga Al Barmak
  • Dalam masa pemerintahan Al Mansur ini, terbentuk jawatan menteri dalam Kerajaan Bani Abbasiyah dari keluarga Barmak.
  • Orang yang pertama memegang jawatan menteri ialah Khalid bin Barmak (berasal dari anak padri Budha di Balakh).
  • Di awal pemerintahan Bani Abbasiyah Khalid dilantik menjadi Ketua Dewan Al Kharaj (Jabatan Kewangan).
  • Pada tahun 765M Khalid dijadikan Gebenor di Tabaristan.
  • Selepas menundukkan tentera Abdullah, beliau tidak lagi mematuhi arahan khalifah kerana beliau telah mempunyai pengaruh besar.
  • Khalifah Abu Jaafar bimbang akan pengaruh beliau dapat menggugat pemerintahnnya.
  • Lalu Khalifah membuat helah dengan menjemput beliau ke istana kemudian beliau dicerca dan kerana tidak tahan menerima cercaan beliau cuba melawan dan akhirnya beliau pun dibunuh. Beliau dianggap penentang khalifah.

KHALIFAH AL MAHDI (158-169H / 775-785M)

Riwayat Hidup

  • Nama penuh beliau ialah Muhammad al Mahdi bin al Mansur bin Ali bin Abdullah bin Abbas.
  • Beliau lahir di Humaimah pada tahun 126 Hijrah.
  • Beliau dilantik menjadi Khalifah setelah bapanya meninggal dunia pada tahun 158 Hijrah.
  • Al Mahdi melantik Yahya al Barmak (anak Khalid bin Barmak) menjadi Menterinya. (Yahya juga ditugaskan untuk mengajar anaknya Harun).
  • Beliau meninggal dunia pada tahun 169H (ketika berumur 43 tahun), dalam perjalanan ke Jurjan untuk menjalankan tugasnya bersama anaknya Harun al Rashid. (Harun sendiri menyempurnakan jenazah ayahnya).

Peribadinya

  • Beliau tidak minum air anggur.
  • Gemar mendengar nyanyian dan qasidah.
  • Pemalu, bersopan santun dan pemurah.
  • Fasih pertuturannya.
  • Melazimi membaca al Quran pada waktu lapang.
  • Sangat takut menyalahi Sunnah Rasul.

Jasa-jasa Khalifah al Mahdi

  • Membebaskan tahanan politik semasa pemerintahan bapanya (Abu Jaafar al Mansur). Kecuali mereka yang bersalah dalam jenayah.
  • Membina dan memperbaiki Istana.
  • Membina kolam-kolam air disepanjang jalan untuk kemudahan musafir dan angkatan kafilah.
  • Menempatkan orang yang berpenyakit kusta di tempat yang khas bagi mengelak dari berjangkit.
  • Memerintah agar menambah bangunan Masjidil Haram di Mekah.
  • Memberikan bayaran saguhati kepada penyair-penyair sebagai galakan.

Kemajuan dizaman al Mahdi

Oleh kerana perbendaharaan Negara yang ditinggalkan oleh bapanya 'itu masih mantap maka mudahlah beliau melancarkan sebarang rancangan kemajuan. Iaitu:
  • Kota-kota besar diperindahkan lagi.
  • Digalakkan rakyatnya mempelajari kesenian dan sains.
  • Penyair-penyair diberi bayaran saguhati.
  • Baghdad yang sedia menjadi pusat perniagaan penuh pula dengan ahli-ahli kesenian dan penyair.

Penaklukan dizaman al Mahdi
  • Penaklokan tidak banyak berlaku, hanya serang menyerang yang bersikap pertahanan.
  • Khalifah menghantar anaknya Harun memimpin tentera untuk menentang tentera Byzantines di Asia kecil. Akhirnya Harun berjaya dan Ratu Irene bagi pihak pemerintahan Byzantium terpaksa menuntut damai dan menyetujui membayar ufti 80 ribu dinar setahun.
  • Kerana kemenangan Harun ini, Bapanya menggelar al Rashid.
  • Ada pun Peperangan yang berlaku di sempadan negeri Sind hanya berupa serang menyerang ringan sahaja dan tidaklah berlaku sebarang penaklokkan.

KHALIFAH AL HADI (169 -170H / 785 - 786M)


Riwayat Hidup

  • Nama penuh beliau Musa al Hadi bin Muhammad al Mahdi bin Abu Jaafar al Mansur.
  • Beliau meninggal dunia pada tahun 170 Hijrah.
  • Masa pemerintahannya pendek dan penuh dengan pemberontakkan.
  • Beliau tidak berjaya melakukan sebarang pembangunan Negara.

Pemberontakan yang mahsyur semasa pemerintahan al Hadi Ialah pemberontakan Husain bin Ali bin Hassan bin Ali bin Abi Talib yang berlaku di Hijaz. Dalam pemberontakan ini Husain berjaya merampas Madinah daripada wakil pemerintah Kerajaan Abbasiyah. Tetapi Husain dapat dikalahkan oleh tentera al Hadi semasa mereka menyerang Mekah. Husain mati terbunuh dan dua orang keluarganya melarikan diri. Idris bin Abdullah bin Husain bin Ali bin Abi Talib dapat melarikan diri ke Utara afrika terus ke Morocco dan berjaya mendirikan kerajaan disana. Yahya bin Abdullah bin Hassan bi Ali bin Abi Talib dapat melarikan diri ke Negara Dailam (di Selatan Laut Kaspian) dan mendirikan kerajaan pemberontak di sana.


KHALIFAH HARUN AR RASYID (170H-193H / 786M-809M)

Riwayat Hidup
  • Beliau adalah anak kepada Khalifah Muhammad Al Mahdi.
  • Dilahirkan pada tahun 145H, di Raiy.
  • Pernah menjadi penglima perang menyerang Rom semasa ayahnya menjadi gebenor di Afrika Utara.
  • Mengerjakan Haji sebanyak 9 kali semasa hidupnya.
  • Dilantik menjadi Putera Mahkota pada tahun 166H.
  • Menjadi Khalifah pada tahun 170H. Ketika itu beliau berusia 25 tahun.
  • Wafat pada tahun 193 Hijrah di Tus (Tours).Dan memerintah selama 23 tahun

Peribadi
  • Seorang yang gagah berani.
  • Seorang yang cederong dalam hal ugama
  • Sentiasa mengambil berat dalam kerja-kerja pemerintahannya.
  • Bijak berpolitik dan cekap.
  • Beliau melazimi sembahyang tiap-tiap hari seratus rakaat hinggalah ke masa beliau meninggal dunia kecuali keuzuran.
  • Pemurah dan bertimbang rasa dengan orang-orang miskin.
  • Gemar mendengar nasihat orang-orang bijak pandai.
  • Berfikir luas dan tegas.
  • Pemurah dan dermawan.
  • Suka menikmati Syaer dan Qasidah.
  • Cintakan ilmu pengetahuan dan menghormati alim ulama
  • Mengambil berat hal rakyat.

Hubungan luar negeri
  • Hubungan dengan Afrika Utara: Memberi kemerdekaan bersyarat kepada bangsa Barbar tetapi mulai 184H. Khalifah Harun melantik Ibrahim menjadi Khalifah di sana yang dinamakan sebgai Kerajaan Aqlabiah. Kerajaan tersebut berkekalan selama 183 tahun.
  • Hubungan dengan Rom: Rajanya Ratu Irene meneruskan bayaran ufti kepada Kerajaan Abbasiyah tetapi apabla Rom diperintah oleh Niceporus, beliau telah membatalkan ufti tersebut. Ini menyebabkan Khalifah menghantar tentera menyerang Byzantine dan Khalifah sendiri telah memimpin tentera menawan Pulau Cyprus, Rhodes dan akhirnya Raja Niceporus bersedia menyambung semula perdamaian.
  • Hubungan dengan Eropah: Hubungan dengan Raja Charlemenge dari Perancis. Kedua-dua pihak bertukar bingkisan dan beliau pernah membantu Khalifah menghadapi Kerajaan Byzantine.
  • Hubungan dengan Cina: Jalinkan hubungan dengan Maharaja Cina, mereka saling bertukar bingkisan.
  • Hubungan dengan keluarga Alawiyeen: Khalifah Harun menawarkan hubungan baik dengan keluarga Alawiyeen. Malangnya mereka masih menunjukkan sikap menentang Kerajaan. Sikap Khalifah Harun dibalas dengan pemberontakan yang dipimpin oleh Yahya bin Abdullah dan adiknya Idris yang menubuhkan Kerajaan Idrisiah di Moroko pada tahun 172 Hijrah.

Keadaan Negara dalam masa pemerintahannya
  • Keadaan aman dan tenteram kerana banyak pemberontakan dapat dihapuskan .
  • Negara berada dalam keadaan yang kuat dan teguh sehinga disegani oleh Negara-negara lain yang bersedia menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Abbasiah.
  • Ekonomi Negara teguh dan maju. Baghdad telah muncul sebagai pusat perdagangan yang terkemuka.
  • Baghdad muncul sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Ramai penuntut dari luar negeri mengunjungi Baghdad bukan sahaja untuk mempelajari ilmu-ilmu tafsir dan hadis, malah ilmu perubatan, matematik, falak dan sebagainya.
  • Di dalam Negara terdapat ramai cendekiawan dalam berbagai-bagai bidang seperti penulis kesusasteraan. Para cendekiawan mendapat kedudukan istimewa dan penghormatan yang tinggi daripada para pemerintah

Usaha-usaha Khalifah dalam memperkayakan Ilmu Pengetahuan

  • Khalifah melarang para tentera merosakkan buku-buku ilmu pengetahuan.
  • Mendirikan pusat-pusat pengajian menengah dan rendah untuk memberi pendidikan kepada rakyat.
  • Para ulama dan cendekiawan dijemput ke Baghdad untuk mengembangkan ilmu pengetahuan.
  • Usaha-usaha menterjemah buku-buku asing seperti dari Yunani dan sebagainya ke dalam bahasa arab.
  • Baginda telah membesarkan lagi Darul Hikmah.

Kesan-kesan usaha memperkayakan ilmu pengetahuan
  • Baghdad telah muncul sebagai pusat ilmupengetahuan, kesusasteraan dan perdagangan.
  • Lahirnya tokoh-tokoh ilmuan dan Sufi yang terkenal seperti Imam Syfie, Ahmad Hambal dan Ibrahim Adham.
  • Banyak buku yang telah terkumpul termasuklah buku-buku cerita yang termasyhur iaitu Hikayat 1001 malam

Faktor-faktor kemasyhuran Khalifah Harun Al Rasyid (Zaman keemasan kerajaan Bani Abbasiah dan zaman kemegahan Kerajaan Islam).
  • Sifat-sifat yang terpuji yang dimiliki oleh Khalifah sendiri seperti, berhemah tinggi, pemurah, suka beribadat dan lain-lain sifat yang baik telah menyebabkan baginda dikasihi rakyat.
  • Baginda berjaya menajadikan negara Islam Abbasiyah menjadi makmur dan terkenal kerana keadaannya yang stabil dan kukuh.
  • Kebijaksanaannya menghapuskan anasir-anasir anti kerajaan.
  • Hubungan Kerajaan Abbasiyah dengan Negara-negara luar seperti Cina, Perancis dan Rom telah menaikkan taraf Kerajaan Abbasiyah di dunia luar.
  • Usaha-usahanya menjadikan Baghdad sebagai pusat pengetahuan.
  • Kota Baghdad mencapai kedudukan yang tinggi dimata dunia khasnya dikalangan orang-orang barat.

Jasa-jasa Khalfah Harun Al Rasyid
  • Menjadikan Baghdad sebagai pusat perdagangan antarabangsa.
  • Mendirikan pusat-pusat pengajian rendah dan menengah serta memberi pelajaran dengan percuma.
  • Menjemput Para Ulama dan Cendekiawan ke Baghdad untuk mengembangkan ilmu pengetahuan.
  • Mengusahakan pernterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa arab.
  • Menghapuskan musuh-musuh negara dari dalam dan luar negeri untuk menstabilkan negara.
  • Menjalinkan hubungan yang baik dengan negara-negara asing.
  • Mendirikan Darul Hikmah (Perpustakaan awam).
  • Membina tempat meneropong bintang untuk ahli ilmu falak

Pembentukan keluarga Barmak
  • Di awal pemerintahan Khalifah al Mansur, orang yang pertama menjawat jawatan menteri ialah Khalid bin Barmak.
  • Beliau berasal daripada anak seorang paderi Budha di Balakh.
  • Ibunya ditawan oleh Qutaibah bin Muslim dalam tahun 705M di balakh
  • Di awal pemerintahan Khalifah Abbas, beliau dilantik mengetuai Dewan Al Kharaj (Jabatan Kewangan)
  • Pada tahun Masihi 765, beliau dijadikan gabenor di Tabaristan.
  • Khalifah Al Mahdi melantik Yahya Al Barmaki menjadi menterinya.
  • Yahya ditugaskan mengajar anak Khalifah Al Mahdi iaitu Harun.

Tindakan Khalifah terhadap keluarga Barmak.
  • Mereka telah diberi kepercayaan oleh Khalifah atas kebijaksanaan dan kepintaran mereka. Oleh sebab timbul dengki, keluarga ini telah difitnah dan akhirnya menerima hukuman bunuh daripada Khalifah Harun Al Rasyid.
  • Khalifah bertindak membunuh mereka dengan merampas segala harta benda mereka termasuk ladang-ladang, istana dan kelengkapan rumah.

Pendapat setengah ahli sejarah berhubung dengan tindakan beliau terhadap keluarga Barmak.
  • Setengah ahli sejarah mensifatkan tindakan Baginda membunuh keluarga Barmak itu adalah berdasarkan polotik untuk menghapuskan kuasa Barmak yang mungkin melemahkan kekuasaan Baginda sendiri.
  • Setengah ahli sejarah mengatakan bahawa tindakan baginda itu adalah kerana keluarga Barmak terlalu bebas dengan keluarga Khalifah sendiri sehinga berlaku kejadian buruk yang memalukan baginda. Di dalam buku P.K Hitty 'History of the Arabs' menjelaskan bahawa pembunuhan ke atas Jaafar itu sebenarnya ada kaitan dengan keburukan yang memalukan yang berlaku di antara Jaafar dengan saudara perempuan Khalifah Harun iaitu Al Abbasah.

KHALIFAH AL AMIN BIN HARUN AL RASYID (193H-198H / 809M-813M)


Riwayat Hidup
  • Beliau adalah anak kepada Khalifah Harun Al Rasyid dengan Zubaidah binti Jaafar.
  • Nama sebenarnya ialah Abdullah Muhammad Al Amin bin Harun Al Rasyid.
  • Dilahirkan pada tahun 170 Hijrah. Dan dilantik menjadi Khalifah pada tahun 193H mengikut wasiat bapanya. Dan pernah menjadi gabenor di Syam.
  • Beliau dilantik sebagai Putera Mahkota sebelum ayahnya wafat.
  • Baginda mati terbunuh dalam peperangan saudara menentang al Makmun pada tahun 198H. Beliau dibunuh oleh tentera Tahir bin Husain.

Peribadi
  • Seorang Khalifah yang mementingkan diri sendiri.
  • Tingkah laku beliau tidak menyenangkan hati rakyat.
  • Beliau gemar minuman keras dan menghabiskan masa dengan berpoya-poya dan menyanyi.
  • Suka mensia-siakan wang negara kerana mengikut hawa nafsu.
Perlantikannya

Perlantikannya sebagai Khalifah telah ditentukan oleh ayahandanya Harun Al Rasyid mengikut giliran iaitu:
  • Al Amin menjadi gabenor di Syam akan menjadi Khalifah selepas baginda wafat.
  • Al Makmun yang menjadi penguasa di Khurasan akan menjadi Khalifah selepas Al Amin.
  • Al Muktasim atau Al Qasim yang menjadi penguasa Mesopotemia akan menjadi khalifah yang berikutnya.

Cara pemerintahannya
  • Oleh kerana beliau sibuk dengan masalah Negara, maka tidaklah banyak kemakmuran dan kemajuan yang dapat dilakukan.
  • Adik beliau Al Makmun yang bertugas sebagai gabenor di Khurasan telah mengeluarkan wilayahnya dari pemerintahan Khalifah Al Amin. Ini adalah kerana Khalifah Al Amin tidak mengikut wasiat bapanya, dimana beliau telah melantik anaknya Musa sebagai Putera Mahkota. (atas hasutan perdana menteri Fadhl bin Rabi'.
  • Oleh kerana kemarahan Al Makmun atas sikap Al Amin yang melantik anaknya bakal pengganti khalifah, maka berlakulah peperangan saudara pada tahun 198 Hijrah yang mengakibatkan Al- Amin terbunuh.

KHALIFAH AL MAKMUN BIN HARUN AL RASYID (198H-218H / 813M-833M)


Riwayat Hidup
  • Beliau adalah adik kepada Khalifah Muhammad Al Amin.
  • Nama penuh beliau ialah Abdullah Al Makmun bin Harun Al Rashid.
  • Beliau dilahirkan pada tahun 170H / 185M iaitu pada hari perlantikan ayahandanya Harun Al Rashid menjadi Khalifah.
  • Ibunya bernama Marajel iaitu seorang Jariah bangsa Farsi
  • Pernah menjadi governor di Khurasan semasa Al Amin.
  • Dilantik sebagai Khalifah pada tahun 198H, ketika berusia 28 tahun.
  • Wafat pada tahun 218H, Ketika berusia 48 tahun di Tarsus dalam perjalanannya menghadapi satu peperangan dengan Rom.

Peribadi
  • Seorang yang berperibadi mulia, bijak dan luas pandangan.
  • Baik hati, pemaaf, wara` dan rajin beribadat.
  • Berpengetahuan tinggi dan Kasih akan ulama.
  • Cenderong dengan falsafah menyebabkan beliau menganut mazhab Mu`tazilah.
  • Gemar kerja-kerja kebajikan dan bencikan maksiat.
  • Cinta kepada kedamaian dan bencikan kezaliman dan penindasan.

Cara Perlantikannya
  • Perlantikan sebagai Khalifah telah ditentukan oleh ayahandanya Khalifah Harun Al Rashid. Ketika itu Al Makmun dilantik menjadi penguasa di Khurasan dan akan menjadi Khalifah selepas Al Amin.
  • Al Makmun telah berjaya mengalahkan Al Amin dalam satu pertempuran di antara tentera Al Makmun dibawah pimpinan Panglima Tahir Husin dengan tentera Al Amin. Akhirnya Al Amin mati terbunuh.
  • Oleh itu penduduk Khurasan melantik Al Makmun sebagai Khalifah.

Sebab-sebab berlakunya permusuhan di antara Al Amin dan Al Makmun
  • Kecuaian Khalifah Al Amin terhadap pemerintahan Negara dengan menyerahkan urusan pemerintahan kepada Perdana Menteri telah menimbulkan kemarahan Khalifah Al Makmun.
  • Pemecatan jawatan Khalifah Al Makmun sebagai Putera Mahkota dan perampasan hartanya di Khurasan telah menimbulkan kemarahan Khalifah Al Makmun.
  • Sikap Al Makmun menolak jemputan Al Amin ke Istana telah menimbulkan kemarahan Khalifah Al Amin terhadap beliau.

Perkembangan ilmu pengetahuan
  • Zaman pemerentahan Khlalifah Al Makmun adalah zaman kemuncaknya kemajuan peradaban dan kebudayaan Islam.
  • Banyak ahli-ahli bijak pandai muncul dengan peranan masing-masing dalam berbagai bidang.
  • Tertubuhnya pusat-pusat pengajian dengan ulama masing-masing.
  • Baghdad dipenuhi oleh penterjemah dari berbagai bangsa. Ilmu pengetahuan diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa dengan upahan yang mahal.
  • Tertubuhnya Baitul Ulum, pusat pengkajian dan penterjemahan segala ilmu pengetahuan dari bahasa Gerik, Siriyani, Farsi dan Sansekerit.
  • Ulama-ulama telah dijemput untuk berkumpul di Baghdad. Mereka berbahas dan bermuzakarah. Langkah ini telah melahirkan ulama-ulama yang terkemuka seperti Imam Hambali, Muhammad Musa Al Kawarizmi dan lain-lain lagi.
  • Pelajar-pelajar diberi hadiah galakkan, biasiswa dan bantuan tertentu.
  • Mendirikan dua menara untuk meneropong bintang.
  • Memperluaskan dan memajukan Darul Hikmah (perpustakaan) yang telah didirikan oleh ayahandanya.

Sikap Khalifah terhadap puak Syiah (Alawiyeen)
  • Baginda telah menjalin hubungan baik dengan mereka
  • Baginda telah melantik Ali Ridza bin Musa iaitu pemimpin Syiah menjadi putera mahkota yang bakal menjadi khalifah.
  • Baginda menukar warna bendera daripada warna hitam kepada warna hijau iaitu warna bendera Syiah.
  • Akhirnya, timbul kemarahan daripada kalangan keluarganya. Dan selepas Ali Ridza meninggal dunia, Khalifah menukar semula warna bendera kepada warna hitam.

Al Makmun dengan fahaman Muktazilah


Ilmu pengetahuan mempengaruhi perubahan dalam agama. Perkembangan falsafah menyebabkan munculnya mazhab Muktazilah yang menjadi asas fahaman dan dasar agama Khalifah Al Makmun.


Mazhab Muktazilah beranggapan sesuatu fahaman tidak harus diikuti jika hal ini akan menyekat kemajuan politik dan sosial. Ajaran ini menyebabkan manusia membebaskan diri dari tekanan kefahaman dan menentang peraturan tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Misalnya mazhab Muktazilah menganggap Al Quran sebagai makhluk. Khlifah Al Makmun telah mengambil langkah yang tegas untuk memperkenalkan ajaran mazhab Muktazilah. Beliau mengeluarkan arahan yang mengatakan jawatan kerajaan hanya boleh dipegang oleh penganut mazhab Muktazilah. Semua pegawai yang menentang mazhab ini dikehendaki meletak jawatan. Sikap Khalifah ini telah mencetuskan perselisihan fahaman khasnya dengan golongan Ahli Sunnah yang diketuai oleh Imam Hambali dan perselisihan ini berlanjutan sehingga zaman pemerintahan Khalifah-khalifah seterusnya.


Pemberontakan-pemberontakan dalam Negara
  • Pertumpahan darah diantara puak Qais yang menyokong Al Amin dengan Puak Kalb yang menyokong Al Makmun. Khalifah menghantar Abdullah bin Tahir untuk mengamankannya.
  • Kerajaan Byzantine telah menyokong puak Barbar yang mengamalkan ajaran sesat yang berpusat di Azarbaijan. Khalifah berjaya mengalahkan mereka.
  • Penduduk Baghdab membantah perlantikan Ali Redza sebagai putera mahkota. Mereka melantik Ibrahim bin Mahdi menjadi Khalifah baru. Suasana ini dapat ditenteramkan apabila Khalifah bersetuju menukar semula bendera kepada warna hitam selepas Ali Redza meninggal dunia.
  • Khalifah menghantar Panglima Tahir menghapuskan pemberontakan di Khurasan, kemudian beliau dilantik sebagai governor di sana.

Faktor-faktor kemasyhuran Baginda
  • Baginda memiliki sebuah Negara yang telah pun dibangunkan oleh ayahandanya Harun Al Rashid.
  • Keperibadian Khalifah Al Makmun yang baik menyebabkan beliau disayangi rakyat.
  • Usaha-usaha beliau untuk meninggikan pembangunan Negara dan perkembangan ilmu pengetahuan telah menjadikan Baghdad terkenal.

Jasa-jasa Khalifah
  • Usaha-usaha menterjemahkan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab.
  • Mendirikan dua tempat pusat pengkajian angkasa lepas iaitu di Damsyik dan Baghdad.
  • Menjemput para cerdik pandai ke Baghdad dan mereka diberi pelbagai hadiah.
  • Memperbaiki sistem hospital dan menambah bilangan hospital.
  • Mendirikan sekolah dan diberi kemudahan kepada pelajar-pelajar.
  • Memperluaskan dan memajukan Darul Hikmah.

KHALIFAH AL MUKTASIM BIN HARUN AL RASHID (218 . 227H / 833 . 842M)


Riwayat Hidup
  • Nama penuh beliau ialah Abu Ishak Muhammad bin Harun Al Rashid.
  • Dilahirkan pada tahun 179H. Ibunya bernama Maridah yang berbangsa Turki.
  • Pernah menjadi governor di Syam dan Mesir.
  • Menjadi Khalifah pada tahun 218H selepas kewafatan Al Makmun. Beliau digelar Al Muktasim Billah.
  • Wafat pada tahun 227H ketika berusia 48 tahun.
  • Memerintah selama 8 tahun, 8 bulan 8 hari.
  • Meninggalkan 8 orang anak lelaki dan 8 orang anak perempuan.

Peribadi
  • Seorang yang gagah berani, tegas dan gemar berperang.
  • Lemah dalam membaca dan menulis.
  • Menggalakkan rakyat mematuhi perintah Allah.

Keadaan Negara di zaman pemerintahannya
  • Oleh kerana beliau memberi penuh kepercayaan kepada bangsa Turki untuk menjadi pengawal peribadi dan istananya serta dinaikkan pangkat, maka timbul gerakkan untuk menjatuhkan pemerintahannya tetapi beliau berjaya menghapuskan gerakan tersebut.
  • Baginda melucutkan jawatan kakitangan bangsa Arab dan Farsi secara beransur-ansur. Ini menyebabkan golongan Turki menjadi angkuh sehingga menimbulkan masalah kepada Negara. Ekoran itu Khalifah terpaksa mendirikan sebuah bandar kediaman orang-orang Turki yang dinamakan Samara.
  • Pada tahun 219H muncul pemberontakkan golongan Syiah yang dipimpin oleh Muhammad bin Qasim di Khurasan. Golongan pemberontak ini akhirnya dapat dihapuskan oleh Khalifah.
  • Di akhir pemerintahan Khalifah, timbul lagi satu pemberontakkan yang dipimpin oleh Babik Al Khurasan. Golongan pemberontakkan ini juga dapat dihapuskan oleh Khalifah.
  • Pada tahun 223H beliau berjaya mengalahkan tentera Rome yang membuat serangan ke atas Negara Islam. Peperangan tersebut dinamakan dengan peperangan Amuriah.

KHALIFAH AL WATHIQ BIN AL MUKTASIM (227 . 232H / 842 . 847M)


Riwayat Hidup
  • Nama penuh beliau ialah Abu Jaafar Harun Al Wathiq Billah bin Al Muktasim.
  • Dilahirkan pada tahun196H dan
  • Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kewafatan bapanya AL Muktasim pada tahun 227H.
  • Wafat pada tahun 232H, ketika berusia 32 tahun.

Peribadi
  • Beliau adalah seorang yang baik hati dan lemah lembut.
  • Cintakan perdamaian dengan golongan Syiah.

Keadaan Negara di zaman pemerintahannya
  • Pengaruh bangsa Turki semakin bermaharajalela dalam istananya, dan beliau sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.
  • Atas sikap beliau yang tidak dapat mengawal pengaruh bangsa Turki tersebut, maka menimbulkan kemarahan dikalangan bangsa Arab dan Farsi.
  • Di zaman pemerintahan beliau juga telah berlaku beberpa pemberontakkkan, terutama di Hijaz, Mosul dan Syam.

KHALIFAH AL MUTAWAKKIL (232-247H / 847-861M)

Riwayat Hidup
  • Nama penuh beliau ialah Jaafar Al Mutawakkil Alallah bin Al Muktasim bin Harun Al Rashid.
  • Dilahirkan pada tahun 206H
  • Dilantik menjadi Khalifah pada tahun 232H, iaitu setelah wafat saudaranya Al Wathiq, dan memerintah selama 15 tahun.
  • Beliau meninggal dunia pada tahun 247H bersamaan 861M.

Peribadi
  • Beliau mempunyai sifat mementingkan diri sendiri.
  • Membenci puak Syiah.

Tindakkan ke atas puak Syiah
  • Oleh kerana beliau amat membenci puak Syiah serta dipengaruhi oleh bangsa Turki, maka beliau semakin keterlaluan menghina puak Syiah.
  • Beliau jugalah yang bertanggungjawab meruntuhkan kubur Sayyidina Husin di Karbala, serta menegah orang ramai dari menziarahinya.

Pemberontakkan dan tindakkan bangsa Turki dalam pemerintahan Al Mutawakkil
  • Jaafar bin Abdul Rahman, yang mengetuai pemberontakkan di Yaman telah mengistiharkan kemerdekaan negeri Yaman pada tahun 247H, kerajaan ini diberi nama dengan Kerajaan Jaafaridah yang berpusat di San`aa.
  • Atas kesadaran beliau terhadap bangsa Turki yang sudah semakin berpengaruh maka Khalifah Al Mutawakkil telah berusaha untuk memindahkan pusat pemerintahan kerajaan ke Damsyik, tetapi malangnya usaha beliau itu telah dihalang oleh pembesarpembesar Turki.
  • Pada tahun 247H, Khalifah Al Mutawakkil telah dibunuh oleh bangsa Turki yang merasa curiga akan tindakkan beliau untuk menghapuskan pengaruh Turki.
  • Dengan terbunuhnya Khalifah Al Mutawakkil tersebut, maka berakhirlah zaman kemajuan dan keemasan Kerajaan Bani Abbasiyah. Dan bermulalah dengan zaman kehancuran dan kemunduran bagi kerajaan ini.
  • Sehingga pada tahun 656H / 1285M, maka kerajaan Bani Abbasiyah ini telah dapat digulingkan oleh Hulagu Khan iaitu suku kaum Monggol.

Khalifah-Khalifah Kerajaan Bani Abbasiyah selepas Khalifah Al Mutawkkil
  1. Khalifah Al Mustain (248-252H / 862-866M)
  2. Khalifah Al Muktaz (252-255H / 866-869M)
  3. Khalifah Al Muhtadi (255-256H / 869-870M)
  4. Khalifah Al Muktamid (256-279H / 870-892M)
  5. Khalifah Al Multahid (279-289H / 892-902M)
  6. Khalifah Al Muktafi Billah (289-295H / 902-908M)
  7. Khalifah Al Muqtadir (295-320H / 908-932M)
  8. Khalifah Al Qadir (320-322H / 932-934M)
  9. Khalifah Al Radhi (322-329H / 934-940M)
  10. Khalifah Al Muttaqi (329-333H / 940-944M)
  11. Khalifah Al Mustakfi (333-334H / 944-945M)
  12. Khalifah Al Muti` (334-363H / 945-973M)
  13. Khalifah Al Taii (363-381H / 973-991M)
  14. Khalifah Al Qadir (381-422H /991-1031M)
  15. Khalifah Al Qaim (422-467H / 1031-1074M)
  16. Khalifah Al Muqtadi (467-487H / 1074-1094M)
  17. Khalifah Al Mustazhir (487-512H / 1094-1118M)
  18. Khalifah Al Mustarsyid (512-519H / 1118-1134M)
  19. Khalifah Al Rasyid (519-530H / 1134-1135M)
  20. Khalifah Al Muktafi (530-555H / 1135-1160M)
  21. Khalifah Al Mustanjid (555-566H / 1160-1170M)
  22. Khalifah Al Mustadhi (566-575H / 1170-1179M)
  23. Khalifah Al Nasir (575-622H / 1179-1225M)
  24. Khalifah Al Zahir (622-623H / 1225-1226M)
  25. Khalifah Al Mustansir (623-641H / 1226-1243M)
  26. Khalifah Al Mustaksim (641-656H / 1243-1258M)

Di antara sebab-sebab kejatuhan kerajaan Bani Abbasiyah
  1. Kerajaan Bani Abbasiyah terlalu mempercayai bangsa asing terutama bangsa Turki serta melantik mereka menjawat jawatantinggi dan penting dalam kerajaan, yang mana akhirnya menyebabkan tergugatnya Kerajaan Abbasiyah sendiri.
  2. Terdapat sesetengah dalam Kerajaan ini terlalu menekan dan memusuhi puak Syiah yang mengakibatkan berlakunya pemberontakkan disepanjang pemerintahan Kerajaan ini.
  3. Terdapat sesetengah Khalifah telah melantik dan menentukan dua ke tiga orang anak mereka bakal menjadi Khalifah (secara bergilir) ini mengakibatkan berlakunya perang saudara seperti di antara Al Amin dengan Al Makmun.
  4. Pada tahun 656H / 1258M, Kerajaan Bani Abbasiyah telah diserang oleh tentera Monggol yang dipimpin oleh Holagu Khan, dan akhirnya Kerajaan Abbasiyah telah dapat digulingkan.

Kemajuan-kemajuan di zaman pemerintahan Kerajaan Bani Abbsiyah.

Menteri dan Pembesar Negara
  • Menteri-menteri dalam pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah diberi kuasa dalam melaksanakan tugas pentadbiran Negara.
  • Kerja-kerja dalam pentadbiran Negara yang dijalankan oleh menteri adalah berdasarkan persetujuan Khalifah.
  • Di samping itu, Perdana Menteri adalah orang yang terpenting dalam pendtadbiran Negara. Dia juga berkuasa dan bertanggungjawab dalam melantik beberapa orang menteri di bawahnya serta dialah yang menjadi pengerusi dalam Majlis masyuarat menteri-menteri.
  • Dalam bidang kehakiman, orang yang diberi kuasa bagi mengeluarkan hukum-hukum ialah Qadi.
  • Sementara dibidang ketenteraan ialah Amir Al Askariah.
  • Lain-lain jabatan pentadbiran dilantik di bawah urusan menteri-menteri mengikut jabatan masing-masing.
Jabatan Kewangan
  • Jabatan ini memainkan peranan yang sangat penting sekali dalam pentadbiran Negara, juga adalah merupakan teras pemerintahan.
  • Punca kewangan Negara adalah hasil daripada zakat, jizyah, cukai-cukai dan harta rampasan perang.
  • Kesemua hasil yang diperolehi daripada zakat dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya, sepertimana mengikut undang-undang Islam.
  • Sementara hasil yang diperolehi selain daripada zakat, dibelanjakan untuk keperluan pembangunan Negara.
  • Di awal pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah ini, kedudukan kewangan sungguhlah terjamin dan memuaskan, terutama sekali di zaman pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid.
  • Tetapi mulai dari pemerintahan Al Wathiq, kewangan Negara mula merosot. Ini adalah disebabkan oleh kerana kekuasaan pemerintah sudah berada sepenuhnya ditangan bangsa Turki.

Ketenteraan
  • Ketenteraan di zaman Kerajaan Bani Abbasiyah tidaklah begitu teratur sama juga halnya seperti di zaman Kerajaan Bani Uamaiyah dahulu.
  • Dalam pembahagian tugas ketenteraan adalah sama seperti di zaman Kerajaan Bani Umaiyah. Di mana tiap-tiap General menjaga 10,000 tentera yang dibahagikan kepada 10 batalion, dan dalam tiap-tiap battalion pula ditugaskan 10 orang qadi.
  • Pada peringkat permulaannya, tentera Bani Abbasiyah ini terbahagi kepada dua kumpulan yang besar. Iaitu kumpulan tentera Arab Utara (Modarides) dan satu lagi tentera Arab Selatan (Himyarites).
  • Tetapi setelah munculnya satu lagi kumpulan tentera Farsi, maka mengakibatkan kumpulan yang awal tadi sudah hilang pengaruhnya. Kumpulan tentera Farsi ini sangat berpengaruh sekali terutama di akhir pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah, sehinggalah meluputkan kuasa Khalifah sendiri.
Pembahagian wilayah
  • Dalam hal ini juga, ianya adalah mengikut sepertimana yang sudah sedia ada dari sejak zaman Kerajaan Bani Umaiyah.
  • Perubahan-perubahan yang dilakukan hanyalah sedikit sahaja, itupun kerana mengikut kehendak politik.
  • Tetapi kadangkala terdapat juga dua Wilayah yang bersaing disatukan dan diperintah oleh seorang governor.
  • Wakil pemerintah (Governor) memerintah secara kuasa separuh penuh. Tetapi dalam beberapa segi dan aspek pentadbiran Negara, mereka diberi kebebasan menggunakan kebijaksanaan sendiri hinggakan mereka mempunyai tentera sendiri. Dan oleh kerana itulah juga dengan mudahnya berlaku rampasan kuasa bila Kerajaan Pusat menjadi lemah.

Perkembangan Ilmu Pengetahuan / Kegiatan Intelekual
  • Seperti yang sudah diketahui bahawa pengasas dalam bidang ilmu pengetahuan ini ialah Khalifah Abu Jaafar Al Mansur, kemudian disambung lagi oleh Khalifah Harun Al Rashid dan seterusnya Khalifah Al Makmun.
  • Di zaman pemerintahan Al Makmun, perkembangan ilmu pengetahuan ini telah mencapai kepada kemuncak kejayaan.
  • Di zaman Khalifah Al Makmun jugalah Kota Bagdad menjadi pusat tumpuan pengkajian ilmu pengetahuan. Ahli-ahli bijak pandai dibawa masuk ke kota Bagdad bagi tujuan memperkembangkan ilmu pengetahuan serta pengusahaan dalam penterjemahan buku-buku asing dimulakan.
  • Hasil dari usaha tersebut, maka telah terkumpul dan terbitlah ilmu Al Kimia, Astronomi, Mathematics, Geography, Falsafah, Lojik Ilmu Bahasa dan perubatan serta Sains.
  • Di samping itu, kecerdasan intelektual di zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ini juga telah melahirkan tokoh-tokoh ilmu pengetahuan yang masyhur, sehinggakan sumbangan mereka tersebut dapat diwarisi hingga ke hari ini.

Di antara tokoh-tokoh tersebut ialah:
  • Jabir bin Hayyan (776M) iaitu tokoh dalam bidang ilmu Al Kimia (Alchemy).
  • Abu Yusof Yakob bin Ishak Al Kundi (810-873M) iaitu tokoh dalam bidang Falsafah. Di samping itu beliau juga bijak dalam ilmuKedoktoran dan Muzik.
  • Muhammad bin musa Al Khawarizimi (108-850M) iaitu tokoh dalam bidang Ilmu Husab.
  • Abu Jaafar Muhammad bin Jarir Al Tabari (839-923M) iaitu tokoh dalam bidang ilmu Sejarah.
  • Muhammad bin Ismail Al Bukhari yakni Imam Bukhari (810-870M) adalah tokoh dalam meriwayat dan mengumpulkan Hadis-Hadis Nabi S.A.W.
  • Imam Abu Hanafiah Al Nukman bin Thabit iaitu pelopor Mazhab Hanafi adalah tokoh dalam bidang ilmu Fiqih.
  • Abu Nawas (810M) Abu Tamman (854) dan Al Bahtari (820-897M) adalah tokoh dalam bidang Kesusasteraan.

Perubatan
  • Dalam bidang perubatan ini, ianya dimainkan peranan oleh Umak-ulamak Jundishapur iaitu akedemik Falsafah dan Perubatan yang telah diasaskan oleh Maharaja Shapur pada tahun 555M di bandaraya Farsi.
  • Di masa pemerintahan Abu Jaafar, beliau telah melantik Jurjis bin Bakhtishu menjadi tabib peribadinya. Ini adalah oleh kerana Jurjis telah merawat beliau semasa sakit perut sehinggalah beliau sembuh.
  • Dalam masa pemerintahan Khalifah Harun Al Rashid pula Jurjis bin Bakhtishu telah dilantik menjadi ketua perubatan di rumah sakit Baghdad.
  • Sementara di zaman Khalifah Al Makmun iaitu pada tahun 830M, beliau telah mengasaskan Baitul Hikmah di Baghdad, yang mana telah menghasilkan terjemahan buku-buku dan naskah-naskah Gerik dalam ilmu perubatan yang dicipta oleh Galen, termasuklah juga Ilmu Mathematics dan Sains yang dicipta oleh Euclid dan Ptoiemy.
Sumber: http://mrscd.files.wordpress.com/

7 comments:

  1. Boleh nyatakan sumber maklumat ini. Mungkin sahaja ditulis oleh pihak yang membenci Islam. Banyak fakta yang kurang tepat seperti pemilihan khalifah secara demokrasi??? Muawiyah merampas jawatan khalifah dari Ali???. Jangan lupa bahawa Muawiyah juga adalah salah seorang sahabat Nabi. Harap dapat menyemak kembali artikel ini dan merujuk kepada sumber yang lebih autentik.

    ReplyDelete
  2. muawiyah adalah sahabat nabi dan perawi hadis. Mana mungkin beliau merampas dari Ali. Periksa sumber dengan betul, jangan hanya berdasarkan pada satu sumber sahaja. InsyaAllah semoga diberkati Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. tapi ada juga kisah yang mengatakan bahawa ketika itu pemerintahan ali berada pada tahap yang sangat lemah. oleh itu muawiyah merampasnya drp ali. wallahu a'lam.

      Delete
  3. sumber sejarah telah diseleweng oleh mereka yang menang perang. merobek kuburan dan sebagainya.

    ReplyDelete
  4. Takut2 sumbernya daripada puak syiah yang sememangnya membenci Muawiyyah

    ReplyDelete
  5. Muawiyah tidak merampas daripada Saidina Ali. Lanjutan daripada Perang Siffin, walau Saidina Ali menghampiri kemenangan, Muawiyah ajak bertahkim (Majlis Tahkim). Dari sinilah Muawiyah menjadi khalifah. Di pihak Saidina Ali, berlaku perpecahan, wujudlah kaum Khawarij.

    ReplyDelete

Google+ Followers